Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUM
  • Menunggu Perdana Menteri dari Borneo
  • KOLUM

Menunggu Perdana Menteri dari Borneo

Utusan Sarawak 9 hours ago
DATUK Seri Anwar Ibrahim bertukar memorandum persefahaman bersama Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam isu Petronas dan Petros melalui pemeteraian satu deklarasi bersama di Putrajaya, semalam.

WARTAWAN veteran yang juga bekas Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST), Datuk A Kadir Jasin, baru-baru ini membuat posting di facebooknya atas tajuk ‘Mencari Bakal Perdana Menteri’ dan mencabar warganet memikirkan sekurang-kurangnya 10 orang yang mereka rasa berpotensi menjadi perdana menteri dalam tempoh lima hingga 10 tahun mendatang.

Beliau cuba menjalankan satu kajian awam, dan seperti katanya, bukan kajian rasmi atau kajian akademik, sebaliknya menguji gambaran dalam pemikiran minda rakyat.

Dua hari kemudian, A Kadir Jasin menyenaraikan pencalonan atau nama disebut oleh pengulas dalam FBnya seperti berikut ‘setelah saya congak sebaik mungkin,’ kata Kadir.

Sekurang-kurangnya 40 nama telah dicalonkan atau disebut antara dua hingga 18 kali.

Antaranya:

  • Johari Abdul Ghani
  • Khairy Jamaluddin
  • Rafizi Ramli
  • Ahmad Samsuri Mokhtar
  • Nurul Izzah Anwar dan Tengku Zafrul Aziz (jumlah undi sama)
  • Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Asyraf Wajdi Dusuki
  • Shahril Hamdan
  • Sanusi Md Nor dan Onn Hafiz Ghazi
  • Azmin Ali dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal
  • Akmal Saleh
  • Nik Nazmi Nik Ahmad dan Hilman Idham

Untuk poll yang beliau gerakkan ini Kadir menetapkan syarat iaitu calon yang dicadang mesti dari generasi bukan pasca-Perang Dunia Kedua yang dipanggil ‘baby boomers‘, yakni mereka yang dilahirkan antara 1946 dan 1964.

WARTAWAN veteran yang juga bekas Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST), Datuk A Kadir Jasin.

Kadir mengingatkan bahawa interaksi mengenai calon perdana menteri itu adalah santai, tidak formal dan bukan kajian rasmi mahupun akademik.

Bak kata beliau “must be taken with a pinch of salt“.

Namun, ada pembahas memberi ulasan berbunyi: ‘Pasal apa tak ada sorang pun talent dari Sabah dan Sarawak dalam senarai tu?”.

Jawab Kadir: ‘Sahabat dari Sabah dan Sarawak bebas calonkan pemimpin mereka yang lahir antara 1965 dan 1980.’

A Kadir Jasin dan pembahas sekalian mungkin lupa atau terlepas jangkaan apa akan berlaku 10 atau 20 tahun akan datang andai tuntutan Sarawak dan Sabah untuk mengembalikan 35 peratus kerusi dari Borneo menjadi kenyataan.

Jika tuntutan itu dipenuhi, entah bila, maka suara Ahli Parlimen dari Sarawak dan Sabah, menjadi lebih kuat untuk menentukan penjawat jawatan Perdana Menteri.

Perlu diingat, mengikut Perkara 3(2)(b) Perlembagaan Persekutuan menyebut Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri.

IKUT ARAHAN PARTI

Ini bermakna rakyat memilih Ahli Parlimen masing-masing dan Ahli Parlimen pula memilih Perdana Menteri di Dewan Rakyat.

Lazimnya, Ahli Parlimen ini akan cenderung mengikut arahan parti masing-masing, siapa menjadi pilihan.

Mungkin kita sudah lupa, Sarawak adalah penentu atau ‘kingmaker’ untuk tiga jawatan Perdana Menteri sebelum ini.

Andai politik berasaskan parti tempatan Sabah sekuat Gabungan Parti Sarawak (GPS), suara Borneo pasti lebih ‘solid’.

Masa itu nanti, sebutlah beberapa puluh nama yang berpotensi bakal perdana menteri, andai tiada sokongan Sarawak dan Sabah, tidak mungkin jadi kenyataan.

Mungkin masa itu nanti, akan muncul tokoh dari Sarawak atau Sabah, berpotensi untuk calon Perdana Menteri?

Sejarah yang baru berlalu membuktikan apabila berlaku kemelut pelantikan Perdana Menteri ke-8 (Tan Sri Muhyiddin Yasin) pada 29 Februari 2020, Perdana Menteri ke-9 (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) pada 21 Ogos 2021, dan Perdana Menteri ke-10 (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pada 24 November 2022, hanya boleh disahkan apabila GPS menyatakan pendirian dan memberi sokongan bagi mencukupkan jumlah kerusi untuk membentuk kerajaan minoriti.

Maknanya, penyandang kerusi Perdana Menteri ke-8, ke-9 dan ke-10 mungkin orang lain jika GPS buat pilihan lain ketika itu?

Bayangkan, mereka yang berkepentingan ketika itu sanggup menelefon Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika berada di pedalaman Belaga untuk mendapatkan sokongan.

Jika silap hari bulan, GPS mungkin boleh muncul parti ketiga terbesar selepas pilihan raya umum ke-16 (PRU-16) nanti, berupaya memintas BN yang kini memiliki 30 kerusi, hanya lebih tujuh kerusi daripada GPS.

Dengan kedudukan sekarang, Putrajaya tidak lagi boleh memandang remeh keperluan Sarawak terutama dalam mengembalikan hak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962.

Inilah perjuangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan GPS sekarang, laluan yang dirintis dan disingkap oleh Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem (Tok Nan).

Bayangkan buat seketika, pentadbiran negara bagaikan tergantung apabila berlaku peristiwa 2021 dalam episod pemilihan jawatan Perdana Menteri antara Ismail Sabri dan Anwar Ibrahim berikutan peletakan jawatan Muhyiddin Yasin sebagai Perdana Menteri kelapan, pada 16 Ogos 2021.

Untuk beberapa ketika, semua pihak main angka dan komposisi Ahli Parlimen yang memihak Ismail Sabri dan Anwar yang pada mulanya kelihatan seimbang.

Kemudian semua mata tertumpu kepada GPS yang mempunyai 18 Ahli Parlimen dan menjadi rakan kerjasama utama dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika itu.

‘KINGMAKER’

Hanya apabila GPS menyatakan pendirian, barulah pelayaran bahtera Ismail Sabri, untuk menyandang jawatan Perdana Menteri kesembilan berjalan lancar, sekali gus menjadi kenyataan.

Malah buat seketika, Malaysia menghadapi krisis dengan Parlimen tergantung selama empat hari selepas pengumuman keputusan PRU-15.

Kemudian apabila pemimpin GPS diminta mengadap Yang di-Pertuan Agong, pemimpinnya dinasihat untuk menyertai Kerajaan Perpaduan yang bakal ditubuhkan.

Abang Johari selaku Pengerusi GPS, kemudian mengumumkan secara rasmi untuk menyertai Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar kerana patuh kepada titah dan nasihat Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar bersama membentuk kerajaan yang kukuh dan stabil.

PN pimpinan Muhyiddin pula menolak gabungan kerajaan dengan PH.

Ini sekali gus meminggirkan PN pimpinan Muhyiddin berada di blok pembangkang.

Melihat kepada senario itu dan berdasarkan angka, impian Anwar untuk menjadi Perdana Menteri tercapai.

Bagi Borneo, ini juga kali pertama dalam sejarah rakyatnya menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri dengan pelantikan Dato Sri Fadillah Yusof.

Sekarang Anwar perlu berusaha keras untuk membalas jasa GPS, terutama memenuhi tuntutan MA63, yang sebahagiannya sudah dilunaskan.

Berbalik kepada isu tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen bagi Sarawak dan Sabah, apakah pihak di Semenanjung termasuk parti politik pemerintah atau pembangkang bersetuju?

Hakikat yang mungkin merintis jalan untuk jawatan Perdana Menteri dari Borneo?

Ini bukan lagi soal setuju atau tidak bersetuju, sebaliknya ia adalah hak perlembagaan yang termaktub melalui MA63 dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962 yang perlu dikembalikan.

Isu ini turut dibangkitkan pada sidang Dewan Undangan Negeri, semalam.

DATUK Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, semalam. FotoUKAS

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, isu ini diberikan tumpuan dalam rundingan lanjut kerajaan Sarawak bersama kerajaan Persekutuan selain hal formula Geran Khas.

“Isu ini telah dibangkitkan secara berterusan oleh kerajaan Sarawak melalui mesyuarat rasmi dan platform rundingan termasuk dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963,” katanya ketika sesi soal jawab.

Apabila padi tidak ditampi,

Manakan tahu beras dan hampa,

Apabila janji tidak ditepati,

Rakyat bingkas masa pilihan raya.

  • Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak.
Tags: Kadir Dikoh

Continue Reading

Previous: Kesilapan paparan Jalur Gemilang perlu ketegasan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.