PADA 11 Oktober lalu, Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (Pindaan) 2023 atau Akta 533 bagi membolehkan wakil kerajaan Sabah dan Sarawak dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah dengan meminda beberapa fasal dalam RUU itu.
Seramai 20 Ahli Parlimen membahaskannya sebelum diluluskan.
Pelantikan wakil dari Sabah dan Sarawak bagi memastikan isu percukaian dapat ditangani dan disampaikan dengan sewajarnya selain menggalakkan urusan percukaian objektif dan bebas.
Namun, yang menarik perhatian ialah fasal 4 RUU itu bertujuan meminda Seksyen 9 Akta 533 bagi memperuntukkan menteri boleh, pada bila-bila masa, tanpa memberi sebab, membatalkan pelantikan seseorang anggota yang dilantik di bawah Perenggan 6(1)(da). Ia hanya boleh dilakukan selepas menteri berunding dengan Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak, bagi membatalkan pelantikan seseorang anggota yang dilantik di bawah perenggan 6(1)(db).
Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan bagaimanapun memberitahu Dewan Rakyat, di dalam fasal berhubung proses pembatalan pelantikan seseorang wakil negeri Sabah dan Sarawak, akan dibincang lebih lanjut dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen selepas ini.
LHDN ialah badan berkanun diberi kuasa di bawah akta sama yang berkuatkuasa sejak 1 Mac 1996.
Badan itu bertindak sebagai ejen kerajaan memberi perkhidmatan dalam pentadbiran, pentaksiran, pemungutan dan penguatkuasaan pembayaran cukai pendapatan dan cukai pendapatan petroleum.
Ini termasuk cukai keuntungan harta tanah, duti harta pesaka, duti setem dan apa-apa cukai lain seperti yang dipersetujui antara kerajaan dengan LHDN.
RUU itu sepatutnya diluluskan Dewan Rakyat pada Jun lalu, namun ditangguh ke persidangan minggu lalu selepas Ahli-Ahli Parlimen mencadangkan RUU itu dirujuk dahulu ke Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan dan Ekonomi.
Hal itu bertujuan meminda beberapa peruntukan, antaranya bagi mengelakkan bias dalam pemilihan dan pengguguran atau pembatalan keanggotaan ahli lembaga pengarah LHDN mewakili Sabah dan Sarawak, yang mana seseorang menteri berkuasa penuh ke atasnya (sebelum kajian jawatankuasa).
Tiada kuasa mutlak menteri
Dalam peruntukan RUU yang baharu, menteri perlu berunding dengan Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak bagi membatalkan pelantikan seseorang anggota yang dilantik. Ini bermakna, sebarang tindakan seperti itu perlu dirujuk kepada kerajaan Sabah dan Sarawak terlebih dahulu, tiada lagi kuasa mutlak menteri seperti sebelum perubahan itu.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Kota Belud dari Parti Warisan (Warisan), Isnaraissah Munirah Majilis berhujah, sekalipun wakil-wakil Sabah dan Sarawak berada di dalam lembaga pengarah LHDN, ia tidak akan dapat melindungi keistimewaannya kerana pelantikan itu boleh ditarik semula.
Beliau turut mempersoalkan jika ahli lembaga pengarah mewakili Sabah dan Sarawak berisiko dipecat sekiranya mendedahkan maklumat menyentuh kepentingan negeri atau tidak sealiran dengan Kerajaan Persekutuan.
“Adakah wakilnya boleh dipecat dan dibatal oleh menteri? Apakah peranan ahli lembaga pengarah dari Sabah ini? Apakah statusnya sama dengan ahli lembaga pengarah yang lain atau lebih tinggi? Siapa pula yang akan cadangkan wakil dari Sabah dan Sarawak dalam LHDN? Adakah perlu diikuti (keputusan) sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan?” soalnya.
Namun, persoalan itu sudah terungkai kerana sebarang tindakan oleh menteri terhadap wakil dari Sabah dan Sarawak perlu dirujuk terlebih dahulu dengan kerajaan negeri.
Mempunyai wakil Sabah dan Sarawak dalam LHDN adalah sejajar dengan tuntutan seperti termaktub dalam laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).
Namun, ramai juga yang bertanya, apa kelebihan menganggotai LHDN?
Berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang ditandatangani 60 tahun lalu, dan mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan menetapkan peruntukan yang munasabah diberikan kepada Sarawak dan Sabah. Ia tertakluk kepada semakan setiap lima tahun sekali.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar baru-baru ini mendedahkan pada 1965, Sarawak diberi RM4 juta, digandakan pada 1966 kepada RM8 juta, manakala pada 1969, diberi RM16 juta tetapi selepas itu dihentikan.
54 tahun tiada pemberian khas
Namun, awal tahun ini Kerajaan Persekutuan bersetuju menaikkan pemberian khas kepada Sarawak mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan kepada RM300 juta, berbanding hanya RM16 juta pada 1969. Namun, senyap pasal 54 tahun lalu tiada beri apa-apa dan apakah perlu tuntutan bayaran balik dalam tempoh selama itu?
Begitu pun, RM300 juta setahun itu adalah peruntukan interim iaitu buat sementara waktu sehingga formula tertentu yang boleh diterima Sarawak, dicapai. RM300 juta itu pun belum dapat kerana masih menunggu diwartakan.
Sebelum ini, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pernah melahirkan keyakinan formula yang dikemukakannya untuk agihan peruntukan khas pada kadar munasabah berdasarkan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, boleh diselesaikan.
Untuk rekod, LHDN menyasarkan mencapai kutipan hasil yang lebih tinggi pada tahun ini berjumlah RM176.14 bilion selepas melakar pencapaian terbaik dalam sejarah dengan kutipan mencecah RM175 bilion pada 2022.
Formula yang dikemukakan Abang Johari ialah jika hasil negara banyak, maka banyak juga diberi untuk Sarawak dan begitu juga sebaliknya kerana negeri ini yang kaya dengan sumber minyak dan gas, turut menyumbang banyak kutipan hasil cukai untuk negara.
“Setakat ini, Sarawak menerima agihan (interim) RM300 juta setahun itu sehingga satu formula baharu dipersetujui kedua-dua belah pihak antara Kerajaan Pusat terutama Perdana Menteri dan kerajaan Sarawak, berdasarkan apa yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.
Sebab itulah wakil Sarawak perlu ada dalam LHDN bagi melihat secara dekat banyak mana hasil kutipan negara setiap tahun dan banyak mana hasil diperoleh dari Sarawak. Begitu juga keadaannya di Sabah.
Melalui pengetahuan itu nanti, Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak, Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar yang dilantik menganggotai lembaga pengarah LHDN akan tahu kedudukan pungutan cukai, sekali gus diharap boleh mendesak untuk memperoleh ‘formula munasabah’ agihan peruntukan tahunan untuk Sarawak.
Perlu diingat, Sarawak adalah antara tiga wilayah dalam pembentukan Malaysia dan peruntukan tahunan tidak boleh disamakan dengan negeri-negeri lain.
Jika hasil negara tahun ini, RM176.14, berapakah diagih untuk Sarawak, apakah dikongsi oleh tiga wilayah iaitu RM58 bilion masing-masing untuk Semenanjung, Sabah dan Sarawak?
Jika peruntukan pada kadar munasabah diagihkan, maka ia akan dapat membantu merapatkan jurang pembangunan ‘yang 10 hingga 15 tahun terbelakang’ Sarawak dan Sabah berbanding Semenanjung.
Berdayung mudek ke arah kuala
60 tahun berlalu masih gitu
Peruntukan interim 300 juta
Masih menunggu formula jitu
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak.