PEMBERIAN Khas tahunan bagi Sarawak dan Sabah yang dinaikkan kepada RM600 juta tahun depan, berbanding RM300 juta sejak November 2023, sebenarnya masih berbentuk sementara atau interim.
Setakat ini, Kerajaan Pusat belum memberi keputusan muktamad kadar sebenar berasaskan formula khas yang dipersetujui kedua-dua belah pihak.
Berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang ditandatangani 61 tahun lalu, dan mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, menetapkan peruntukan yang munasabah diberikan kepada Sarawak dan Sabah.
Ia tertakluk kepada semakan setiap lima tahun sekali.
Namun, Putrajaya mula mengakui dan mengiktiraf fakta ini apabila awal tahun lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan Pemberian Khas RM300 juta itu, masing-masing kepada Sarawak dan Sabah.
Ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat pada 18 Oktober lepas, Perdana Menteri menaikkan kadar tahunan itu kepada RM600 juta mulai tahun depan.
Perkara ini mula dipersetujui Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) di Kota Kinabalu pada 12 September lepas yang turut dihadiri Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor serta Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Persoalannya ialah berapakah jumlah Pemberian Khas itu nanti? Hakikatnya, pada 1965, Sarawak diberi RM4 juta, digandakan pada 1966 kepada RM8 juta, manakala pada 1969, diberi RM16 juta, manakala RM26.7 juta untuk Sabah tetapi selepas itu dihentikan sehinggalah pemberian itu disambung semula pada November 2023, berjumlah RM300 juta setahun dan digandakan kepada RM600 juta tahun depan.
Satu lagi persoalan, apakah Kerajaan Pusat perlu membayar tunggakan yang tak berbayar sejak 1970, apabila bayaran itu dihentikan pada 1969?
Bayangkan selama 52 tahun sejak 1970 hingga 2022, Sarawak tidak menerima apa-apa dari Kerajaan Pusat meskipun ia ketetapan mengikut MA63 dan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
Ini bermakna, ada dua isu di sini – bayaran pampasan iaitu jumlah terkumpul selama 52 tahun atau formula khusus dengan kadar pemberian khas tahunan yang munasabah kepada Sarawak dan juga Sabah.
Berapa jumlah yang munasabah? Perkataan ‘munasabah’ ini agak subjektif, terbuka kepada tafsiran tetapi perlu mendapat persetujuan kedua-dua belah pihak. Tidak pasti pula mengapa isu ini ‘disenyapkan’ selama 52 tahun.
Ketika mengumumkan peruntukan Pemberian Khas RM300 juta itu pada awal tahun lepas, Anwar sendiri menyatakan ia adalah pembayaran peringkat awal atau interim sebelum satu formula khusus diumumkan nanti.
Rakyat Sarawak masih menunggu formula khusus itu. Malah Premier Sarawak, sebelum ini bertegas mahukan pemberian kadar yang munasabah.
FORMULA MESTI ADIL
“Saya difahamkan Kerajaan Persekutuan ada formula mereka sendiri, tetapi kita berpegang teguh dengan formula kita kerana ia lebih adil.
“Harapan saya adalah agar mereka dapat memahami formula kita, yang saya nampak lebih adil kepada Kerajaan Persekutuan dan kita (Sarawak) berlandaskan kepada hasil kutipan yang diperoleh Kerajaan Pusat dari Sarawak.
“Sebagai contoh, duti setem yang dipungut Kerajaan Pusat walaupun ia hasilnya daripada transaksi yang berasaskan tanah kita dan tanah adalah aset kita,” kata Abang Johari tahun lalu.
Isu sama turut dibangkitkan Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir Yusuf Abd Wahab di Dewan Rakyat minggu lalu dan bertanya apakah formula yang telah dipakai dalam menentukan jumlah Pemberian Khas itu.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana menaikkan kadar Pemberian Khas untuk Sarawak sekali ganda kepada 600 juta ringgit untuk 2025.
“Pemberian Khas ini adalah seperti yang terkandung dalam Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan dan termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963.
“Ini adalah satu jumlah yang agak ketara berbanding jumlah yang pernah diberikan sebelum ini.
“Namun saya ingin bertanya apakah formula yang telah dipakai dalam menentukan jumlah Pemberian Khas ini dan adakah jumlah ini akan dikaji setiap lima tahun seperti yang termaktub dalam Perjanjian MA63,” katanya ketika membahas Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat.
“Kita sama-sama menunggu jawapan Menteri Kewangan di Dewan Rakyat nanti,” katanya.
Formula yang dikemukakan Abang Johari sebelum ini ialah jika hasil negara banyak, maka banyak juga diberi untuk Sarawak dan begitu juga sebaliknya kerana negeri ini yang kaya dengan sumber minyak dan gas, turut menyumbang banyak kutipan hasil cukai untuk negara.
Apa yang dimaksudkan oleh Premier Sarawak itu ialah jika hasil negara bertambah, maka bertambahlah jumlah Pemberian Khas itu.
Bagaimana nak tahu berapa banyak hasil negara yang sebenar? Sebab itulah Sarawak sebelum ini mendesak agak wakilnya dilantik dalam lembaga pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Bab ini sudah selesai dengan pelantikan Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak, Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar ke dalam Lembaga Pengarah LHDN, berkuat kuasa 20 Januari 2023, kali pertama dalam sejarah.
Sebab itulah wakil Sarawak perlu ada dalam LHDN bagi melihat secara dekat banyak mana hasil kutipan negara setiap tahun dan banyak mana hasil diperoleh dari Sarawak.
Begitu juga keadaannya di Sabah. Melalui pengetahuan itu nanti, Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak, akan tahu kedudukan punggutan cukai, sekali gus diharap boleh mendesak untuk memperoleh ‘formula munasabah’ agihan peruntukan tahunan untuk Sarawak.
HASIL LHDN
Untuk kutipan sepanjang tahun lalu, LHDN mencipta sejarah apabila mengutip RM183.3 bilion cukai, melepasi sasaran kutipan yang ditetap RM176 bilion dan menjadi satu lagi rekod tertinggi baharu.
Laporan pada Februari lalu memetik Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin sebagai berkata bahawa kutipan tahun lalu mencatatkan peningkatan sebanyak RM7.8 bilion atau 4.49 peratus berbanding 2022, menjadikannya tertinggi dalam sejarah.
Sasaran kutipan cukai yang ditetapkan LHDN bagi 2024 pula ialah RM197 bilion, mewakili pertumbuhan 7.47 peratus daripada jumlah tahun sebelumnya.
Perlu diingat, Sarawak adalah antara tiga wilayah dalam pembentukan Malaysia dan peruntukan tahunan tidak boleh disamakan dengan negeri-negeri lain.
Jika hasil negara tahun ini, RM197 bilion seperti disasarkan, berapakah diagih untuk Sarawak, apakah dikongsi oleh tiga wilayah iaitu RM65.6 bilion masing-masing untuk Semenanjung, Sabah dan Sarawak?
Apakah formula seperti ini boleh dianggap ‘munasabah’? Bersetujukah Putrajaya?
Jika peruntukan pada kadar munasabah diagihkan, maka ia akan dapat membantu merapatkan jurang pembangunan ‘yang 10-15 tahun terbelakang’ Sarawak dan Sabah berbanding Semenanjung.
Apabila formula Pemberian Khas itu nanti dimuktamadkan, Sarawak dan Sabah perlu mendesak dibuat perjanjian bertulis yang terikat kepada perundangan seperti dikehendaki Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
Ini bagi mengelak peristiwa peruntukan itu ‘lesap selama 52 tahun’ seperti terjadi sebelum ini.
Zaman sekarang ini perlu ‘diikatkan kepada perundangan’ bukan ‘diikat pada perjanjian politik’ bagi mengelak ia dimungkiri atau diabaikan apabila berlaku pertukaran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak.