SEORANG teman memberitahu, jika nak memandu dari Kuching ke Sibu sekarang, elok guna laluan Lebuh Raya Pan Borneo.
“Jika anda menggunakan jalan pesisir, bersedialah air kosong dan buah kurma dalam kereta apabila orang ramai masing-masing pulang ke kampung menjelang hujung minggu ini untuk berhari raya.
“Anda mungkin ‘melekat’ di sekurang-kurangnya 2 atau 3 pangkalan feri terutama di Triso, berjam-jam menunggu giliran menyeberang sungai. Silap hari bulan, sungkei dalam kereta,” katanya.
Bezanya tiada feri di laluan Pan Borneo, menyebabkan perjalanannya lebih cepat sampai walaupun agak jauh berbanding laluan jalan pesisir.
Tetapi seorang lagi kawan memberitahu, memang tiada feri untuk perjalanan di Pan Borneo. Namun, perjalanannya juga agak perlahanan pada musim perayaan terutama disebabkan deretan kereta, lori dan bas yang sukar untuk dipotong pada laluan tertentu, apatah lagi dengan banyak kenderaan dari arah bertentangan.
“Kalau macam itu, pakai kapal terbang ajelah,” keluh aku.
Namun, masih juga tidak terlepas daripada menggunakan feri dari Sibu untuk ke kawasan seperti Pulau Bruit, Daro dan Matu.
Kita terpaksa naik satu atau dua feri di Batang Paloh dan Batang Lassa.
Pembinaan Jambatan Batang Lassa berharga RM597 juta sepanjang tiga kilometer, dijangka siap tahun depan.
Begitu juga dengan pembinaan Jambatan Batang Paloh sepanjang 1.7 kilometer membabitkan kos RM298.98 juta dan dijangka siap pada 7 Mei 2023 iaitu kira-kira dua minggu selepas Hari Raya 2023 yang dijangka disambut pada 22 April 2023.
Ia akan menggantikan perkhidmatan feri dari Serdeng ke Pulau Bruit.
Kos pembinaan dua projek jambatan yang menghubung Pulau Bruit ke Daro (Batang Lassa) dan Serdeng (Batang Paloh) ini dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak.
Tetapi bagi mereka untuk meneruskan perjalanan ke Kapit dan Song, tiada masalah kerana sudah ada jalan dan tidak perlu lagi menaiki bot ekspres.
Oleh itu, sebahagian besar rakyat terutama di kawasan pesisir masih ‘belum merdeka’ kerana terpaksa menyeberang sungai.
Nasib baik kerajaan melarang kenderaan berat terutama kenderaan barangan berada di jalan raya selama lima hari sempena Hari Raya iaitu tiga hari sebelum perayaan – 30 April hingga 2 Mei dan dua hari selepas iaitu 7 dan 8 Mei 2022 bagi mengurang kesesakan serta mengelak kemalangan membabitkan kenderaan ringan.
Mulai Isnin lalu, 25 April pula, laluan Lebuh Raya Pan Borneo jajaran Balai Ringin ke Simpang Pantu sudah dibuka arah dua hala.
Ini bermakna perjalanan dari Kuching ke Simpang Pantu menggunakan Pan Borneo semakin lancar.
Begitu pun, kita masih mengimpikan untuk balik berhari raya tanpa lagi menggunakan feri.
Tetapi menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, perkhidmatan feri yang menghubungkan jalan pesisir di Sarawak, dijangka berakhir pada 2025 apabila semua projek jambatan di laluan terbabit siap kelak.
Katanya, sejumlah RM5 bilion telah diperuntukkan bagi membina tujuh jambatan di jalan pesisir berkenaan.
Pembinaan tujuh jambatan terbabit sudah bermula, iaitu Jambatan Paloh dan Batang Lassa di Daro (kedua-duanya siap awal sebelum 2025 iaitu tahun depan), Jambatan Sungai Krian di Saratok, Jambatan Saribas di Pusa, Jambatan Kemena di Bintulu, dan Jambatan Rambungan di Lundu.
Projek jambatan Batang Lupar dengan kos RM848 juta pula dijangka siap sepenuhnya menjelang 2025.
Ia merangkumi dua komponen iaitu membina jalan penghubung ke jambatan di sebelah Sebuyau sepanjang 3 kilometer (km) dan satu lagi di sebelah Triso sepanjang 2.8 km yang mula dibina sejak dua tahun lalu dengan kos RM66 juta.
Komponen seterusnya, ialah membina struktur jambatan itu sendiri sepanjang 4.8 km dengan dua lorong sehala.
Sepanjang 600 meter jambatan ini nanti merupakan jambatan ikonik jenis kabel penahan serta memendekkan masa perjalanan sejauh 896 km antara bandar raya Kuching dan Miri.
Jambatan Batang Lupar adalah jambatan paling strategik terletak di laluan jalan pesisir, digunakan oleh semua pengguna dari seluruh Sarawak yang mengguna jalan pesisir.
Apabila siap, jambatan sepanjang 5.1 km ini bukan sahaja menjadi jambatan paling panjang merentasi sungai di Sarawak bahkan juga antara terpanjang di Malaysia, sekali gus menjadi pelengkap kepada jalan pesisir Sarawak.
Jambatan terpanjang di Malaysia ialah Jambatan Kedua Pulau Pinang, sepanjang 24 km dengan 16.9 km di atas air.
Kedua terpanjang ialah Jambatan Pulau Pinang, sejauh 13.5 kilometer di mana 8.4 kilometer daripadanya merentasi laut.
Namun, Jambatan Kedua Pulau Pinang bukan jambatan terpanjang di Asia Tenggara, seperti didakwa selama ini.
Jambatan terpanjang di Asia Tenggara dan ke-6 di dunia sebenarnya ialah Jambatan Temburong sepanjang 30 km di Brunei yang dibina dengan kos B$1.6 bilion sejak 2014.
Ia menghubungkan kawasan Muara dan daerah Temburong, membolehkan penduduknya menyeberang tanpa lagi perlu melalui Malaysia, sekali gus memendekkan perjalanan daripada dua jam kepada kurang 30 minit sahaja.
Kedua-dua daerah itu dipisahkan oleh Daerah Limbang dan Teluk Brunei.
Dilaporkan, jambatan itu yang dibuka sebelum kawalan pergerakan disebabkan penularan Covid-19, hanya khusus untuk kenderaan berdaftar di Brunei disebabkan isu Covid-19 setakat ini.
Apabila dibuka sepenuhnya nanti, ia bakal mewujudkan satu lagi pintu masuk utama pengunjung dari Brunei ke daerah Limbang, Lawas dan Miri selain Sabah.
Begitu pun, selagi jambatan merentasi sungai di laluan jalan pesisir belum siap sepenuhnya, maka penggunaan feri akan terus digunakan sehingga 2025.
Ini bermakna, sebahagian rakyat masih terpaksa menggunakan perkhidmatan feri untuk empat kali Aidilfitri lagi termasuk tahun ini.
Bersabarlah wahai rakyat di ibu pertiwiku.
Dalam tempoh 5 hari lagi, umat Islam akan menyambut Hari Raya. Mulai hari ini, jalan mula sesak dan pangkalan feri dipenuhi kereta manakala tepi jalan ke arah feri mula dipenuhi sampah sarap. Sungguh tidak bertanggungjawab!
Tandas di laluan pangkalan feri pula satu hal – yang masih tidak sempurna. Rasanya orang ramai tak kisah jika membayar setakat 20 sen, 30 sen atau 50 sen sekalipun, asalkan bersih dan ada air.
Malah, sejak seminggu lalu, dilaporkan perjalanan agak lama kerana kereta terlalu banyak berulang-alik hingga tiga atau empat kali feri menyeberang sungai baru ‘lepas’.
Senario ini lazimnya berlaku setiap kali menjelang Aidilfitri sehinggalah suatu hari nanti apabila projek jambatan siap. Namun, kita bersyukur apabila pihak berkenaan sedia menambah jumlah feri semasa perayaan serta memanjangkan tempoh perkhidmatan hingga 1 pagi.
Begitu pun, semuanya nanti akan menjadi kenangan bersejarah. Generasi akan datang tidak akan merasai ‘seronok’ menunggu berjam-jam di pangkalan feri.
Penduduk Samarahan pula sudah lama ‘merdeka’ setelah jambatan Samarahan siap sepenuhnya pada 2018. Begitu juga penduduk di Mukah.
Sebelum itu, penduduk kampung di seberang Sungai Sabang, menggunakan perkhidmatan feri untuk berulang alik dari Bandar Kuching dan Samarahan.
Kini, bukan sahaja penduduk kampung di situ yang mendapat manfaat tetapi juga seluruh pengguna jalan raya di Sarawak terutama mereka yang mahu ke Sibu dari Kuching menggunakan jalan pesisir. Inilah jambatan pertama dilalui.
Namun, di laluan tertentu keadaan permukaan jalannya beralun tetapi satu teknologi baharu sedang dikaji oleh Curtin University bagi menangani masalah itu, kebanyakannya membabitkan jalan raya di luar bandar.
Teknologi ‘biocemented’ berasaskan bakteria ini dijangka dapat mengukuh postur tanah gambut dan sesuai untuk digunakan pembinaan jalan.
* Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak