
LIMBANG: Kawasan Rangau di sini berpotensi dibangunkan sebagai bandar satelit dengan pelbagai prasarana yang kini sedang dibina, termasuk Tebingan Rangau dan Kompleks Pentadbiran Bersepadu (IAC) Limbang.
Kawasan ini juga terletak berhampiran Lapangan Terbang Limbang dan Teluk Brunei, sekali gus menambah nilai strategiknya sebagai kawasan pembangunan baharu.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, berkata projek pembinaan Tebingan Rangau yang terletak berhadapan Sungai Limbang dan IAC Limbang bernilai RM20 juta sepanjang 250 meter dijangka siap sepenuhnya pada April ini.
Malah, projek tersebut akan diteruskan melalui fasa kedua bagi memanjangkan tebingan sejauh 250 meter lagi dengan peruntukan tambahan sebanyak RM35 juta.
“Kita dapati Tebingan Rangau sangat cantik dan bersesuaian dengan adanya prasarana di Rangau seperti pejabat kerajaan, lapangan terbang, kawasan perumahan dan pada masa akan datang, perumahan untuk kakitangan awam juga akan dibina di sini.
“Kawasan Rangau berpeluang menjadi bandar satelit seperti Putrajaya atau Petra Jaya. Difahamkan juga terdapat pihak swasta yang akan membangunkan hotel di sini. Selain itu, kawasan ini berdekatan dengan Jeti Santaba dan Teluk Brunei yang merupakan kawasan pelancongan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke Sungai Kaban dan Projek Tebingan Rangau, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota itu berkata, kedudukan Rangau yang strategik berhampiran Teluk Brunei berpotensi dijadikan satu lagi pusat pelancongan melalui perancangan penganjuran sukan air antara Brunei, Limbang dan Labuan pada masa hadapan.
Selain itu, katanya, pemanjangan Lapangan Terbang Limbang, pembinaan kuarters kerajaan baharu, pembangunan perumahan serta pembinaan hotel oleh pihak swasta di kawasan Rangau akan menjadikan kawasan tersebut sebagai pusat pembangunan dan pentadbiran baharu bagi Limbang.
Beliau menjelaskan bahawa Limbang kini mempunyai tiga tebingan sungai utama, iaitu Tebingan Sungai Limbang sepanjang 1.8 kilometer yang merupakan antara terpanjang di Sarawak, Tebingan Sungai Medamit dan Tebingan Rangau.
Oleh Adeng Edrus