KUCHING: Kerajaan Negeri telah meluluskan satu kawasan di bawah pentadbiran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) untuk dijadikan rizab alam semula jadi.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ia sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 iaitu berkenaan dengan kelestarian dan tapak hijau.
“Baru-baru ini saya telah meluluskan satu kawasan di bawah DBKU untuk menjadi rizab alam semula jadi dan ini akan menjadi salah satu kawasan yang akan ditanam dengan pokok-pokok tempatan.
“Ia juga akan menjadi satu kawasan riadah yang boleh menyambung ke arah kawasan perpustakaan negeri dari belakangnya.
“Selain itu, ini sudah tentu dapat memberikan suasana yang hijau dan ianya dapat digunakan oleh warga kota Kuching di samping itu kita akan mencantikkan lagi jalan-jalan di kawasan DBKU supaya lebih mampan dan lestari,” katanya, ketika berucap bersempena dengan Hari Bandaraya Kuching yang ke-33 yang disiarkan secara langsung di TVS, semalam.
Abang Johari berkata, bagi Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah berhubung dengannya untuk memperbaiki Taman Kenyalang (Kenyalang Park).
Katanya, jika ia dapat dibangunkan dengan kawasan yang hijau ke arah Padawan sudah tentu ia akan menjadi kawasan yang lebih mampan dan lestari serta mencantikkan kawasan Bandaraya Kuching.
“Saya tahu kerana kerajaan baharu sahaja meluluskan peruntukan kepada Padawan dan ini menyambung kepada kawasan Sentosa dan seluruh kawasan Kuching akan menjadi lebih membangun secara perancangan yang lebih lestari.
“Jadi kita harus ada perancangan yang lebih baik ke arah bandaraya yang lestari,” ujarnya.
Mengenai dengan pembangunan perumahan beliau menyarankan agar pihak berkuasa tempatan dan Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli bekerjasama untuk mengenal pasti kawasan untuk menjadi kawasan perumahan yang lebih strategik.
“Kita tidak mahu juga ada kawasan-kawasan yang disebut kawasan yang tidak begitu mempunyai perancangan yang tersusun termasuklah masalah dalam kawasan dalam bandaraya ialah kuarters.
“Kita terpaksa mengambil pendekatan untuk membangunkan perumahan yang lebih lestari supaya ia dapat memberikan suasana yang baik kepada penghuni-penghuni di kawasan bandaraya,” katanya.
Dari segi kebersihan, beliau mengucapkan terima kasih kepada DBKU dan MBKS kerana mempunyai pendekatan yang sama untuk membersihkan kawasan masing-masing supaya lebih menjadi kawasan yang mesra kepada warga Kuching.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada warga Kuching walaupun menyambut hari bandaraya dalam keadaan yang tidak begitu baik disebabkan oleh pandemik Covid-19 namun kita dapat merayakannya dalam keadaan sederhana.
“Dengan semangat untuk meningkatkan lagi perkhidmatan kita kepada warga Kuching yang bertemakan ‘Transformasi Digital ke arah membentuk Kuching sebagai Bandaraya Pintar’ yang selaras dengan Strategi Ekonomi Digital Sarawak 2018-2022,” katanya lagi.
Oleh JEAKQLEYN YACHO