Ketika bercuti di kampung halaman di Simunjan bersempena dengan sambutan Tahun Baharu 2021, penulis telah diajak oleh ahli keluarga untuk ke pergi ke sebuah kediaman penduduk yang terletak di Kampung Gawang.
Khabarnya keluarga di situ mahu menuai hasil ikan ternakan mereka di kolam. Pada mulanya agak keberatan kerana beranggapan ikan yang mahu dituai adalah seperti ikan bantak jabu, haruan atau keli.
Bagaimanapun apabila dikatakan ikan kaloi adalah ‘mangsa’ tuaian kali ini maka terus penulis bergegas untuk bersama ahli keluarga untuk ke kolam berkenaan bagi melihat aksi mereka.
Setibanya di situ, penulis mendapati bahawa tiga bakul besar yang mengandungi ikan kaloi dan beberapa spesies lain sudah pun selesai dituai oleh ahli keluarga pemilik kolam berkenaan.
Berapa individu kenalan rapat juga hadir di kolam itu dengan harapan agar sempat membeli ikan kaloi di situ untuk dijadikan sebagai antara hidangan penting bagi meraikan sambutan tahun baharu.
“Kami sekeluarga sudah pun terlibat dalam aktiviti penternakan ikan kaloi di kolam ini semenjak lima tahun lepas,” kata pemilik kolamnya iaitu Kamki Talit, 58, ketika ditemui penulis.
Beliau berkata, antara sebab beliau mahu menternak ikan di dalam kolam adalah dorongan untuk tidak membiarkan tanah di belakang rumah terbiar tanpa diusahakan bagi tujuan berfaedah.
“Pada suatu hari, saya menatap sebidang tanah di belakang rumah yang masih belum diusahakan…mulanya saya berfikir mahu menanam sayur namun apabila saya terfikir mengenai ikan kaloi maka terus bertindak membina kolam di kawasan itu.
“Setelah kolam selesai dibina maka saya terus bertindak mencari dan membeli benih anak ikan berkenaan untuk diternak di dalam kolam itu bersama beberapa spesies ikan yang lain seperti talapia, bantak jabu dan haruan,” kata beliau.
Kamki berkata dia bertindak membeli benih ikan kaloi kerana sedar spesies itu memiliki isi yang enak dan amat terkenal sebagai hidangan makanan penduduk di negara ini termasuk negara jiran.
Malah beliau sebelum ini juga pernah terdengar bahawa ikan kaloi adalah merupakan spesies ikan yang tahan lasak, selain mempunyai jangka hayat panjang sehingga melebihi 20 tahun.
“Kerja menuai ikan di dalam kolam berkenaan akan bermula pada penghujung setiap tahun dengan ikan kaloi dan talapia sasaran pembelian utama dalam kalangan ahli keluarga terdekat di sini.
“Sebahagian hasilnya dijadikan sebagai stok makanan kami sekeluarga. Namun jika ada yang membeli maka saya akan menjualnya kepada mereka dengan harga lebih rendah berbanding di pasaran,” kata beliau.
Mengakhiri perbualan, Kamki berkata aktiviti menternak ikan di dalam kolam adalah amat baik memandangkan ia bukan sahaja boleh menyediakan sumber makanan untuk seisi keluarga malah sebagai sumber pendapatan tambahan.
Bagaimanapun jika mahu mengusahakan tanah terbiar dengan aktiviti pertanian komersial seperti lada, getah dan tanaman kontan yang boleh memberi keuntungan kata Kamki maka ia harus dianggap sebagai baik.
“Menternak ikan juga adalah aktiviti pertanian. Jika kita ada minat untuk memilih menternak ikan di kolam sebagai salah satu cara mengusahakan tanah terbiar maka ia juga dianggap sebagai langkah yang baik.
“Adakah hidup di kampung hanya mengaitkan penduduk dengan tanaman lada, getah, tanaman kontan semata-mata? Bagi saya anggapan itu adalah salah dan perlu diperbetulkan kembali oleh mereka,” kata Kamki.
Terdahulu ikan kaloi juga turut dikenali sebagai ‘giant gourami’. Dalam aspek taksonomi, ia dikelaskan dalam keluarga besar Osphronemidae, di bawah genus Osphronemus dengan nama binomial Osphronemus goramy.
Ia merupakan spesies ikan natif Asia Tenggara iaitu memang berasal dari kawasan perairan Asia Tenggara.
Oleh VALENTINE NGUMBANG