KUCHING: Menteri Komunikasi, Dato’ Seri Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) pada 9.10 pagi hari ini bagi mengadakan lawatan kerja rasmi ke Sarawak.
Lawatan kerja beliau adalah bagi menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Induk dan Lawatan Tapak Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2026 sebagai persediaan menjelang sambutan yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 16 September ini.
Mesyuarat dan lawatan tapak tersebut bertujuan menyelaras gerak kerja serta meneliti aspek kesiapsiagaan semua agensi yang terlibat bagi memastikan Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2026 dapat dilaksanakan dengan lancar.
Dato’ Seri Ahmad Fahmi dijadualkan berlepas pulang ke Kuala Lumpur pada jam 3.05 petang selepas selesai menghadiri program lawatan kerja berkenaan.
Ketibaan beliau disambut Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah; Pengarah Jabatan Penerangan (JAPEN), Sabri Said; Pengarah RTM, Wan Wizana Hashim; Pengarah Kanan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Pejabat Wilayah Sarawak, Adiman Ajem; Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Ajes Tuah; serta Pengurus Besar Telekom Malaysia Berhad (TM), Mohamad Zulkifli Ismuni.




