
KUCHING: Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail bersama isteri, Datin Sri Diraja Dato’ Burhah Mohammed, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) semalam bagi memulakan lawatan rasmi tiga hari ke Sarawak.
Ketibaan rombongan pada 8.20 malam disambut oleh Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr Hazland Abang Hipni.
Menurut jadual rasmi, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy dan isteri dijadual menghadiri Majlis Makan Malam Penghargaan Sarawak-Pahang di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak malam ini, yang turut menampilkan persembahan kebudayaan di Dewan Santapan.
Majlis itu bertujuan memperkukuh hubungan muhibah antara kedua-dua negeri serta meneroka peluang kerjasama dalam bidang pembangunan dan budaya.
Rombongan dijadual melawat Seri Gedong Songket di Simunjan esok bagi meninjau lebih dekat tradisi tenunan songket Sarawak yang terkenal, sebelum menghadiri Majlis Perasmian Festival Gendang Sarawak 2025 di Tebingan Sungai Kuching pada sebelah malam.
Festival tersebut bakal menampilkan persembahan berunsur tradisi dan moden, diakhiri dengan pertunjukan air pancut muzik dan bunga api sebagai tarikan utama pengunjung.
Program rasmi Menteri Besar akan berakhir dengan penerbangan pulang pada 2 November, manakala Datin Sri Diraja Burhah akan meneruskan penyertaan dalam beberapa aktiviti kebudayaan di Kuching.
Oleh Amanda L