Oleh: Dilah Tuah
PUISI tidak wujud dalam keadaan vakum atau kekosongan. Setiap kata-kata penyair, mengandungi gagasan yang mampu menanjak kebijaksanaan khalayak. Untuk mendapatkan sebuah gagasan yang mengandungi kebijaksanaan, penyair perlu memasang hasrat (desire) yang kuat dalam anyaman diksi yang padat. Hal ini dikatakan sedemikian kerana setiap penyair mempunyai hasrat yang tersendiri dalam konteks pengkaryaan. Justeru dalam penghasilan puisi, setiap kata, bunyi, dan struktur puisi, ialah wadah untuk menyuarakan dan mengungkapkan hasrat penyair.
Dalam konteks pengkaryaan, hasrat sering kali menjadi sumber kekuatan dalam menggerakkan pena penyair sehingga berupaya menciptakan rangkaian kata yang memukau. Hal ini juga bertepatan dengan definisi hasrat yang merujuk kepada kemahuan, keinginan, harapan, pilihan, inspirasi dan niat seseorang. Di sisi yang lain, hasrat juga dipacu oleh emosi, perasaan, cinta, kerinduan dan sebagainya. Gabungan kesemua elemen-elemen ini, akhirnya menjadi sumber daya kreativiti kepada penyair.
Menurut Lim Swee Tin dan Arbak Othman (2008) dalam buku yang berjudul Puisi, Penyair dan Kreativiti, hasrat menentukan wawasan atau kebaikan, kegembiraan atau kesedihan, jenaka atau kemarahan dalam puisi-puisi yang diciptakan. Sebagai pendorong utama dalam pengkaryaan, hasrat berupaya memberikan kesan estetika pada setiap kata yang dipilih oleh penyair. Selain itu, hasrat yang jelas juga berupaya menemukan khalayak pada titik makna yang ingin disampaikan oleh penyair.
Berpandukan perbincangan di atas, maka ulasan puisi kali ini akan memfokuskan kepada aspek hasrat (desire) yang terkandung dalam tiga buah puisi yang tersiar di ruangan ini pada minggu lepas. Puisi-puisi yang dimaksudkan ialah “Rantauan Jiwa” karya Zieyra Alih, “Seorang Guru Tua” karya Mohd Noor Asa’a dan “Wanita Itu Persis Aku” karya Marilyn A.M. Selain meneliti hasrat, ulasan puisi ini turut menyentuh aspek-aspek lain dalam puisi. Tujuannya adalah untuk memberikan satu pandangan yang menyeluruh tentang karya yang dibicarakan.
Puisi pertama berjudul “Rantauan Jiwa” karya Zieyra Alih tampil dalam tiga rangkap yang sederhana. Puisi ini sarat dengan rasa kesedihan dan kegelisahan penyair sebagai anak rantau. Selain itu, membaca puisi ini akan membawa khalayak ke ruang peribadi penyair yang berada di perantauan, iaitu di Universiti Malaysia Sarawak, Kota Samarahan. Keberadaan penyair di perantauan turut diperkukuh melalui frasa seperti “/Jiwaku di perantauan/”, “/Jiwaku masih merantau/”, dan “/Seorang anak di perantauan”.
Pada rangkap pertama, penyair ingin menyatakan bahawa dirinya “baik-baik saja” dan hidup “penuh gelak ketawa” untuk “menutup lara” di perantauan. Walaupun hasrat penyair jelas dalam rangkap pertama puisi ini, namun pemilihan diksi yang menjadi binaan teks seakan berkontradiksi dengan hasrat penyair. Hal ini dikatakan sedemikian kerana dalam memperkatakan perasaan sedih, penyair tidak sewajarnya meletakkan frasa “/sering penuh dengan tipu helah/”, dan “/waktu banyak kuhabiskan dengan bercengkerama/” yang akhirnya menyebabkan kepincangan hasrat. Berikut dicadangkan pemurnian bagi rangkap pertama agar puisi ini tidak mengalami kepincangan makna.
Versi Asal
Jiwaku di perantauan
Sering penuh dengan tipu helah
Mengatakan aku sering baik-baik saja
Waktu banyak kuhabiskan dengan bercengkerama
Di ruang yang penuh dengan cerca
Tapi aku berseloroh penuh gelak tawa
Meski pahitnya ku telan demi menutupi lara
Versi Pemurnian
Jiwaku di perantauan
Sarat dengan dugaan
Namun kugagah dengan senyuman
Agar derita teguh tersimpan
Demi mengejar impian.
Pada rangkap kedua pula, hasrat dan teks tidak disusun dengan sebaiknya. Dalam penulisan puisi, diksi bertindak sebagai penyampai hasrat penyair. Diksi yang polos dan prosaik berupaya menjejaskan hasrat dan makna puisi. Hal ini dapat diperhatikan pada keseluruhan rangkap kedua. Bentuk polos dan prosaik menguasai keseluruhan binaan diksi puisi ini seperti frasa “/Melilau sekeliling dengan harapan/”; “/Adanya tangan yang bakal menggapai/”; “/Punya bahu bersandar dan mengingatkan/”; “/Bahawa aku sedang tidak bersedia/”; “/Sedang dalam berpura-pura gagah/”; dan “/Luaran teguh namun raganya rapuh/”. Frasa-frasa ini perlu disaring dan dipadatkan agar diksi yang dipilih tepat dan ekonomis. Harus diingatkan bahawa, puisi bukan tentang kehebatan kata-kata semata, namun sebuah binaan yang sempurna untuk menyampaikan makna.
Selain aspek hasrat yang tidak selari dengan teks atau diksi, judul puisi ini juga perlu dimurnikan. “Rantauan jiwa” lebih sesuai digantikan dengan “Jiwa Perantau” yang lebih jelas menggambarkan tentang perasaan seseorang ketika berada jauh dari kampung halaman. Secara keseluruhan, puisi ini berada pada tahap sederhana, kerana wujud pertentangan antara kata dan hasrat. Diharap penyair dapat memilih diksi yang terbaik agar selari dengan hasrat yang dingin disampaikan.
Puisi seterusnya berjudul “Seorang Guru Tua” merupakan hasil nukilan Mohd Noor Asa’a. Dengan hanya membaca judul puisi ini, khalayak yang tajam pemikirannya akan dapat membayangkan hasrat yang ingin disampaikan oleh penyair. Dalam penulisan puisi, frasa “guru tua” agak klise dan sering kali dikaitkan dengan keadaan kekurangan. Walaupun tema guru lebih dekat dan mudah melekat pada jiwa pembaca, namun sesebuah puisi yang baik harus pergi jauh dari kebiasaan. Hal ini penting kerana untuk bertahan lama dalam dunia kepenyairan, puisi-puisi yang dihasilkan seharusnya mampu membawa nafas baharu atau isu terkini dalam dunia pendidikan.
Dari aspek pemilihan diksi, didapati banyak perulangan kata yang sama makna dalam puisi ini. Contoh perulangan kata yang sama makna dapat ditemui pada rangkap pertama baris keempat, iaitu kata “aksara” dan “nombor”. Begitu juga pada baris keempat dalam rangkap ketiga, iaitu kata “desa” dan “kampung” yang membawa pengertian yang sama. Selain itu, terdapat padanan diksi yang tidak mendukung makna yang sepatutnya seperti frasa “mencerna minda” yang bermaksud menghancurkan akal. Berikut merupakan contoh rangkap pertama yang telah dimurnikan, hasil daripada pemadatan diksi.
Versi asal
Seorang guru tua
saban hari menyusun kata bermakna
mencerna minda anak didiknya
dengan ilmu, aksara, nombor
dan santun bahasa…
Versi Pemurnian
Seorang guru tua
tekun menyusun kata bermakna
memacu minda pelajarnya
dengan ilmu penuh di dada
dan santun budi bahasa.
Selain itu, puisi ini didapati prosaik pada rangkap ketiga. Hal ini dapat diperhatikan pada baris pertama hingga baris keempat seperti berikut: “/Kini dia menyusun hari-hari terakhir/”; “/setelah dunia pendidikan ditinggalkan/”; “/Dia merenung jauh, mengimbau kenangan hari-hari semalamnya/”; “/menabur keringat di ceruk desa dan kampung/”. Dalam penulisan puisi, bentuk sebegini tidak digalakkan kerana bahasa puisi tidak memerlukan penjelasan makna melalui kata tetapi menjadikan kata sebagai makna. Hal ini bermaksud, dengan kata yang sedikit pun, puisi dapat menyampaikan makna, pemikiran dan gagasan kepada khalayak pembaca.
Walaupun terdapat beberapa kelemahan dalam puisi ini, namun keupayaan penyair menyusun kata yang baik amat menyenangkan khalayak pembaca. Diharap penyair lebih berhati-hati pada masa akan datang, khususnya dalam pemilihan diksi agar puisi yang dihasilkan lebih berwibawa dan kaya dengan nilai estetika.
Puisi terakhir berjudul “Wanita Itu Persis Aku” merupakan hasil nukilan Marilyn A.M yang terdiri daripada lima rangkap yang sekata jumlah barisnya. Membaca puisi ini akan mendekatkan khalayak kepada bentuk puisi tradisional, iaitu pantun yang mempunyai persamaan rima di hujung baris. Dari sudut hasrat, puisi ini tentang refleksi diri seorang wanita yang mudah jatuh cinta sehingga “beria-ia membuktikan cinta”.
Dari segi bentuk, puisi ini agak polos dan prosaik kerana ditulis dengan menggunakan bahasa seharian yang mudah diterjah maknanya. Misalnya seperti contoh di bawah:
Wanita itu beria-ia membuktikan cinta,
Tak sedar bukan cinta sebenar dia kejar,
Menderita jiwa raga kejar sang bahagia,
Tak kunjung jua cinta sejati nan luhur.
Wanita itu beria-ia membuktikan cinta,
Dia tak mengerti cinta sejati atau obsesi,
Kadangkala pejuang cinta merana muda,
Perjuangan sia-sia ternyata memakan diri.
Daripada dua rangkap di atas, didapati tiada hasrat yang jelas disalurkan oleh penyair kepada golongan wanita tentang bahaya cinta. Kesemua yang dipaparkan dalam dua rangkap tersebut, lebih menjurus kepada luapan emosi penyair yang tidak terkawal. Hanya bentuknya yang berirama memberikan kesenangan kepada pembaca untuk menikmatinya. Kendatipun begitu, kesenangan yang tidak menanjak kebijaksaan khalayak, bukanlah sebuah puisi yang baik. Dalam hal ini, jelas bahawa puisi bukan sekadar tentang uangkapan kata-kata indah semata, namun harus memiliki matlamat dan tujuan yang jelas kepada khalayak.
Biarpun bentuk puisi ini menyenangkan, namun diksi yang digunakan oleh penyair perlu dimurnikan dan dipadatkan. Sebagai sebuah karya sastera yang memiliki tujuan dan nilai, kekosangan yang wujud dalam puisi akan menjadikan sesebuah puisi itu lemah dan kurang bernilai. Selain itu, elakkan diri daripada terjerumus dalam alunan kata-kata berirama kerana ia cenderung mengawal pemilihan diksi dalam puisi.
Kesimpulannya, daripada tiga buah puisi yang telah dikupas di atas, didapati penyair yang menghasilkan puisi kedua, iaitu “Seorang Guru Tua” mempunyai potensi besar dalam dunia kepenyairan. Tambahan pula, hasrat (desire) yang ingin disampaikan oleh penyair dalam puisi tersebut juga jelas serta seiring dengan teks yang dihasilkan. Manakala bagi puisi pertama dan ketiga, penyusunan kata yang sesuai perlu dilakukan. Usaha ini memerlukan ketekunan dan kesabaran, agar hanya kata-kata terbaik dapat dipilih untuk membina susunan kata-kata yang terbaik. Teruskan berkarya!