Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • MENJUNJUNG TITAH RAJA BERPERLEMBAGAAN
  • TEMPATAN

MENJUNJUNG TITAH RAJA BERPERLEMBAGAAN

Utusan Sarawak 4 years ago
DR AWANG AZMAN AWANG PAWI

SELEPAS majlis menghadap sembah ketua-ketua parti politik di hadapan Yang di-Pertuan Agong (YDPA), maka  terdapat pelbagai pandangan, perkembangan, perspektif dan pendirian parti-parti semasa diperoleh secara segar, khususnya mengenai isu menangani Covid-19, penamatan darurat, pembukaan Parlimen dan kebimbangan rakyat mengenai isu ekonomi semasa yang semakin menghimpit kehidupan rakyat.

Pertemuan  tersebut  telah memberikan beberapa rumusan terbaru oleh YDPA dan sudah tentu rakyat mengharapkan terdapat perubahan yang dapat meningkatkan kecekapan bagi mempercepatkan pemberian vaksin dan ketelusan dalam membantu semua lapisan rakyat di tengah-tengah ekonomi yang semakin membimbangkan.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) pula memfokuskan perlunya kestabilan dan  kerajaan yang kuat untuk menangani pengurusan Covid-19 dan menangani isu ekonomi, khususnya pelan tindakan ekonomi Sarawak. Maka GPS jelas bersikap terbuka untuk  penambahbaikan politik bagi tujuan tersebut, dan langkah ini boleh dilihat dalam pelbagai aspek politik dan terpulang kepada interpretasi sudut pandangan masing-masing menilai arah dan kedudukan sebenar pendirian tersebut.

Dalam aspek pengurusan pandemik, program vaksinasi di negeri ini terus dipercepatkan dan diselesaikan pada bulan Ogos bagi mencapai imuniti kelompok juga dipersembahkan dan disokong penuh keempat-empat Presiden dalam GPS.

Titah YDPA dan Majlis Raja-Raja

Selepas YDPA menghadiri dan mempengerusikan sidang khas Majlis Raja-Raja, baginda menitahkan agar Parlimen dibuka serta-merta. Titah ini menunjukkan ketegasan YDPA dan institusi Istana dalam isu asas memastikan amalan sistem demokrasi berlaku, walaupun dalam keadaan darurat. Untuk rekod, inilah kali kedua pendirian ini dikemukakan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan bermakna betapa prihatin institusi beraja  terhadap isu-isu yang melanda rakyat, selepas nasihat pertama kali pada bulan Februari tahun ini.

Dalam situasi dan krisis yang berlaku sekarang, dapat dilihat betapa YDPA dan Majlis Raja-Raja memainkan peranan dalam sistem Raja Berpelembagaan. Institusi Istana  tidak campur tangan dalam isu politik atau kemungkinan perubahan kerajaan, sebaliknya membenarkan sistem Parlimen bergerak secara demokrasi menentukan perjalanan pentadbiran negara dan mengabsahkan sokongan masing-masing  melalui Parlimen.

Kuasa Raja dan Ordinan Darurat

Dalam Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 secara jelas menyatakan kuasa yang dimiliki Seri Paduka dalam menetapkan masa persidangan Parlimen diadakan. Klausa 14 (1) (b) Persidangan Darurat, Ordinan Darurat, antara lain, dalam Perkara 55 memperuntukkan Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka. Kuasa yang ada pada YDPA tidak dapat dipertikaikan keputusan baginda oleh mana-mana mahkamah atas sifat baginda menjalankan tugas rasmi. Maka, tidak timbul isu ikut atau sebaliknya nasihat kerajaan. Hal ini kerana punca kuasa tertinggi ketika berlangsungnya darurat terletak pada kuasa baginda selaku YDPA.

Ketika ini, semua lapisan masyarakat melihat kepentingan Parlimen bersidang  untuk kepentingan negara dan rakyat bersama, lebih-lebih Ordinan Darurat cukup jelas memberikan kuasa sepenuhnya kepada YDPA untuk memanggil, menggantung atau membubarkan Parlimen tanpa perlu mengikut nasihat Perdana Menteri ketika darurat sedang berkuat kuasa dan  berlangsung.

Menjunjung Titah

Ketegasan keputusan YDPA kali ini menyebabkan kerajaan PN perlu akur dengan pendirian tersebut dan tidak lagi boleh diabaikan atau berdolak-dalik seperti sebelum ini. Kerajaan PN tak dapat lagi berdolak-dalik kecuali akur dengan keputusan YDPA yang disokong oleh Majlis Raja-Raja Melayu.

Sekiranya tidak patuh keputusan YDPA dan Majlis Raja-Raja Melayu, akan dianggap sebagai penderhakaan kepada titah Institusi Raja di negara ini. Kebijaksanaan dan kesantunan Bahasa Istana membuat titah perlu dilihat secara teliti yang secara tersirat mahukan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin mengambil tekad untuk membuat persidangan Parlimen. Hal ini diperkukuhkan lagi dengan hakikat semua ahli Parlimen sudah mendapat suntikan vaksin covid-19 dan tergolong sebagai kelompok selamat imuniti kelompok di peringkat Parlimen.

Amalan Demokrasi

Di satu sisi, di tengah-tengah pandemik yang membimbangkan rakyat mengenai kesannya terhadap ancaman kesihatan awam dan kesan kepada ekonomi sangat genting dan memerlukan pembukaan Parlimen bagi memastikan amalan demokrasi, seperti bertanya soalan-soalan mampu mempertingkatkan hak sebagai warga dan wakil rakyat bagi memastikan semak dan imbang dalam perjalanan negara selepas lima bulan Parlimen ditutup. Hal ini juga memastikan demokrasi tidak mati, dan semua ahli Parlimen dapat memberikan sumbangan dari segi idea, pandangan, kritikan membina dan bersama-sama menentukan hala tuju negara yang berdepan dengan krisis Covid-19 dan ekonomi.

Harapan rakyat, terdapat kesungguhan dan komitmen tinggi, dan Parlimen sebagai pentas penting dalam sistem demokrasi perlu dimanfaatkan dan bukannya ditutup tanpa perbincangan konkrit dan telus. Pentingnya mandat rakyat melalui suara ahli Parlimen didengari, lebih-lebih lagi terdapat keperluan mendesak, termasuk pengisytiharan darurat dan sebagainya itu sendiri perlu disahkan dalam Parlimen sebelum ia berakhir apabila Majlis Raja-Raja berpendirian tidak ada keperluan untuk menyambung darurat apabila tamat 1 Ogos ini. Maka, Parlimen perlu dibuka sebelum tamatnya darurat.

Medan Suara Rakyat

Gesaan pembukaan Parlimen dan penamatan darurat juga berlaku apabila kes Covid-19 masih meningkat walaupun darurat telah dilaksanakan dan ternyata pendekatan PKP bersasar dilihat lebih berkesan dan realistik. Hal ini kerana apabila darurat seluruh negara mengakibatkan kawasan tidak terjejas oleh pandemik Covid turut terhambat daripada aspek pergerakan dan ini menyebabkan seluruh aktiviti ekonomi menjadi lebih perlahan.

Banyak isu  perlu dibahaskan dan mencerminkan sistem tadbir urus yang lebih telus seperti keperluan Ordinan Darurat yang diluluskan perlu dibahaskan dan ini menyebabkan berlakunya  kelemahan  seperti kaedah mempercepatkan pemberian vaksin, pembelian vaksin dan pengedarannya, ketelusan pengagihan kontrak-kontrak berkaitan, peluang pekerjaan, malah isu penguat kuasa denda atau kompaun hingga ada terpaksa membayar RM50,000.00.

Begitu juga pelbagai Prosedur Operasi Standard (SOP) yang bertindan, keputusan sering berubah, pemberian bantuan setimpal, isu ekonomi rakyat seperti bantuan i-sinar, lanjutan moratorium yang perlukan pencerahan di Parlimen.

Apabila Parlimen tidak ditangguh, maka banyak perkara dan isu dapat diperincikan secara telus, termasuk setiap akta dan Ordinan Darurat. Sehingga lapan negeri kecuali Kelantan, Terengganu dan Kedah sudah memaklumkan hasrat untuk mengadakan persidangan Dewan Undangan Negeri.

Komitmen

Maka terdapat keperluan perbincangan Parlimen  bagi memastikan kepentingan negara dan rakyat terus terpelihara. Aspek kestabilan politik dan kebertanggungawaban semua pihak ditekankan dalam pengumuman YDPA dan Majlis Raja-Raja Melayu petanda YDPA terus melaksanakan fungsi sebagai Raja Berperlembagaan dan Majlis Raja-Raja terus menjadi institusi yang dihormati dan menjadi tempat harapan rakyat sebagai benteng terakhir dalam sistem Raja Berperlembagaan. 

Berdasarkan masa yang berbaki, notis sekurang-kurangnya 28 hari sebelum Parlimen bersidang masih sempat dilakukan bagi memastikan persidangan Parlimen pada Ogos ini, namun terpulanglah kepada keputusan Perdana Menteri untuk memuktamadkannya secara bijaksana.

Continue Reading

Previous: SEDC sumbang RM2 juta kepada SDF
Next: Pembangunan Tanjung Manis bukan sekelip mata

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.