
Foto BERNAMA

BEBERAPA hari sebelum ketibaan Aidilfitri, penulis berkesempatan memberi satu tazkirah
berjudul ‘Menjiwai Ungkapan Selamat Hari Raya.’
Tazkirah tersebut dikupas dengan mengguna suku kata dari ayat ‘Selamat Hari Raya.’ Tujuan berbuat demikian semata-mata untuk mengingatkan warga kerja bahawa sambutan hari lebaran jangan dipandang biasa.
Ia memberi banyak pengajaran dari bermulanya kita berpuasa selama sebulan sehingga bagaimana jiwa kita menerima apa yang dimaksudkan Syawal meraikan kejayaan setelah berkorban sepanjang Ramadan.
Ada dalam kalangan generasi muda kita menganggap Hari Raya sebagai sambutan seperti perayaan lain. Jika dilihat secara zahir, memang benar di mana ada tradisi
kunjung-mengunjung dan pelbagai hidangan untuk menjamu para tetamu berlaku dalam semua perayaan masyarakat berbilang bangsa, agama dan keturunan di Sarawak.
Sekarang pun letupan mercun dan bunga api sudah menjadi kebiasaan dimainkan oleh orang kita apabila tibanya detik jam dua belas malam sebelum 1 syawal keesokan harinya.
Cuma yang menjadi fokus penulis, lebih mengajak untuk kita sama-sama meneroka pada sudut pandangan syariah dan cara hidup Islam mengenai sambutan Aidilfitri.
Antara perspektif yang telah ditekankan dalam menyambut Aidilfitri dapat diringkaskan seperti
berikut:
Selesai Sudah Kita Berpuasa Sebagai Kewajipan Kita
Ucapan syukur Alhamdulillah dilafazkan dengan sepenuh keikhlasan di mana kita telah selesai menunaikan ibadah puasa sebagai kewajipan kita.
Semoga ibadah kita diterima dan diberi kekuatan untuk terus meningkatkan ketakwaan. Tiba masanya juga kita menyambut Aidilfitri dan semoga hati kita kekal dibersihkan dengan istiqamah beribadah, kita
juga saling bermaafan dan sama-sama mewujudkan persekitaran kebahagiaan dalam kalangan kita.
Setelah selesai kewajipan berpuasa turut didoakan semoga terbentuk dalam diri kita sikap kebaikan seperti sabar, disiplin dan kepedulian sesama kita melalui latihan
sebulan mensucikan diri.
Latihan Sebulan Mensucikan Diri Dengan Kesungguhan
Latihan sebulan untuk mensucikan diri dengan kesungguhan adalah konsep yang indah, terutama jika dikaitkan dengan ibadah puasa (seperti Ramadan atau puasa sunnah) atau proses pembersihan jiwa secara spiritual.
Sepertimana berpuasa kita mulai dengan niat
kerana Allah SWT. Tegaskan dalam hati bahawa tujuan utama adalah untuk mendekatkan diri
kepada Allah SWT dan bukan sekadar sesuatu yang rutin atau terikut-ikut.
Semoga dengan niat kerana Allah SWT kita dapat mensucikan hati, mengawal nafsu dan memperbaiki diri dengan segala tuntutan agama.
Pengertian puasa kita mulai faham dan roh pensyariatannya dijiwai. Ibadat solat kita tepat pada waktunya dan istiqamah dengan solat-solat sunat yang lain.
Tidak lupa juga untuk terus membaca al-Quran sebagai amalan harian. Semoga turut terbiasa mulut kita basah berzikir memuji Allah SWT, beristighfar dan juga bersolawat.
Dari semua proses mensucikan diri ini kita dapat mengawal nafsu dengan penuh kesabaran.
Matlamat Suci Mengawal Nafsu Dengan Penuh Kesabaran
Mengawal nafsu adalah perjalanan spiritual yang memerlukan kesabaran, konsistensi dan kesedaran mendalam.
Ia bukan sekadar menahan diri dari syahwat, tetapi juga membentuk jiwa yang tenang. Usaha mengawal nafsu adalah jihad terbesar.
Ia memerlukan komitmen harian, tetapi ganjarannya adalah kedamaian abadi. Bermula dengan langkah kecil,
konsisten dan yakinlah bahawa Allah SWT sentiasa membantu kita.
Antara langkah praktikal dalam mengawal nafsu bermula dengan puasa sebagai medan latihan disiplin. Kita turut
dituntut untuk sentiasa berzikir dan berdoa.
Bermuhasabah diri boleh membantu ke jalan pengawalan yang praktikal. Pandangan, pendengaran dan perut kita boleh menjadi pengawal fizikal dan mental kita.
Kita turut dituntut untuk bergaul dengan orang-orang yang soleh agar mereka dapat mengingatkan kita. Semoga langkah istiqamah kita ini dapat membentuk hati yang ikhlas dalam diri kita.
Hati Ikhlas Meraikan Kejayaan Atas Dasar Kesyukuran
Kejayaan sejati bukan hanya diukur dengan pencapaian duniawi tetapi juga dengan sejauh mana hati kita tetap ikhlas dan bersyukur kepada Allah SWT.
Setiap kejayaan kita adalah anugerah Allah SWT. Sewajarnya kita mengucap syukur Alhamdulillah dengan penuh penghayatan.
Hindari mencari pujian manusia, cukup Allah SWT yang melihat usaha kita. Bersyukurlah dengan tindakan bermula dengan bertahmid (Alhamdulillah), bertasbih (Subhanallah), dan beristighfar. Dengan demikian, hati kita yakin semua pencapaian adalah milik Allah SWT.
Perbuatan dimulakan dengan bersedekah di mana rezeki dibahagi kepada yang memerlukan. Tambah amal soleh sebagai bukti syukur.
Teruskan tawadhu (rendah hati) di mana tanpa pertolongan Allah SWT, kita tidak mampu mencapai apa pun. Jangan lupa kejayaan boleh menjadi ujian. Jangan sampai membuat kita lupa diri.
Teruskan berdoa agar kita sentiasa bersyukur dengan apa yang seadanya. Kejayaan dunia hanyalah sementara, tetapi kejayaan akhirat (keredaan Allah SWT) adalah kekal.
Jadikan setiap pencapaian sebagai tangga
untuk lebih dekat kepada-Nya bukan sekadar untuk kebanggaan diri.
Sempena Syawal ini, kita buktikan rasa rendah diri kita ini untuk terus berziarah demi menjaga ukhuwah dengan
penuh kemaafan.
Risalah Ziarah Demi Ukhuwah Dengan Kemaafan
Ziarah (kunjungan) adalah sunnah mulia yang menguatkan ikatan ukhuwah (persaudaraan)
dan menyuburkan kasih sayang.
Jika disertai dengan kemaafan, ia menjadi lebih bermakna
yakni dapat membersihkan hati, merapatkan silaturahim dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Bermula dengan niat ziarah untuk mencari keredhaan Allah SWT agar dapat merapatkan ukhuwah, bukan sekadar adat atau kepentingan dunia.
Adab ziarah perlu dipegang dengan memilih waktu yang sesuai iaitu hindari waktu yang tidak sesuai. Bawalah hadiah atau sedekah sebagai tanda kasih sayang.
Jaga tutur kata iaitu berbicara dengan lembut, hindari
perkara sensitif atau kesalahan lama. Maafkan semua kesalahan orang yang akan diziarahi, meskipun dia belum meminta maaf.
Kedatangan kita dengan hati terbuka, ingin memohon
maaf jika ada salah dan silap yang lalu. Kita juga sama-sama memohon semoga Allah SWT mengampuni kita, merahmati hubungan kita dan menjadikan ukhuwah kita kekal hingga ke Jannah.
Kesimpulannya, risalah ziarah dikhususkan dengan memohon kemaafan sebagai jihad melawan ego dan jalan meraih cinta Allah SWT.
Ia mengubat luka, menguatkan iman dan menyuburkan kasih sayang. Semoga setiap ziarah kita menjadi wasilah pengampunan dan ketenangan supaya keikhlasan kita meraikan Aidilfitri diselimuti dengan kegembiraan dan kedamaian.
Raikan Aidilfitri Penuh Kegembiraan Dan Kedamaian
Hari Raya Aidilfitri adalah kemenangan setelah sebulan berpuasa dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ia adalah masa untuk bersyukur, bergembira dan menyebarkan kedamaian.
Sewajarnya terpahat dalam hati rasa bersyukur atas nikmat Ramadan dan kesempatan merayakan Aidilfitri. Mulakan dengan keluarga terdekat dengan memohon maaf
kepada ibu bapa, pasangan, anak-anak dan saudara mara.
Hubungi sahabat, jiran dan rakan sekerja untuk saling bermaafan. Pilihlah pakaian yang cantik atau yang baru tetapi tidak melampaui batas syariat.
Nikmati juadah raya, tetapi elakkan pembaziran. Jemput jiran tertangga atau mereka yang kurang mampu untuk makan bersama.
Jadikan Aidilfitri bermakna dengan membantu golongan kurang mampu. Aidilfitri bukan sekadar hari
kemenangan, tetapi permulaan baru untuk menjadi hamba yang lebih baik.
Marilah kita raikan dengan kegembiraan yang tulus, hati yang damai dan semangat untuk terus taat kepada Allah SWT.
Semoga Allah SWT menerima amal ibadah kita dan menyatukan hati kita atas dasar keyakinan bahawa Allah SWT meredai kejayaan kita dalam bulan yang cukup bermakna ini.
Yakin Allah SWT Meredai Kejayaan Kita Dengan Memberi Nikmat Ketenangan
Kejayaan sejati bukan hanya diukur dengan pencapaian duniawi, tetapi juga dengan ketenangan hati yang Allah SWT anugerahkan. Ketika kita merasakan ketenangan dalam jiwa,
itulah tanda kasih sayang dan redha Allah SWT.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “(Tuhan
yang membuka jalan kemenangan itu) Dia lah yang menurunkan semangat tenang tenteram ke dalam hati orang-orang yang beriman (semasa mereka meradang terhadap angkara musuh) supaya mereka bertambah iman dan yakin beserta dengan iman dan keyakinan
mereka yang sedia ada; pada hal Allah SWT menguasai tentera langit dan bumi (untuk menolong
mereka); dan Allah SWT adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”
Yakinlah Allah SWT telah memberikan ketenangan ke dalam hati orang-orang mukmin untuk menambah keimanan atas keimanan mereka.
Jika hati tenang, yakinlah bahawa Allah SWT
menyertai langkah kita. Kejayaan yang diredai-Nya adalah kejayaan yang membawa kebaikan.
Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa atau harta kalian, tetapi kepada hati dan amal kalian.” (HR Muslim)
Dalam maksud lain, kejayaan terbesar adalah ketika Allah SWT memberikan ketenangan jiwa bersama segala pencapaian. Jika kita merasainya, itu petanda Dia meredhai usaha kita.
Jagalah hati, tingkatkan taqwa dan yakinlah bahawa Allah sentiasa bersama orang-orang yang bersabar dan bersyukur. Inilah tandanya jika kita benar-benar memahami dan menjiwai maksud ‘Selamat Hari Raya’ dalam konteks yang penuh mulia. Semoga kita terus dalam perlindungan Allah SWT.
Wallahu Alam Bissawab