GABENOR adalah ketua negeri bagi Sarawak. Dalam perlembagaan Sarawak, jawatan ini dikenali sebagai Yang di-Pertua Negeri. Institusi Gabenor ini telah menjadi salah satu badan penting dalam organisasi pentadbiran kerajaan negeri Sarawak sejak merdeka.
Bilakah bermulanya institusi ini di Sarawak? Jika ditinjau dari segi sejarah, institusi ini telah muncul sejak pemerintahan British.
SEBELUM BRITISH
Sebelum Sarawak menjadi koloni British, ketua negeri di Sarawak telahpun wujud. Pada era kerajaan Melayu Santubong tidak jelas gelaran pemerintahan digunakan. Begitu juga kerajaan Melayu di Saribas, Banting dan Kalaka.
Era kegemilangan kerajaan Melayu Brunei pula, Sarawak disatukan dibawah empayar Brunei dan ketua negaranya adalah Sultan Brunei sendiri. Wilayah Brunei ditadbir oleh para pengiran, perabangan dan sharif serta ketua suku kaum tertentu.
Apabila James Brooke mengambil alih Sarawak, beliau diberi status gabenor oleh Pengiran Muda Hashim dan diiktiraf oleh Sultan Brunei. Namun demikian, James Brooke kemudiannya menggunakan gelaran Raja, dan memulakan sistem pemerintahan monarki di Sarawak. Keturunan beliau kemudiannya mewarisi takhta kerajaan sebagai raja berkuasa mutlak. Institusi Raja Brooke ini kekal sehingga tamat perang dunia kedua.
Era pemerintahan Jepun pula jawatan ketua negeri dipegang oleh pegawai tentera Jepun. Wilayah- wilayah di Sarawak, Sabah dan Brunei dicantumkan, dan dibahagi kepada lima wilayah. Setiap wilayah mempunyai seorang Gabenor Wilayah.
PENTADBIRAN BRITISH
Walaupun pemerintahan Jepun jawatan gabenor ini diperkenalkan tetapi pada pemerintahan British insitusi ini lebih nyata fungsinya sebagai ketua negeri kerajaan. Ini kerana pihak British telah mengasas institusi ini di beberapa jajahannya, dan sudah tentu mudah bagi mereka melaksanakannya di Sarawak. Oleh itu jawatan gabenor di wujudkan untuk mentadbir Sarawak.
Dari segi struktur pemerintahan sebenarnya, Sarawak dibawah pemerintahan baginda Raja di England. Ini bermaksud bahawa Sarawak dibawah pemerintahan Raja England. Untuk urusan pentadbiran, Raja England melantik seorang gabenor bagi mewakili beliau memerintah Sarawak.
Sejak pemerintahan British di Sarawak terdapat empat orang gabenor pernah mentadbir Sarawak. Gabenor pertama British adalah Sir Charles Arden Clarke yang memerintah selama dua tahun setengah.
Gabenor British kedua adalah Sir Duncan Stewart. Gabenor kedua ini tidak panjang pemerintahnya kerana beliau telah meninggal dunia akibat peristiwa berdarah di Sibu pada penghujung 1949.
Gabenor ketiga pula ialah ialah Anthony Abell. Abell merupakan gabenor paling lama memerintah Sarawak dari 1949 sehingga 1959. Beliau boleh dianggap satu-satunya gabenor yang namanya diabadikan di salah satu jalan di Kuching. Malah salah satu hotel di Kuching mengabadikan namanya.
Gabenor terakhir Sarawak ialah Alexander Abell. Beliau memimpin kerajaan British di Sarawak dalam memajukan pembentukan Persekutuan Malaysia.
PERANAN GABENOR BRITISH
Dari segi kuasanya, pemerintahan seorang gabenor British ini adalah besar. Beliau mempunyai kuasa eksekutif dengan dibantu oleh Majlis Tertinggi dan Council Negri. Malah Gabenor British menjalankan dasar British di Sarawak. LGabenor British ini juga adalah Panglima Tentera Tertinggi di Sarawak.
Semasa penentangan hebat oleh pihak anti-penyerahan, Gabenor Charles Arden Clarke menggunakan segala upayanya menyekat gelombang penentangan berterusan dengan pelbagai cara. Salah satunya adalah mengarah untuk dikeluarkan Circular 9/1946 bagi menghalang penjawat awam untuk menyertai gerakan anti penyerahan.
Bagi mengukuhkan hubungan pemerintah dengan rakyat, gabenor-gabenor British sering melakukan lawatan ke bahagian-bahagian di Sarawak. Gabenor Charles Arden Clarke misalnya pernah melakukan lawatan ke Bahagian Ketiga. Lawatan beliau ini dilakukan pada 13 Februari 1947 ke beberapa tempat di Bahagian Ketiga. Antara bandar dan pekan yang dilawati oleh rombongan gabenor ini ialah Sibu, Mukah, Daro, Dalat, Oya, Belawai, Binatang (Bintangor) dan Matu.
PEMBENTUKAN MALAYSIA
Apabila proses pembentukan Malaysia sedang berjalan dengan rundingan dalam Jawatankuasa Antara Kerajaan, maka dibincangkan juga bentuk kerajaan merdeka bagi Sarawak. Bentuk kerajaan Sarawak yang merdeka ini tidaklah susah hendak dibentuk kerana model-model yang ada sebelum ini telah diguna pakai semula.
Oleh itu, institusi gabenor diteruskan di Sarawak selepas mencapai kemerdekaan. Pembentukan kerajaan merdeka ini agak berbeza dengan kerajaan British sebelum ini. Ini kerana gabenor masih mempunyai kuasa eksekutif tetapi memerintah menerusi nasihat Majlis Kerajaan Negeri. Namun gabenor masih menjadi ketua negeri dan mempunyai kuasa dalam soal pelantikan ketua menteri dan memperkenankan pembubaran Dewan Undangan Negeri.
GABENOR MERDEKA
Apa yang menarik pada ambang pembentukan Malaysia ialah cadangan tentang institusi gabenor selepas merdeka. Menerusi Suruhanjaya Cobbold yang meninjau pendapat penduduk Sarawak tentang Malaysia terdapat sokongan kepada perkara ini.
Kesemua cadangan yang disampaikan kepada suruhanjaya ini menunjukkan sokongan kepada perlunya jawatan ketua negeri iaitu gabenor diteruskan selepas tamatnya pemerintahan British. Kewujudan institusi gabenor melambangkan kedaulatan bagi negeri Sarawak.
Pada hari bersejarah iaitu 16 September 1963 buat pertama kali anak Sarawak diangkat memimpin negeri atau menjadi gabenor Sarawak yang merdeka. Gabenor pertama Sarawak ini adalah seorang bekas pegawai kerajaan yang mempunyai pengalaman luas dalam aspek pentadbiran iaitu Abang Openg Abang Sapiee.
Beliau dilantik untuk tempoh dua tahun pertama oleh Yang di-Pertuan Agong. Kemudian beliau dilantik semula selama empat tahun.
Sepanjang merdeka, Sarawak telah mempunyai lapan orang gabenor. Yang terkini adalah Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang baharu sahaja dilantik. Akhir sekali syabas diucapkan kepada beliau atas pelantikan tersebut, semoga Sarawak terus maju jaya dibawah pemerintahan beliau.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Progran Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia.