
SAJAK mencernakan kata-kata, pengalaman dan imaginasi sebagai wahana untuk menumbuhkan makna. Melalui sajak, ungkapan perasaan dan fikiran penyair membentuk sebuah dunia yang bertolak daripada pengalaman yang dilalui.
Sajak sewajarnya menyampaikan sesuatu dengan cara yang lain dan tidak terikat oleh kebiasaan. Ia memperkata perkara-perkara biasa melalui sudut pandang serta pengucapan yang luar biasa.
Tidak sekadar mengulangi pengetahuan asas yang telah diketahui ramai atau menyalin kembali ungkapan dan pandangan klise yang sudah usang.
Sajak tidak lahir hanya daripada penikmatan keindahan bunyi bahasa. Ia juga terbit daripada persoalan yang tumbuh dalam diri serta pengalaman yang membijaksanakan.
Keindahan bahasa dan kemerduan bunyinya belum memadai untuk menjamin kelahiran sebuah sajak yang baik. Kata-kata itu harus disusun dengan teliti untuk mengangkat makna yang mampu melibatkan khalayak dengan persoalan yang dikemukakan.
Kebijaksanaan harus muncul di fikiran para pembaca hasil daripada keindahan bahasa dan keindahan makna yang dititipkan oleh penyair melalui sajak.
Menerusi sajak, penyair berusaha mengungkapkan kembali pengalaman diri dan orang lain untuk dikongsikan kepada khalayak berkaitan sesuatu isu, perkara atau peristiwa.
Melaluinya, penyair menyampaikan pemikiran dan gagasan, iaitu suatu perutusan yang sarat amanat serta pengajaran dan ingin disampaikan kepada para pembaca.
Walau bagaimanapun tidak semua pengalaman mampu tumbuh sebagai sajak yang baik.
Sebelum menjelma sebagai sajak yang matang, pengalaman itu harus melalui proses saringan, renungan, penghayatan dan kesedaran mendalam agar penyair memahami hakikatnya lalu menzahirkan makna yang sebenar.
Proses ini tidak mengurangkan emosi dalam sajak, malah mengawalnya agar berjalan seiring dengan pemikiran.
Para penyair memanfaatkan imaginasi untuk menghidupkan jalur pengalaman mereka supaya tampil lebih bermakna dan menarik.
Imaginasi ialah daya fikir yang membayang atau menciptakan gambaran tentang sesuatu peristiwa atau kejadian. Ia dapat difahami sebagai cara kerja fikiran di bawah sedar.
Menurut Mukhlis. S, imaginasi ialah kesedaran dan kekuatan yang dimiliki manusia untuk membentuk gambaran mental yang tersembunyi. Dalam pandangan penyair, imaginasi tidak sama dengan khayalan.
Pengalaman penyair bergelut dengan imaginasi sering memerlukan masa yang luar biasa kerana ia muncul tanpa diduga dan hadir seiring dengan kedatangan inspirasi.
Tulisan ini akan membicarakan tentang cernaan pengalaman dan imaginasi yang terdapat dalam sajak tiga orang penyajak, iaitu Andennhassan, Rohaizat Rejab dan Shafida Rosllan.
Sajak “Serdadu dan Kapal” (untuk Sumud Fortilia) tulisan Andennhassan mengungkapkan tentang kisah pelayaran bantuan kemanusiaan dalam gerakan usaha maritim antarabangsa yang diterajui oleh masyarakat awam untuk menembusi sekatan rejim Zionis, Israel di Genting Gaza:
Hari ini,
Desir angin berbisik,
pergilah, pergi
Akan aku pesan pada ombak,
Jangan kau menghempas kejam,
Usah kau menghambur redam,
Biar kali ini tenang,
Biar indra jadi saksi,
Semua terusai jadi pasti,
Tika ini,
Sang serdadu membawa mimpi,
Merdeka untuk tanah yang dijanji,
Sekian beratus lama terusir,
Dek rakus mereka,
Bertopeng insani,
Menongkat delusi,
Demi yang telah gugur, tak kembali,
Mereka tetap berserah, pasti
Bawa khabar ini bila kembali,
Serdadu sakti membelah mimpi,
Membawa harapan depan,
Kisah airmata yang telah habis,
Diratah rakus, beratus ratus lama,
Biar jadi saksi, kemenangan yang pasti,
Doa redha sebuah kapal serdadu syurga,
Sumud Fortilia
Sajak ini diinspirasi hasil cerapan penyajak terhadap pengalaman yang dibaca atau ditontonnya. Penyair menjelmakan pengalaman sejarah, perjuangan dan penindasan dalam bentuk bahasa yang sarat imaginasi.
Pengalaman kolektif tentang penjajahan, keterusiran dan perjuangan memerdekakan tanah air diterjemahkan melalui imej laut, angin, ombak, kapal dan serdadu.
Persoalan besar tentang penentangan dan keteguhan rakyat tertindas dihidupkan melalui imaginasi yang dramatik seperti dalam diksi “akan aku pesan pada ombak”, “serdadu sakti membelah mimpi” dan “kapal serdadu syurga”.
Simbol-simbol lautan menjadi wadah untuk memetakan pergolakan batin dan harapan sebuah bangsa.
Imaginasi tidak menjelma sebagai khayalan kosong, tetapi bertolak daripada pengalaman sejarah tentang penindasan dan semangat sumud (keteguhan).
Penyair berjaya mengangkat suatu isu realiti menjadi gambaran puitis yang sarat makna bahawa perjuangan tidak sia-sia, dan pengorbanan mereka yang gugur menjadi saksi kemenangan nanti.
Di sinilah pengalaman dan imaginasi bertemu, pengalaman sebagai akar dan imaginasi sebagai pucuk yang menjalar.
Walau bagaimanapun, diksi “sekian beratus lama terusir” dalam baris keempat rangkap ketiga menimbulkan kekeliruan dan kejanggalan. “Beratus” dan” lama” lazimnya memerlukan kata nama ukuran masa seperti tahun, musim, bulan, dekad sebagai pelengkap untuk menunjukkan tempoh.
Tanpa hal tersebut, ungkapan itu kedengaran tergantung dan tidak tepat. Para pembaca mungkin tertanya-tanya: “Beratus apa? Tahun? Musim? Ketika?” Pengganti yang lebih sesuai dan tepat ialah “sekian beratus tahun terusir” atau “sekian beratus musim terusir”. Ini bukan sahaja memperkemas makna, malah menguatkan kesan emosinya.
Perkara serupa juga diulangi oleh penyajak dalam baris keempat, rangkap akhir sajak melalui diksi, “diratah rakus, beratus-ratus lama”.
Sajak “Wahai Jiwa yang Tenang” hasil karya Rohaizat Rejab bertolak daripada pengalaman kerohanian, kegelisahan batin dan usaha mencari makna diri.
Penyair menelusuri perjalanan jiwa manusia yang hilang arah, lalu kembali kepada Tuhan sebagai sumber ketenangan:
Akal bagai hilang arah,
Mencari identiti diri,
Dalam kesamaran waktu,
Aku berputar mencari kalam penyaksian yang sirna,
Lusuh dimamah usia,
Luntur beredar zaman.
Dalam keterasingan,
aku terlupa akan Khalik.
Dalam mencari yang memahami sanubari diri,
Aku terlupa ada Yang Maha Mengerti,
Dia, Sang Pemilik Hati.
Resah diri mencari arah,
Gundah hati hilangnya himmah,
Duka tersasar kiblah,
Luka terurung musibah.
Namun di tengah runtuh segala rasa,
Ada kalam lembut yang menyapa,
“Bukankah Aku lebih dekat daripada urat lehermu?”
“Usah bersedih, Aku sentiasa bersamamu”,
Berderai air mata dalam sujud,
Terkenang pesan dari Tuhan,
Melunturkan noda dan lota penghijab hati.
Kini kutemui cahaya,
Bukan penyuluh menuju yang fana,
Tetapi pada Dia yang abadi,
Cinta kepada Ilahi.
Kini langkah perlahan kuatur,
Arah pulang tak lagi kabur,
Setiap takdir perlu kuakur,
Meluntur keegoan, keakuan dan takbur.
Dalam tiap kehilangan yang menyusul,
Pasti akan bertemu jalan
kembali kepada Ar-Rahman,
Kerana Dia telah berseru,
“Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan”.
Di sini pengalaman yang dikemukakan bukanlah pengalaman luaran, tetapi pengalaman batiniah.
Penyair menyelam ke dalam detik resah, hilang arah dan semangat serta pencarian makna hidup. Pengalaman yang dekat dengan manusia sejagat.
Imaginasi dalam sajak ini hadir melalui bahasa simbolik seperti dalam diksi, “kalam penyaksian yang sirna”, “melunturkan noda dan lota penghijab hati”.
Penyair turut mengangkat ayat al-Quran sebagai suara yang meneduhkan jiwa. Imaginasi yang mempertaut ajaran agama dan pengalaman peribadi.
Sajak ini memperlihatkan peranan imaginasi rohani dapat menyusun semula pengalaman gelisah menjadi kesedaran dan hikmah, sesuai dengan gagasan bahawa sajak bukan hanya mengungkap bunyi bahasa tetapi memancarkan kesedaran yang menggerakkan hati pembaca.
Walau bagaimanapun, bahagian akhir sajak agak didaktik dan prosaik dengan diksi, “Setiap takdir perlu kuakur/meluntur keegoan, keakuan dan takbur.” Hal sedemikian, mengurangi sifat puitis sajak.
Dapat dikesan juga beberapa ungkapan yang klise seperti “resah diri mencari arah” “dimamah usia dan “berderai air mata”.
Jika pengalaman ialah unsur terkuat sajak ini, imaginasi pada sesetengah bahagian perlu dipertajam lagi agar mesej tidak muncul terlalu jelas dalam bentuk yang terlalu prosaik..
Sajak ini akan menjadi lebih menarik jika penyajak mampu menajamkan imaginasi agar dapat menciptakan gambaran yang berupa kiasan dan perbandingan sesuatu atau hal dengan sesuatu atau hal lain yang memiliki sifat yang hampir sama.
Penyajak pasti berupaya menyampaikan sesuatu secara tidak langsung. Bukan sekadar menggunakan kata-kata secara literal semata-mata tetapi juga diselitkan dengan bahasa figuratif.
Sajak “Cerita Teh” tulisan Shafida Rosllan membicarakan tentang indah dan bermaknanya sebuah ikatan persahabatan:
Secangkir teh persahabatan
Beningnya seperti polos percaya
Dinikmati lewat manisnya
Sekian lama tak dibancuh
Uncangnya tetap segar
Sedikit tidak terjejas rasa
Air hangat bukanlah bahaya
Cuma pengantara ; uncang dan gula
Agar hirupan hangat
Penuh fikir nikmat
Sepertinya seorang sahabat
Walau sederhana, memberi erti….
Sajak ini lebih sederhana dari segi bentuk, tetapi tetap membawa pengalaman dan imaginasi.
Pengalaman yang diketengahkan ialah pengalaman persahabatan, sebuah tema harian yang dekat dengan semua orang.
Keindahan sajak ini terletak pada cara penyair mengungkapkan sesuatu yang biasa melalui sudut pandang serta pengucapan yang tidak biasa.
Imaginasi hadir melalui personifikasi dan metafora teh: “Secangkir teh persahabatan”, “uncangnya tetap segar”, “air hangat bukanlah bahaya/cuma pengantara”.
Dengan memanfaatkan imej teh, sesuatu yang lazim dalam kehidupan, penyair mencipta gambaran hubungan manusia yang hangat dan sederhana namun amat bermakna.
Sajak ini menunjukkan bahawa biarpun pengalaman yang digunakan kecil dan sederhana, ia tetap berpotensi menjadi sajak yang baik apabila disaring dan disusun dengan bahasa yang mampu menghidupkan makna.
Simbol teh menjadi representasi kesetiaan, kesegaran kepercayaan, dan nilai persahabatan yang bertahan. Imaginasi membawa pengalaman kecil ini menjadi sesuatu yang simbolik dan menyentuh.
Mengundang para pembaca untuk merenung kembali makna sebuah hubungan persahabatan.
Walau bagaimanapun rangkap akhir sajak ini masih boleh dimurnikan lagi agar lebih dapat menyimpulkan keseluruhan makna sajak ini dengan lebih mendalam.
Perkara ini mampu meninggalkan lebih kesan kepada khalayak. Misalnya, rangkap tersebut mungkin sahaja boleh di tulis seperti ini:
Secangkir teh persahabatan
berupa sederhana
namun ada makna yang sarat
di dasarnya.
Hasil daripada menjejaki pengalaman dan imaginasi dalam sajak, dapat disimpulkan bahawa sajak bukan sekadar permainan kata-kata.
Ia merupakan sebuah perjalanan zahir dan batin penyair dan menghubungkan realiti dengan kemungkinan yang diciptakan oleh fikiran serta perasaan.
Pengalaman memberikan akar yang meneguhkan makna, manakala imaginasi menjadi sayap yang membawanya ke wilayah baharu yang lebih segar dan berdaya cipta.
Ketiga-tiga penyajak yang karyanya dibicarakan, Andennhassan, Rohaizat Rejab dan Shafida Rosllan menunjukkan bahawa pengalaman, peristiwa dan sejarah dapat dijelmakan menjadi sajak yang hidup apabila disentuh dengan imaginasi yang tepat.
Walau bagaimanapun, kekayaan pengalaman tidak menjamin keberhasilan sebuah sajak tanpa proses penyaringan dan pengucapan yang teliti. Diksi yang kurang tepat, kabur, ungkapan klise atau nada yang terlalu prosaik mampu melemahkan kesan mendalam dan puitis yang ingin dibawakan.
Kepekaan terhadap bahasa, keberanian berimaginasi dan kemampuan mengolah pengalaman menjadi citra dan simbol yang unik merupakan tunjang utama yang membezakan sajak yang biasa daripada sajak yang benar-benar berkesan.
Pengalaman dan imaginasi bukan dua dunia yang terpisah. Kedua-duanya merupakan arus yang sentiasa bertembung dalam diri seorang penyair.
Apabila bersatu secara seimbang, pengalaman mampu menjadi sumber makna dan imaginasi menjelma sebagai daya penghidup dan penarik.
Sajak akan lahir sebagai wahana yang indah dan puitis. Berupaya memperluas kesedaran, menyentuh nurani, dan meninggalkan gema yang lama dalam ingatan para pembaca.
Oleh Zainal Abidin Haji Suhaili (Abizai)