Oleh: Dilah Tuah
DALAM dunia kepenyairan, pemilihan kata dalam puisi sangat penting kerana setiap kata memiliki makna dan konotasi yang dapat memberikan pengaruh dan pesan kepada pembaca. Hal ini dikatakan sedemikian kerana puisi merupakan salah satu genre sastera yang sangat kuat dalam mempengaruhi fikiran, perasaan, dan tindakan manusia. Kekuatan puisi terletak pada kemampuannya untuk mengekspresikan perasaan dan pengalaman manusia melalui kata-kata yang indah dan bermakna. Di sisi yang lain, puisi dapat memberikan pengalaman estetika yang mendalam dan memperdalam pemahaman manusia tentang dunia dan diri mereka sendiri. Justeru, penggunaan kata-kata yang tepat mampu menciptakan nuansa dan suasana yang diinginkan dalam sesebuah puisi, serta meningkatkan keindahan dan nilai estetika dalam sesebuah karya. Walaupun begitu, bukan mudah untuk memadankan kata dengan makna yang diinginkan. Proses ini sulit serta memakan masa yang panjang.
Sasterawan Negara Baha Zain dalam Jalan Desa Ke Kota (2015) pernah mengungkapkan bahawa betapa susah menemukan makna dengan kata, demikian payah menyalut budi dengan bahasa. Petikan tersebut merupakan sebahagian daripada rangkap puisi beliau yang berjudul “Bahasa” (1980) yang menyentuh tentang kesukaran dalam memadankan makna dengan kata, khususnya dalam genre puisi. Sebagai penyair besar, ternyata Baha Zain turut melalui fasa kesukaran dalam membangkitkan makna khususnya pada kata yang terbina dalam diksi puisi. Hal ini disebabkan puisi bukan sekadar susunan kata-kata indah yang mampu mempesonakan pembaca, namun harus berupaya mengapungkan seribu makna dalam ruangan puisi yang terbatas sifatnya.
Mary Oliver (1994) dalam bahagian pengenalan bukunya yang berjudul A Poetry Handbook turut menyatakan bahawa puisi ibarat sebatang sungai. Banyak suara mengembara di dalamnya, iaitu bermula dari pintalan kata, sebelum ia dialirkan ke lautan makna. Kendatipun begitu, tidak semua kata bersatu dengan makna. Di lautan makna yang luas, banyak kata-kata penyair pecah dan hilang dibadai ombak keliru pembaca. Dalam erti kata mudah, penghasilan puisi memerlukan binaan diksi yang padat dan kuat. Puisi tidak dibina secara semberono, kerana penciptaan puisi membawa bersama kekuatan jiwa penyair yang kemudiannya disalurkan ke minda dan jiwa pembaca. Justeru tidak hairan dalam Sauti: Poem of Healing (2021) yang diterbitkan oleh United Nation, puisi diperakui sebagai wadah yang mampu memberikan kesan terapeutik tinggi pada minda dan jiwa khalayak pembaca.
Daripada perbincangan di atas, dapat dikatakan bahawa puisi yang baik memerlukan pemadatan kata, pemilihan diksi yang tepat, mempunyai keindahan estetika serta mengandung nilai yang dapat membangunkan jiwa manusia. Di samping itu, keupayaan penyair mengadun pengalaman dengan diksi secara berkesan berupaya meninggalkan kepuasan dan kesan katarsis yang diinginkan oleh khalayak pembaca. Justeru, bagaimana seseorang penyair muda dapat berada pada tahap tersebut?
Semua ini dapat direalisasikan dengan kesungguhan dan ketekalan dalam berkarya. Membina sebuah wilayah kepenyairan yang sarat dengan nilai idiosinkrasi, memerlukan suatu proses yang panjang. Namun, penyair yang ikhlas, rajin dan berani menyambut teguran dan pembaikan (khususnya dalam ruangan Wadah Bahasa dan Sastera), akan lama berkalung di bingkai zaman.
Sehubungan itu, ulasan puisi ini akan membicarakan tiga buah puisi yang tersiar di ruangan ini pada minggu lepas. Dalam usaha melahirkan penyair besar, ruangan ini penting dalam membantu penyair muda untuk meningkatkan mutu pengkaryaan mereka. Tiga buah puisi yang akan dikupas ialah “Baju Dewasa” karya Farah Athirah, “Malam Bulan Lima Belas” karya Wan LS @ Wan Mahala Wan Ini dan “Pilu di Bahu” karya Mohd Hapizan. Bagi mewujudkan nilai bimbingan, ulasan ini dilakukan secara struktural serta berpandukan kepada pendekatan respons pembaca yang berperanan penting dalam memberikan tanggapan dan pemaknaan dalam sesebuah karya sastera.
Puisi pertama yang berjudul “Baju Dewasa” merupakan hasil nukilan Farah Athirah. Dari segi tema, puisi ini mengangkat citra kedewasaan yang ingin dicapai oleh penyair melalui metafora baju dewasa, jubah labuh dan kasut bertumit tinggi. Hal ini dikatakan sedemikian kerana penggunaan frasa jubah labuh dan kasut bertumit tinggi, mencerminkan citra kedewasaan yang ingin dicapai oleh penyair. Namun di sisi lain, penyair mengakui bahawa dirinya masih seorang kanak-kanak dan masih belum bersedia untuk menjadi dewasa. Perkara ini dapat diperhatikan pada rangkap kedua baris keempat hingga keenam iaitu /masih,/ tidak mampu untuk menyangkal/bahawa aku adalah seorang kanak/. Bingkisan penuh puisi ini seperti berikut.
Aku menyarungkan baju dewasa ke tubuhku,
terlalu besar untuk tubuhku yang kerdil,
corak batik berjela,
sedang aku masih menguja
kartun-kartun di kaca televisyen,
penuh dengan kata dan makna,
masih belum mampu untuk ku cakna.
Aku menyarungkan baju dewasa ke tubuhku,
kupadankan jubah labuh
bersama kasut bertumit tinggi,
masih,
tidak mampu untuk menyangkal
bahawa aku adalah seorang kanak.
Dari segi bentuk, puisi ini tidak sukar ditafsir kerana menggunakan bahasa seharian yang mudah diterjah maknanya. Selain itu, tidak terdapat penggunaan kata yang mempunyai makna berlapis dalam puisi ini, yang menuntut khalayak berfikir tentang apa yang ingin disampaikan oleh penyair. Bentuk puisi ini juga didapati polos serta banyak berkelintaran dalam ruangan peribadi penyair. Khalayak pasti tertanya-tanya, mengapa penyair tergesa-gesa ingin menjadi dewasa, sedangkan dalam rangkap kedua baris keenam puisi ini, penyair secara jelas mengakui bahawa dirinya masih seorang kanak-kanak.
Selain itu, terdapat beberapa baris yang prosaik sifatnya serta wajar dipadatkan agar bentuk puisi ini lebih kejap dan kukuh. Misalnya pada baris /Aku menyarungkan baju dewasa ke tubuhku,/ yang masih dapat dipadatkan lagi menjadi /aku menyarung baju dewasa/. Hal ini dikatakan sedemikian kerana kata ‘baju’ sememangnya disarungkan pada tubuh badan manusia. Secara keseluruhan, puisi ini baik walaupun terdapat beberapa bahagian yang memerlukan pemurnian.
Puisi seterusnya berjudul “Malam Bulan Lima Belas” karya Wan LS @ Wan Mahala Wan Ini hadir dalam empat rangkap yang seimbang bentuknya. Dari segi bentuk, puisi ini mengandungi lima baris dalam setiap rangkap. Bentuk sebegini hampir mendekati puisi ‘Quint’ atau ‘Cinquain’ yang diperkenalkan oleh penyair Amerika bernama Adelaide Crapsey pada awal abad ke-20. Bentuk ketara ‘Cinquain’ ialah baris pertama dan terakhir biasanya lebih pendek daripada baris-baris di tengahnya. Namun dalam puisi ini, bentuknya tidak sebegitu.
Dengan sekali pembacaan, pembaca sudah dapat menemui makna puisi ini, iaitu tentang pengalaman diri penyair pada malam bulan lima belas yang penuh kenangan. Dalam konteks alam, malam bulan lima belas sering kali dikaitkan dengan fenomena bulan penuh. Berbalik kepada puisi ini, setiap baris awal puisi ini dimulai dengan frasa / Di malam bulan lima belas/ kecuali pada rangkap keempat. Uniknya, setiap bait puisi ini menceritakan tentang masa lalu yang berbeza-beza, dari masa kanak-kanak yang penuh dengan keseronokan, sehinggalah ke masa remaja yang mula mengajar penyair untuk memahami diri serta memikirkan masa depan. Bingkisan penuh puisi ini seperti berikut:
Di malam bulan lima belas
terimbas sekurun kenangan
zaman kanak-kanak
main kejar-kejar di pintu senja
“kau kena sentuh, kau jadi.”
Di malam bulan lima belas
terimbas sekurun kenangan
zaman meniti batas remaja
mula memalu pada kaum hawa
belajar berbicara mengguna pena.
Di malam bulan lima belas
Terimbas sekurun kenangan
Menyelam alam dewasa
Sedayanya menyusun usaha
Idamkan hidup lebih selesa.
Di malam bulan lima belas
Kurenungi hakiki diri
Sezaman kisah silam kutinggalkan
Kini, telah kutemui impian
Aku bersyukur kepada tuhan.
Tidak dinafikan bahawa puisi sememangnya berperanan untuk menggambarkan ekspresi perasaan seorang penyair. Namun begitu, ia tidak seharusnya dinyatakan secara berterus terang. Hal ini kerana pemilihan diksi yang tepat dapat menunjukkan makna puisi yang lebih mendalam serta mampu menghasilkan respons atau tafsiran yang berbeza bagi setiap pembaca. Membaca empat rangkap puisi di atas, seperti membaca luahan rasa hati penyair tentang kenangan dan kedewasaan. Adakah salah menaratifkan pengalaman dan kenangan lewat puisi? Tentu sekali tidak salah, namun penyataan diri yang berlebihan tidak berupaya membantu penyair merintis gagasan dan pemikiran yang lebih besar dalam dunia kepenyairan.
Selain itu, terdapat pilihan diksi dalam puisi ini yang memerlukan pemurnian. Misalnya pada frasa /Terimbas sekurun kenangan/ yang terlalu bombastik sifatnya. Hal ini dikatakan sedemikian kerana kata ‘sekurun’ membawa makna jangka masa seratus tahun. Tentu sahaja garis masa ini terlalu lama. Justeru dicadangkan agar baris tersebut dimurnikan menjadi /Di malam bulan lima belas/ kuterimbas kenangan/. Contoh terbaik dalam binaan diksi bagi puisi ini dapat diperhatikan pada rangkap keempat baris pertama dan kedua iaitu /di malam bulan lima belas / kurenungi hakiki diri/.
Puisi terakhir berjudul “Pilu Di Bahu” karya Mohd Hapizan tampil dalam satu rangkap yang padat binaan diksinya. Walaupun puisi ini ringkas, namun ia berupaya mengocak jiwa pembaca untuk menyelam ke dasar makna yang lebih dalam. Dari segi makna, puisi ini tentang kepiluan, kenangan, kesedihan dan bebanan yang dihadapi oleh penyair dalam kehidupan. Bingkisan penuh puisi ini seperti berikut:
Sebakul pilu di bahu
Yang kupikul selalu
Sudah menjadi kebiasaanku.
Diteman malam,
Ketika sukma berkocak-kocak
Yang akhirnya banjir kelopak mata.
Walaupun puisi ini sarat dengan pemerian keperibadian penyair, namun ia tidak berkelintaran dalam jagat diri penyair sahaja. Hal ini kerana setiap manusia pasti pernah ‘memikul pilu’ serta ‘banjir di kelopak mata’ dalam menempuhi ranjau kehidupan yang mencabar. Dalam puisi, persoalan kesedihan, kepiluan dan bebanan dalam kehidupan merupakan sesuatu yang klise. Kendatipun begitu, dalam puisi ini penyair didapati berjaya menimbulkan kesan estetika serta membangkitkan perasaan dan emosi pembaca. Semoga bentuk dan gaya sebegini sentiasa ditambah baik oleh penyair dalam penciptaan puisi-puisi yang lain pada masa akan datang.
Berpandukan perbincangan di atas, jelas ketiga-tiga puisi yang tersiar di ruangan ini pada minggu lepas mempunyai kekuatan dan kelemahan yang tersendiri. Pun begitu, segala teguran dan pandangan di ruangan ini bukan bersifat mutlak kerana setiap pembaca mempunyai cara fikir dan pentafsiran yang tersendiri. Namun yang lebih penting, sematkan iltizam dan kesungguhan untuk terus belajar menenun kata menjadi diksi yang indah. Hal ini penting kerana puisi yang baik adalah karya seni yang mampu menggugah perasaan dan emosi pembacanya, memberikan nilai estetika yang tinggi, dan memiliki kemampuan untuk menyampaikan pesan atau idea dengan cara yang unik dan kreatif. Teruskan berkarya!