Oleh Dilah Tuah
PUISI merupakan sebuah karya sastera yang padanya terkandung keindahan, pemikiran, kesatuan kata yang utuh serta mampu mengocak jiwa pembaca. Konsep ini bukan sesuatu yang baharu dalam dunia kepenyairan dunia, malah telah diperkatakan oleh Horace dalam Ars Poetica (Seni Puisi) yang menegaskan bahawa puisi perlu memiliki dulce et utile, iaitu keindahan yang bermanfaat. Sehubungan itu, menulis puisi bukan sekadar hobi untuk mengisi masa terluang atau mencari wang sampingan. Hal ini dikatakan sedemikian kerana kemenjadian sesebuah puisi adalah untuk menambah pengetahuan, etika serta kejujuran kepada penyair dan khalayak pembaca. Hakikat ini selari dengan pandangan Anis Sabirin (1973) dalam Mengenal Puisi yang mengatakan bahawa puisi terbentuk daripada susunan bahasa yang bukan sahaja bertujuan untuk menghasilkan bunyi yang menarik tetapi juga untuk menyampaikan sesuatu amanat dengan lebih bermakna dan bijaksana.
Apabila berbicara tentang konsep dulce et utile dalam puisi, pasti ramai dalam kalangan penyair muda yang tidak menghiraukan keperluan ini semasa menghasilkan puisi. Justeru, tidak hairanlah ramai dalam kalangan penyair muda yang hanya memberikan fokus kepada konsep keindahan atau estetika dalam penulisan puisi sehingga meminggirkan keperluan untuk menghadiahkan segugus kata yang bermanfaat kepada pembaca. Hal ini dikatakan sedemikian kerana tugas sebenar seorang penyair adalah untuk meluaskan pengalaman, menambah kosa kata, mendamaikan resah, memberikan kesenangan dan paling penting menimbulkan kesedaran dalam diri pembaca. Kendatipun begitu, kebanyakan penyair muda didapati lebih cenderung menghasilkan puisi yang memasukkan pemerihalan peribadi secara berlebihan. Impaknya, puisi yang dihasilkan hanya meninggalkan kesan kenangan kepada penyair dan tidak membekaskan kesedaran mahupun pengalaman kepada khalayak pembaca.
Adakah salah bagi seseorang penyair merakamkan kenangan dan pengalaman peribadi dalam puisi? Jawapannya tentu sekali tidak, kerana pemerihalan yang bersifat introspeksi sememangnya berupaya memberi kesan yang luar biasa kepada pembaca. Hal ini dikatakan sedemikian kerana pemerihalan introspeksi merupakan satu proses penilaian diri (fikiran, idea dan perasaan) yang mendalam. Menurut Qurratul ‘Ain Abdul Rahman et al. (2018), “introspeksi” atau “muhasabah diri” menjadi lorong untuk pembaca melakukan proses merenung diri atau pencerminan diri daripada puisi yang dibaca. Misalnya puisi-puisi Sasterawan Negara Usman Awang seperti “Kekasih”, “Ke makam Bonda”, “Jiwa Hamba” dan lain-lain yang membentangkan pemerihalan diri, namun berupaya menjentik jiwa halus pembaca. Tahap pemerihalan sebeginilah yang menjadi gagasan Horace dalam mencetuskan konsep dulce et utile. Dalam Islam, introspeksi dalam puisi didapati berupaya mendorong penyair dan khalayak ke arah penyucian jiwa secara reflektif.
Bertitik tolak daripada kupasan di atas, tiga buah puisi yang tersiar di ruangan ini pada minggu lepas akan menjadi asas perbincangan. Tentu sekali perbincangan ini tidak terbatas dalam menjejaki dulce et utile dalam tiga buah puisi yang terpilih. Aspek-aspek puisi yang lain turut dibincangkan agar ulasan ini dapat memberi nilai tambah kepada para penyair muda dalam menghasilkan puisi-puisi yang indah dan bermanfaat pada masa akan datang. Tiga buah puisi yang akan dibincangkan dalam ulasan ini ialah “Secebis Hati yang Luka” karya Davidsal Jimmy Berayen, “Dari Mata ke Tangan” karya Benedict Anak Samling dan “Menelusuri Waktu”hasil nukilan Dayangku Aisah Awg. Taha.
Puisi pertama berjudul “Secebis Hati yang Luka” merupakan hasil nukilan Davidsal Jimmy Berayen. Membaca puisi ini akan menemukan khalayak kepada beberapa perkataan yang jarang digunakan dalam perbualan harian seperti ocehan (kicauan), risi (berasa geli), senandika (bercakap seorang diri), arungan (di tengah lautan yang dalam) dan candra (bersinar). Pemilihan diksi sebegini amat penting bagi menambah dan mengembangkan kosa kata pembaca di samping membawa keluar puisi daripada penggunaan bahasa seharian yang biasa dan menjemukan. Justeru dalam hal ini jelas penyair telah berusaha untuk menyaring diksi agar puisi yang dihasilkan dapat memberi sesuatu yang segar dan baharu kepada khalayak pembaca. Dari sudut bentuk, puisi ini didapati lebih banyak memerihalkan tentang perasaan, kesedihan dan kekecewaan penyair sehingga tiada makna tersirat yang perlu dibongkar dan falsafah yang perlu ditelaah oleh pembaca. Bingkisan penuh puisi ini adalah seperti di bawah.
Ketika fajar sidik mendatang,
Kucuba nyah hati yang bejat,
Mendengar ocehan yang tidak benar,
Sudah risi kumendengar.
Saat serapah memenuhi ruang fikiran,
Hadir sungai di hujung mata,
Galang kepala juga penat mendengar sedan,
Menjadi saksi kala bibir hilang kata.
Remuknya jiwa ingin dianggap,
Mendabik di kejamnya dunia,
Namun sekadar mimpi si kerdil,
Perlahan hilang dalam kepekatan malam.
Senandikaku berbicara,
Gagahlah menongkah aral,
Menghirup pawana, menghembus lara,
Kusembunyikan rasa di arungan hati.
Saat candra kembali menjenguk,
Masih bersisa secebis hati yang luka.
Dari sudut keindahan yang bermanfaat, tidak dinafikan penyair telah berusaha sebaik mungkin untuk berkelahi dengan kata-kata bagi mendapatkan pilihan diksi yang terbaik. Pun begitu, puisi bukan sekadar susunan kata-kata indah yang disulam dengan alunan irama dan rima. Puisi memerlukan pengisian batiniah yang dapat memberi kesan estetika serta memandu khalayak untuk mencari kebenaran. Perhatikan sahaja pada rangkap pertama hingga keempat puisi ini, kesemuanya tentang diri penyair. Persoalannya kini, apakah dengan merintih dan meratap dapat memberi manfaat kepada pembaca? Ya, pembaca mungkin terkesan secara tidak langsung semasa membaca puisi ini, namun tidak sampai ke tahap yang dapat memberikan kesan keinsafan, kesedaran dan pengajaran kepada pembaca.
Selain itu, terdapat beberapa kesalahan dalam penulisan kata singkatan ‘ku’ dalam puisi ini. Dalam sistem penulisan bahasa Melayu, kata ganti singkat ‘ku’ dieja bercantum dengan kata yang mendahuluinya atau mengikutinya. Misalnya ‘ku cuba’ dieja ‘kucuba’, ‘ku mendengar’ menjadi ‘kumendengar’ dan sebagainya seperti yang telah dihitamkan pada baris puisi di atas. Dalam dunia sastera, penyair mempunyai lesen puitika (licentia poetica) dalam berkarya, namun kesalahan dalam penulisan perlu dielakkan. Hal ini dikatakan sedemikian kerana penyair merupakan insan yang paling sensitif dalam hal yang berkaitan dengan bahasa, cermat dalam memilih kata dan tekun menyusun diksi menjadi puisi. Selain aspek-aspek yang telah dibincangkan tadi, dicadangkan agar penyair dapat menghasilkan sebuah puisi yang lebih kental serta berupaya memberi kesan yang mendalam kepada khalayak pembaca pada masa akan datang.
Puisi seterusnya berjudul “Dari Mata ke Tangan” hasil nukilan Benedict Samling hadir dalam tiga rangkap yang mirip bentuk puisi tradisional (pantun). Perkara ini dapat dilihat pada rangkap pertama dan ketiga yang mempunyai rima akhir a-b-a-b. Bagi rangkap kedua pula, pola rima akhirnya ialah a-a-a-a. Dalam penulisan puisi moden, bentuk sebegini turut digunakan oleh Sasterawan Negara Usman Awang dalam menuliskan puisi yang berjudul “Jiwa Hamba”. Perbezaan yang jelas dalam puisi ini ialah pantun menampilkan pembayang dan maksud, namun puisi ini sebaliknya kerana setiap baris dalam setiap rangkap membawa maksud tanpa pembayang. Bingkisan penuh puisi ini adalah seperti di bawah.
Pada matamu
akan kubina titi
ke lubuk hatimu
untuk ditarik jiwa yang sepi.
Pada bibirmu
kutanam tebu
agar hempedu
dihirup semanis madu.
Pada tanganmu
kurenjis air mata
untuk kaukutip sebutir debu
lalu disisip pada matamu.
Sekiranya diperhatikan pada bentuk puisi di atas, jelas puisi ini mudah ditanggapi maknanya oleh pembaca. Penggunaan bahasa biasa yang mudah difahami serta ditambah dengan lirikan pola rima yang sama pada hujung baris telah membentuk idiosinkrasi tersendiri penyair. Biarpun puisi ini masih berkelintar dalam ruang peribadi penulis, namun pemerian tersebut bersifat introspeksi yang berupaya menimbulkan kesan estetika kepada khalayak. Pada rangkap pertama, penyair menyatakan janjinya untuk menghilangkan kesepian dan kesedihan. Pada rangkap kedua, wujudnya unsur paradoks antara frasa /kutanam tebu/ dengan frasa /agar hempedu, dihirup semanis madu/. Gaya bahasa paradoks ini wujud apabila penyair memperlihatkan pertentangan sifat hempedu yang pahit, namun perlu dihirup setelah tebu ditanam di bibir. Apakah setelah janji ditabur (tebu), penyair mahu ‘kekasihnya’ menelan kepahitan (hempedu)?
Selain itu, pada rangkap terakhir puisi ini, iaitu pada baris ketiga dan keempat, penyair didapati agak terburu-buru dalam membuat kesimpulan atau penutup. Perhatikan pada baris /Pada tanganmu, kurenjis air mata/ yang didapati tidak bertautan dengan baris /untuk kaukutip sebutir debu, lalu disisip pada matamu/. Hal ini dikatakan sedemikian kerana perkataan ‘debu’ membawa konotasi yang kurang sesuai untuk dipadankan dengan mata. Mata sebagai pancaindera yang amat penting tentu sekali tidak sesuai disisipkan dengan sebutir debu. Walaupun penyair mahu memanfaatkan gaya bahasa hiperbola dalam puisinya, namun bentuk diksi yang bercanggah atau kurang sesuai dengan situasi yang sebenar akan melemahkan puisi ini. Di sisi yang lain, kejanggalan pada baris ketiga iaitu /untuk kaukutip sebutir debu/ turut dipengaruhi oleh keterikatan penyair dengan pola rima akhir yang diciptakannya sehingga diksi yang sesuai dan tepat sukar untuk dipadankan.
Puisi terakhir berjudul “Menelusuri Waktu” merupakan karya Dayangku Aisah Awg. Taha. Dari segi bentuk, puisi ini terdiri daripada empat rangkap yang mengandungi empat baris yang seimbang, kecuali pada rangka keempat yang memiliki tujuh baris. Dari sudut makna, puisi ini berkisar tentang perjuangan golongan tunanetra dalam menempatkan diri mereka dalam realiti kehidupan yang sebenar. Rintihan ini dapat diperhatikan pada frasa /mereka tetap di situ/ dalam rangkap pertama dan /masih tetap di situ/ pada rangkap ketiga. Penyair turut menegaskan bahawa golongan tunanetra wajar diberi peluang untuk menikmati kehidupan sama seperti insan lain. Hal ini dapat diperhatikan pada baris pertama dan kedua dalam rangkap keempat, iaitu /Berikanlah mereka peluang, menerobos ke seluruh seantero/. Bingkisan penuh puisi ini adalah seperti di bawah.
Waktu terus berlalu
mereka tetap di situ
membilang hari dan waktu
menanti takdir yang menentu.
Nun jauh di sana
kanak-kanak berlari riang
mengejar cita-cita dan impian
tanpa dikekang keadaan.
Tapi mereka,
masih tetap di situ
melewati hari-hari sepi
terkurung dalam gua yang suram.
Berikanlah mereka peluang
menerobos ke seluruh seantero
untuk merasai nikmat kehidupan
biarpun tiada biasan cahaya
mengiring mereka dalam perjalanan
menemui makna yang fitrah
dalam menelusuri waktu yang pasti berubah.
Dari sudut bentuk, puisi ini mudah ditafsir dan difahami maknanya kerana ditulis menggunakan kata denotasi, iaitu kata yang memiliki erti yang sebenarnya serta digunakan dalam interaksi seharian. Tiada penggunaan kata konotasi yang mengandungi makna kias atau bukan kata sebenar ditemui dalam puisi ini. Hal ini menyebabkan puisi ini sedikit polos dan prosaik, khususnya pada baris keempat. Pun begitu, kelemahan tersebut bukan suatu yang mutlak bagi seorang penyair tunanetra yang berjiwa besar. Hal ini terbukti walaupun dalam serba kekurangan, penyair berjaya menghasilkan sebuah puisi yang baik walaupun tanpa melihat ‘biasan cahaya’. Namun, untuk pergi lebih jauh dalam dunia kepenyairan yang luas dan indah, usaha untuk melunakkan lagi bait-bait kata dalam puisi yang akan datang perlu ditekuni dengan sabar.
Rumusannya, ketiga-tiga buah puisi yang tersiar di ruangan ini pada minggu lepas didapati berjaya memperlihatkan sisi kekuatan dan kelemahan penyair dalam menghasilkan puisi masing-masing. Sebagai penyair muda, kerja-kerja penulisan puisi tidak semudah yang disangkakan kerana proses penghasilannya memerlukan ketekunan, ketelitian dan pengalaman. Namun percayalah, penyair yang sanggup menempuhi perjalanan panjang yang beranjau dan berduri, pasti akan menemukan wilayah kepenyairannya tersendiri. Sehubungan itu, jadikan ulasan ini (sekiranya sesuai) sebagai panduan dan pedoman untuk menghasilkan puisi yang lebih indah dan bermanfaat. Semoga dalam tempoh sepuluh tahun yang akan datang, nama-nama penyair muda yang berbakat ini akan menjadi penyair besar yang berwibawa di Bumi Kenyalang. Teruskan berkarya!