TUNTUTAN Sulu ke atas Sabah bukan setakat di Sabah sahaja hari ini, malahan ia menyebabkan hak dua syarikat
subsidari Petronas di Luxembourg telah diberi kepada waris Kesultanan Sulu oleh penimbang tara di Perancis.
HARI ini saya mencoret isu berkisar kepada tuntutan waris Sultan Sulu terhadap Sabah.
Mungkin kita di Sarawak merasakan ia tidak kena mengena tetapi jika melihat konsep negara, kita perlu mengikuti peristiwa ini dengan penuh kesedaran kerana ia melibat masa depan negara kita.
Ini kerana tuntutan Sulu ke atas Sabah bukan setakat di Sabah sahaja hari ini, malah ia menyebabkan hak dua syarikat subsidari Petronas di Luxembourg telah diberi kepada waris Kesultanan Sulu oleh penimbang tara di Perancis.
Pada 11 Julai lalu, peguam pihak yang menuntut itu dilaporkan merampas aset Petronas yang didaftarkan di Luxembourg, iaitu Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus, dengan nilai dilaporkan mencecah lebih AS$2 bilion (RM8.8 bilion).
Namun Petronas dalam kenyataan balasnya memaklumkan sudah melupuskan dua asetnya di Azerbaijan dan hasilnya sudah dipulangkan.
Parti politik pula cuba mempertahankan kedudukan masing-masing dengan mengatakan bukan mereka yang menyebabkan hal ini berlaku.
Oleh itu apa kena mengena kita di Sarawak dalam hal ini? Sebagai rakyat Malaysia seperti dinyatakan awal tadi memang kita perlu tahu.
Kedua isu tuntutan ini yang asalnya adalah mengenai Sabah sahaja tetapi mula memanjang kepada hak Petronas pula. Dengan kata lain ia berkaitan dengan minyak.
Dalam keadaan sedar atau tidak, kita perlu faham bahawa isu ini tidak lagi berkaitan dengan Sabah semata-mata tetapi merebak pula dengan isu-isu lain. Tuntutan Sulu ini menjelaskan kepada kita betapa kuatnya hujahan sejarah mereka ini dapat menidakkan apa yang kita ada hari ini.
Keadaan sama berlaku di Singapura apabila mereka berjaya dalam tuntutan Pulau Batu Puteh yang dimenangi oleh mereka apabila mempunyai bukti kukuh dalam aspek sejarah selain sebab-sebab lain.
Dalam isu tuntutan Sulu ini, kita perlu balik juga kepada sejarahnya. Media antarabangsa dan tempatan sering merujuk kes tuntutan ini kepada 1878, seolah-olah ia bermula pada tahun itu.
Namun demikian data-data sejarah melihat tuntutan ini bukan bermula pada tahun yang disebut tetapi lebih jauh daripada tahun berkenaan iaitu pada abad ke-17.
Peristiwa Pulau Chermin
Jika kita amati sejarah Sabah termasuk Sarawak, kuasa yang mendominasi kawasan utara Borneo sebelum kedatangan kuasa Barat adalah Kerajaan Melayu Brunei. Mereka telah menguasai wilayah yang besar dari Tanjung Datu hingga ke Sabah.
Malah zaman kegemilangan kesultanan ini pernah menguasai sampai ke Pulau Luzon. Itulah hebatnya Brunei pada satu ketika dahulu.
Dalam tempoh kekuasaan ini menunjukkan bahawa Sabah adalah sebahagian wilayah Brunei ketika itu. Kehebatan Brunei ini juga diuji dengan pertelingkahan kuasa dalaman Brunei. Salah satu pertelingkahan itu adalah Peristiwa Pulau Chermin.
Cerita mengenai Pulau Chermin ini sebenarnya panjang tetapi dalam wacana ini dipendekkan sedikit. Peristiwa ini bermula dengan pertelingkahan takhta kerajaan selepas kemangkatan Sultan Muhammad Ali yang dikujutkan (1660-1661).
Pemergian Sultan Ali mengusutkan keadaan apabila wujud dua sultan di Brunei iaitu Sultan Abdul Hakkul Mubin (1661-1673) dan Sultan Muhyiddin (1673-1690). Sultan Abdul Hakkul Mubin kemudiannya berpindah ke Pulau Chermin.
Sultan Muhyiddin kemudiannya memohon pertolongan daripada Sultan Sulu iaitu Sultan Shahbuddin untuk menyelesaikan isu di Brunei. Disinilah bermulannya janji menyerahkan negeri-negeri di utara Borneo kepada Sultan Sulu. Sultan Sulu bersetuju untuk membantu.
Apabila selesainya masalah di Pulau Chermin, Sultan Sulu menuntut janji daripada Sultan Muhyiddin tetapi ditolak. Alasan penolakan ini kerana tentera Sulu tidak membantu tentera Sultan Muhyiddin dan sebaliknya bersembunyi di Pulau Keingaran. Mereka hanya membantu apabila tentera Sultan Muhyiddin mencapai kemenangan.
Walaupun ditolak tetapi Sulu masih menuntut janji Sultan Muhyiddin. Kesultanan Brunei di satu pihak pula amat bertegas untuk tidak mengakui tuntutan ini dan masih berpegang kepada haknya ke atas utara Pulau Borneo. Ketegasan Kesultanan Brunei mengenai hal ini dibuktikan tindakan menghalau utusan Datu Tating dari utara Pulau Borneo.
Konsul Amerika
Tuntutan Sulu ke atas Brunei ini berterusan sehingga abad ke-19. Pada abad itu, senario politik antarabangsa berubah apabila kuasa Barat mula melakukan penjajahan dan kawalan ekonomi dunia. Kesultanan Brunei pada ketika itu ditahap lemah kerana masalah dalaman dan pencerobohan kuasa Brooke di Sarawak.
Pada 1865, Brunei menerima seorang Konsul Amerika Syarikat iaitu Charles Lee Moses. Apa yang menariknya di dalam perlantikan ini ialah Sultan Brunei bersetuju memajak utara Borneo (iaitu Sabah) selama 10 tahun kepada Moses dengan bayaran tahunan.
Tujuan penyerahan ini ialah untuk mengimbang kuasa Brooke di Sarawak yang mengancam kedaulatan empayar Brunei.
Moses kemudiannya menjual pajakan beliau ini kepada saudagar Hong Kong, Joseph Torrey. Untuk menjustifikasi penjualan ini, maka Torrey berunding dengan Sultan Brunei.
Rundingan ini membawa kepada pengesahan Sultan Brunei terhadap pegangan pajakan tersebut. Sultan Brunei juga mengakui Torrey sebagai pemimpin tertinggi dan gabenor di utara Borneo dengan gelaran Raja Ambong dan Marudu, dan Seri Maharaja Borneo Utara.
Penyerahan ini menampakkan bahawa utara Borneo itu adalah hak Brunei dan tidak diserahkan kepada mana-mana kuasa sebelum itu. Torrey bersama-sama rakan kongsinya menubuhkan American Trading Company dan memulakan pelaburan di Kimanis (yang dikenali sebagai Ellena).
Namun demikian Torrey dan sekutunya gagal untuk memajukan pegangan mereka di Kimanis. Akhirnya beliau pada 1875 menjual pula pegangan ini kepada Baron Von Overbeck iaitu Konsul General Austria di Hong Kong.
Perjanjian
Overbeck kemudian menawar kepada Alfred Dent untuk menjadi rakan peniagaan bersama dalam pegangan di Borneo Utara. Bagi mengesahkan pegangan ini, maka Overbeck datang ke Brunei dan menandatangani perjanjian dengan Sultan Brunei.
Perjanjian yang ditandatangani pada Disember 1877 ini menyerah kawasan dari Teluk Gaya di pantai barat ke Sungai Sibuku di sebelah pantai timur dengan bayaran tahunan sebanyak $15,000. Perjanjian ini menampakkan bahawa Brunei masih lagi berpendapat bahawa seluruh utara Borneo itu milik mereka.
Walaupun perjanjian dengan Brunei jelas menunjukkan bahawa Brunei tidak berganjak dengan tuntutan Sulu tetapi Overbeck dan Dent pergi ke Sulu untuk mendapatkan persetujuan dari Sultan Sulu.
Dalam perjumpaan pada Januari 1878 ini, Sultan Sulu bersetuju menyerahkan Pandasan ke Sibuku kepada Overbeck dan Dent. Penyerahan ini melibatkan bayaran sebanyak $5,000 setahun.
Selepas tahun tersebut terdapat beberapa lagi peristiwa yang mencabar kesahan tuntutan itu.
Peristiwa sebelum 1878 juga memberi semacam persoalan mengenai kesahan tuntutan tersebut. Oleh itu fakta sejarah tidak boleh dilihat hanya pada satu sudut tanpa mengaitkan peristiwa lain yang juga mempunyai makna tersendiri dalam tuntutan tersebut.
Secara kesimpulannya tuntutan Sulu ini menjadi duri dalam daging hubungan Malaysia dan Filipina. Ia semakin hangat pada hari ini dan tahun-tahun mendatang. Oleh itu isu ini perlu dibendung agar tuntutan ini tidak mengancam kedaulatan negara.
Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Progran Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia.