Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WBS
  • Menjaring Nilai dalam Plot : Cerpen sebagai Medium Pendidikan Jiwa Remaja
  • WBS

Menjaring Nilai dalam Plot : Cerpen sebagai Medium Pendidikan Jiwa Remaja

Utusan Sarawak 2 days ago

KEPENTINGAN nilai-nilai luhur dalam sesebuah karya sastera merupakan lantunan daripada dunia kehidupan yang sarat dengan dugaan dan cabaran. Seperti yang pernah ditegaskan oleh Sasterawan Negara Shahnon Ahmad, “Sastera bukan hanya alat hiburan, tetapi medan perjuangan untuk membina jiwa manusia.” Karya yang berlandaskan nilai tidak sekadar mencerminkan realiti, malah mencabar pembaca untuk menilai dan memperbaiki diri.

Hal ini selari dengan pandangan Abdul Rahman Munif, seorang Sasterawan Arab Moden, “Sastera bukan hanya untuk menyenangkan tetapi untuk menyentuh dan menyedarkan.”

Justeru, dalam jagat persuratan Melayu, kepentingan karya sastera yang menyuguhkan nilai dan pengajaran wajar diraikan lebih-lebih lagi apabila nilai-nilai tersebut diperoleh melalui pengalaman peribadi, termasuk daripada bidang kerjaya yang memungkinkan penulis berhadapan secara langsung dengan individu yang ingin berubah setelah melakukan kesalahan.

Sesebuah karya boleh menjadi wasilah yang bermanfaat untuk masyarakat  yang dijadikan panduan dan iktibar dalam kehidupan. Perakaman peristiwa yang realistik dalam masyarakat pastinya menyisipkan ibrah dan tarbiah sebagai bentuk teguran serta peringatan.

Elemen pengajaran dan pendidikan ini bukan hanya menyentuh masyarakat kebanyakan, malah turut menyentuh golongan tersisih yang sering dipinggirkan bukan sahaja oleh sistem tetapi oleh masyarakat itu sendiri.

Demikianlah reaksi awal tatkala membaca cerpen “Kasih Tidak Terputus” karya Q Hakeem yang merupakan siaran khas sempena Minggu Penulis Sinar Harapan dengan kerjasama Penjara Puncak Borneo, Kuching.

Itulah antara kekuatan pengarang yang menjadikan karyanya sebagai medium atau wahana penerapan nilai yang berkesan daripada pengalaman dan pemerhatiannya.

Cerpen ini merupakan sebuah naratif yang sarat dengan nilai-nilai kemanusiaan dan pelajaran hidup, khususnya dalam konteks pembangunan sahsiah remaja dan institusi keluarga.

Cerminan realiti sosial yang kompleks dipaparkan, iaitu tentang perpisahan, kesempitan hidup, kehilangan, kejatuhan moral dan akhirnya kebangkitan peribadi. Watak utama, Hakim, menjadi simbol kepada generasi muda yang teruji namun masih mempunyai ruang untuk dipulihkan menerusi kasih sayang, pendidikan dan peluang kedua.

Menurut Hamka dalam karyanya Lembaga Hidup, “Sastera yang baik ialah sastera yang menanamkan nilai dan memperbaiki budi.” Dalam hal ini, cerpen ini tidak sekadar mendokumentasikan peristiwa tetapi secara halus menanam nilai luhur dan menyampaikan pendidikan rohani serta sosial yang signifikan.

Antara nilai utama yang ditonjolkan dalam cerpen ini ialah kasih sayang dalam institusi keluarga yang menyorot tentang tekanan hidup telah memaksa ibu bapa menyerahkan anak kepada keluarga lain namun pertalian darah tetap mencipta getar emosi apabila Hakim akhirnya bertemu dengan adik kandungnya, Haziq.

Meskipun pertemuan itu berlaku seketika sebelum kematian Haziq, namun sudah cukup mengungkapkan kekuatan nilai kasih sayang yang tidak pernah benar-benar terputus.

Nilai ini sangat penting seperti dinyatakan oleh Lawrence Kohlberg dalam Teori Perkembangan Moralnya bahawa sokongan emosi dan persekitaran yang penuh empati memainkan peranan penting dalam penyuntikan rasa insaf dan perubahan tingkah laku.

Cerpen ini menyentuh aspek tersebut apabila ibu Hakim tetap memberi sokongan dan kemaafan walaupun anaknya telah melakukan kesalahan yang besar seperti dialog yang sering diucapkannya:

“Ibu sayangkan Hakim. Kami semua sayangkan Hakim.”

Cerpen ini turut mengetengahkan tentang pendidikan tidak formal yang berlaku melalui institusi keluarga. Ibu dan ayah Hakim digambarkan sebagai watak yang tidak pernah berhenti memberi dorongan dan teguran malahan ibunya sentiasa menanamkan harapan dan motivasi:

“Hakim belajar betul-betul tau. Jadi macam kakak.”

Pandangan ini selari dengan pandangan Bronfenbrenner dalam Ecological Systems Theory yang melihat keluarga sebagai mikrosistem penting dalam perkembangan anak-anak melalui pendidikan tidak formal.

Lebih daripada itu, cerpen ini memaparkan pendidikan melalui pengalaman atau experiential learning. Ketika Hakim melalui fasa kejatuhan, iaitu dibuang sekolah apabila melakukan kesalahan moral, ditahan polis dan akhirnya dihukum penjara; semua itu menjadi proses pembelajaran yang membina kesedaran dan keinsafan. Perkara ini bertepatan dengan pandangan John Dewey yang menekankan bahawa “pendidikan sebenar ialah kehidupan itu sendiri.”

Perubahan sikap Hakim selepas kejatuhannya memperlihatkan nilai keinsafan yang mendalam. Dia bukan sahaja kembali memberi tumpuan kepada pelajaran, malah akhirnya berjaya mencapai keputusan yang baik dalam peperiksaan SPM.

Nilai ini amat penting dalam pembentukan semula jati diri remaja. Dalam konteks pendidikan karakter, Thomas Lickona menekankan bahawa proses membina akhlak bukan bersifat sehala, tetapi memerlukan “kesedaran, motivasi dalaman dan sokongan sosial yang menyeluruh.”

Cerpen ini memberikan dimensi tersebut apabila keluarga tidak membuang atau menghukum sepenuhnya, sebaliknya masih menyokong perjalanan perubahan Hakim.

Akhirnya, cerpen ini memberikan penekanan bahawa pendidikan merupakan saluran utama untuk membina semula masa depan walaupun seseorang telah tergelincir daripada landasan asal.

Watak Hakim yang berjaya bangkit dan menebus maruah melalui peperiksaan SPM merupakan simbolisme bahawa pendidikan ialah wahana pemulihan dan pengharapan.

Dalam konteks ini, sasterawan Shahnon Ahmad juga pernah menyatakan bahawa “sastera adalah medan perjuangan untuk membina jiwa.” Maka, cerpen ini berfungsi sebagai wahana naratif yang mendidik pembaca agar tidak cepat menghukum tetapi memberi ruang kepada perubahan dan kebangkitan.

Di sinilah letaknya kekuatan cerpen ‘Kasih Tidak Terputus’ yang bukan sekadar catatan naratif tentang kehidupan seorang remaja bermasalah tetapi merupakan sebuah karya yang padat dengan nilai kemanusiaan dan pendidikan moral.

Perkara ini pastinya bertepatan dengan leitmotif cerpen itu dihasilkan, iaitu untuk melampiaskan pengalaman dan emosi lantas memberikan pengajaran kepada pembaca. Tema kasih sayang dan keinsafan telah menjadi teras kepada proses pendidikan yang menyeluruh sama ada secara formal mahupun melalui pengalaman hidup.

Walaupun cerpen ini membawa mesej sosial dan pendidikan yang kuat namun dari segi binaan plot, pengarang perlu memberi penekanan kepada beberapa aspek yang menunjukkan kelemahan kepada kesepaduan cerpen ini untuk menjadi karya sastera yang menarik.

Kekuatan nilai dalam karya ialah jiwa yang menghidupkan dan menggerakkan perasaan, juga menyampaikan makna yang mendalam kepada pembaca. Manakala plot pula boleh dianalogikan sebagai rangka tulang atau kerangka tubuh. Binaan plot inilah yang membentuk struktur asas, menyusun peristiwa dan menentukan arah perkembangan cerita.

Tanpa kerangka yang tersusun, naratif akan menjadi longgar dan tidak bermaya sebagaimana tubuh tanpa kerangka menyebabkan seseorang itu menjadi lumpuh atau tidak dapat menopang fungsi tubuh yang lain.

Antara kelemahan ketara yang dikenal pasti pada cerpen tersebut adalah dari aspek struktur plot yang longgar. Menurut Gustav Freytag dalam bukunya Technique of the Drama (1863), binaan plot dramatik yang baik mestilah mempunyai lima tahap utama: eksposisi (pengenalan), peningkatan aksi (rising action), klimaks, penurunan aksi (falling action) dan peleraian. Dalam cerpen ini, struktur ini tidak berkembang dengan mantap.

Plot dibina seperti rentetan episod atau memoir bersiri; bermula dengan kenangan masa kecil, pertemuan adik kandung, kematian mengejut, kejatuhan moral dan akhir sekali, pemulihan dan penahanan. Namun begitu, tiada satu konflik utama yang diangkat dan digarap secara tuntas sebagai teras cerita.

Perkara ini menyebabkan pembaca sukar mengenal pasti titik klimaks sebenar dan perkembangan dramatik dalam cerpen berkenaan. Cerpen yang diolah oleh pengarang lebih menyerupai autobiografi ringkas yang tidak ditopang dengan ketegangan naratif yang jelas.

Selain itu, pengarang juga tidak memfokuskan konflik secara konsisten. Plot cerpen yang baik seharusnya berputar di sekitar satu atau dua konflik utama yang dikembangkan secara progresif.

Dalam cerpen ini, pengarang cuba memasukkan terlalu banyak konflik – perasaan rendah diri Hakim terhadap kecemerlangan kakaknya,  pertemuan mengejut dengan adik kandung, konflik emosi terhadap kematian Haziq, konflik disiplin di sekolah dan masalah sosial dan akhir sekali melalui konflik undang-undang dan keinsafan.

Aristotle dalam Poetics menyatakan bahawa plot terbaik adalah yang bersifat unity of action, iaitu mempunyai kesinambungan dan tumpuan kepada satu konflik utama. Dalam cerpen ini, konflik terlalu berselerak sehingga pembaca hilang tumpuan terhadap klimaks dan resolusi utama.

Kelemahan lain yang perlu diambil perhatian oleh pengarang ialah perkembangan watak yang tidak menyeluruh dan dilakukan secara tergesa-gesa. Watak Hakim mengalami perubahan besar daripada seorang pelajar lemah menjadi  remaja bermasalah dan akhirnya insaf selepas menjalani hukuman. Namun proses transformasi ini berlaku terlalu cepat dan kurang dibangunkan secara emosi.

E.M. Forster dalam Aspects of the Novel menekankan bahawa watak dinamik (round character) perlu diperlihatkan melalui perkembangan emosi dan tindakan yang dipercayai bukan hanya melalui naratif luaran.

Dalam cerpen ini, perubahan Hakim banyak diceritakan (telling) dan kurang ditunjukkan (showing) melalui konflik dalaman atau interaksi dramatik. Contoh yang jelas adalah apabila sikap Hakim untuk berubah sebelum SPM berlaku secara tiba-tiba tanpa didorong oleh peristiwa besar atau detik kesedaran yang dramatik.

Pengarang perlu memberikan kewajaran atas perubahan tersebut agar memberikan kesan emosi dan mental kepada pembaca.

Sememangnya pengarang mempunyai usaha untuk mewujudkan elemen kejutan dalam cerpennya namun unsur kejutan itu disusun dengan lemah. Kematian watak Haziq boleh menjadi titik penting yang berpotensi menjadi turning point dalam hidup Hakim.

Namun, peristiwa ini berlaku secara tiba-tiba dan tidak cukup dibina dengan teknik saspens, bayangan awal (foreshadowing) atau perincian dramatik. Chekhov, pengarang terkenal Rusia, pernah menegaskan prinsip naratifnya yang masyhur: “If in the first act you have hung a pistol on the wall, then in the following one it should be fired.”

Dalam konteks cerpen ini, kemunculan Haziq hanya ‘digantung’ sebentar dalam naratif, lalu dimatikan tanpa pengembangan emosi. Potensi dramatik hilang apabila pengarang tidak membangunkannya secara berperingkat.

Antara masalah yang sering dihadapi oleh seseorang penulis adalah untuk menghasilkan pengakhiran cerpen yang memukau, penuh kejutan yang diselitkan dengan plot twist.

Perkara yang perlu dielakkan oleh pengarang adalah ‘menyumbat’ pengajaran pada pengakhiran cerpen sehingga menghilangkan elemen dramatik cerpen berkenaan.

Perkara ini dilakukan oleh pengarang dalam cerpen ini. Watak Hakim dijatuhi hukuman penjara selama tiga tahun namun masih positif terhadap masa depan.

Penutup ini membawa mesej pendidikan dan keinsafan yang baik namun dari segi plot, perkara ini disampaikan secara langsung dan kurang simbolik atau puitis; seolah-olah menyimpulkan cerita dengan mesej moral yang eksplisit.

Menurut Aminuddin Baki dalam Pengantar Sastera (1982), “Cerita yang baik bukan sekadar memberikan jawapan tetapi mengajak pembaca berfikir.” Dalam cerpen ini, penutup lebih bersifat ‘memberitahu’ daripada ‘menggugah emosi’.

Selain itu, perlu ada beberapa penambahbaikan dari aspek bahasa untuk menjadikan cerpen ini mampu diangkat ke tahap yang lebih tinggi. Keris Mas ada menegaskan bahawa: “Sastera bukan sekadar menyampaikan cerita, tetapi menzahirkan keindahan makna melalui keindahan bentuk.”

Ada beberapa kelemahan ketara dalam cerpen ini seperti penggunaan bahasa yang klise dan tidak segar malah sering kali diulang dalam karya popular remaja. Contoh yang dipetik daripada cerpen berkenaan:

            Air mataku mengalir deras di pipi …

            Aku hanya diam membisu dan menundukkan kepala.

Ungkapan seperti ini kurang memiliki kesegaran ekspresi dan tidak memberi impak estetika tinggi kepada pembaca malah lebih bersifat laporan emosi berbanding penggambaran latar atau emosi yang hidup.

Disarankan agar pengarang menggunakan metafora atau imejan baru yang mencipta kesan estetik dan menyentuh lebih mendalam, contohnya:

Tangisan itu jatuh senyap seperti hujan ke tanah tanpa gema.

Pengarang juga hanya menggunakan bahasa literal sehingga tidak dijumpai penggunaan gaya bahasa laras tinggi seperti penggunaan simbol, perlambangan atau metafora konseptual yang akan meningkatkan kedalaman makna. Hanya satu sahaja contoh imejan yang dijumpai dalam cerpen ini : “…ibarat layang-layang yang terputus talinya.”

Perumpamaan ini sudah sering digunakan menyebabkan naratifnya tidak berupaya memberi interpretasi lapis kedua (subtext) yang lebih mendalam.

Menurut Prof. Muhammad Haji Salleh, karya yang bernilai bukan hanya menyatakan, tetapi “menimbulkan makna berlapis dan menuntut renungan.” Ternyata cerpen ini lebih banyak menyatakan secara langsung berbanding menyiratkan atau menimbulkan renungan melalui simbol atau lambang.

            Dalam penulisan cerpen atau novel, dialog berperanan untuk meningkatkan dimensi emosi terhadap perwatakan watak yang menggerakkan cerita. Dialog dalam cerpen ini ringkas dan bersifat harian serta kurang meningkatkan lapisan psikologi dan kadangkala terlalu lurus hingga gagal menggambarkan kedalaman konflik. Contoh dialog dari cerpen :

“Ibu sayangkan Hakim. Kami semua sayangkan Hakim.”

Ungkapan ini menyatakan secara terus (expository) dan tidak memberi ruang pembaca untuk merasai kasih sayang itu melalui tindakan atau perlambangan.

Dicadangkan supaya dialog tersebut digantikan dengan tindakan kecil yang sarat emosi seperti genggaman tangan yang bergetar, pandangan mata yang bergenang, atau pelukan yang penuh pengharapan untuk menyatakan kasih sayang tanpa berkata-kata secara literal.

Walau bagaimanapun, cerpen ini secara keseluruhannya tetap berkesan dari aspek gaya bahasanya yang sederhana dalam menyampaikan emosi, konflik dalaman dan juga mesej moral.

Penggunaan bahasanya masih berjaya menyokong struktur naratif dan menyampaikan latar serta suasana secara efektif. Cerpen ini memanfaatkan gaya bahasa naratif yang bersifat langsung dan realistik selari dengan perspektif watak utama sebagai seorang remaja.

Penggunaan ayat-ayat yang pendek, mudah, dan berterus terang membina suara watak yang autentik dan jujur, selaras dengan pendekatan penceritaan secara orang pertama (first-person narration).

Dialog dalam cerpen ini juga menggunakan bahasa pertuturan yang santai untuk mencerminkan suasana kekeluargaan serta latar budaya. Loghat Utara juga digunakan dalam dialog awal sehingga menambahkan lagi unsur tempatan dan keaslian watak sebagai cerminan identiti geografi dan sosiobudaya serta menghidupkan suasana komunikasi keluarga yang semula jadi.

Antara kelebihan lain cerpen ini ialah penggunaan gaya bahasa repitisi yang diaplikasikan sebagai penegasan emosi. Penggunaan frasa atau ayat pendek yang berulang dalam dialog umpamanya telah memberikan penekanan kepada perasaan atau penegasan emosi. Contoh:

“Hakim minta maaf… Hakim minta maaf…”

Dialog ini telah memberi kesan dramatik dan memperlihatkan keterdesakan watak dalam memohon keampunan dan kasih sayang.

Secara keseluruhannya, pengarang mempunyai keupayaan untuk menjadi seorang cerpenis yang berjaya asalkan mempunyai komitmen yang tinggi dalam pembacaan dan penulisan yang perlu bergerak selari untuk memandu bentuk karyanya pada masa akan datang.

Tidak ada kejayaan yang diperoleh dengan menggunakan jalan pintas – semuanya dengan usaha yang bersungguh-sungguh tanpa mengenal penat dan putus asa. Samalah seperti tajuk cerpennya – “Kasih Tidak Terputus” – semoga kasih pengarang dalam bidang penulisan juga tidak putus dengan bakat yang dimilikinya.

Selamat maju jaya.

Oleh Abang Median Abang Said

Continue Reading

Previous: Ibu dalam Diri
Next: PUISI

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.