

31 Ogos setiap tahun menjadi simbol kebebasan yang amat berharga untuk rakyat Malaysia. Kemerdekaan adalah nikmat yang tidak ternilai, hasil pengorbanan pemimpin dan pejuang yang sanggup menggadai harta, tenaga bahkan nyawa demi melihat anak bangsa bebas daripada belenggu penjajahan.
Kita hari ini lahir dalam suasana aman, makmur dan tidak merasai kesukaran generasi terdahulu. Justeru, amat penting untuk kita menghargai nikmat ini. Kemerdekaan bukan sekadar cuti umum atau sambutan meriah tetapi ia adalah satu amanah besar yang menuntut kita mengemudi perjalanan hidup dengan penuh tanggungjawab.
Kemerdekaan juga membolehkan kita membangunkan negara mengikut acuan sendiri dari segi pendidikan, ekonomi, politik, pertanian dan sosial. Semua pencapaian ini adalah hasil daripada rahmat Allah SWT melalui nikmat merdeka. Dalam hal ini, kita juga jangan leka kerana ancaman penjajahan baharu amat licik dan sukar dijangka jika kita tidak bersedia.
Ancaman Penjajahan Baharu
Walaupun penjajah fizikal sudah tiada, hakikatnya kita masih berdepan cabaran baharu. Penjajahan moden datang dalam bentuk yang lebih licik melalui ekosistem ekonomi, budaya, media dan cara fikir.
Negara kuasa besar masih berusaha mengekalkan pengaruh mereka melalui sistem kewangan antarabangsa, perdagangan global dan penguasaan teknologi. Jika kita leka, negara boleh kembali tunduk kepada kuasa asing tanpa perlu dijajah secara ketenteraan.
Inilah sebabnya mengapa kita mesti sentiasa berwaspada. Sejarah membuktikan bahawa kuasa Barat menjajah dengan agenda gold, gospel and glory. Walaupun negara sudah merdeka, kesan itu masih ada termasuk rasa rendah diri sebahagian rakyat yang terlalu mengagungkan bekas penjajah. Maka tugas kita ialah membina jati diri, bangsa dan agama agar tidak hanyut dengan pengaruh luar. Inilah antara impak kemerdekaan yang menuntut kebijaksanaan kita menanganinya.
Menangani Impak Kemerdekaan
Sebagai rakyat merdeka, kita mesti bijak menangani cabaran ini. Antara langkah asas ialah:
• Memerdekakan diri daripada elemen negatif seperti kemalasan, kejahilan dan sikap bergantung pada orang lain.
• Menimba ilmu secara berterusan supaya menjadi warga berkualiti dan berdaya saing.
• Memupuk kesatuan kerana hanya dengan bersatu hati rakyat mampu menghadapi gelombang globalisasi.
Kemerdekaan tanpa kesatuan tidak ada makna. Peribahasa ‘bersatu kita teguh, bercerai kita roboh’ perlu sentiasa dihayati agar ukhuwah bangsa dan umat Islam tidak retak. Kita juga mesti bersedia menghadapi ujian zaman dengan ketahanan jiwa dan kebijaksanaan di samping sentiasa peka dengan realiti persekitaran.
Peka dengan Realiti Persekitaran
Malaysia adalah sebuah negara majmuk. Rakyat daripada pelbagai bangsa, agama dan budaya mesti hidup bersama dalam keharmonian. Oleh itu, kita perlu peka terhadap sensitiviti sesama kita. Apa sahaja perkara yang boleh mencetuskan kekacauan mesti dielakkan.
Kita mesti mengawal tutur kata, sikap dan tindakan agar tidak menyentuh isu sensitif. Perbalahan kaum atau agama hanya akan menghancurkan negara. Ingatlah, harga kemerdekaan tidak boleh dibayar dengan wang. Jika keamanan hilang, darah dan dendam sahaja yang tinggal.
Sebaliknya, kita mesti membudayakan sifat prihatin, tolong-menolong dan bertimbang rasa. Keutuhan masyarakat bergantung pada semangat saling memerlukan. Inilah budaya yang menjamin keamanan negara untuk diwarisi generasi akan datang. Dalam masa yang sama, selagi mampu kita hendaklah sentiasa menyemai sifat syukur atas nikmat kemerdekaan yang kita kecapi ini.
Mensyukuri Nikmat Kemerdekaan
Kemerdekaan adalah nikmat Allah SWT yang teramat mahal. Firman-Nya yang bermaksud: “Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambah nikmat-Ku kepada kamu; dan jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat pedih.”
(Surah Ibrahim: Ayat 7)
Sebagai umat Islam, kita mesti mensyukuri nikmat merdeka dengan:
• Mentaati perintah Allah SWT dan menjauhi larangan-Nya.
• Memperbanyakkan amal ibadah sebagai tanda syukur.
• Menggunakan kuasa merdeka untuk menegakkan syiar Islam dalam kehidupan bernegara.
Kemerdekaan bukan sekadar bebas daripada penjajahan fizikal, tetapi juga pembebasan daripada belenggu pemikiran, budaya dan sistem hidup yang bertentangan dengan akidah. Kini kita mempunyai peluang mentadbir negara dengan acuan sendiri dan inilah kemerdekaan hakiki yang mesti dijaga. Turut menjadi tanggungjawab generasi kini untuk bersama mempertahankannya.
Tanggungjawab Generasi Kini
Generasi hari ini perlu sedar bahawa nikmat kemerdekaan datang bersama amanah. Jangan leka dengan keselesaan sehingga lalai menjaga negara. Kita mesti terus berusaha memperkukuh perpaduan, meningkatkan ilmu dan mempertahankan kedaulatan tanah air.
Jika dahulu pejuang merdeka berkorban nyawa demi negara, perjuangan kita hari ini ialah mengekalkan keamanan, membina masyarakat berakhlak dan memerdekakan golongan miskin melalui zakat dan kebajikan. Itulah bentuk pengorbanan moden yang melengkapkan erti kemerdekaan.
Justeru, menjadi kewajipan setiap kita untuk meletak dalam pemikiran atau paradigma kita bahawa kemerdekaan Malaysia bukan sesuatu yang mudah. Ia lahir daripada pengorbanan besar generasi terdahulu. Kita yang menikmati hasilnya tanpa melalui penderitaan penjajahan mesti menghargai nikmat ini dengan sebaik-baiknya.
Kemerdekaan adalah rahmat Allah SWT. Nikmat ini wajib dipelihara dengan kesyukuran, perpaduan dan pengisian rohani serta pembangunan negara yang berterusan. Jika nikmat ini tidak dihargai, ia boleh hilang pada bila-bila masa.
Oleh itu, marilah kita bersama-sama menjaga kemerdekaan ini demi kesejahteraan bersama iaitu untuk kita, anak-anak kita dan generasi mendatang.
Wallahu Alam Bissawab