
KUCHING: Kuching Festival 2025 bakal melabuhkan tirainya Ahad ini dengan menampilkan persembahan istimewa Meniti Cakerawala 2.0, sebuah gabungan seni tari, penceritaan dan sains yang akan dipentaskan di MBKS Theater, Kuching Park pada 7.45 malam.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Dato Wee Hong Seng berkata festival yang berlangsung sejak 25 Julai lalu telah menghidupkan suasana bandar dengan pelbagai aktiviti melibatkan makanan, muzik, tarian, persembahan kebudayaan dan aktiviti kekeluargaan.
“Festival ini bukan sekadar acara tahunan tetapi lambang identiti bandar raya Kuching yang menghargai budaya, kreativiti dan semangat komuniti.
“Ia juga menjadi platform untuk menyokong perniagaan tempatan, mempromosikan warisan Sarawak dan menarik pelancong,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai program tersebut di Bangunan MBKS, hari ini.
Meniti Cakerawala 2.0 akan menampilkan dua tokoh tersohor negara iaitu ahli astrofizik pertama Malaysia, Tan Sri Mazlan Othman dan legenda tari antarabangsa, Datuk Ramli Ibrahim bersama kumpulan penari Sutra Foundation.
Persembahan berdurasi sekitar 90 minit itu bakal menggabungkan naratif mengenai astronomi, eksplorasi angkasa, muzik, puisi dan tarian, diiringi koreografi Datuk Ramli yang diilhamkan daripada keindahan dan misteri alam semesta.
“Ini bukan sekadar persembahan, ia adalah pengalaman yang menyatukan sains dan seni, fakta dan keindahan, pengetahuan dan emosi,” ujar Wee.
Karya tersebut pernah dipersembahkan secara ringkas selama lapan minit di Pusat Lincoln, New York sempena Festival Tari New York ke-35, sekali gus mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.
Masuk adalah percuma namun tempat duduk adalah terhad dan diberikan mengikut urutan ketibaan.
Oleh Amanda L.