Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUM
  • Menilai setahun Anwar menjadi Perdana Menteri
  • KOLUM

Menilai setahun Anwar menjadi Perdana Menteri

Utusan Sarawak 2 years ago
PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada majlis perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri bagi November 2023 di Puspanitapuri, baru-baru ini. FotoBERNAMA

SETAHUN Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri adalah era yang menjanjikan perubahan dan transfromasi tadbir urus dan memacu pembangunan ekonomi negara.  Terdapat pelbagai pandangan mengenainya dalam tempoh setahun daripada pelbagai perspektif. Yang penting apabila Anwar menjadi Perdana Menteri ke-10 ini merupakan peluang terbaik membuktikan kepimpinannya berada dalam hala tuju dan landasan yang diperlukan oleh negara.

Ekonomi dan diplomasi

Pertumbuhan ekonomi dapat dilihat berkembang dari satu suku ke suku seterusnya secara progresif dan kemampuan mengawal kadar inflasi sekitar dua peratus adalah pencapaian terbaik, sedangkan Turkiye mengalami 63 peratus kadar inflasi manakala Australia dan New Zealand sekitar enam peratus. Kadar penggangguran Malaysia masih rendah sekitar tiga peratus. Kunjungan beliau ke luar negara ternyata membawa harapan terbaik negara seperti kunjungan ke dunia Arab, China dan Amerika Syarikat (AS) yang memperlihatkan potensi  kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) yang bakal membawa impak ekonomi jangka panjang Malaysia.

Di peringkat antarabangsa juga, aspek diplomasi dan pendirian terhadap kuasa besar sangat jelas selain tegas terhadap pendirian Palestine di peringkat antarabangsa dan menunjukkan kemahiran beliau dalam menangani cabaran geopolitik dunia dan serantau.

Dihormati dan disegani

Setahun Anwar sebagai Perdana Menteri menyakinkan keperluan meneruskan tatakelola yang baik, pemulihan dan usaha melonjakkan ekonomi rakyat, memastikan kestabilan politik terus berlangsung dengan baik, integriti, dan kepemimpinan yang inklusif serta keadilan.

Untuk menarik sokongan Melayu di negeri jalur Melayu, Anwar perlu membawa agenda pembangunan yang menyentuh keperluan komuniti setempat dan menangani isu-isu yang dianggap penting oleh mereka termasuk menguruskan negara yang multi etnik dengan lebih bijaksana dan adil.

Namun, Anwar perlu kekal moderat dan progresif serta tidak terbawa-bawa agenda Melayu Islam yang sempit seperti bawaan pembangkang. Beliau juga perlu menyusun strategi politik yang mengukuhkan integrasi antara parti politik, menjana dasar-dasar yang berdaya maju, dan mengukuhkan institusi-institusi kritikal dalam sistem demokrasi termasuk sistem kehakiman, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penguatkuasaan bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap institusi negara.

Inklusif

Kepemimpinan yang bijaksana dan komitmen terhadap nilai-nilai demokrasi serta keadilan sosial dan menunjukkan kepemimpinan transformatif tidak hanya mengatasi isu-isu semasa tetapi juga mampu membentuk visi jangka panjang untuk negara. Kadangkala reformasi dan tranformasi perlu digabungjalinkan secara sistematik.

Pengukuhan Kerajaan Perpaduan

Keberkesanan Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar dalam menarik sokongan berterusan rakyat bergantung kepada kejayaan dalam menyelesaikan masalah ekonomi, pendidikan, dan keseluruhan kesejahteraan masyarakat. Maka tadbir urus yang lebih baik perlu dilihat terpancar dalam sistem pemerintahan negara, yang memancarkan ketahanan institusi, dan pelaksanaan dasar-dasar yang mempromosikan inklusiviti sosial serta ekonomi.

Kekuatan Kerajaan Perpaduan perlu dikekalkan dengan memastikan kabinet yang berwibawa, perwakilan yang saksama, dan pendekatan inklusif dalam pembuatan keputusan. Keberkesanan dalam menguruskan kepelbagaian etnik, menjana inklusiviti sosial, dan memastikan hak serta kepentingan setiap rakyat terpelihara. Pencapaian ini boleh dipertingkatkan dalam menangani cabaran kelestarian alam sekitar, perubahan iklim, dan mempromosikan pembangunan lestari bagi generasi akan datang.

Konsep Malaysia MADANI

Konsep Malaysia MADANI mampu mengukuhkan kepemimpinan Anwar dengan mengamalkan nilai kesederhanaan, keharmonian antara kaum, dan pembangunan yang mampan untuk kesejahteraan bersama. Ia dapat memperkukuhkan uniti dalam kepelbagaian, mengukuhkan identiti negara, dan menyokong kemajuan ekonomi secara adil. Konsep ini perlu memastikan prinsip keadilan, hak asasi manusia, perundangan yang adil, demokrasi, dan pembangunan berteraskan rakyat. Ia juga perlu dikaitkan dengan pemikiran terkini dalam teori politik dan sosial, serta diselaraskan dengan nilai-nilai masyarakat Malaysia agar dapat memberikan panduan yang relevan untuk kepemimpinan Anwar sebagai Perdana Menteri.

Melunakkan skeptikal kepimpinan

Anwar perlu berkomunikasi secara efektif, menyentuh isu-isu yang dihadapi oleh rakyat, dan menunjukkan komitmen terhadap pembangunan serta kepentingan semua lapisan masyarakat. Beliau perlu merangkul pendekatan dialogik yang membawa kepada pemahaman bersama dan menggarap isu-isu yang berkaitan dengan kepentingan bersama.

Kesediaan mendengar kebimbangan rakyat, dan membuktikan kemampuannya membawa perubahan positif kepada semua lapisan masyarakat. Pendekatan pragmatik dengan memperlihatkan keupayaan untuk bekerjasama lintas parti dan mengintegrasikan elemen-elemen yang mewakili pelbagai pandangan politik perlu ada. Selain itu, penawaran solusi yang konkrit dan menyeluruh untuk merangkul perbezaan pendapat wajar diketengahkan.

Sokongan Bumiputeraisme

Aspek ini perlu membawa agenda pembangunan yang menyentuh keperluan komuniti setempat dan menangani isu-isu yang dianggap penting oleh mereka. Ia harus berpaksikan penyelidikan demografi, dinamik sosial, dan keperluan ekonomi setempat dengan menggabungkan elemen-elemen tersebut dalam dasar pembangunan. Ini termasuklah fokus kepada pembangunan ekonomi, pendidikan, dan pemberdayaan masyarakat setempat dan peluang pembangunan yang adil bagi komuniti. Pendekatan inklusif yang menghargai kepelbagaian budaya dan mengukuhkan identiti bumiputeraisme dalam konteks kesepaduan nasional perlu diperteguh.

Sokongan Luar Kerajaan

Sokongan empat ahli Parlimen Parti Primbumi Bersatu Malaysia (BERSATU) kepada Kerajaan Perpaduan menunjukkan keyakinan terhadap Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar. Meskipun mereka tidak keluar daripada parti asal, ini menunjukkan ketidakyakinan mereka terhadap hala tuju parti Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) mulai pudar. Apabila ini berlaku, maka wujudnya kestabilan politik negara dan berikan keberkesanan dasar-dasar kerajaan. Aspek ini perlu disokong oleh penglibatan aktif dalam proses pembentukan dasar, perundangan, dan projek-projek strategik serta memberikan sumbangan konstruktif kepada perbincangan di dewan Parlimen.

Sokongan berterusan rakyat

Kerajaan Perpaduan dapat memperkukuh integrasi antara parti politik, menerapkan dasar-dasar inklusif, dan memastikan keadilan serta pembangunan di seluruh negara untuk mengekalkan sokongan rakyat hingga PRU ke-16. Keberkesanan ini perlu dilakukan dengan mengukur impak dasar-dasar yang diimplementasikan terhadap pertumbuhan ekonomi, pengurangan jurang sosial, dan memenuhi inspirasi rakyat secara menyeluruh. Ia juga  harus dinilai melalui peningkatan indeks pembangunan manusia, inovasi ekonomi, dan keadilan sosial, sambil memastikan kestabilan politik sebagai prasyarat kepada perkembangan jangka panjang.

Ternyata keberkesanan Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar dalam menarik sokongan berterusan rakyat bergantung kepada kejayaan dalam menyelesaikan masalah ekonomi, pendidikan, dan keseluruhan kesejahteraan masyarakat.

  • Profesor Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).
Tags: Dr Awang Azman

Continue Reading

Previous: Perang Bosnia dan keprihatinan Sarawak
Next: Isu UPSR, autonomi pendidikan dan luahan ADUN

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.