5 soalan lazim berkaitan kanser terjawab
DALAM isu HealthNews ini, Dr Kok Jaan Yang, Perunding Kanan, Perubatan Paliatif, menjawab beberapa soalan lazim tentang kesakitan akibat kanser.
Apakah yang menyebabkan kanser sakit?
Kesakitan kanser biasanya disebabkan oleh kanser yang menyerang dan merosakkan tisu atau organ di sekeliling badan. Walau bagaimanapun, tidak semua kesakitan yang dialami oleh pesakit kanser peringkat lanjut disebabkan secara langsung oleh kanser.
Dianggarkan lima hingga 10 peratus pesakit kanser merasa kesakitan disebabkan oleh rawatan kanser (contohnya sakit ulser mulut selepas kemoterapi tertentu) dan sehingga 20 peratus kesakitan mungkin tidak berkaitan dengan kanser yang dihidapi, sebagai contoh osteoarthritis lutut.
Adakah semua pesakit kanser mengalami sakit yang teruk?
Adalah dipercayai secara meluas bahawa semua pesakit kanser akan mengalami sakit yang teruk. Tetapi ini tidak benar. Sehingga 25 peratus pesakit kanser lanjutan mungkin tidak mengalami sebarang masalah kesakitan sama sekali dalam perjalanan kanser mereka, kira-kira 50 peratus mungkin mengalami sakit kanser ringan hingga sederhana dan hanya 25 peratus mungkin mengalami sakit kanser yang teruk, yang mana lima peratus akan mengalami kesakitan yang sangat teruk.
Bagaimana menguruskan sakit kanser?
Pakar perubatan onkologi yang menguruskan rawatan anda akan menilai punca kesakitan akibat kanser. Jika puncanya disebabkan oleh jisim tumor dan ia boleh dikecutkan oleh radiasi, kemoterapi atau rawatan anti-kanser lain, kesakitan kanser dapat dikurangkan.
Sementara itu, beberapa ubat penahan sakit mungkin diberikan untuk melegakan kesakitan. Ini termasuk paracetamol, ubat anti-radang bukan steroid (cth. diclofenac, naproxen, etoricoxib atau celecoxib) dan opioid lemah (cth. tramadol).
Dalam kes sakit kanser yang teruk, opioid kuat seperti morfin, oksikodon atau fentanyl boleh digunakan untuk mengawal kesakitannya.
Pesakit kanser yang mengalami sakit neuropatik atau saraf juga boleh diberi ubat tambahan lain seperti pregabalin atau gabapentin.
Bolehkah pengambilan morfin atau opioid kuat yang lain untuk sakit kanser membawa kepada ketagihan?
Tindakan mengambil morfin atau opioid kuat lain untuk mengawal kesakitan bukanlah ketagihan. Di Singapura, pesakit yang mengambil morfin atau opioid kuat di bawah pengawasan rapi doktor berpengalaman mereka tidak menunjukkan sebarang masalah ketagihan.
Apabila kesakitan kanser boleh dikurangkan dengan cara lain (cth. terapi sinaran untuk sakit tulang kanser), dos morfin atau opioid kuat boleh dikurangkan dengan ketara atau malah dihentikan.
Sekiranya saya bimbang tentang kesan sampingan morfin atau opioid kuat yang lain?
Morfin atau opioid kuat lain boleh menyebabkan tiga kesan sampingan biasa: mengantuk, loya/muntah dan sembelit. Bagaimapana pun, kesan sampingan ini boleh diuruskan dengan mudah.
Rasa mengantuk biasanya dialami apabila pesakit mula-mula mengambil ubat atau apabila dos meningkat. Ia biasanya bertambah baik selepas beberapa hari. Rasa mengantuk yang berterusan atau teruk boleh dikurangkan dengan mengurangkan dos atau menghentikan ubat.
Loya dan muntah hanya menjejaskan satu daripada tiga pengguna. Simptom ini boleh diatasi dengan ubat anti-muntah seperti metoclopramide, domperidone atau ondansetron. Dalam jangka panjang, simptom biasanya hilang selepas pesakit membiasakan diri dengan ubat.
Sembelit yang disebabkan oleh opioid adalah kesan sampingan yang biasa. Ia boleh diuruskan dengan mudah dengan meminum cecair yang mencukupi dan mengambil julap biasa seperti senokot atau laktulosa.
Pakar onkologi perubatan yang menguruskan rawatan anda ialah orang terbaik untuk menguruskan kesakitan kanser anda. Mereka juga mungkin merujuk anda kepada pakar perubatan paliatif untuk membantu menguruskan kesakitan kanser anda. Bersama-sama, mereka boleh membantu membangunkan pelan pengurusan kesakitan yang seperti mendidik anda dan penjaga anda tentang mekanisme mengatasi kesakitan dan mencipta gabungan pelbagai kelas ubat penghilang rasa sakit untuk mengawal kesakitan kanser yang lebih baik dengan kesan sampingan yang minimum.
Dr Kok Jaan Yang
Perunding Kanan, Perubatan Paliatif
Pusat Kanser Parkway
MBBS (Singapura), MMed (Family Med)(Singapura), Dip Palliative Med (Wales),
GDAcu (Singapura), FAMS (Perubatan Paliatif)
Sebelum menyertai Pusat Kanser Parkway pada 2008, Dr Kok adalah Perunding di Hospis Dover Park dan Perunding Pelawat (Perubatan Paliatif) di Hospital Universiti Nasional. Beliau juga merupakan Pengarah Program Pengasas bagi kursus Diploma Siswazah Universiti Nasional Singapura (NUS) dalam Perubatan Paliatif dari 2014-2018.