
DALAM kolum ini, penulis sudah mencoret tiga kali isu berkaitan ancaman buaya di negeri ini terhadap manusia.
Pertama disiarkan 9 November 2023, dengan tajuk ‘Apa perlu ‘lindungi’ buaya banyak-banyak?. Kemudian pada keluaran 28 Disember 2023 dengan tajuk ‘Tunggu berapa ramai lagi jadi mangsa buaya?.
Siri ketiga siaran 25 April 2024 pula bertajuk ‘Perlu tindakan lebih tuntas kurangkan populasi buaya’.
Ini berikutan beberapa kes serangan buaya yang mengorbankan nyawa manusia hingga pemancing dan nelayan sungai takut menjalankan aktiviti di sungai yang selama ini menjadi sumber rezeki. Ini berlaku dari semasa ke semasa.
Nampaknya, Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) sudah memberi respons positif dengan melakukan operasi memburu buaya bukan sahaja selepas berlaku serangan reptila itu sehingga mengorban nyawa, malah operasi untuk memindahkan buaya dari sungai.

Dalam kes terbaharu pula, lelaki berusia 32 tahun terkorban, dikhuatiri dibaham buaya ketika memancing di tebing sungai berhampiran Jalan Matang menuju Kampung Paroh di Kuching.
Menurut naratif bapa mentua mangsa, kejadian sekitar 10.00 malam itu berlaku terlalu pantas apabila seekor buaya gergasi tiba-tiba menyambar menantunya dan terus mengheretnya ke dalam sungai gelap.
“Saya cuba tarik tangan dia tapi buaya tu libas saya dengan ekor… nasib baik saya sempat undur sikit. Kalau kena betul-betul tadi, saya pun mungkin tak ada dah,” katanya kepada wartawan.
Mayat mangsa ditemukan keesokan harinya, pada jarak sekitar 300 meter dari lokasi kejadian.
Berikutan itu, SFC menjalankan operasi memburu buaya ganas di Sg. Paroh.
OPERASI SWAT
Operasi itu bermula Selasa lalu, 1 Julai hingga 13 Julai ini melibatkan kerjasama antara pasukan Tindakan Pantas Hidupan Liar (SWAT) SFC bersama agensi penguatkuasaan lain.
SFC akan menambah papan tanda amaran bahaya buaya di lokasi strategik, selain meneruskan Kempen Kesedaran 3M Buaya (Mengenali, Memahami, Memulihara), dengan penekanan khusus terhadap langkah keselamatan semasa berada di habitat buaya.
SFC juga sudah memulakan langkah untuk memindahkan buaya melalui operasi di Sungai Sarikei bermula 1 Julai lalu hingga 7 Julai ini.
Dalam operasi SFC bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarikei pada hari pertama berjaya mengesan 19 ekor buaya, termasuk tiga ekor dewasa dan selebihnya anak buaya.

Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sarikei, Leftenan (PA) Shahrol Azizi Zaidi, operasi bertujuan meninjau populasi serta habitat buaya di kawasan sungai berkenaan.
Ia hanyalah fasa pemantauan awal, dan sebanyak 19 ekor buaya telah berjaya dikesan sepanjang tebing sungai.
“Operasi ini dilaksanakan bagi memindahkan buaya yang kerap muncul di kawasan tersebut untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku kepada penduduk setempat,” jelasnya dalam kenyataan media.
Lokasi pemindahan buaya katanya, akan dimaklumkan kemudian, dan operasi pemindahan buaya dijangka berjalan sehingga 7 Julai ini.
Diharapkan SFC dengan kerjasama agensi lain seperti APM melakukan operasi di banyak lagi tempat khususnya di lokasi mangsa yang pernah disambar buaya dari Lundu hingga ke Lawas.
Bayangkan setiap kali berlaku serangan maut buaya terhadap manusia, warga siber akan ‘bising’ dengan menjadikan SFC sasaran kritikan.
Laporan di laman Facebook Utusan Sarawak yang memaparkan isu buaya misalnya dihujani dengan pelbagai persoalan, cadangan dan kecaman.
LAPOR MELALUI CROCWATCH
Ada yang menyarankan supaya musnahkan semua buaya biar lupus, lakukan pemburuan secara besar-besaran, buka industri barangan kulit buaya dan biar hasilnya dimanfaat penduduk setempat.
Sesetengahnya pula mencadangkan orang awam dibenar membunuh buaya bagi mengurangkan populasinya.

Malah ada pula menyarankan SFC perlu serah tugas mengawal buaya kepada agensi kerajaan yang lebih aktif dan peka seperti APM.
“APM sangat sesuai kerana mereka sering membantu menangkap buaya yang tersesat tetapi malangnya mereka tidak mempunyai kuasa penuh terhadap reptilia ganas ini,” kata seorang warga siber.
Sementara itu, orang ramai juga boleh memuat turun aplikasi Sarawak CrocWatch bagi mengenal pasti kawasan-kawasan panas terutamanya di lokasi yang penampakan buaya.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh berkata, aplikasi tersebut membolehkan orang ramai melaporkan sebarang penemuan atau kelibat buaya di kawasan tertentu.
“Justeru, kita memohon kerjasama daripada semua pihak. Kita juga telah melancarkan Sarawak CrocWatch, iaitu sebuah aplikasi yang boleh dimuat turun oleh mana-mana individu.
“Melalui aplikasi ini, kita telah mengumpul data di mana orang awam boleh memuat turun aplikasi tersebut dan mengenal pasti kawasan-kawasan yang berisiko tinggi.
“Oleh itu, sebarang penemuan buaya boleh dimuat naik ke dalam aplikasi ini supaya orang ramai dapat memahami dan mengetahui lokasi kawasan yang berisiko tinggi, sekali gus dapat mengurangkan risiko ancaman daripada buaya,” katanya.
Bagi membendung serangan buaya yang sering berlaku, Datuk Len Talif menekankan aspek pendidikan sebagai pengurangan risiko terhadap kejadian tersebut.
Beliau turut menyatakan antara langkah kerajaan Sarawak kini adalah memindahkan buaya yang dikesan ke kawasan khas iaitu santuari buaya bagi memastikan keselamatan penduduk.
Apa yang diharapkan SFC terus memburu buaya dalam usaha mengurangkan konflik antara buaya dan manusia.
Kita tidak mahu lagi mendengar nyawa manusia melayang, disebabkan keganasan buaya.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak