 
                
SAJAK mengungkapkan pemikiran, perasaan dan kebenaran melalui kata-kata yang terpilih serta disusun dengan penuh keindahan.
Tidak seperti genre penulisan lain yang lebih mementingkan penceritaan atau fakta, sajak menjadikan keindahan dan kedalaman makna sebagai nadi utama dalam menyentuh jiwa para pembaca.
Kata-katanya dipilih dengan teliti. Diciptakan untuk difahami, dirasai dan direnungi.
Setiap bait sajak tidak lahir daripada kekosongan. Ia berakar daripada pengalaman, pemerhatian dan renungan penyair yang ingin berbicara tentang kebenaran hidup, biarpun kadangkala melalui simbolisme dan lapisan makna yang tersirat.
Sajak menjadi wadah cetusan perasaan yang paling halus. Tempat penyair menumpahkan isi jiwa dan membentuk kata menjadi cerminan fikir dan rasa.
Dalam proses penciptaannya, penyair menelusuri wilayah renungan yang panjang dan dalam. Berusaha mentafsir kehidupan dengan ketajaman akal dan kejernihan emosi.
Sebuah sajak yang baik berupaya menyentuh rasa dan mengajak para pembaca merenung hakikat di sebalik kata. Ia bukan sekadar hiburan, tetapi wadah pendidikan dalaman.
Mengilhamkan kesedaran, membangunkan keinsafan dan membuka jalan ke arah pemahaman kebenaran yang lebih luas.
Empat elemen utama menjadi tiang seri dalam penciptaan sajak ialah pemikiran, perasaan, keindahan dan kebenaran. Keempat-empatnya saling bertaut, membentuk keutuhan dan keseimbangan makna.
Pemikiran sebagai elemen pertama, mewakili pandangan hidup dan falsafah penyair terhadap sesuatu isu atau perkara.
Setiap sajak yang ditulis mencerminkan cara penyair melihat dunia, berfikir tentang kehidupan dan cara mereka menyampaikan pendapat atau perasaan terhadap suatu keadaan.
Dalam hal ini, sajak berfungsi sebagai medium untuk mengungkapkan pandangan atau pemikiran yang lebih mendalam tentang pelbagai perkara.
Mengenai kehidupan, alam, hubungan manusia dan ketuhanan. Tentu sahaja pemikiran tersebut menjelma hasil daripada renungan yang panjang dan mendalam.
Perasaan, sebagai elemen kedua, mewakili emosi yang dilalui oleh penyair. Perasaan dalam sajak mampu bervariasi.
Bermula daripada kegembiraan, kesedihan, kegelisahan hingga kepada harapan atau impian.
Sajak dengan perasaan yang tulus dan jernih akan berhasil menggetarkan perasaan para pembaca.
Pemilihan kata dan cara penyair menggambarkan emosi menjadi kunci untuk menghadirkan suasana yang diinginkan dalam sajak tersebut.
Dengan menggabungkan perasaan dengan pemikiran yang mendalam, sajak dapat membangkitkan respons emosional daripada para pembaca.
Keindahan pula merupakan elemen yang tidak kurang pentingnya dalam sajak. Keindahan ini, tidak hanya merujuk kepada penggunaan bahasa yang indah dan tersusun. Ia juga berkaitan dengan kaedah penyair memilih kata-kata yang tepat untuk menyampaikan pesan.
Bahasa dalam sajak tidak hanya digunakan untuk berkomunikasi, sebaliknya juga berperanan untuk menciptakan rasa keindahan yang memikat.
Penyair menggunakan pelbagai unsur sajak seperti metafora, personifikasi, simile dan hiperbola untuk memberikan dimensi artistik kepada karya mereka.
Unsur-unsur ini membantu memperkaya sajak dengan makna mendalam dan memberikan kesan estetika yang menyenangkan.
Akhirnya, kebenaran merupakan inti kepada segalanya. Kebenaran mengikat pemikiran, perasaan dan keindahan agar tidak terpisah daripada realiti kehidupan.
Kebenaran dalam sajak tidak bersandarkan kepada fakta sahaja. Lebih daripada itu, sajak membawa hikmah dan pandangan hidup yang dilahirkan daripada pengalaman zahir dan batin.
Ia berupa pandangan atau pelajaran hidup yang ingin disampaikan oleh penyair kepada khalayak pembaca.
Sajak menghamparkan kebenaran kehidupan yang ada kalanya tersembunyi di sebalik lapisan emosi dan pemikiran.
Dengan mengutamakan kebenaran dalam setiap sajak, penyair mampu menjadikan karya mereka sebagai cermin jernih yang memantulkan realiti kehidupan dan memimpin para pembaca untuk memahami kebenaran tersebut.
Sebagai contoh diperturunkan sebuah sajak T. Alias Taib berjudul “Hutan Persahabatan” yang mengungkapkan pemikiran, perasaan dan kebenaran melalui kata-kata yang terpilih serta disusun dengan penuh keindahan:
Berkawan denganmu
ialah berkawan dengan ilmu
dengan akal yang selalu diraut,
renung yang selalu dikikir
dan hujah yang selalu diasah.
Berkawan denganmu
ialah bermusuh dengan musuhmu,
dengan si fitnah yang beraja
pada api perasaan
dan si dengki yang bersedia
membentesmu dari belakang.
Ah, kawan, lupakan mereka.
Mari teruskan perburuan kita
di hutan persahabatan ini.
Aku tidak memerlukan kata-kata indah
tetapi tangan ikhlasmu
apabila terjatuh di perburuan ini.
Aku hanya ingin menemanimu
di perjalanan yang penuh halangan
dan perburuan yang menyukarkan.
Aku tidak memerlukan mereka,
mari teruskan persahabatan kita.
Sehubungan dengan itu, tulisan ini akan meneliti keempat-empat elemen tersebut yang terserlah dalam tiga buah sajak yang disiarkan di ruangan Wadah Bahasa dan Sastera pada minggu lalu.
Sajak “Resam Gunting” tulisan Johari A. Julaihi membicarakan tentang keterbatasan daya sebagai manusia:
gunting
memang resamnya memotong segala
namun ia lupa
tika menggunting batu
bilahnya kemik
tumpul tajamnya.
Sajak ini digarap secara simbolik. “Gunting” menjadi lambang kekuatan dan kuasa, manakala “batu” pula melambangkan kekuatan lain yang tidak dapat ditundukkan.
Melalui pertentangan dua imej ini, penyair mengungkapkan hakikat kebenaran bahawa setiap kekuatan ada hadnya.
Setiap kelebihan ada kelemahannya. Kekuasaan dan kelebihan tidak kekal kerana semua itu hanyalah pinjaman daripada Tuhan. Ia sebuah renungan tentang keterbatasan insan yang tidak pernah sempurna.
Sajak ini membawa nilai moral yang tinggi, iaitu berkaitan kesedaran, keinsafan dan keterbatasan diri. Penyajak menggunakan gaya bahasa yang pendek dan padat.
Menghantar isi makna yang berlapis namun mampu ditangkap dan direnungi oleh para pembaca.
Imej yang dipilih sesuai, saling mendukung dan tidak bercampur aduk serta tidak mengelirukan pemahaman para pembaca.
Walau bagaimanapun, unsur perasaan terlalu menipis dalam sajak ini kerana penekanan lebih diberikan kepada renungan falsafah dan pemikiran.
Biarpun tidak menggetarkan emosi secara langsung, sajak ini berupaya menjentik fikiran dan kesedaran para pembaca.
Sajak “Jika Cinta” hasil karya Siti Hajar Ahmad pula mengungkapkan tentang cinta dan pengorbanan. Cinta akan lebih bermakna dan teruji melalui pengorbanan suci:
Jika cinta adalah
burung yang terbang
maka aku harus belajar
untuk melepaskan. Biarlah
ia pergi dengan angin
meski hatiku patah
menahan rindu.
Jika cinta adalah
angin yang bertiup
maka aku harus belajar
menjadi daun. Membiarkan
ia menari dengan bebas
meski aku akan luruh
ke tanah sepi.
Dan jika cinta adalah
luka, maka aku adalah parut
yang tak akan sembuh.
Perasaan merupakan elemen yang paling dominan dalam sajak ini. Sajak mengalir lembut dan penuh kejernihan emosi.
Penyajak mengungkapkan tentang pengorbanan yang perlu dilakukan demi sebuah cinta.
Menggunakan metafora alam seperti burung, angin, daun dan luka agar dapat dibayangkan oleh khalayak pembaca.
Pengulangan ungkapan “jika cinta adalah…”, menciptakan irama yang harmoni dan memperkuat penegasan dan unsur keindahan bunyi.
Pemilihan kata yang lembut dan simbolik pula menjadikan sajak ini bernada dan bersuasana romantik.
Tersirat satu pemikiran matang bahawa cinta sejati memerlukan kebebasan, keikhlasan dan pengorbanan. Bukan sekadar hasrat untuk memiliki.
Kebenaran makna yang disampaikan agak klise dan sering diungkapkan dalam sajak-sajak cinta yang lain.
Walau bagaimanapun, penyajak telah berjaya membicarakan dengan gaya pengucapan dan sudut pandangan yang agak segar.
Untuk meninggalkan kesan yang lebih mendalam, perasaan dalam sajak perlu dibayang, dikias dan dibandingkan. Bukan sekadar disebut semata-mata.
Penyajak telah berjaya membuat pembandingan yang menarik dengan mengatakan bahawa cinta ialah “burung yang terbang’ dan “angin yang bertiup”.
Walau bagaimanapun, hal ini tidak diteruskan penyajak ketika mengungkapkan “menahan rindu”.
“Rindu” tersebut perlu juga dibandingkan dengan sesuatu yang lain agar kesannya lebih terasa di jiwa para pembaca.
Sajak “Resah” tulisan Soh Wei Wen membicarakan tentang cinta dan takdir. Cinta kepada kekasih dan cinta kepada Tuhan:
Sanubari ini
membawa pilu yang
terus digundah pohon keresahan
membelit setiap penjuru jiwa.
Keresahan itu
angkara asmaraku yang
bagai sang burung
menyintai sang ikan
terbelah oleh jurang takdir.
Walau pahit rasanya,
ingatlah wahai hamba
setiap nafasmu
adalah kurniaan
kecintaanmu pada yang maha esa.
Usah kerana ingin
memetik sekuntum mawar,
pinggiri tuannya.
Sajak ini sarat dengan emosi. Menggambarkan pilu, rindu dan keresahan yang mendalam. Imej “burung dan ikan” sebagai lambang cinta yang mustahil menunjukkan kehalusan jiwa penyajak.
Di sebalik resah, penyajak membawa para pembaca kepada sebuah renungan, bahawa cinta manusia tidak harus mengatasi cinta kepada Tuhan. Pemikiran ini menjadikan sajak ini berunsur kerohanian.
     
Sajak ini turut membawa pesan kebenaran bahawa manusia tidak sempurna dan lemah kerana yang Maha Berkuasa, hanyalah Tuhan.
Diksi seperti “setiap nafasmu adalah kurniaan kecintaanmu pada Yang Maha Esa” mengungkapkan kesedaran hakiki seorang insan.
     
Keindahan bahasa agak menyerlah melalui penggunaan metafora, simbol dan peralihan nada daripada resah kepada reda.
Mencipta lapisan makna yang menarik. Walau bagaimanapun, rasa “pahit” dan “cinta’ dan “rasa” akan lebih mendalam kesannya jika dibanding atau dikiaskan dengan sesuatu yang lain dengan sesuai, tidak sekadar diluahkan begitu sahaja.
Rangkap akhir sajak ini menarik kerana di situlah letak kesimpulan persoalannya. Walau bagaimanapun, diksi tersebut agak sedikit janggal dan mungkin boleh diperhalusi lagi seperti berikut:
Usah kerana ingin
memetik sekuntum mawar,
tuannya dipinggirkan.
Di samping mengutamakan keindahan bahasa, sajak juga menyelami pemikiran, perasaan dan kebenaran.
Sebuah sajak yang baik akan menggabungkan kesemua elemen ini dengan harmoni. Menciptakan karya yang indah dan dapat dijejaki maknanya.
Sajak memberikan kesempatan kepada penyair untuk berbicara kepada dunia. Menyentuh jiwa manusia dan menyampaikan kebenaran yang hanya dapat dirasakan melalui kata-kata indah.
Sajak berupaya menjernihkan pandangan hidup, menyalakan kesedaran rohani dan mempertemu manusia dengan hakikat diri.
Keindahan dalam sajak tidak terletak pada kehalusan bunyi atau gaya semata-mata. Perlu ada kejujuran makna dan ketulusan pengalaman batin yang terpantul di dalamnya.
Melalui sajak, pemikiran berupaya diungkap dengan cara yang lembut namun mengesankan.
Perasaan dapat diluahkan dengan seimbang dan terkawal. Kebenaran mampu disampaikan dengan cara yang paling tulus dan indah.
Sajak berfungsi sebagai jambatan antara akal dengan jiwa, antara realiti dengan renungan serta antara manusia dengan Tuhannya.
Johari A. Julaihi, Siti Hajar Ahmad dan Soh Wei Wen telah berusaha untuk mengungkapkan pemikiran, perasaan dan kebenaran dengan keindahan melalui sajak mereka mengikut tahap kemampuan masing-masing.
Harus diingati bahawa sajak yang baik dan menarik, bukan sekadar sedap dibaca tetapi juga berupaya menyentuh halus jiwa, menyuburkan fikiran dan membentangkan kebenaran dalam keindahan bahasa dan makna.
Oleh Zainal Abidin Haji Suhaili (Abizai)