Oleh: Lokman Hakim
MENELUSURI cerpen “Misteri Minggu ke-13” akan membawa pembaca kepada suatu naratif yang digulati oleh watak utamanya, seorang pelajar yang mendepani suatu entiti asing – hantu, dalam kemelut pergolakan psikologinya menghadapi kehidupan di universiti.
Binaan sebegini suatu premis yang tidak asing lagi dalam karya-karya misteri tahap pemula – watak utama mendepani suatu entiti yang merupakan diri dalam bentuk manusia yang mudah didekati dan boleh dibawa berborak – sebelum realiti sebenarnya yang ngeri mengambil alih nada penceritaan.
Baiklah, barangkali sebelum itu, harus kita fahami apakah sebuah cerpen misteri yang baik. Menelaah deretan cerpen-cerpen misteri dan seram garapan Edgar Allan Poe, misalnya, akan memperkenalkan kita pada esensi sebuah cerpen misteri yang berkualiti.
Sebagai contoh, dalam cerpen “Ligeia”, Edgar Allan Poe menyajikan pembaca dengan suatu ungkapan indah mengenai watak seorang wanita bernama “Ligeia”- Poe memperindah karakter Ligeia dengan gambaran luar biasa dan terlalu puitis sehingga pembaca terbuai-buai:
“Aku melihat lekuk halus hidungnya—tiada yang setanding dengan kesempurnaan ini kecuali dalam medallion-medallion seni Ibrani. Ada kehalusan dan kesempurnaan yang sama, sedikit lekuk bak paruh helang yang halus seolah-olah ia berkata tentang semangat kebebasan. Bibirnya, indah—bibit kemenangan segala yang suci—lengkung bibir atas yang sempurna, letak baringnya bibir bawah yang lembut dan menggoda—lesung pipit yang bermain dan warna yang berbicara. Aku meneliti pembentukan dagunya—dan di sini juga, aku temukan kelembutan, kebesaran, keagungan rohani, suatu lengkungan yang dewa Apollo tunjukkan kepada Cleomenes hanya dalam mimpi. Dan kemudian, aku merenung ke dalam mata Ligeia.” – Petikan cerpen “Ligeia”, Edgar Allan Poe, 1838.
Ayuh, kita lihat pula bagaimana pula Marilyn Albert Matu menulis:
Baru sahaja aku melangkah ke tingkat dua bangunan asramaku, mataku tertonjol akan kelibat seseorang yang duduk bersandar di penjuru dinding. Aku tercegat di situ. Dia keesak-esakan menangis. Wanita yang berumur awal 20an itu mengesat air matanya dengan kedua-dua belah tapak tangannya. Tiada peralatan tajam di sekeliling. Tiada pil bertaburan. Hanya seutas beg berjenama tempatan berona hitam di sisinya. Keadaan agak selamat. Tidak menunjukkan sisi curiga kepadaku. Badanku cuba merapati badannya dengan duduk bersebelahan. Lalu perlahan-lahan aku menyapanya. Aku toleh ke kiri dan ke kanan, tiada juga yang lalu-lalang di situ.
Garapan sebuah karya misteri dan seram memerlukan sebuah naratif yang bertenaga – memacu emosi pembacanya dari satu fasa ke fasa seterusnya. Sebuah cerpen misteri lazimnya punya tujuan itu – ia harus membawa emosi pembaca menelusuri perjalanan roller-coaster. Konotasi misteri hanya akan hidup sekiranya ada diterapkan elemen roller-coaster ini – pembaca dibawa mendepani suatu realiti palsu, diyakinkan mengenainya bahawa itulah yang sebenar-benarnya yang berlaku sebelum keyakinan ataupun tanggapan awalnya itu diruntuhkan oleh suatu pulasan plot yang mengejutkan.
Namun, apa yang dapat dilihat dalam garapan Marilyn adalah, pembinaan naratif yang agak mendatar, pelukisan watak-watak dan persekitaran yang tidak begitu hidup hingga pembaca tidak dapat merasai suasana seram yang cuba diterapkan. Penulis memilih untuk menggambarkan situasi itu dengan objek seperti “pil” dan “tas tangan” yang tidak begitu membantu dalam membina atmosfera penceritaan. Bagaimana jika gambaran Marilyn pada petikan yang sama ini kita tulis semula dengan memasukkan sedikit tenaga pada garapan suasananya?
“Tingkat dua bangunan asrama usangku letaknya redup. Mentari pagi terlindung cahayanya dek pokok besar rimbun yang ranting-rantingnya terletak begitu hampir dengan deretan bilik tingkat dua. Namun, pabila senja, bayang-bayang yang terbentuk memberi suatu rasa seolah-olah ada sesuatu yang tersorok – sesuatu yang jahat, ah, aku terlalu berimaginasi mengenainya.
Aku baru melangkah ke tingkat dua, lalu aku ketemu seorang gadis, awal 20-an barangkalinya sedang bersandar sambil menekup mukanya – menangis teresak-esak. Bajunya jaket labuh putih yang bersaiz besar dengan kain sarung persis kain kafan – menghadirkan rasa janggal. Rambutnya terikat rapi dan pipinya kemerah-merahan. Harumnya mewangi aneh – seolah-olah pewangi dari alam lain – ia mempersonakan dan menghadirkan rasa damai luar biasa.”
Saya cuba menulis kembali petikan dari naskhah “Misteri Minggu ke-13” dengan menambahkan sedikit gambaran landskap demi menambahkan atmosfera sebuah pengkaryaan misteri dan memberi perhatian pada rupa paras watak demi memperkukuh imej watak dalam imaginasi pembaca. Perhatikan saya menyentuh aspek-aspek membabitkan pancaindera – penglihatan dan deria bau. Dalam penceritaan sebuah cerpen bertunjangkan elemen misteri, penulis harus bermain dengan deria pembaca, memacunya ke destinasi tertentu sebelum mengubahnya dengan pulasan plot yang mengejutkan.
Baiklah, itu perbandingan yang boleh dibuat demi memberi gambaran jelas apakah pembaikan yang boleh dilakukan penulis. Bagaimana pula dengan struktur naratif dan ketegangan yang cuba dizahirkan dalam penceritaan ini?
Cerpen ini banyak memfokuskan pada pengalaman peribadi watak utama dan perjuangannya dalam akademik serta kehidupan seharian. Walaupun ini memberikan penceritaan yang dekat dengan pembaca, ketegangan dalam jalan cerita agak lemah. Keadaan klimaks tidak cukup menonjol untuk menarik minat pembaca lebih lama. Hal ini kerana pemilihan subjek yang digunakan untuk membina naratif itu sendiri. Kita lihat contoh petikan berikut yang juga merupakan pemula cerpen:
“Sebelum aku memasuki gedung ilmu itu, mentalitiku sudah mapan. Aku perlu memantapkan CGPA pada setiap semester agar aku dikecualikan daripada membayar balik pinjaman PTPTN iaitu dengan menjadi Graduan Ijazah Kelas Pertama. Berkorban dengan memerah otak siang dan malam demi masa depan yang cerah. Sentiasa terbayang akan raut wajah kedua-dua orang tuaku yang sudah senjanya usia mereka. Tipulah kalau aku tak pernah mengalirkan kristal-kristal air mata kerinduanku yang tak terbendung kepada mereka di kampung halamanku.”
Bayangkan cerpennya bukan berjudul “Misteri Minggu ke-13” yang memberi persepsi bahawa ini adalah cerpen misteri. Permulaan sebegini tidak menarik kerana ia tidak menghadirkan tanda tanya yang boleh mendorong pembacaan selanjutnya. Pengarang harus lebih teliti dalam memulakan sesebuah cerpen. Barangkali memulakan cerpen dengan ayat ringkas tapi sedikit membingungkan itu lebih baik. Saya akan cuba menulis kembali perenggan pemula itu seperti berikut:
“Gedung ilmu itu mulutnya ternganga. Membaham waktu silamku dan menelanku ke dalam lautan akademik. Harapnya aku akan jadi seseorang yang penting dalam masyarakat pada masa hadapan kelak. Bergraduasi dengan jayanya. Meninggalkan kepahitan hitam di masa lalu. Sentiasa terbayang akan raut wajah kedua-dua orang tuaku yang sudah senja usia…”
Apa yang saya cuba ungkapkan di sini adalah peri pentingnya memilih ayat pertama cerpen yang terbaik dan memetik rasa ingin tahu. Memandangkan ini adalah sebuah karya kreatif, haruslah dihindari naratif kejung seperti “Aku perlu memantapkan CGPA pada setiap semester agar aku dikecualikan daripada membayar balik pinjaman PTPTN iaitu dengan menjadi Graduan Ijazah Kelas Pertama. Berkorban dengan memerah otak siang dan malam demi masa depan yang cerah.”
Dalam “Ligeia,” Poe berjaya mencipta ketegangan yang semakin memuncak dengan pendedahan perlahan-lahan misteri di sebalik watak Ligeia, mencetuskan rasa seram dan keanehan. Teknik ini boleh diaplikasikan dalam “Misteri Minggu Ke-13” dengan memperkenalkan unsur ketegangan atau misteri yang lebih kuat dan membangkitkan elemen keanehan yang lambat-laun didedahkan, bukannya penceritaan mendatar yang agak mudah dijangka.
Seperti yang saya jelaskan pada awal tadi, pembinaan latar adalah penting dalam sesebuah cerpen bertemakan misteri ataupun seram. Persekitarannya harus hidup untuk mengangkat naratif dan berkesan menghadirkan emosi yang dikehendaki kepada pembaca. Maka imejan demi imejan yang membawa esensi misteri itu harus ada.
Penggunaan imejan dalam “Misteri Minggu Ke-13” agak terhad. Sebagai contoh, penulis menggambarkan suasana pembelajaran dan keletihan watak utama, namun, suasana persekitaran dan emosi watak tidak diterokai dengan mendalam. Berbeza dengan “Ligeia,” Poe menggabungkan imejan yang kompleks dan simbolik, memberikan suasana yang menakutkan serta penuh teka-teki. Ligeia sering kali dikaitkan dengan kematian dan alam ghaib, yang membangkitkan suasana seram. “Misteri Minggu Ke-13” boleh memperbaiki aspek ini dengan mengembangkan deskripsi suasana yang lebih mendalam, seperti persekitaran universiti atau emosi yang lebih gelap daripada sekadar keletihan akademik. Imejan perasaan kerinduan yang dialami oleh watak boleh diperkukuh dengan metafora atau gambaran yang lebih kaya.
Jika ditelusuri pula aspek pembinaan watak, bolehlah dikatakan bahawa watak dalam “Misteri Minggu Ke-13” didapati agak dangkal ungkapan sisi-sisinya, dengan watak utama yang dipaparkan sekadar seorang pelajar yang bergelut dalam pelajaran. Terdapat keperluan untuk mengembangkan aspek pembinaan psikologi watak, sebagai contoh, penerapan cerita latar ke atas pensejarahan watak yang mendorongnya ke dalam kancah luka psikologi yang dihidapinya kini.
Dalam “Ligeia,” watak-watak Poe adalah kompleks dan penuh lapisan emosi serta misteri yang menyelubungi identiti Ligeia sendiri, menjadikan pembaca tertanya-tanya dan terlibat emosi. “Misteri Minggu Ke-13” boleh menambah lapisan kedalaman pada watak-wataknya, memberi mereka sejarah atau motivasi yang lebih kompleks, dan membina konflik dalaman yang lebih mendalam, bukan sekadar masalah akademik.
“Penceritaan” dalam kedua-dua karya disampaikan dari perspektif pertama, namun, “Ligeia” berjaya membawa pembaca lebih dekat kepada pengalaman psikologikal narator melalui naratif yang lebih introspektif dan penuh emosi. Dalam “Misteri Minggu Ke-13,” suara naratif utama kurang dinamik dan tidak mempunyai kedalaman psikologi yang kuat. Cadangan penambahbaikan kepada penulis adalah untuk memperkaya penceritaan dengan lebih banyak renungan mendalam watak utama tentang dirinya dan dunia sekeliling.
Secara keseluruhannya, untuk memperbaiki karya “Misteri Minggu Ke-13,” penulis boleh melakukan perkara-perkara berikut seperti memperkukuh ketegangan dan misteri dalam jalan cerita, menggunakan imejan yang lebih simbolik dan memberikan persekitaran naratif yang lebih mendalam dan beremosi, memperkaya watak dengan latar belakang dan konflik dalaman yang lebih kompleks, mengembangkan penceritaan psikologikal, sepertimana Poe membina “Ligeia” sebagai watak yang penuh teka-teki. Dengan memperbaiki elemen-elemen ini, karya “Misteri Minggu Ke-13” akan mempunyai daya tarikan yang lebih kuat serta lebih mendalam dari segi naratif sastera. Dan semestinya, selaku penulis pemula, Marilyn harus memperkaya bahan bacaan sekali gus meneliti garapan-garapan pengarang dalam genre seram dan misteri ini demi mendapatkan esensi penulisan cerpen yang sewajarnya. Pemilihan kosa kata dan tatabahasa juga harus diperbaiki dan hal ini boleh dipertingkatkan melalui pengalaman pembacaan karya-karya yang bermutu kualiti bahasanya.