Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WBS
  • Menguasai Diksi Mengawal Emosi
  • WBS

Menguasai Diksi Mengawal Emosi

Utusan Sarawak 2 days ago

DALAM gelanggang puisi, diksi bukan sekadar pilihan kata, tetapi cerminan akal dan hati penyair. Diksi ialah roh bahasa yang membentuk nada, gaya dan makna sesuatu puisi, menjadikannya lebih daripada sekadar susunan kata. Setiap perkataan yang dipilih, setiap ayat yang dibentuk, mencerminkan kehalusan rasa dan ketelitian akal. Maka benarlah, tatkala diksi dikuasai, emosi pun dapat dikendali laksana seorang nakhoda yang mahir mengemudi bahtera di tengah gelora samudera. Penyair yang mengerti kuasa diksi mampu menyampaikan gejolak jiwanya dalam bentuk yang tersusun dan indah tanpa tenggelam dalam ledakan perasaan yang liar.

Sejarah telah merakamkan diksi puitis menjadi medan perbahasan besar dalam dunia sastera. Seawal zaman Aristotle, perihal bahasa dalam puisi yang diungkap sebagai kata yang lazim, aneh, metafora atau berhias telah diperhalusi dan dikaji. Puisi tidak berdiri dengan kata yang sembarangan; ia harus halus namun jelas, tinggi tetapi tidak kabur. Dalam keindahan itulah tersembunyi keupayaan mengawal emosi kerana bahasa puitis yang terpilih mampu menyalurkan duka atau bahagia secara simbolik dan bersahaja. Justeru, apabila diksi difahami sebagai alat artistik yang berstruktur, penyair memiliki kuasa untuk menzahirkan emosi secara tersirat dan berlapis.

Namun, perubahan zaman turut mengubah wajah diksi dalam puisi. Daripada gaya yang bersifat berhias dan tinggi seperti zaman neoklasik, muncul pula suara seperti Wordsworth yang mendekatkan puisi kepada bahasa rakyat. Dalam Lyrical Ballads, beliau menegaskan bahawa puisi harus lahir daripada bahasa sebenar manusia dalam apa-apa jua keadaan. Walaupun begitu, peralihan ini tidak menidakkan keperluan menguasai diksi. Malah, keupayaan memilih dan menyusun kata secara jujur, tulus dan tepat tetap menjadi senjata utama penyair untuk memaut emosi pembaca tanpa perlu terjerumus dalam kepalsuan retorik.

Akhirnya, penguasaan diksi tidak hanya memberi kesan kepada bentuk puisi, malah mencerminkan kematangan emosi penyair. Dengan diksi yang tepat dan terarah, emosi dapat disampaikan melalui simbol, ritma, metafora atau struktur. Tidak lagi bergantung pada ungkapan terus yang dangkal, puisi menjadi wadah yang mendidik rasa, bukan sekadar melampiaskan rasa. Ia mendewasakan jiwa penyair dan pembaca, menjadikan puisi bukan sekadar seni, bahkan cermin kesedaran dan kawalan diri.

Bertitik tolak daripada perbincangan sebelumnya, ulasan puisi kali ini memfokuskan pada aspek penguasaan diksi dan kawalan emosi dalam karya puisi. Tiga buah puisi yang tersiar dalam ruangan ini pada minggu lalu telah dipilih untuk dianalisis, iaitu “Pisau” karya Ibnu Hasan, “Melodi Timur yang Redup” oleh Walfred Basin dan “Di Titik Awal yang Tak Terduga” nukilan Davidsal Jimmy Berayen. Analisis ini akan menyentuh aspek bentuk dan makna puisi, di samping menilai kekuatan serta kelemahan yang terdapat dalam setiap karya.

Puisi pertama berjudul “Pisau” memaparkan usaha penyair menggunakan objek harian sebagai perlambangan kepada cinta dan hubungan manusia. Penggunaan kata “pisau” sebagai pusat metafora mencerminkan niat untuk menampilkan sisi cinta yang pelbagai, iaitu sebagai alat penyantun dan juga alat yang mampu melukai. Namun begitu, pada baris awal puisi, iaitu “Pisau adalah cinta / yang bisa melunakkan / lapar tuannya” menimbulkan persoalan dari segi logik perlambangan. Perkataan “melunakkan lapar” lazimnya dikaitkan dengan makanan atau kasih yang memberi kenyang, bukan dengan alat seperti pisau. Maka, frasa ini kelihatan tidak sepadan dengan objek yang dilambangkan dan mewujudkan kekaburan maksud yang menyukarkan pembaca untuk menghayati imej tersebut secara tepat.

Dari segi pengolahan makna, puisi ini menggambarkan cinta sebagai sesuatu yang hangat dan mendamaikan, namun dalam masa yang sama memiliki keupayaan untuk melukakan. Metafora seperti “bilah yang tajam “, menghiris ramuan sayang” serta “ditanak atas dua tungku jiwa / di dalam periuk kasih / di hangat dapur asmara” memperlihatkan imaginasi penyair yang ingin menempatkan cinta dalam ruang domestik yang akrab dan penuh emosi. Frasa-frasa ini membina layar visual yang jelas, iaitu cinta ditamsilkan sebagai juadah yang dimasak bersama, dengan kasih sebagai ramuannya dan kesetiaan sebagai aromanya.

Namun demikian, bahagian penutup puisi yang menyatakan “tinggalkan parut rindu / seusai kering darah perpisahan” menggunakan ungkapan klise yang sudah kerap ditemui dalam puisi cinta kontemporari. Penggunaan frasa seperti “parut rindu” dan “darah perpisahan” boleh dianggap kurang segar dan sedikit mendatar dari segi impak emosi serta kekuatan penutup.

Selain itu, dari aspek bentuk dan gaya bahasa, puisi ini mengambil bentuk bebas yang tidak terikat kepada struktur rima atau bait konvensional. Gaya bahasanya puitis dan tidak menjurus kepada bentuk prosa, malah memperlihatkan kecenderungan untuk mengekspresikan emosi secara tersirat. Walau bagaimanapun, sebahagian frasa seperti “juadah hati” dan “setia” kelihatan terlalu umum dan tidak membawa kekuatan imejan yang luar jangka. Hal ini menjadikan keseluruhan puisi terasa kurang mencabar dari segi keaslian persembahan walaupun memiliki struktur yang kemas.

Bagi memperkukuh puisi seperti ini, penyair disaran untuk lebih cermat dalam memastikan kesepadanan antara simbol dan maksud, serta mengelakkan penggunaan frasa yang sudah terlalu biasa dalam puisi bertema cinta. Secara keseluruhannya, “Pisau” merupakan percubaan yang menarik dalam menjalin hubungan antara emosi dan lambang, namun masih mempunyai ruang yang luas untuk ditambah baik dari aspek keutuhan perlambangan dan keunikan diksi.

Puisi seterusnya “Melodi Timur yang Redup” karya Walfred Basin menampilkan nada melankolik yang menyelubungi suasana Timur, baik secara geografi mahupun kiasan budaya. Dari aspek diksi, penyair memilih kata-kata yang lembut dan bersifat renungan mendalam seperti “mentari malu-malu”, “lembah kesepian”, “damai kesuraman” dan “ombak rindu”. Pilihan diksi ini bersesuaian dengan tema puisi yang bertunjangkan kenangan, kehilangan dan kehalusan budaya yang kian pudar. Walaupun tidak bersifat keterlaluan, diksi ini menyampaikan kesan emosi yang terpendam dan berjaya membentuk suasana puitis yang tenang tetapi menyentuh rasa. Penggunaan kosa kata alam seperti “daun rumbia”, “pantai berpasir” dan “atap nipah” memperlihatkan kecintaan terhadap landskap tradisi dan akar budaya tempatan yang semakin ditelan zaman.

Dari segi makna, puisi ini mengangkat naratif kehilangan nilai dan memori kolektif komuniti. Larik seperti “gotong-royong terlerai dalam kenangan” dan “adat yang dahulu mendakap kini pudar” menyiratkan mesej bahawa semangat komuniti dan budaya timur yang pernah utuh kini sedang menghadapi kemerosotan. Puisi ini bukan sekadar ratapan romantik terhadap masa silam, tetapi turut menyelitkan renungan terhadap perubahan sosial yang perlahan-lahan menghakis jati diri masyarakat. Dalam baris “di desa sunyi, langkah terhenti” terdapat makna simbolik tentang masyarakat yang kehilangan arah atau semangat kolektif. Walaupun puisi ini tidak secara langsung menyatakan bentuk kerugian itu, ia tersirat melalui nuansa kesedihan dan kehampaan yang dibina secara beransur-ansur dalam setiap rangkap.

Dari aspek bentuk dan gaya persembahan, puisi ini menggunakan bentuk bebas tanpa pola rima tetap, namun struktur lariknya seimbang dan teratur. Bahasa yang digunakan tidak bersifat prosaik, malah mengekalkan ciri-ciri kesantunan sastera Melayu dengan penggunaan frasa seperti “bait-bait syair yang hiba” dan “gurindam kita kini seakan melara”. Perkara ini memberikan nilai tambah dari segi warisan kesusasteraan.

Walaupun begitu, beberapa frasa seperti “serumpun kita, walau jauh terpisah” dan “di bawah langit yang mendung berlarut” kedengaran sedikit klise kerana pernah digunakan secara meluas dalam wacana puisi bertema perpaduan atau perpisahan. Justeru, penambahbaikan boleh dilakukan dengan menggantikan frasa-frasa tersebut dengan perlambangan baharu yang lebih segar dan berani. Namun secara keseluruhannya, “Melodi Timur yang Redup” merupakan puisi yang mendalam dan menyentuh, memperlihatkan keprihatinan terhadap warisan budaya yang terancam, sambil mengekalkan estetika bahasa yang bersahaja dan berjiwa.

Puisi terakhir, iaitu “Di Titik Awal yang Tak Terduga” nukilan Davidsal Jimmy Berayen mengangkat tema pertemuan tak disangka yang berubah menjadi jerat emosi yang mendalam.

Dari aspek diksi, penyair menggunakan bahasa yang bersahaja namun bermuatan emosi dan simbolik. Larik seperti “Kau datang dengan gaya rambut asing” dan “Bagai angin malam berhembus tanpa suara” memperlihatkan penggunaan imej visual dan deria yang memperkukuh suasana misteri dan ketidakterdugaan yang menyelimuti watak “kau”. Diksi seperti “menyusup”, “menabur benih rasa” serta “akar yang menjalar” digunakan secara efektif untuk menggambarkan proses emosi yang perlahan-lahan meresap ke dalam diri penyajak. Perkataan-perkataan ini tidak sahaja mencipta kesan puitis, malah menggerakkan naratif dengan aliran yang halus dan berseni.

Dari sudut makna, puisi ini mengetengahkan naratif pertemuan yang berubah menjadi keterikatan emosi yang dalam dan rumit. Kata-kata “Bersamaku, tiada jalan pulang” menjadi titik tolak kepada perubahan mendalam dalam hidup si aku, yang digambarkan melalui metafora akar yang mengikat. Hal ini membawa maksud bahawa hubungan yang terjalin bukan hanya mengubah haluan kehidupan, tetapi juga mencabut kebebasan dan jati diri asal penyajak.

Kehadiran watak “kau” dalam siang dan malam, seperti digambarkan dalam larik “Bagai bayang yang tak mahu terpisah” menunjukkan hubungan yang semakin membelit jiwa dan tidak memberi ruang untuk berpaling. Simbol seperti “api yang membakar tanpa terlihat” dan “sungai yang mengalir tanpa tahu hujungnya” menambah lapisan makna tentang cinta yang tidak dapat dikawal, serta masa depan yang samar dan penuh teka-teki.

Dari segi bentuk dan gaya persembahan, puisi ini menggunakan bentuk bebas tanpa rima tetap, namun susunan larik dan baitnya tersusun dengan baik dan berstruktur. Bahasa yang digunakan tidak bersifat prosaik, malah memperlihatkan kecenderungan naratif puitis yang memperkukuh pengalaman pembaca.

Gaya penyampaian yang introspektif dan reflektif memberi ruang untuk renungan terhadap perkembangan satu detik yang tidak diduga menjadi pengalaman yang kompleks.

Walaupun puisi ini tidak menggunakan larik-larik tradisi seperti pantun atau gurindam, frasa seperti “kata-katamu itu seperti akar yang menjalar” dan “hujan yang jatuh bersama janji yang tak pernah terucap” tetap mengekalkan unsur keindahan bahasa Melayu yang lembut dan melankolik.

Namun, sebahagian imejan seperti “sungai yang mengalir tanpa tahu hujungnya” mungkin kedengaran agak biasa kerana telah digunakan secara meluas dalam puisi moden. Penambahbaikan boleh dibuat dengan mencari imejan baharu yang lebih segar dan luar jangka untuk memperkukuh kesan akhir puisi.

Secara keseluruhan, “Di Titik Awal yang Tak Terduga” merupakan sebuah puisi yang kuat dari segi emosi dan keutuhan naratifnya. Ia mengungkap perubahan yang berlaku dalam diri manusia apabila diperangkap oleh cinta yang tidak dirancang. Dengan penggunaan diksi yang teliti dan gaya persembahan yang bersahaja tetapi puitis, puisi ini membawa pembaca menyusuri lorong emosi yang sunyi dan penuh penyesalan. Ia merupakan cerminan pergelutan dalaman yang dituturkan dengan bahasa yang indah, walaupun masih terdapat ruang untuk memperkaya larik-larik dengan simbolisme yang lebih segar dan mendalam.

Rumusannya, dapat disimpulkan bahawa ketiga-tiga puisi yang dikupas menawarkan pengalaman emosi yang mendalam dan memperlihatkan keupayaan penyair dalam memilih diksi secara teliti untuk menyampaikan makna yang halus serta menyentuh. Setiap puisi menampilkan keunikan dari segi bentuk dan gaya, dengan kekuatan tersendiri dalam menggambarkan pergolakan jiwa, keresahan dan harapan. Meskipun terdapat beberapa kelemahan seperti penggunaan simbol yang mungkin terlalu peribadi atau kurang jelas bagi pembaca umum, keseluruhannya karya-karya ini tetap memberikan sumbangan berharga dalam landskap puisi kontemporari tanah air yang kaya dengan pelbagai suara dan rasa. Teruskan berkarya!

Oleh Dilah Tuah

Continue Reading

Previous: Kuih Bongkol Tirai Besi

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.