SALAH seorang pemimpin Sarawak yang masih diingati oleh rakyat Sarawak sehingga kini adalah Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem atau lebih dikenali sebagai Tok Nan. Beliau dikenang oleh setiap kaum dan peringkat umur kerana gaya kepemimpinannya yang sederhana dan patrotik serta merakyatkan, menambat hati rakyat Sarawak.
Beliau telah dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak kelima mengantikan Pehin Sri Abdul Taib Mahmud (kini Tun) pada 28 Februari 2014. Beliau tidak lama memegang jawatan itu kerana meninggal dunia pada 11 Januari 2017. Pemergiannya mengejutkan semua pihak, dan membawa kepada rasa hiba dalam kalangan penduduk Sarawak.
PEMULAAN
Adenan Satem dilahirkan pada 27 Januari 1944 iaitu tahun-tahun terakhir pendudukan Jepun di Sarawak. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah St. Joseph, Kuching. Selepas itu, melanjutkan pendidikan tinggi di Universiti Adelaide, Australia.
Beliau kemudian menjawat jawatan Pendakwa raya di Crown Law Office, Adelaide dari 1966 hingga 1970. Selepas itu beliau dilantik sebagai Majistret dari 1971 hingga 1972. Kerjaya beliau semakin menyerlah apabila dilantik sebagai Penolong Setiausaha, Kementerian Perusahaan Utama dari 1972 hingga 1974. Beliau kemudian menjawat jawatan pengamal undang-undang persendirian (Private Legal Practitioner) dari 1975 hingga 1985.
WARNA WARNI POLITIK
Kerjaya beliau semakin meningkat maju apabila menjadi calon Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Muara Tuang pada Pilihan Raya Negeri (PRN)1979. Dalam pilihan raya itu, beliau ditentang oleh calon Parti Anak Jati Sarawak (PAJAR), Bujang Ali Nor. Beliau menang dengan majoriti besar apabila meraih 4,227 undi, manakala lawannya hanya memperoleh 805 undi.
Kejayaan beliau dalam PRN itu memulakan rentak cemerlangnya dalam politik. Kejayaan beliau dalam pilihan raya ini diikuti dengan kemenangan berterusannya di kerusi tersebut.
Atas kewibawaan itu, sebagai seorang ahli politik, beliau juga diberi amanah yang cukup besar dalam kerajaan negeri. Beberapa jawatan menteri muda dan menteri peringkat negeri telah diberi kepada beliau.
Semasa pemerintahan Abdul Taib sebagai Ketua Menteri, beliau telah memberi kepercayaan kepada Adenan sebagai Menteri Muda Pembangunan Tanah dari 1985 hingga 1987. Selepas itu Abdul Taib telah menaikkan kedudukannya sebagai Menteri Pembangunan Tanah dari 1987 hingga 1992.
Kemudian beliau telah bertukar potfolio sebagai Menteri Pembangunan Sosial dari 1992 hingga 1998. Seterusnya beliau diberi kepercayaan untuk memegang jawatan Menteri Pertanian dan Industri Makanan pada 1998. Beliau juga diamanahkan sebagai Pengerusi Yayasan Sarawak pada 1999.
KHIDMAT DI KUALA LUMPUR
Beliau kemudiannya telah bertanding peringkat Parlimen di Sadong Jaya dalam pilihan raya 2004. Dalam pilihan raya itu, beliau telah berjaya mengatasi pencabarnya. Kejayaan itu telah membawanya ke peringkat pusat apabila dilantik sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar dibawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.
Namun demikian beliau tidak kekal lama dalam jawatan tersebut apabila pulang semula ke Sarawak untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Muara Tuang pada 2006, seterusnya berpindah ke kerusi Tanjung Datu pada 2011.
Pada 2 April 2010 beliau dilantik sebagai Penasihat Khas kepada Ketua Menteri. Pada September 2010 beliau kemudiannya menyertai semula Kabinet kerajaan negeri Sarawak sebagai Menteri Tugas-tugas Khas.
MENJADI KETUA MENTERI
Masa depan Adnen Satem semakin cerah apabila dipilih sebagi Ketua Menteri Sarawak mengantikan Abdul Taib Mahmud. Pelantikan itu mendapat reaksi positif dari parti kompenan Barisan Nasional (BN) ketika itu. Ramai yang menyatakan sokongan kepada pelantikan ini untuk meneruskan agenda pembangunan di Sarawak.
Salah satu dasar teras yang ditekankan oleh beliau adalah perlunya keharmonian dalam kalangan penduduk Sarawak. Beliau tidak mahu fahaman melampau berkembang di Sarawak, dan mahukan perpaduan dikekalkan. Bagi beliau keadaan Sarawak amat harmoni, dan semua rakyat tanpa mengira latar belakang agama atau budaya dapat hidup dalam bumbung yang sama.
Dalam hal ini, Adenan menekakan bahawa beliau adalah Ketua Menteri untuk semua bangsa bukan setakat Melayu atau Cina atau Iban. Beliau juga menambah bahawa masyarakat Sarawak harus menghormati antara satu sama lain.
UNTUK SEMUA
Malahan beliau juga, melalui kerajaan negeri, menghulur bantuan kewangan kepada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri Parti Tindakan Rakyat (DAP) iaitu Richard Wong Ho Leng yang mengalami masalah kesihatan. Dasar kemanusiaan yang ditunjukkan oleh beliau ini menerima ucapan terima kasih dari DAP.
Wakil rakyat DAP juga memuji pemerintahan 100 hari Adenan Satem yang dianggap mudah didekati dan senang berunding serta membawa pihak pembangkang berbincang bersama dalam urusan negeri. Baru Bian, Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak ketika itu juga memuji kepemimpinan Adenan yang sanggup mendengar dan berkongsi matlamat sama dalam perjuangan hak negeri Sarawak.
Mengenai pembangunan Sarawak, Adenan juga memperjuangkan hal ini dengan meminta agar Kerajaan Persekutuan memberi peruntukan lebih banyak dalam Rancangan Malaysia Kesebelas terutama di kawasan luar bandar. Usaha ini penting dalam mengurangkan kadar kemiskinan di Sarawak.
HAK SARAWAK
Satu lagi sumbangan besar Adenan adalah kesungguhan beliau untuk memperjuangkan hak Sarawak menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Dalam satu perkara beliau meminta agar pemberian royalti minyak kepada Sarawak ditingkatkan.
Beliau juga memperjuangkan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo yang bukan sahaja menguntungkan Sarawak tetapi juga Sabah. Projek ini memang ditunggu-tunggu oleh rakyat Sarawak sejak sekian lama dan akhirnya terlaksana.
UJIAN
Ujian awal beliau selaku Ketua Menteri apabila berlangsungnya Pilihan Raya Kecil (PRK) di Balingian. Keputusan PRK ini menyaksikan bahawa pengundi Balingian masih mahu bersama Barisan Nasional di bawah pimpinan Adenan. Selain itu beliau juga berhadapan dengan krisis kepemimpinan dalam Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).
Namun demikian krisis dalaman kedua-dua parti ini berjaya dikawal oleh Adenan Satem. Hal ini dibuktikan dengan kejayaan besar BN dalam PRN pada 2016 dengan memenangi 72 daripada 82 kerusi. Secara keseluruhnnya walaupun pemerintahannya tidak panjang tetapi Adenan telah banyak memberi impak kepada pembangunan Sarawak termasuk dalam aspek perpaduan. Malahan sumbangan beliau masih dikenang oleh penduduk Sarawak sehingga ke hari ini.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Progran Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia.