SALAH seorang tokoh perjuang tanah air kita adalah Sharif Masahor. Beliau merupakan pembesar tempatan semasa pemerintahan Brunei. Beliau juga berdepan dengan masalah apabila Raja James Brooke meluaskan kuasanya ke wilayah Brunei. Akibatnya, berlaku pertentangan antara kedua-dua pihak yang diakhiri dengan kegentingan di Mukah.
Siapakah Sharif Masahor ini? Beliau merupakan golongan bangsawan berketurunan Arab. Keturunan Arab di Sarawak telah muncul sebelum kedatangan James Brooke lagi ke Sarawak. Mereka telah mendapat tempat istimewa dalam kalangan masyarakat Melayu Sarawak. Oleh sebab itu, mereka diangkat menjadi pemimpin oleh penduduk Sarawak. Malahan, Kerajaan Brunei juga pernah mempunyai waris dari keturunan Arab apabila Sharif Ali menjadi Sultan Brunei. Kemunculan Kerajaan Pontianak juga diasaskan oleh Sharif Abdul Rahman.
Oleh hal yang sedemikian itu, keturunan Arab di Sarawak ini bukannya satu yang baharu, tetapi telah berabad-abad lamanya bertapak di Sarawak sehingga ke hari ini. Antaranya, termasuklah Sharif Masahor yang diiktiraf sebagai salah seorang pemimpin oleh penduduk tempatan.
Namun demikian, kedatangan orang Barat ke Borneo amnya dan Sarawak khasnya memberi perspektif negatif terhadap golongan ini apabila dikaitkan dengan aktiviti “perlanunan” dan “memeras penduduk tempatan”. Sharif Masahor juga dipandang negatif oleh kerajaan Brooke.
Latarbelakang
Tidak banyak maklumat tentang latarbelakang Sharif Masahor yang boleh kita ketahui. Menurut penulis buku Sejarah Sarawak, iaitu Haji Buyong Adil, Sharif Masahor dilahirkan pada tahun 1810 di Brunei. Ada juga pendapat yang mengatakan beliau lahir di Igan.
Manakala ibu beliau ialah orang Melanau bernama Siren dari Igan dan ayahnya ialah Sharif Skrang dari Skrang. Beliau dibesarkan di Igan dan membolehkan beliau membina jaringan dengan penduduk setempat.
Jalinan hubungan beliau dengan penduduk setempat bukan terhad kepada orang Melayu dan Melanau ketika itu, tetapi mempunyai hubungan rapat dengan penduduk dan ketua orang Iban di Saribas dan Skrang seperti Nanang dan Luyoh.
Pada akhir tahun 1840-an, berlaku konflik antara Sharif Masahor dengan Datu Patinggi Abdul Rahman. Datu Patinggi Abdul Rahman merupakan Gabenor Sarikei yang pernah melakukan serangan ke atas penduduk Igan pada tahun 1845 dan 1848. Hal ini membawa kepada permusuhan antara Datu Patinggi Abdul Rahman dengan Sharif Masahor. Sharif Masahor yang mempunyai hubungan baik dengan pemimpin Iban, iaitu Buah Raya telah bersatu untuk menyerang Sarikei dan berjaya menawannya pada tahun 1849. Kejayaan ini membolehkan Sharif Masahor untuk menjadi Gabenor Sarikei.
Sebagai Gabenor
Sharif Masahor juga terlibat dengan krisis kepimpinan di Mukah. Krisis yang berlaku di Mukah ini dikaitkan dengan pergaduhan antara dua pembesar Brunei, iaitu Pengiran Dipa dan Pengiran Matusin. Sharif Masahor telah memberi sokongan beliau kepada Pengiran Dipa dan menyerang Pengiran Matusin pada tahun 1854.
Pengiran Matusin kemudiannya melarikan diri ke Sarawak dan mengadu hal ini kepada kerajaan Brooke. Kerajaan Brooke mengambil peluang ini untuk memecat Sharif Masahor sebagai Gabenor Sarikei. Sharif Masahor juga telah didenda, dan beliau akur dengan arahan ini dan berpindah ke Igan.
Bagi mengawal gerak-geri Sharif Masahor ini, maka Datu Imam Buassan, Datu Temenggung Mersal dan Abang Patah diarahkan mengawal muara Sungai Rejang untuk mengelak kebangkitan Sharif Masahor. Namun, Sharif Masahor tidak menunjukkan tanda-tanda beliau akan menentang kerajaan Brooke.
Atas jasa beliau membantu Raja James Brooke menghapuskan Pemberontakan Cina (1857), maka beliau dilantik semula sebagai gabenor Sarikei.
Plot Brooke
Namun, sikap curiga kepada beliau ini berterusan sehingga ke era Charles Brooke yang membawa kepada tanggapan bahawa adanya satu plot untuk menghapuskan orang putih di Sarawak.
Dalam hal ini, Sharif Masahor terkesan dengan tindakan kerajaan Brooke untuk menundukkan kumpulan yang menentang mereka dan dicurigai akan menentang mereka. Perkara ini dikaitkan dengan rancangan Brooke menghapuskan mereka yang menentang kerajaan Brooke menerusi apa yang dikatakan sebagai plot Brooke. Hal ini boleh dilihat dengan menewaskan Sharif Sahap, Sharif Mular dan Sharif Jaafar serta Pengiran Mahkota.
Atas sebab itulah Sharif Masahor cuba mempertahankan kedudukannya dengan membuat satu pakatan dengan Datu Patinggi Abang Abdul Ghapur melawan Brooke. Tindak-tanduk Sharif Masahor ini dihidu oleh kerajaan Brooke, dan akibatnya pada tahun 1853 Abang Abdul Ghapur dilucutkan gelaran Datu Patinggi. Beliau kemudian diminta oleh Raja James Brooke pergi ke Mekah. Pada tahun 1856 beliau kembali semula ke Sarawak, dan diampunkan oleh kerajaan Brooke dengan memberi gelaran Datu Haji kepada beliau.
Pada Jun 1859 pula, Charles Fox dan Henry Steele dibunuh oleh Sawing dan Sakalai di Kanowit. Pembunuhan pegawai Brooke ini menambah curiga Charles Brooke kepada Sharif Masahor kerana beliau menganggap Sharif Masahor terlibat dalam pembunuhan tersebut. Sebaliknya Sharif Masahor menunjukkan sikap berbaik dengan kerajaan Brooke dengan membantu pihak kerajaan Brooke mengesan pembunuh tersebut. Hal ini masih tidak dapat memadamkan perasaan curiga Charles Brooke kepada beliau.
Pada tahun 1860, Sharif Masahor mengarahkan Tunjang untuk menyamar sebagai Pengiran Temenggung Abdul Jalil bagi meminta orang di Lingga, Saribas dan Skrang untuk melawan Brooke. Namun demikian, Tunjang telah ditangkap oleh Belanda, dan pihak Belanda memaklumkan hal ini kepada kerajaan Brooke. Hal ini menambah curiga Charles Brooke kepada Sharif Masahor.
Oleh sebab itu, beliau merancang menangkap Sharif Masahor. Manakala Abang Abdul Gapur telah dibuang negeri ke Singapura.
Mempertahankan Mukah
Usaha menangkap Sharif Masahor ini dilakukan oleh Charles Brooke apabila pada tahun 1860 Sharif Masahor hendak ke Kuching. Perahu yang dinaiki oleh Sharif Masahor telah diserang, mengakibatkan beliau melarikan diri ke Brunei. Charles Brooke yang gagal menangkap Sharif Masahor telah menyerang penempatan penduduk di lembah Sungai Rajang sehingga menimbulkan bantahan daripada Sultan Brunei.
Sementara itu, Sharif Masahor menafikan beliau terlibat dengan pembunuhan Fox dan Steele. Beliau bersama-sama Pengiran Dipa mengambil tindakan untuk menghalang pedagang-pedagang Sarawak untuk berdagang dengan Mukah.
Hal ini menimbulkan bantahan daripada kerajaan Brooke kerana membawa kesan kepada kilang-kilang pemprosesan sagu di Kuching. Namun demikian, Sultan Brunei meminta agar usaha menghalang kedatangan pedagang-pedagang Sarawak ke Mukah harus ditarik balik. Namun demikian, Sharif Masahor dan Pengiran Dipa tetap ingin menghalang kemaraan tentera kerajaan Brooke.
Oleh sebab itu, kerajaan Brooke mengambil jalan kekerasan untuk menunduk halangan perdagangan ini. Tindak-tanduk Brooke ini mendapat bantahan daripada Kapten Edwardes, iaitu gabenor British di Labuan. Namun, tindakan Edwardes ini tidak dipersetujui oleh kerajaan British dan akhirnya beliau berundur dari Mukah.
Pengunduran Edwardes ini menyebabkan kerajaan Brooke menawar untuk membeli Mukah. Sultan Brunei yang tidak dapat bantuan British terpaksa akur untuk menyerahkan Mukah dan kawasan Sungai Rajang kepada kerajaan Brooke.
Dibuang ke Singapura
Manakala Sharif Masahor pula ditipu oleh pihak Brooke apabila beliau dijemput berunding di atas kapal Brooke. Apabila beliau tiba di kapal tersebut, Sharif Masahor ditangkap dan dibuang negeri ke Singapura. Selepas dibuang itu beliau menjadi pengikut Sultan Ali di Melaka dan membantu Tengku Alam melawan Temenggung Abu Bakar di Muar. Beliau meninggal dunia pada tahun 1890 kerana usia tua.
Kisah Sharif Masahor ini mula dikaitkan dengan perang saudara di Selangor kerana terdapat seorang pemimpin dalam perang tersebut mempunyai nama yang sama dengan beliau, iaitu Syed Masahor. Namun demikian, sejarawan menafikan bahawa dua watak pejuang ini ialah orang yang sama.
Oleh Dr. Suffian Mansor