SALAH satu peristiwa penting dalam sejarah Sarawak berlaku pada bulan ini ialah penubuhan Kawasan Keselamatan Rajang (RASCOM). Mungkin ramai generasi hari ini tidak mengenali apa itu RASCOM.
Secara umumnya, RASCOM adalah sebuah badan yang ditugaskan untuk menjaga dan membenteras kegiatan komunis di Bahagian Ketiga (kini dikenali sebagai Bahagian Sibu) Sarawak. Peranan badan ini penting dalam menjaga keselamatan penduduk di bahagian terbabit dan penubuhannya mampu mengawal kegiatan komunis di Sarawak ketika itu.
Sebab Penubuhan
Sebab utama penubuhan RASCOM bertitik tolak daripada kegiatan komunis di Bahagian Ketiga yang semakin mengancam keamanan dan kedamaian penduduk di situ. Pihak komunis bukan sahaja melakukan serangan hendap terhadap pasukan keselamatan, tetapi telah melakukan juga ugutan dan kekerasan ke atas penduduk tempatan.
Atas sebab itu pihak kerajaan mula merancang untuk melakukan usaha membendung dan menghapuskan masalah ini dengan menubuh RASCOM.
Secara rasminya RASCOM ditubuhkan pada 26 Mac 1972. Penubuhan RASCOM ini menurut Ketua Menteri Sarawak ketika itu sebagai satu ujian yang berani, dan ia juga pertama kali dilakukan di Malaysia.
Penubuhan RASCOM ini menggabungkan pihak awam, polis dan tentera dengan objektif untuk membolehkan dasar, keputusan dibuat dan dilaksanakan dengan lebih pantas dan cekap. Ini kerana agensi kerajaan yang mempunyai peranan yang pelbagai ini dapat diselaraskan dalam unit pentadbiran RASCOM.
Unit Pentadbiran
Pada peringkat awal penubuhannya, RASCOM diketuai oleh seorang Pengarah Operasi Negeri. Ketua Menteri Datuk Patinggi Abdul Rahman Ya’kub dilantik memegang jawatan tersebut.
Beliau berperanan dalam menyelaras dan mengawal fungsi dan aktiviti pihak keselamatan dan jabatan-jabatan kerajaan di kawasan RASCOM.
Hal ini sejajar dengan apa yang dikatakan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak Hussein pada 25 Mac 1972 yang menyatakan bahawa pembentukan RASCOM ini akan memperkemaskan peranan jabatan kerajaan dari peringkat daerah hingga ke bahagian.
Atas sebab itu beliau menyatakan bahawa pihak polis, tentera dan pentadbiran awam kerajaan harus bekerja sebagai satu kumpulan.
Kesatuan dalam kumpulan ini membolehkan kesemua pihak terlibat dalam RASCOM dapat menerima arahan kerajaan dalam membenteras aktiviti komunis.
Operasi Ketenteraan
Aspek menjaga keselamatan di Bahagian Ketiga oleh RASCOM melibatkan beberapa operasi keselamatan.
Hal ini membawa kepada pertembungan pihak pasukan keselamatan dengan pihak komunis.
Operasi pada Mei 1972 yang dilakukan oleh pihak keselamatan di Ulu Rajang membawa pertempuran dengan 16 anggota komunis.
Seorang anggota komunis terkorban dan dua lagi mengalami kecederaan.
Pada 1976 pula seorang anggota komunis ditembak mati di Daerah Sibu.
Beliau dikatakan terlibat dengan pembunuhan orang awam pada 1972.
Selain bertempur dengan pihak komunis, pasukan keselamatan juga berjaya menjumpai simpanan makanan pihak komunis dan bom buatan sendiri di Bintangor.
Simpanan makanan komunis ini dijumpai pada 21 Mei 1975, manakala 37 butir bom buatan sendiri pula dijumpai di dua tarikh berbeza iaitu pada 29 dan 30 Mei 1975.
Kejayaan ini hasil maklumat dan kerjasama penduduk tempatan.
Perang Saraf
Tambahan daripada operasi ketenteraan. beberapa lagi usaha dilakukan oleh RASCOM untuk melumpuhkan aktiviti komunis di Bahagian Ketiga.
Usaha ini termasuk Food Denial Exercise bagi mengawal bekalan makanan penduduk tempatan daripada jatuh ke tangan pihak komunis.
Usaha ini dijalankan pada 1 Mei 1973 bagi sesetengah kawasan yang dianggap sensitif di Bahagian Ketiga.
Rancangan ini melibat peranan Pegawai Daerah yang akan memberi lesen kepada pihak terlibat.
Bagi membantu penduduk yang tinggal di pedalaman, maka RASCOM mewujudkan Perkhidmatan Bantuan Perubatan kepada penduduk.
Di samping itu, unit ini akan dibantu pula dengan penubuhan beberapa dispensari tetap dan bergerak.
Langkah ini disambut baik oleh penduduk tempatan.
Operasi pemindahan penduduk juga dilakukan oleh pihak RASCOM.
Ini kerana penduduk yang tinggal di pedalaman sering diganggu oleh pihak komunis.
Oleh itu, Operasi Empuru dan Operasi Bebatak dilancarkan untuk memindah penduduk yang diancam oleh pihak komunis ke beberapa kawasan di bawah RASCOM seperti Ng Sekuau, Ng Tada, Ng Jagau dan Ng Ngnugun.
Setiap penempatan semula masyarakat ini pula diwujudkan Kumpulan Bertindak Sivil untuk membantu memulihkan kehidupan mereka di kawasan baharu.
Antara bantuan dilakukan oleh kumpulan ini ialah memberi bantuan dalam aspek pertanian, menjaga kesihatan dan kebersihan serta membantu dalam mengerakan koperasi.
Usaha membenteras komunis juga melibatkan usaha mendekati rakyat menerusi hiburan.
Hal ini dilakukan oleh RASCOM dengan mewujudkan Pentas Anekarama yang diwujudkan pada Februari 1978.
Objektif penubuhan pentas ini bukan sahaja untuk tujuan hiburan semata-mata tetapi menjadi ruang untuk menyampaikan dasar-dasar kerajaan mengenai ancaman komunis.
Pihak RASCOM pada 31 Julai 1973 telah menerbitkan sebuah akhbar berbahasa Cina bernama The Masses Press.
Surat khabar ini diwujudkan untuk menentang propaganda pihak komunis.
Akhbar ini pada asalnya diterbit sebulan sekali telah diubah kepada penerbitan dua minggu sekali.
Selepas kejayaan menerbit The Masses Press, maka pihak RASCOM menerbit pula akhbar bertajuk Berita Rakyat.
Akhbar ini pula ditulis dalam bahasa Iban, dan pertama kali diterbit pada 15 Oktober 1974.
Objektif penerbitan surat khabar ini sama juga dengan The Masses Press.
Di samping dua penerbitan akhbar ini pihak RASCOM juga menerbitkan The Voice of the People of Rejang.
Tujuan penerbitan adalah untuk disebarkan kepada penduduk luar bandar.
Oleh itu penduduk luar bandar akan memahami kebenaran dan juga melawan propaganda salah daripada pihak komunis.
Penerbitan majalah ini dilakukan sebulan sekali, dan kebanyakan disebarkan di sekolah-sekolah luar bandar dibawah jagaan RASCOM secara pecuma.
Kesan
Kejayaan besar RASCOM adalah Operasi Sri Aman yang membawa penyerahan kirakira 585 anggota komunis.
Baki pihak komunis masih lagi meneruskan perjuangan mereka tetapi semakin terhimpit dengan langkah-langkah kerajaan yang efektif.
Pada 1990 seramai kirakira 50 komunis telah menyerah diri.
Kejayaan yang dicapai oleh RASCOM ini akhirnya ia telah dibubarkan pada 6 April 1995.
Penubuhan RASCOM ini berjaya membawa keamanan di Bahagian Ketiga Sarawak. Kehidupan masyarakat kembali normal dan membantu pembangunan di bahagian terbabit.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia.