DALAM perkembangan pentadbiran Sarawak, terdapat satu jawatan yang penting dalam pemerintah Brooke iaitu Native Officer atau boleh diterjemah dalam bahasa Melayu sebagai Pegawai Bumiputera. Kewujudan jawatan ini penting dalam mengurus takbir tatakelola pentadbiran Brooke ketika itu.
Ini kerana sebagai orang asing, pengetahuan James Brooke tidak mendalam mengenai masyarakat Sarawak. Walaupun ketika itu diwujudkan jawatan residen, kadet dan pegawai daerah, jawatan-jawatan yang diisi oleh orang Barat ini tidak mampu mentadbir dengan sempurna tanpa ada peranan ‘Native Officer’.
Kepercayaan
Atas sebab itu, maka jawatan ‘Native Officer’ diwujudkan khas kepada orang Bumiputera Sarawak. Pada awalnya jawatan ini diberi kepada orang Melayu dan seterusnya kepada masyarakat Melanau. Ini kerana orang Melayu ketika itu mempunyai hubungan baik dengan kaum-kaum Bumiputera yang lain.
Malah mereka memahami budaya, sosial dan bahasa penduduk tempatan. Sebelum kedatangan orang Barat ke Sarawak lagi hubungan antara orang Melayu dan kaum Bumiputera Sarawak yang lain dianggap unik kerana telah wujud kesepaduan antara kaum.
Malah penduduk Bumiputera lain menghormati pembesar Melayu ketika itu. Atas sebab itu James Brooke yang juga mempunyai hubungan baik dengan orang Melayu memberi tugas ini kepada orang Melayu bagi melicinkan pentadbiran Brooke.
Pada 1920-an ruang untuk menjawat jawatan ini diperluaskan kepada kaum-kaum Bumiputeta yang lain. Dari segi tempoh jawatan ‘Native Officer’ ini biasa akan dipegang tanpa ada had tempohnya. Jarang berlaku pengantian kepada jawatan ini dan kebanyakan mereka memegang sampai ke penghujung usia mereka. Mereka ini diambil dari kalangan pemimpin Melayu yang berpengaruh dan berwibawa.
Kedudukan
Dari segi status jawatan ini berbanding dengan jawatan dipegang oleh orang Barat iaitu residen, penolong residen dan kadet; ‘Native Officer’ ini pada tahap empat atau lima dalam kedudukan jawatan kerajaan negeri Sarawak.
Hal ini berbeza dengan apa yang dinyatakan oleh Colin N. Crisswell bahawa jawatan ‘Native Officer’ ini secara fungsinya adalah penolong residen dengan kata lain berstatus kedua tertinggi. Hal ini menunjukkan betapa tingginya jawatan ini dalam pentadbiran Brooke.
Kebanyakan ‘Native Officer’ ini tidak dipindahkan dari daerah mereka sendiri kerana pengetahuannya yang mendalam dan luas di kawasan jagaannya amat berguna kepada Residen.
Atas kearifan dan keupayaan mereka menjalankan tugas, maka diwujudkan jawatan ‘Senior Native Officer’. Jawatan ini amat jarang diisi oleh ‘Native Officer’ kerana ia merupakan jawatan yang diberi kepada ‘Native Officer’ yang berpengalaman luas dan boleh dipercayai.
Salah seorang yang pernah diberi penghormatan untuk jawatan ini ialah Abang Ain di Bahagian Kedua. Beliau memegang jawatan ini hampir 30 tahun. Sepanjang pemerintahan Raja Charles Brooke, jawatan ini hanya disandang oleh tiga orang sahaja. Raja Charles Brooke ini pula banyak menerima nasihat daripada ‘Senior Native Officer’ dan jarang daripada Residen.
Tugas
Dari segi aspek tugas pula ‘Native Officer’ ini mempunyai pelbagai tugas dan tidak mempunyai tugas yang khas. Dengan kata lain tugas ‘Native Officer’ ini membantu Kerajaan Brooke terutama Residen untuk menyusun atur pentadbiran dengan baik, mewujudkan keamanan, menjalinkan hubungan baik dan harmoni antara kerajaan dan rakyat, meningkatkan kehidupan sosial masyarakat terutama aspek kesihatan dan membantu menjanakan pendapatan Sarawak.
Secara perinciannya tugas-tugas ini termasuklah memungut cukai, menangkap orang bersalah, pembasmian wabak penyakit, pelapor, memberi penerangan dan sebagainya.
Tugas ini boleh dilihat dalam beberapa arahan diberi oleh kerajaan kepada ‘Native Officer’. Pada 1920 Abang Emit ditugaskan menyiasat masalah di hutan dara, Spaoh. Sementara itu Abang Mansor pula menemani Sarjan Rait, Koperal Kalom dan Singka serta 12 yang lain melakukan rondaan sempadan antara Sarawak dan Kalimantan dibawah Belanda.
‘Native Officer’ ini juga membawa pegawai-pegawai Barat melawat kawasan orang Iban. Dalam hal ini Abang Openg menemani salah seorang pegawai Brooke melawat orang Dayak Lemanak. Sementara itu Abang Otton menemani Kadet H. P. K. Jacks, melakukan lawatan ke Lembah Rejang. Abang Omar pula menemani H. E. Cutfield melawat Lingga bagi menerangkan tentang pendaftaran senjata api.
Atas khidmat mereka ini, pihak kerajaan Brooke tidak teragak-agak untuk memberi pengiktirafan kepada mereka. Sesetengah mereka menerima gelaran Datu seperti pada 1916 beberapa orang ‘Native Officer’ menerima gelaran Datu seperti Haji Halil, Abang Ali, Pangeran Haji Matusin dan Pangeran Mohamad. Ada juga menerima Long Service Decorations seperti Abang Abdul Latip Datu Abang Buassan dan Abang Ali Abang Dawi.
Peralihan Zaman
Keupayaan ‘Native Officer’ menjalankan tugasnya dan menjalin hubungan dengan penduduk pedalaman menyebabkan tentera Jepun yang memerintah Sarawak semasa Perang Dunia Kedua meminta mereka meneruskan tugas mereka seperti biasa. Selepas tamat perang, tentera Australia yang mentadbir Sarawak memanggil semua ‘Native Officer’ untuk membantu mereka dalam urusan pentadbiran.
Kecekapan ‘Native Officer’ bernama Morshidi Osman telah dipuji oleh pegawai tentera Australia sebagai bertaraf kelas pertama. Apabila Sarawak diserahkan kepada pihak British, tugas ‘Native Officer’ ini masih diteruskan.
Antara nama-nama ‘Native Officer’ yang berwibawa dan diiktiraf perkhidmatan mereka adalah Datu Zen yang berkhidmat di Simanggang dan Datu Tuanku Taha yang berkhidmat di Baram. Kedua-dua mereka ini mempunyai pengalaman yang cukup baik dan tahu tentang masyarakat di pedalaman.
Begitu juga dengan Abang Haji Husaini Dato Dol Rashid yang memain peranan penting sebagai ‘Native Officer’ pada zaman British. Ketika itu ‘Native Officer’ tidak hanya ditempatkan di satu-satu kawasan tetapi akan dihantar ke beberapa bahagian di Sarawak. Walaupun Abang Haji Husaini ditempat di beberapa kawasan namun ia mampu mewujudkan hubungan baik dengan penduduk di kawasan yang beliau berkhidmat.
Begitulah sedikit cebisan imbasan sejarah yang harus diingati oleh kita kerana sumbangan ‘Native Officer’ ini penting dalam membantu pembentukan Sarawak yang makmur dan aman. Apa yang ada sekarang ini adalah sebahagian usaha ‘Native Officer’ untuk menjadikan Sarawak lebih ke hadapan walaupun jawatan ini telah tiada lagi.
- Dr Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.