Oleh: Roslan Jomel
“Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya). – SURAH AL BAQARAH, AYAT 188.
APAKAH sebabnya karya sastera dihasilkan (selain untuk memenangi sayembara dan peraduan)? Sudah tentu seseorang ingin mengetahui tentang situasi dalaman manusia dan tekanan keadaan di persekitaran mereka, yang mendorong sesebuah karya sastera ditulis? Tanpa desakan dari dalam dan inspirasi yang diperoleh melalui pengalaman seharian, maka sudah tentu sesebuah naskhah lambat untuk dihasilkan.
Tetapi adakah semata-mata dua elemen itu yang menjadi faktor sesebuah karya sastera dikarang? Sastera adalah tentang manusia. Oleh itu, pelukisannya harus kompleks dan menulisnya dengan sederhana hanya menjadikan naskhah itu kurang mengganggu jiwa pembaca. Dalam karya sastera, akan terlihat cerminan jiwa seseorang pengarang itu ketika menghasilkan naratifnya. Naskhah yang ditulis bukan tentang dirinya sahaja. Tetapi setiap persoalan yang dikemukakanya juga melibatkan rantaian jiwa dan emosi para pembaca secara meluas.
Apa-apa yang berlaku pada watak utama dalam karya sastera saling kait-mengait dengan manusia di luar teks. Hubungan emosi itu tidak dapat dihapuskan oleh sempadan geografi. Budi Darma menulis tentang pengaruh jalinan karya sastera yang baik dan impaknya kepada nilai kemanusiaan (dipetik dari buku Solilokui): “Makin baik karya sastera makin universal masalah hidup yang diungkapkannya, seperti cinta kasih, ambisi, kebencian, kematian, kesepian, dan sebagainya. Karya sastera yang baik mengambil keadaan sekitar pengarang dan zamannya untuk menjadi bahan mentah, yang kemudian diolah menjadi karya yang tidak lagi terikat lagi oleh tempat dan zaman bahan mentah tersebut.”
Dalam cerpen “Sleep”, tulisan Haruki Murakami, termuat dalam buku The Elephant Vanishes, watak utama, wanita, 30 tahun, seorang isteri yang menyimpan memori pahit, dua minggu tanpa tidur, memilih memandu kereta untuk menghilangkan kebosanan dan kesepiannya. Dia bukan mengalami insmonia, katanya mempertahankan keadaan diri. Tetapi ada sesuatu, yakni pengalaman yang sukar untuk diekspresikan secara terbuka, kepada suaminya. Watak utama dalam cerpen itu melakukan rutin harian sebagai suri rumah tangga sebagaimana yang biasa dipratikkan oleh orang normal lain. Namun, ada gangguan kebatinan mengganggu dalam dirinya, hingga mendorong wanita itu terus-menerus terjerumus, terseksa dalam kenangan gelap yang masih menghantuinya. Pada perenggan terakhir, ketika wanita itu sendirian di dalam kereta, pada malam yang gelap, di lokasi yang dikaitkan dengan insiden jenayah, pada detik itulah punca sejarah hitamnya terungkai dengan tragis.
Manakala dalam naskhah “Harapan di Bunga Durian”, (lebih baik tajuknya ditulis “Bunga Durian” sahaja), watak utama dan rakan sekerja merancang untuk berkelah di kebun durian miliknya pada hujung minggu nanti. Hal itu dimaklumkan kepada isterinya, yang kebetulan teramat mengidamkan bunga durian. Malangnya, isteri watak utama tidak dapat untuk turut serta. Alangkah baiknya kalau isteri dan anak lelakinya ikut bersama-sama dalam rancangan itu. Isterinya akan mengutip apa-apa jenis sayuran untuk dibawa balik. Dan Azman (anak lelaki watak utama) tentu seronok bermain di dangau dusun durian. Bersentuhan dengan alam fauna sebagaimana pengalaman masa kecil watak utama dengan ayahnya. Namun, isterinya berhalangan, dalam keadaan sarat mengandung dan Azman pula kurang sihat.
Pada masa yang dijanjikan, watak utama menuju segera ke kebun durian, lokasinya di lembah Bukit Sejinjang, tidak jauh daripada perjalanan ke Santubong. Watak utama pergi dengan alat-alat kelengkapan berkebun. Dia membayangkan lalang dan semak yang perlu ditebas nanti. Betapa lamanya tempoh watak utama tidak singgah meninjau keadaan di kebun duriannya. Secara ketara, watak utama memanfaatkan tanah dengan bercucuk tanam apa-apa sahaja. Sesiapa yang berbudi pada tanah, akan mendapatkan hasilnya. Malahan, watak utama seorang yang berpendidikan. Diceritakan dalam naskhah, watak utama sedang mengkaji kertas kerja berkenaan produk-produk hiliran yang boleh menjana laba daripada kuntum-kuntum durian. Namun, mungkin rutin pekerjaanya yang sibuk telah membataskan minat yang dipupuk sejak kecil itu. Apa-apa pun, dia perlu singgah ke dusun durian jika tidak mahu jalan ke tempat itu ditutupi semak dan lalang. Siapa lagi hendak diharapkan?
Tanpa ditemani Kak Mariani, Bang Mahran dan Kak Tina, watak utama sampai awal di lokasi yang dijanjikan. Belum pun lama watak utama berehat di dalam kereta sambil menunggu ketibaan rakan sekerja, dia tersentak. Bunyi deruman motorsikal memecut mengganggu kedamaiannya. Watak utama terkejut, siapakah mereka? Kebiasaannya, di dusun durian itu, sunyi dan jarang dilalui oleh kenderaan asing. Mungkinkah rakan sekerjanya datang lebih awal? Watak utama menyedari ada sesuatu yang tidak kena di kebun duriannya. Aktiviti haram. Tanamannya telah dicuri. Termasuk tanaman milik pekebun lain. Paling mengejutkan, watak utama terlihat kelibat Kak Mariani membonceng motorsikal bersama-sama dengan suaminya. Antara percaya atau sebaliknya, watak utama tidak mahu membuat tuduhan negatif.
Watak utama bermonolog dalam diri. Apa yang sebenarnya dilihat tadi? Adakah sesungguhnya memang Kak Mariani dan suaminya yang baru saja melintasi di depan matanya? Apa tujuan mereka datang ke dusun duriannya? Datang dan pergi sebegitu sahaja tanpa memaklumkan kepadanya? Bahkan, terlihat dalam bakul motorsikal mereka, bungkusan plastik hitam dan guni yang berisi. Mustahil, watak utama cuba menyangkal apa yang baru disaksikan. Tetapi, watak utama kenal benar mereka dan kenderaan yang dinaiki itu. Daripada bersangka buruk, watak utama menghubungi Bang Mahran dan Kak Tina. Seolah-olahnya mereka memang tidak berada di dusun durian ketika itu. Tetapi watak utama sudah menaruh rasa syak wasangka. Siapa yang tergamak sampai sanggup mencuri hak tanaman orang lain? Itulah anehnya manusia. Rambut sama hitam, baik di depan, tetapi hati mereka sukar untuk diteka.
Kejadian di dusun durian itu mengingatkan watak utama dengan peristiwa sebelumnya. Dia pernah ditinggalkan sendirian ketika diajak oleh rakan sekerjanya itu untuk ke Pasar Serikin. Kononnya mereka akan bersama-sama ke situ. Sudahnya, bayang batang hidung mereka langsung tidak kelihatan. Maka, tersadailah watak utama berseorangan dengan gundah gulana. Dan apabila dia dipermain-mainkan lagi buat kali kedua, watak utama berasa ada sesuatu yang pelik dalam perhubungan mereka. Apa tujuan dia diperlakukan sebegitu? Adakah dia memang sengaja dikotak-katik untuk mengusik dirinya. Tidakkah dia juga manusia, punyai hati dan perasaan? Sungguh menjengkelkan. Kak Mariani dan Bang Mahran seperti berniat untuk menganiaya watak utama. Adakah dia dibuli oleh rakan sekerja sendiri?
Kecewa, memang tidak dapat ditahan lagi rasa marah dan geram oleh watak utama. Dikhianati oleh individu-individu yang dikenalinya, suatu hal hal lain, namun ada perkara selanjutnya yang merungsingkan watak utama. Watak utama mula mencongak, apakah ada hasil yang dapat dibawa pulang untuk isterinya nanti? Sesudah sampai ke dusun durian, tidak seharusnya pulang dengan tangan kosong. Mengenangkan hasil tanamannya dan milik orang lain telah disamun, watak utama benar-benar hampa. Pandangannya kosong. Tekadnya sudah mencair. Dia melutut atas tanah, hanya berserah kepada Tuhan. Watak utama benar-benar terpukul oleh insiden yang baharu sahaja dialaminya. Di dusun duriannya, penceroboh sesuka hati merompak hasil tanamannya. Dan dalang itu ialah orang yang dikenalinya. Alangkah.
Ketika larut dalam perasaan yang melemaskan, tanpa semena-semena, putik bunga durian jatuh menimpa tepat ke atas kepala watak utama. Watak utama lantas teringat dengan pesanan dari isterinya. Dan detik itu dia berasa sungguh bersyukur. Rasa kelam dan tertekan kini menghilang di raut mukanya. Rezeki seseorang manusia memang datang dari Tuhan. Kasih sayang manusia itu luas dan tidak terbatas. Namun manusia memang sering berkhianat sesama manusia kerana kelobaan dan sifat tidak tahu malu. Mengambil sesuatu yang bukan menjadi hak mereka, jelas menggambarkan betapa kotornya jiwa seseorang. Hal itu disedari oleh watak utama. Tidak terkira rasa gembiranya, kerana isteri watak utama memang sangat berharap untuk menikmati bunga durian sebagai hidangan. Terlalu lama isterinya mengidamkan bunga durian. Ia pasti menjadi hidangan istimewa di rumah nanti.
Watak utama bergumam sendirian ketika melalui detik yang tidak dijangka-jangka itu. Hajat isteri yang sedang mengandung tertunai pada ketika segala-galanya tampak mustahil. Bayangkan jika watak utama balik kosong dari dusun durian. Mungkin isterinya akan menerima hal itu dengan ikhlas dan reda. Tetapi, dia sebagai seorang lelaki dan suami, tentu menderita dari dalam. Rasa marah dan dikhianati oleh rakan sekerja tentu memarakkan api kebencian dalam dirinya. Dia telah dipermain-mainkan. Apa akan terjadi andai watak utama bertindak melulu dengan menemui rakan sekerjanya? Melepaskan jeritan dan memaki hamun seperti orang hilang kawalan diri. Persahabatan yang terjalin akan terputus. Demikian rasa hormat juga akan hilang kepada mereka yang lebih senior daripadanya. Tetapi hal buruk itu (belum) tidak berlaku. Dunia ini penuh dengan permainan dan teka-teki.
Harapan memang sesuatu yang menyakitkan. Malahan juga sekali gus memberikan kekuatan. Namun, sebagaimana kata bijak pandai, lebih baik berserah kepada Tuhan berbanding menggantungkan harapan kepada makhluk. Sekurang-kurangnya tidaklah berasa terlalu kecewa. Rezeki akan datang kepada seseorang, tanpa perlu berlari dan mengejar, ia akan datang sendiri (ditakdirkan oleh Tuhan).
Di dusun durian yang sunyi, hanya dia sendirian, terluka dan patah jiwa. Watak utama menangis kesyukuran melihat kawasan di seklilingnya dihujani kuntuman bunga durian. Putih, kekuningan, indah dan sungguh luar biasa ekspresi perasaannya tatkala menyaksikan kekayaan dan kasih sayang Tuhan kepada makhluknya. Adakah ia khayalan? Mimpi? Tidak. Tuhan yang mentadbir seluruh alam ini.
Sekarang, kembali kepada struktur penulisan naskhah itu. Dari awal naskhah itu ditulis, watak utama memaklumkan bahawa pada hujung minggu nanti, dia dan beberapa orang lagi akan berkelah di kebun durian. Kepunyaan watak utama. Tiada hal yang mendatangkan misteri. Tiada isu sosial serius khusus yang hendak diketengahkan oleh pengarangnya pada bahagian pengenalan sebagai daya pancing pembaca. Hanya merancang untuk berkhemah di dusun durian.
Sekali imbas membaca naskhah itu, terasa mendatar dan kurang mengesankan emosi. Pada bahagian pengakhiran memang terakam wujud semacam konflik batin, tetapi ia terpendam di balik jiwa watak utama. Aspek itu kurang ditekankan, digambarkan secara ringkas akan perbuatan rakan sekerja ke atas dirinya. Naskhah akan menjadi lebih kuat andai pengarang melibatkan rakan sekerjanya yang melakukan khianat itu secara tuntas. Menyoal dan menyelidik mereka yang telah memperolok-olokannya.
Jika pengarang memberikan ruang kepada watak-watak bersekongkol yang mempermain-mainkannya, sudah tentu wujud konflik, pertikaian, dialog tajam dan menjadikan alunan plot naskhah lebih rumit dan bergelora. Nuansa cerita pasti menjadi lebih menusuk jiwa. Misalnya, mengapakah rakan-rakan yang cukup dikenali itu, tergamak memperlakukan dirinya sedemikian rupa? Adakah mereka sedang menguji kesabarannya? Tidakkah perbuatan mereka sudah melampau batasan kemanusiaan? Tanpa penglibatan watak-watak utama, naskhah terasa ringan dan tidak mengundang lapisan emosi kepada pembaca.
Pengarang, sebaliknya, lebih memfokuskan kepada situasi watak utama. Ia bukanlah melemahkan naskhah, tetapi, berdasarkan cerita yang dipaparkan, penglibatan rakan sekerjanya yang disaksikan dengan mata kepala sendiri, mencuri hasil tanamannya, perlu diwujudkan ruang kepada mereka untuk diketengahkan. Apa salah dia sehingga diperlakukan sebegitu?
Perkara sudah pun berlaku. Kini dia perlu melaksanakan apa yang sepatutnya. Tentang hasil tanaman yang telah dicuri, biarkan seketika. Dia bukan datang ke dusun durian hanya semata-mata hendak berkelah. Tetapi, sudah tentu ada agenda lain yang menguatkan semangat watak utama untuk ke dusun duriannya. Selain buah durian yang amat digemari oleh orang ramai, jangan lupa, bunganya juga sungguh sedap untuk dijadikan hidangan sampingan. Ditumis dengan belacan, udang kering dan bahan-bahan asas yang lain, bunga durian sudah pasti mengecurkan air liur sesiapa sahaja. Malangnya, ada kejadian yang mengecewakan watak utama. Dia tidak mahu berburuk sangka dengan rakan sekerja sendiri. Tetapi bukti sudah terpampang depan matanya. Di balik keindahan bunga durian, putih dan kekuningan, juga terlihat hitam keruhnya perangai manusia. Tentu watak utama mendapat suatu pengalaman berharga tentang kehidupan. Aspek sebegitu wajar diperincikan oleh pengarangnya untuk menjadikan naskhah yang dihasilkan lebih berbobot dan berlapisan maknanya.
Apakah unsur saspen dan konflik serta pergolakan kejiwaan terlalu mustahak dalam memantapkan lagi naratif? Dalam kes naskhah “Harapan di Bunga Durian”, aspek itu wajar ditimbulkan agar lebih meruncingkan naratifnya. Watak utama tertekan dengan insiden kecurian di dusun duriannya, ia merupakan suatu peristiwa yang sewajarnya didalamkan lagi. Naskhah akan lebih menggigit. Siapa menjangka dan menduga, rakan sekerja watak utama telah melakukan sesuatu hal yang tidak dapat diterima oleh pertimbangan moral manusia bertamadun. Tetapi itulah kenyataannya tentang manusia. Mereka yang rapat dan dekat, boleh jadi musuh yang bertopeng-topeng. Jika pengarang menyoroti hal sedemikian, ia akan mempengaruhi nada penulisannya. Apa-apa pun, tahniah diucapkan dan teruslah memperdalam ilmu penulisan.