DALAM apa-apa juga ranah kehidupan, elemen atau komponen kepimpinan berupa suatu tuntutan. Dalam institusi kekeluargaan, kemasyarakatan, pendidikan, perkhidmatan dan kenegaraan, kehadiran seseorang yang diberikan tanggungjawab untuk “mengetuai” atau “mengepalai” institusi berkenaan tidak dapat diketepikan. “Ketua” inilah yang bakal sahaja menjadi “ikutan” bagi ahli lain, akan tetapi berfungsi merencana hala tuju, melaksanakan dan menzahirkan matlamat atau visi yang ditetapkan.
Kehadiran “ketua” ini amat penting, waima dalam landskap “permainan” yang melibatkan pembentukan sesebuah pasukan. Ketua inilah yang diletakkan harapan untuk membimbing serta memimpin agar pasukan mencapai kejayaan atau kemenangan, tidak kira pada peringkat mana-mana sekalipun. Apatah lagi dalam konteks yang lebih serius seperti institusi kekeluargaan dan sebagainya. Penggalasan beban tugas yang berat sedemikianlah, dalam bidang yang melibatkan penggajian dan upah, ganjaran yang setara diberikan sebagai “pengiktirafan” kefahaman tentang kepayahan yang didepani. Aspek ganjaran yang “lumayan” tersebut jugalah yang membuka “medan perebutan” untuk mendapatkan “gelaran perjawatan” berkenaan. Hal yang sememangnya lumrah.
Perebutan sedemikian cenderung menghadirkan suatu iklim persaingan yang tidak sihat. Persaingan yang “berempahkan” hasutan, provokasi, lobi-melobi, komplot, konspirasi dan malah “tikam-menikam”. Namun, apabila tergenggam “kepimpinan”, masih ramai yang kurang memahami mahupun menyelami sedalam-dalamnya konsep kepimpinan yang sebenarnya. Pada kelazimannya, aspek “ganjaran” serta “kuasa” menirai elemen nilai yang perlu dimiliki serta diterapkan dalam diri bagi menggalas tanggungjawab sebagai “ketua”.
Tanpa mengira apa-apa bentuk “ketua”, sama ada ketua keluarga, ketua pengawas, ketua kampung, ketua jabatan mahupun ketua negara, antara kualiti penting yang perlu dimiliki termasuklah integriti, akauntabiliti, empati, rendah diri, daya tahan, visi, pengaruh serta sikap positif. Akan tetapi, berapa ramaikah ketua yang memiliki kesemua, atau setidak-tidaknya seperempat daripada kualiti berkenaan? Pun berapa ramaikah yang memahami sepenuhnya maksud nilai-nilai yang dinyatakan? Sememangnya sukar untuk memberi jawapan pasti, akan tetapi pada kebiasaannya, ketidakfahaman akan hal sedemikian terpancar lewat perlakuan atau tindakan yang diambil oleh seseorang yang diamanahkan sebagai ketua.
Penulis terimbau kata-kata Steve Jobs, iaitu, “Management is about persuading people to do things they do not want to do, while leadership is about inspiring people to do things they never thought they could”, atau dalam bahasa Melayunya, “pengurusan berhubung kait dengan pemujukan orang lain untuk melakukan sesuatu perkara yang mereka tidak mahu lakukan, manakala kepimpinan menjurus pada memberi inspirasi kepada orang lain melakukan perkara yang mereka fikir tidak mampu mereka lakukan”. Kata kunci yang ingin diberikan penekanan dalam ujaran ini adalah kata “inspirasi”. Seseorang “ketua” sewajarnya mampu memberi “inspirasi” kepada orang bawahannya untuk melakukan sesuatu tugasan yang diamanahkan. Akan tetapi, amalan yang sedemikian amat kurang diterapkan. Keghairahan untuk mendapat perhatian serta pujian daripada pihak atasan, seakan-akan “menukar” peribadi seseorang ketua menjadi orang yang suka mengarah serta menekan, di samping meletakkan beban kesilapan dan kesalahan ke atas pekerja di bawah seliaannya. Apa-apa arahan atau keputusan yang dibuat, tidak harus disanggah. Malah dalam situasi tertentu, ketidakinginan melihat seseorang yang berada di bawah seliaannya “lebih pandai” atau “menyerlah” daripada dirinya, mampu mencetuskan keputusan pertukaran dan malah pemberhentian pekerja berkenaan. Hal yang bukan sahaja merugikan organisasi, malah menghambat perkembangan kemahiran pekerja secara keseluruhannya. Namun, hal sedemikian tidak dilihat sebagai penting bagi “ketua” berkenaan. Perkara pokok, pernyataan tersirat, iaitu, “akulah yang berkuasa, lebih pengalaman dan pengetahuan”. Noktah!
Cabaran sebagai ketua sememangnya berat. Jim Rohn, usahawan Amerika, pengarang dan pakar motivasi menyatakan,“The challenge of leadership is to be strong, but not rude; be kind, but not weak; be bold, but not bully; be thoughtful, but not lazy; be humble, but not timid; be proud, but not arrogant; have humor, but without folly.” Jack Welch, eksekutif perniagaan, jurutera kimia dan penulis pula menyatakan “Before you are a leader, success is all about growing yourself. When you become a leader, success is all about growing others”.Secara tuntas, seseorang ketua perlu menjalinkan hubungan mesra dengan pekerja di bawah seliaannya, di samping memberi inspirasi, membina, memandu serta mendorong mereka agar mampu melahirkan iklim pekerjaan yang sihat dan mesra. Hal yang pastinya mampu meningkatkan mutu serta hasil keluaran.
Seseorang ketua perlu berada “dekat” dengan para pekerja dan bukannya “mengarah” dari kejauhan. Di samping hal sedemikian, seseorang ketua perlu bersikap terbuka dan tidak mudah menerima apa-apa maklumat yang tidak sahih. Ibarat kata-kata Max Lucado, “A man who wants to lead the orchestra must turn his back on the crowd”.Tafsirkanlah sendiri maksud yang tersirat.
Tuntasnya, jadilah ketua yang disenangi, walaupun tidak memiliki apa-apa jawatan atau gelaran, seperti yang dinyatakan Brian Tracy, “Become the kind of leader that people would follow voluntarily; even if you had no title or position”.
Lindungi diri, lindungi bangsa, lindungi negara!