Oleh: Lokman Hakim
TERDAPAT dua perkara yang saya hadapi ketika saya dipersembahkan dengan cerpen ini. Pertama, saya mengulang tonton drama bersiri Korea berjudul Reply 1988 demi memahami bagaimana naratif genre “slice-of-life” ini ditulis. Kedua, saya difahamkan bahawa ketika pandemik COVID-19, bandar Limbang terputus laluan daratnya dari daerah-daerah lain di Sarawak dek kerana pergantungannya pada laluan darat di Brunei, lalu kini suatu usaha sedang dijalankan untuk membinarangkaian jalan raya baharu yang tidak perlu melalui negara Brunei.
Kedua-dua perkara ini terlihat tidak berkaitan sama sekali, tetapi cerpen ini menghubungkan kedua-duanya. Saya secara tidak langsung cuba melihat garapan emosi watak-watak dalam cerpen ini dan membandingkannya dengan garapan emosi watak-watak dalam drama Korea tersebut. Pada hemat saya, untuk menghasilkan penceritaan berkesan dalam genre realisme yang menjurus pada gambaran kehidupan yang normal tanpa ropol-ropol babak yang di luar kebiasaan menuntut ketelitian pada pembangunan dalaman watak. Keterkaitan antara satu watak ke watak lain menuntut hal-hal mikro seperti tabiat khusus dan rutin harian yang rinci. Namun, perincian ini amat sukar dikawal dalam penulisan dan boleh mencetuskan kebosanan pada pembacaan jika tidak cermat mengadunnya.
Soalan yang ditulis dalam genre berteraskan kehidupan semasa sebegini adalah apakah kepentingan setiap babak makro dan mikro yang ditulis?
Saya akui, saya agak skeptikal dengan cerpen berteraskan makanan yang menggambarkan kearifan tempatan. Ia sering dilapik elemen nostalgia dan bauran perasaan watak-watak yang lazimnya tidak berapa menjadi ataupun dalam erti kata lain, terlalu dibuat-buat. Namun, itulah cabarannya. Bagaimana mahu memecahkan klise sebuah cerpen berasaskan makanan sebegini?
Cerpen “Sambal Tahai Ibu” secara ringkasnya menggambarkan kerinduan seorang anak bernama Izman pada ibu (arwah) menggunakan sambal tahai selaku penggerak cerita. Demi menambahkan elemen dramatik pada nilai kerinduan itu, disemaikan juga latar belakang watak-wataknya yang berasal daripada keluarga susah dan seorang ibu tunggal membesarkan anak-anaknya dengan penuh kasih sayang meskipun memiliki keterbatasan ekonomi keluarga.
Cerpen ini memperlihatkan cubaan penulis untuk menerapkan olahan ayat-ayat puitis dengan memasukkan perkataan-perkataan yang sedikit janggal untuk menggambarkan situasi yang agak banal. Hal ini dikhuatiri mengganggu aliran penceritaan akibat penggunaan konteks perkataan yang kurang tepat meskipun kedengaran sedap.
- “Ibu hanya mampu menggelengkan kepalanya kendatipun jauh dalam pelusuk atma terasa perit melihat anak sulungnya itu pergi.”
- “Senyuman yang akan sentiasa terbayang dalam lensa pemikiranku saat aku merinduinya nanti.”
Suka untuk saya nyatakan di sini bahawa memahami tujuan cerpen ditulis itu sendiri menuntut pemahaman falsafah penulisan yang khusus. Apabila menyampaikan sesebuah cerita, kita mahu setiap perkataan yang membawa cerita itu memberikan impak yang dimahukan kepada pembaca. Dalam (1), saya melihat penggunaan “atma” harus dicermati. Menurut Kamus Dewan, perkataan ‘atma’ merujuk kepada ‘jiwa’ ataupun ‘nyawa’. Menggandingkan ia dengan perkataan ‘jauh dalam pelosok’ memberikan suatu gambaran bagaimana sesuatu perkara itu menjentik perasaan terdalam dan sarat nilai.
Ayat (1) itu tadi tidaklah bersalahan dari segi konteks, namun haruslah kita telusuri dukungan garapan perenggan demi perenggan yang terlibat dalam menyampaikan naratif. Menilai garapan secara tuntas akan meletakkan peletakan ayat (1) dalam situasi janggal yang tidak seiring dengan rentak penceritaan sedia ada.
Manakala, dalam ayat (2), penulis dilihat menggandingkan perkataan “lensa” dengan “pemikiran”. Dapat dikesan di mana penulis juga menggandingkan “pemikiran” dengan “kotak” seperti ayat berikut:
- Dalam kotak pemikiranku, aku mengetahui bahawa wabak ini sangatlah berbahaya dan telah meragut ribuan nyawa insan yang tidak berdosa.
Penulis harus konsisten dalam penceritaannya supaya pembentukan imej demi imej yang cuba disuguhkan itu tampak menyakinkan. Lazimnya kita pasti tidak dapat melihat perkaitan antara “lensa” dengan “kotak” itu yang nyata sekali berbeza benar sifatnya.
Cerpen ini bergerak di atas garis realisme tanpa sebarang unsur non-realisme. Penulis dilihat mengembangkan fungsi karakter Mak Kiah dengan sambal tahai selaku penggerak naratif. Suka untuk saya katakan bahawa penulis bijak menggunakan sambal tahai untuk menciptakan jalinan emosi di antara watak-watak di dalam naratif ini.
“Keterujaanku terhenti ketika menyedari bahawa terdapat sebuah bekas kecil yang berada di dalam kotak itu telah pecah. Setelah diperiksa, rupa-rupanya ibu juga mengirimkan sambal tahai kegemaranku. Namun, aku tidak sempat untuk merasainya kerana semua sambal itu sudah tertumpah semasa proses penghantaran bungkusan.”
Jika ditelusuri ayat-ayat ini, kita dapat melihat usaha penulis dalam menciptakan kepentingan sambal tahai dalam kehidupan Izman. Sambal tahai menggerakkan emosi watak utama cerita untuk mengimbau memori demi memori lalu yang menjadi gagasan penceritaan sarat nostalgia.
“Mak Kiah lantas meluru ke dapur lalu keluar membawa sebuah bekas makanan yang berwarna merah jambu. Bekas tersebut kemudiannya dihulurkan kepadaku. Aku yang masih terpinga-pinga dengan tindakan Mak Kiah terus membuka bekas itu. Tanpa terzahir apa-apa kata, aku pun menjerit kegirangan tatkala melihat sambal tahai dalam bekas tersebut. Aromanya sungguh lazat sehingga meresap ke setiap rongga hidung.”
Penulis menciptakan relevannya watak Mak Kiah di dalam cerpen ini dengan kemahiran watak itu menyediakan sambal tahai sepertimana ibu kandung Izman. Namun, cerpen ini agak terganggu dengan babak Izman dijangkiti COVID-19 lalu dikuarantin dan melalui proses penyembuhan. Kebijaksanaan penulis menggunakan “sambal tahai” selaku penggerak cerita tidak dijalinkan dengan babak Izman dijangkiti COVID-19 itu tadi. Saya tidak dapat melihat kepentingan babak (dijangkiti COVID-19) itu dalam membina naratif – barangkali ia suatu cerminan penulis mengenai pengalaman peribadi yang dirasakan relevan untuk cerpen ini.
Saya menjangkakan “sambal tahai” turut muncul dalam babak ketika Izman ini dijangkiti COVID-19, mungkin deria rasanya terganggu. Andai kata penulis menciptakan situasi magis seperti satu-satunya makanan yang masih lekat rasanya di lidah ketika virus itu menumpulkan deria rasa adalah sambal tahai, pastilah naratif sebegini rupa akan memberikan impak yang lebih berkesan kepada pembaca.
Pokok pangkalnya, penulis harus lebih peka memilih babak demi babak yang harus diterapkan dalam naratif cerpen yang digarap supaya ia membawa kesatuan matlamat penceritaan yang jitu.
Pada pengakhiran cerpen, penulis cuba menerapkan elemen kejutan. Kematian arwah ibu dikatakan sudah berlaku bertahun lamanya. Dan hal ini hanya didedahkan di pengakhiran cerpen sekali gus menimbulkan tanda tanya yang banyak ke atas pembinaan naratif sedia ada. Ia menghadirkan suatu sisi halusinasi ataupun trauma pada watak Izman yang kelihatannya tidak dapat menerima hakikat kematian ibu meskipun beberapa tahun sudah berlalu.
Elemen kejutan dan pintalan plot ini sebenarnya masih mentah dan jelas sekali digarap tanpa ketelitian. Melalui plot asalnya, pembaca dibawa untuk memahami naratifnya seperti berikut:
- Izman, seorang pelajar di Universiti Malaysia Sabah, harus bertolak ke universiti tersebut untuk kali pertamanya pada bulan Ramadan.
- Bertolak dari situ, Izman beroleh pekerjaan sambilan di kedai makan milik Mak Kiah demi menampung perbelanjaan tambahan untuk membelikan adik-beradiknya pakaian raya baharu.
- Dia ditimpa penyakit COVID-19 dan seusai sembuh, dia sempat mengumpul wang untuk membelikan adik-adiknya pakaian raya baharu. Sebelum Syawal menjelang, dia pun balik ke kampung halamannya di Limbang.
- Sebaik sahaja tiba di kampung halamannya, dia disedarkan dengan hakikat bahawa ibunya sudah lama meninggal dunia.
Justeru, kepincangan pada pendedahan hakikat bahawa ibunya itu sudah meninggal di (d) terdapat pada transisi pergerakan cerita dari poin (a) ke poin (b) lalu ke poin (c). Tiada mana-mana ayat ataupun perenggan yang menampakkan kejadian (a), (b) dan (c) itu sekadar suatu fragmen memori yang berulangan dalam diari kehidupan seorang Izman.
Hal yang diperlukan pembaca sebelum didedahkan dengan jungkir-balik plot seumpama ini sebenarnya adalah beberapa petunjuk kabur yang enigmatik. Jika tidak pun, ia harus diperjelas sama ada secara langsung atau tidak langsung di penghujung cerita. Oleh demikian, untuk merungkai permasalahan kepincangan ini, kita bermula dengan beberapa persoalan yang dibangkitkan oleh jungkir-balik plot dalam (d).
Bergerak berdasarkan andaian kesemua babak ini bergerak sejajar pada ruang waktu yang berdekatan, maka, siapakah yang berhubung dengan Izman sewaktu dia berada di universiti, pusat kuarantin dan kedai makan Mak Kiah? Penulis harus memadamkan ‘andaian’ bahawa kesemua babak ini bergerak sejajar dalam (d) dengan beberapa penerangan oleh adiknya mengenai kondisi kesihatan mental Izman.
Boleh jadi, setiap perbualan telefon dengan arwah ibu yang berlangsung sepanjang penceritaan hanya sekadar imaginasi Izman – tetapi ia tetap harus ditunjukkan bahawa ia sekadar imaginasi.
Boleh jadi juga, Izman tersalah anggap dia sedang berbual-bual dengan arwah ibunya melalui telefon, tetapi hakikatnya perbualan itu berlangsung dengan adiknya. Namun, tetap juga penulis harus menampakkan bahawa Izman keliru di perenggan (d).
Terdapat beberapa alternatif yang mungkin penulis boleh telusuri demi menyokong (d) ini. Wabak COVID-19 itu misalnya boleh mengganggu kesihatan mental seseorang dan tidak mustahil untuk Izman terkesan dengan jangkitan itu sehingga menjerumuskan dia dalam keadaan kekeliruan ke atas status kematian ibunya.
Atau penulis boleh juga menggunakan kebarangkalian ibu Izman itu meninggal dunia akibat jangkitan COVID-19 juga sewaktu Izman itu berada dalam kuarantin. Dan pendedahan realiti kematian ini hanya boleh dilakukan sesudah Izman sembuh sepenuhnya. Ia barangkali lebih menghadirkan kesan mengharukan sekali gus memberikan babak terkena jangkitan COVID-19 itu lebih relevan untuk diterapkan ke dalam naratif ini.
Secara keseluruhannya, penulis menampakkan kemahiran dalam penggunaan kosa kata yang luas tetapi masih punya permasalahan dalam penyelarasan laras fiksyen yang seragam. Terlihat juga kemahiran penulis menggunakan sesuatu objek ataupun subjek selaku penggerak naratif meskipun fokus pada tonggak naratif sedikit direncatkan dengan babak yang tidak menyokong penceritaan. Terdapat percubaan jungkir-balik plot yang kelihatannya terburu-buru dimasukkan demi memberi elemen kejutan yang segar pada pembaca tetapi sedikit mengelirukan dengan alur waktu naratif yang kurang jelas.
Dalam erti kata lain, saya melihat penulis berpotensi untuk menggarap sebuah naratif realisme yang baik. Tidak mustahil, suatu hari kelak penulis mampu menghasilkan sebuah fiksyen bersandarkan kehidupan banal manusia yang sarat emosi meskipun diladeni dialog-dialog ringkas yang tidak menitikberatkan intelektualiti. Kekuatan penulis terdapat pada penyusunan naratif yang mampu menjentik emosi pembaca yang saya kira mampu diperkemaskan seandainya penulis lebih fokus pada subjek/objek penggerak cerita.
Usai mengulang baca cerpen “Sambal Tahai Ibu”, saya kembali semula ke ruang tamu, menghidupkan televisyen dan menyambung semula tontonan Reply 1988, dengan harapan saya akan menemukan suatu format terbaik untuk menggarap karya seperti cerpen bersandarkan makanan dan kearifan tempatan ini.