AGAK sukar untuk rakyat Sarawak melupakan peranan Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dalam landskap politik negeri ini. Ibunya Hamidah Binti Wan Yaacob Bin Wan Yusuf. Wan Yaacob Bin Yusuf berasal dari Kampung Laut, Mukim Sungai Pinang yang terletak di Tumpat, Kelantan yang berhijrah ke Sarawak pada 1898 sebagai nelayan dan guru agama.
Maknanya Tun Taib mempunyai keturunan Kelantan. Wan Yaacob berkahwin dengan Siti Hajar Mohd, keturunan Pehin Dato Orang Kaya Setia Raja II Pengiran Manai, yang dilantik sebagai penguasa di antara Meludam dan Baram oleh Sultan Abdul Momin. Pengiran Manai antara ahli terawal Council Negeri yang hadir pada mesyuarat kedua di Sibu pada 1868 ketika era pemerintahan Brooke.
Beliau yang lahir di Miri pada 21 Mei 1936 adalah anak sulung daripada 11 adik-beradik yang mendapat pendidikan menengah di Sekolah St Joseph di Kuching sebelum berpeluang mendapat biasasiswa ‘Colombo Plan’ pada 1956 dalam bidang Undang-Undang di University Adelaide di Australia. Di situ juga beliau menemui jodoh dengan Puan Sri Laila Taib, keturunan Poland dan mereka berkahwin pada 1959.
Selapas tamat pengajian, beliau pernah ‘chambering’ di bawah Sir Herbert Mayo (1885-1972) yang ketika itu sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Australia Selatan. Sekembali dari Australia, beliau menjadi peguam dan Timbalan Pendakwaraya kepada kerajaan Sarawak.
TANGGA POLITIK
Sudah pasti orang yang mula membuka ruang politik kepada beliau di Sarawak ialah Abdul Rahman Yaakub iaitu bapa saudaranya yang membantu pembiayaan sekolah dan menggalakkan Taib melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang.
Pada 1960-an, Taib terlibat dalam politik dengan menyertai parti Barisan Rakyat Jati Sarawak (Berjasa) apabila dilantik sebagai Naib Pengerusi Berjasa pada 1963. Parti ini merupakan parti popular dalam kalangan orang Melayu dan Melanau di Sri Aman dan Sibu.
Parti ini kalah dalam pilihan raya tempatan pada 1963 dan hanya memenangi 44 dari 429 kerusi. Di sebalik kekalahan parti tersebut, Taib tidak bertanding dalam pilihan raya itu, namun atas sifatnya muda dan terpelajar serta dilihat sebagai pemimpin masa depan, beliau dilantik sebagai Menteri Komunikasi dan Kerja Raya Negeri pada 1963 hingga 1966 dan Menteri Pembangunan dan Perhutanan pada 1967. Ketika dilantik sebagai Menteri, usia beliau mencecah 27 tahun.
Penglibatan Taib dalam politik Persekutuan apabila beliau memenangi kerusi Samarahan pada 1970 dan dilantik sebagai Timbalan Menteri Persekutuan bagi Perdagangan dan Industri, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (1970-1972), Menteri Sumber Semula jadi (1972-1974). Kerusi Parlimen Samarahan dipegang beliau selama 38 tahun.
Ketika zaman tersebut, beliau dari parti Berjasa terlibat dalam penggabungan Parti Negara Sarawak (Panas) bagi membentuk Parti Bumiputera yang kemudian bergabung dengan Parti Pesaka Anak Sarawak (Pesaka) untuk menubuhkan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) pada 30 April 1973.
Ketika itu, Taib menjadi Setiausaha Agung parti. Ketika itu, Tun Jugah Anak Bareng menjadi Presiden PBB yang pertama dan memegang jawatan Menteri Hal Ehwal Sarawak.
Taib kemudian menjadi Presiden PBB secara automatik dan menang jawatan Presiden tanpa bertanding pada 1981 apabila menjadi Ketua Menteri Sarawak.
HUBUNGAN POLITIK
Ketika berkhidmat di Persekutuan, hubungan baik Taib dengan pemimpin Persekutuan amatlah akrab termasuklah dengan Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri pertama, Tun Abdul Razak Hussein dan Dr Mahathir Mohamad. Pendedahan kepemimpinan inilah yang banyak membantu memberikan kebijaksanaan dalam pentadbiran negeri Sarawak dan Persekutuan sepanjang beliau menjadi Ketua Menteri Sarawak selama 33 tahun.
Era pemerintahan Taib sezaman dengan Dr Mahathir yang memegang jawatan Perdana Menteri ke-empat pada 1981. Ketika itu Mahathir baru berkuasa dan memerlukan rakan strategik politik yang boleh memastikan kestabilan politik, sekali gus dapat mensejahterakan negara.
Sudah pasti, Sarawak negeri yang luas termasuk juga Sabah yang terletak di luar Semenanjung, dianggap sebagai ‘simpanan tetap’ kepada Barisan Nasional yang diketuai oleh Mahathir.
Bagi memastikan hubungan tersebut berada dalam landasan terbaik, seakan-seakan terdapat perjanjian tidak bertulis telah dibuat. Antaranya ialah UMNO tidak akan memasuki negeri Sarawak selagi UMNO, Taib Mahmud dan Mahathir memegang kuasa. Kedua-duanya di bawah kekuasaan Barisan Nasional.
TIADA GANGGUAN POLITIK
Hubungan baik ini juga menyebabkan Mahathir tidak membuat ‘gangguan’ politik terhadap negeri Sarawak di bawah kepemimpinan Taib Mahmud.
Apabila berlakunya peristiwa Ming Court pada 1987, Mahathir melakukan dasar tidak campur tangan terhadap hal ehwal politik Sarawak.
Ketika itu, berlaku krisis politik apabila bapa saudara Taib sendiri mengetuai penentangan untuk menumbangkan pentadbirannya. Situasi ini agak mencabar iaitu Taib mampu menang tipis dengan memenangi 28 daripada 48 kerusi ketika itu.
Ketidakcampuran tangan ini memudahkan Taib melakukan apa-apa yang munasabah bagi memastikan kekuasaan politik terus kekal di bawah pentadbirannya.
Ketika kerajaan Mahathir memfokuskan pembangunan sumber cari gali dan perluasan Petronas, termasuk di Sarawak, tidak ada usaha bagi menghalang perluasan ini atas dasar kepentingan nasional dan hak Persekutuan. Di pihak kerajaan negeri, isu tanah termasuk konsensi pembalakan, penanaman kelapa sawit secara besar-besar atas nama pembangunan banyak dilakukan sehingga menyebabkan berlakunya penentangan terhadap perluasan tersebut.
Sekali lagi, dapat dilihat Mahathir tidak campur tangan isu dalaman negeri Sarawak yang banyak memberikan sebagai simpanan tetap undi kepada kekuasan Persekutuan di bawah Mahathir.
Malah anak bekas Perdana Menteri Dr Mahathir, iaitu Mukhriz mendapat kurniaan konsensi balak di Sarawak ketika berusia 30-an apabila surat bertarikh 15 Disember 1994 tular apabila mendapat ribuan ekar balak.
ERA PAK LAH
Hubungan Taib ketika era Tun Ahmad Badawi atau Pak Lah dan Najib Tun Razak tidaklah seintim hubungannya dengan Mahathir. Ketika era Pak Lah sudah ada ura-ura dan berita bahawa Taib akan bersara dan berita ini berkumandang di media nasional milik parti politik di Semenanjung Malaysia.
Namun berita ini ditepis oleh media tempatan Sarawak yang lebih tahu pergerakan dan pergolakan dan melihat tidak ada angin atau asap politik kelihatan.
Malah, Taib yang turut mendapat berita angin tersebut menganggap kerja tersebut adalah kerja budak-budak nakal. Ketika itu, Taib telah memperkenalkan sistem ‘kaukus’ untuk sebarang pemilihan Ketua Menteri sekiranya diperlukan jika berlaku hambatan dalam soal pelantikan Ketua Menteri Sarawak pada masa akan datang.
ERA NAJIB
Ketika pemerintahan Najib Tun Razak, isu prestasi buruk parti SUPP dalam pilihan raya Sarawak 2011 dijadikan desakan oleh parti pembangkang dan ini dijadikan landasan teratur oleh pihak di Kuala Lumpur bagi merasionalkan pengunduran Taib walaupun usaha ini tidak terserlah secara nyata. Terdapat beberapa perbincangan ke arah tersebut secara tertutup.
Apabila SUPP hanya menang satu daripada enam kerusi dipertandingkan, sedangkan PBB memenangi 35 kerusi DUN, ini menguatkan lagi rasional agar laluan kepada pengganti baharu selepas 30 tahun menjadi ketua menteri.
Tidak lama selepas itu, hasil politik permuafakatan, Taib akhirnya bersetuju meletak jawatan. Maka, pada 12 Februari 2014 beliau menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng yang berkuatkuasa 28 Februari 2014 dan beliau menamakan Tan Sri Adenan Satem sebagai pengganti sekali gus menjadi Ketua Menteri Sarawak ke-5 berkuatkuasa 1 Mac 2014.
Tun Taib kemudiannya dilantik menjadi Yang di-Pertua Negeri Sarawak hampir 10 tahun sehingga Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengangkat sumpah menggantikannya yang bermula 26 Januari 2024 hingga 26 Jan 2028.
Al Fatihah kepada Tun Abdul Taib Mahmud.
- Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).