Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • RENCANA
  • Mengejar keberkatan, bukan kemewahan semata-mata
  • RENCANA

Mengejar keberkatan, bukan kemewahan semata-mata

Utusan Sarawak 1 day ago
IBU bapa dan penjaga serta kanak-kanak berumur tujuh hingga 12 tahun diberi penerangan sebelum melakukan saringan anemia pada Program Promosi Kesihatan Komuniti Universiti Malaya dan Pencegahan Denggi di Dewan Komuniti Taman Petaling Kepong baru-baru ini. Foto BERNAMA

DALAM kehidupan hari ini, ramai manusia berlumba-lumba mengejar kekayaan, kemewahan dan kesenangan hidup. Tidak dinafikan bahawa Islam menggalakkan umatnya berusaha mencari rezeki dan memperbaiki taraf kehidupan.

Meskipun begitu, Islam mengajar bahawa tujuan utama dalam mencari harta bukanlah untuk bermegah-megah atau memenuhi nafsu semata-mata, sebaliknya untuk mendapatkan keberkatan daripada Allah SWT.

Harta yang sedikit tetapi diberkati lebih bernilai daripada harta yang banyak tetapi jauh daripada keredaan Allah SWT. Oleh itu, setiap Muslim hendaklah memahami bahawa kejayaan sebenar bukan terletak pada banyaknya harta yang dimiliki, tetapi pada sejauh mana harta tersebut membawa kebaikan kepada dirinya, keluarganya dan masyarakat.

Keberkatan membawa maksud kurniaan Allah SWT yang mendatangkan kebaikan, ketenangan dan manfaat yang berkekalan.

Firman Allah SWT di dalam surah Hud ayat 11 yang bermaksud: “Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah SWT jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan).”

Dalam masa yang sama, Allah SWT mengingatkan kita agar tidak terlalu terpesona dengan kemewahan dunia yang bersifat sementara. 

Sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Dan janganlah engkau menujukan pandangan kedua matamu dengan keinginan kepada apa yang telah Kami berikan kepada beberapa golongan dari mereka yang kafir itu menikmatinya, yang merupakan keindahan kehidupan dunia ini, untuk Kami menguji mereka padanya; sedang limpah kurnia Tuhanmu di akhirat lebih baik dan lebih kekal.” (Surah Taha ayat 131)

Islam tidak pernah melarang umatnya menjadi kaya. Ramai sahabat Nabi SAW terdiri daripada golongan yang berharta.

Namun, mereka menggunakan kekayaan untuk membantu agama, menolong golongan miskin dan mencari keredaan Allah SWT. Kekayaan yang dimiliki tidak menguasai hati mereka. Mereka memahami bahawa segala nikmat yang diperoleh merupakan amanah daripada Allah SWT.

Keberkatan rezeki lebih bernilai daripada banyaknya harta

Rasulullah SAW  mengajar umatnya agar sentiasa bersyukur dan merasa cukup dengan rezeki yang dikurniakan Allah SWT.

Baginda bersabda: “Sungguh beruntung orang yang masuk Islam, diberikan rezeki yang mencukupi dan Allah SWT menjadikannya reda dengan apa yang diberikan kepadanya.” (riwayat Muslim)

Kebahagiaan sebenar terletak pada sifat qanaah dan reda, iaitu sentiasa merasa cukup dengan apa yang dikurniakan Allah SWT.

Dengan adanya sifat ini dalam diri seorang Muslim dapat menghindarkan  daripada sifat tamak dan cintakan dunia secara berlebihan.

Dalam usaha mencari rezeki, seorang muslim dituntut memastikan sumber pendapatan yang diperoleh adalah halal.

Rezeki yang halal akan membawa keberkatan, manakala rezeki yang haram atau syubhah akan menghilangkan keberkatan walaupun jumlahnya banyak.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT itu baik dan tidak menerima kecuali yang baik.” (riwayat Muslim)

Demikian itu, setiap Muslim hendaklah menjauhi penipuan, rasuah, riba, pecah amanah dan segala bentuk pendapatan yang dilarang oleh syarak.

Walaupun jalan haram kelihatan mudah dan cepat menghasilkan keuntungan, hakikatnya ia membawa kerugian besar di dunia dan akhirat.

Sebagaimana firman Allah SWT: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).” (Surah al-Baqarah ayat 188)

ABU Bakar as-Siddiq mencari keberkatan dalam hidup

ABU Bakar as-Siddiq RA merupakan sahabat yang paling rapat dengan Rasulullah SAW dan antara individu terawal memeluk Islam.

Sebelum memeluk Islam, beliau merupakan seorang pedagang yang berjaya dan memiliki harta yang banyak.

Namun, kekayaan yang dimilikinya tidak menjadikan beliau cinta kepada kemewahan dunia.

Sebaliknya, beliau menggunakan hartanya untuk mencari keredaan dan keberkatan daripada Allah SWT.

Apabila umat Islam ditindas oleh golongan musyrikin di Mekah, Abu Bakar RA membelanjakan hartanya untuk membantu mereka yang dizalimi.

Antara jasa beliau yang paling terkenal ialah membeli dan memerdekakan Bilal bin Rabah yang diseksa dengan kejam kerana mempertahankan akidah Islam.

Tindakan tersebut dilakukan bukan untuk mendapatkan pujian manusia, tetapi semata-mata mengharapkan ganjaran daripada Allah SWT.

Pengorbanan Abu Bakar RA semakin terserlah ketika persiapan menghadapi Perang Tabuk.

Ketika Rasulullah SAW menyeru para sahabat menyumbangkan harta untuk membantu tentera Islam, Abu Bakar RA datang membawa seluruh hartanya.

Apabila ditanya oleh Rasulullah SAW tentang apa yang ditinggalkan untuk keluarganya, beliau menjawab, “Aku tinggalkan untuk mereka Allah SWT dan Rasul-Nya.” Jawapan ini menunjukkan keyakinan yang tinggi terhadap pertolongan dan keberkatan Allah SWT.

Walaupun beliau seorang yang kaya, kehidupan Abu Bakar RA tetap sederhana dan tidak berlebih-lebihan.

Harta yang dimilikinya digunakan untuk membantu perjuangan Islam dan kebajikan masyarakat.

Beliau memahami bahawa kekayaan hanyalah amanah, manakala keberkatan dan keredaan Allah SWT merupakan matlamat sebenar kehidupan.

Kisah Abu Bakar RA mengajar umat Islam bahawa kejayaan bukan diukur dengan banyaknya harta yang dimiliki, tetapi sejauh mana harta tersebut digunakan pada jalan yang diredai Allah SWT.

Keberkatan hidup akan lahir apabila seseorang meletakkan Allah SWT sebagai tujuan utama dalam setiap urusan. Dengan itu, harta menjadi sumber kebaikan yang membawa kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Hanzalah Azman

Continue Reading

Previous: Kampung adat Seri Banian bawa pengunjung menyelusuri zaman Kesultanan Melayu

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.