SALAH satu peristiwa penting berlaku pada bulan ini adalah penyerahan Sarawak kepada British oleh Raja Vyner Brooke. Penyerahan Sarawak ini membawa bantahan penduduk Sarawak terutama dalam kalangan orang Melayu, Melanau dan sebahagian orang Iban.
Dibawah pimpinan Datu Patinggi Abang Abdillah, usaha penentangan kepada penyerahan itu berterusan dengan menghantar surat bantahan kepada kerajaan British, memulau perlantikan Gabenor British dan mengadakan demontrasi dengan membawa poster-poster yang menuntut Sarawak dikembalikan pada kedudukan asalnya. Beberapa pertubuhan lain telah muncul untuk menyokong usaha penentangan terhadap penyerahan tersebut.
Piagam Atlantik
Mengapakah berlakunya usaha penyerahan ini? Sebelum pergi jauh untuk meneliti hal ini, baik ditinjau dahulu satu pertemuan antara Perdana Menteri Britain, Winston Churchill dan Presiden Amerika Syarikat, Franklin D. Roosevelt yang diadakan pada Ogos 1941. Pertemuan itu dilakukan ketika Perang Dunia Kedua sedang memuncak. Dalam pertemuan yang berlangsung di Placentia Bay, Newfoundland itu, telah mengeluarkan Piagam Atlantik.
Piagam ini amat penting kerana kedua-dua negara ini berjanji untuk tidak menakluk wilayah baharu. Mereka juga tidak akan mengubah status sesebuah kawasan tanpa persetujuan penduduk asal. Seterusnya mengakui dan menghormati penentuan diri (self-determination) untuk setiap orang.
Namun demikian selepas Perang Dunia Kedua, hal ini tidak dikotakan oleh Britian kerana mereka telah menjadikan Sarawak sebagai tanah jajahan, sedangkan India (1947) dan Burma/Myanmar (1948) telah diberi kemerdekaan oleh British.
Amerika Syarikat pula memberi kemerdekaan kepada Filipina pada 1946. Sebaliknya Sarawak pula dijadikan tanah jajahan British bersama-sama Sabah. Apakah sebab Britain meneruskan usaha mendapatkan Sarawak dan tidak menghiraukan Piagam Atlantik? Mengikut Saul Rose dalam bukunya bertajuk Britain and South-East Asia menyatakan bahawa penyerahan Sarawak kepada British mempunyai pelbagai sebab. Pertama beliau mengatakan bahawa Raja Vyner Brooke telah lanjut usia dan tidak mampu untuk mentadbir kerajaan. Beliau juga menghadapi masalah kesihatan yang menambahkan lagi sebab mengapa Sarawak perlu diserahkan kepada British.
Kedua pula Rose menyatakan bahawa Raja Vyner Brooke tidak percaya kepada pewaris kerajaan Sarawak ketika itu. Hal ini dirujukkan kepada Anthony Brooke iaitu anak saudara beliau. Ketiga pula keadaan Sarawak yang memerlukan perhatian utama untuk dibangunkan selepas tamat perang, dan hanya British mampu membangunkan Sarawak ketika itu. Ini kerana banyak kemudahan yang ada di Sarawak mengalami kerosakan. Sebab-sebab ini akan cuba dikupas untuk meneliti kebenaran disebalik penyerahan tersebut.
Lanjut usia
Mengenai usia Raja Vyner Brooke yang lanjut dan menghadapi masalah kesihatan, hal ini tidaklah menjadi masalah besar. Ia bergantung sama ada beliau boleh atau tidak memimpin. Ini kerana ayahnya iaitu Raja Charles Brooke memimpin Sarawak sampai ke akhir hayatnya. Raja Vyner Brooke pada 1945 hanya berusia 71 tahun. Ayahnya pula meninggal dunia pada usia menghampiri 88 tahun.
Mengenai kesihatan pula, sebab ini tidak juga kukuh kerana Raja James Brooke yang memerintah Sarawak mengalami masalah kesihatan serius. Beliau masih memimpin Sarawak walaupun pernah diserang strok. Walaupun beliau selamat dalam serangan strok ini tetapi kesihatan beliau masih tidak pulih. Beliau akhirnya meninggal dunia pada usia 65 atas masalah penyakit yang sama. Sebelum meninggal dunia, beliau telah menyediakan pelan pengantian yang baik dengan memilih ayah Raja Vyner Brooke sebagai pengantinya.
Pewaris
Keadaan tidak berlaku pada Raja Vyner Brooke. Beliau menafikan Anthony Brooke sebagai pengantinya kerana beliau anggap Anthony Brooke tidak sesuai atau belum matang memerintah. Jika dilihat pada proses pengantian Raja Charles Brooke, hal ini juga terjadi. Raja Charles Brooke tidak yakin kepada Vyner Brooke untuk mengantikannya. Tetapi Raja Charles Brooke mengambil pendekatan untuk melantik Vyner Brooke bersama-sama dengan adiknya Betram Brooke yang juga ayah Anthony Brooke sebagai pemerintah bersama.
Raja Vyner Brooke pula mengambil pendekatan untuk menidakkan peluang Anthony Brooke dalam hal ini. Malahan ada percubaan untuk menaikkan anak perempuan Raja Vyner Brooke sebagai raja. Usaha ini gagal kerana ia tidak mendapat sokongan para Datu-Datu Melayu ketika itu. Namun Rani Sylvia tidak berputus asa dan mengambil pula usaha menaikkan cucunya iaitu Simon Brooke Mackay sebagai penganti takhta kerajaan. Namun usaha ini juga gagal kerana tidak mendapat sokongan.
Oleh kerana itu tinggal seorang sahaja penganti yang layak iaitu Anthony Brooke. Anthony Brooke pula pernah menimbulkan masalah pentadbiran apabila beliau dilantik sebagai pewaris takhta kerajaan. Oleh itu Raja Vyner Brooke memecat beliau dan melantik semula beliau pada masa Perang Dunia Kedua. Tetapi Anthony Brooke sekali lagi dipecat kerana tidak menyokong usaha penyerahan Sarawak.
Masalah ekonomi
Satu lagi masalah utama yang dinyatakan oleh Rose adalah keadaan Sarawak yang memerlukan bantuan kewangan dan teknikal selepas perang. Raja Vyner Brooke berpendapat bahawa masalah pembangunan Sarawak ini hanya dapat dijalankan oleh kerajaan British. Rose menambah bahawa kerajaan British tidak akan membantu Sarawak selagi ia dibawah pemerintahan Brooke. Sebab ini secara tidak lansung mewajarkan bahawa Sarawak perlu dijadikan tanah jajahan oleh British. Namun demikian banyak juga negara-negara yang mengalami masalah selepas perang tetapi tetap diberi kemerdekaan seperti Filipina dan Myanmar. Manila misalnya mengalami kemusnahan teruk apabila Perang Manila dilakukan pada awal 1945.
Sejauh mana pula British mampu membangunkan Sarawak? Ini kerana Great Britain juga mengalami banyak kemusnahan akibat perang. Hutang Great Britain juga mula bertambah. Adakah sebab ini boleh mewajarkan pengambilan Sarawak oleh British? Adakah ada lagi sebab lain yang British dan Raja Vyner Brooke bersetuju dalam penyerahan ini?
Pengambilan Sarawak
Sebenarnya selepas kematian Raja Charles Brooke, British sudah mempunyai minat mengambil Sarawak. Alasan digunakan oleh mereka kerana corak pentadbiran Sarawak yang bersifat ketinggalan zaman. Walaupun British memegang kuasa hal ehwal luar Sarawak dalam Perjanjian 1888 tetapi ia tidak dapat menguasai pentadbiran dalaman Sarawak. Pelbagai usaha dilakukan oleh British untuk mengambil Sarawak termasuk pelantikan seorang Penasihat kepada pemerintah Brooke.
Semasa Perang Duna Kedua pula usaha ini dibincangkan dan dirancang untuk dilaksanakan selepas perang. Atas sebab ini British selepas Perang Dunia Kedua telah mengambil Sarawak dengan cara perlembagaan walaupun dibantah oleh penduduk Sarawak. Berdasarkan perbincangan ini jelas bahawa British memang mempunyai hasrat mengambil Sarawak tetapi kenapa?
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).