
SEBUAH cerpen yang baik ialah cerpen yang apabila dibaca secara menyeluruh, menghadirkan kesan emosi khusus. Ibarat merenung gambar atau lukisan, tidak sukar untuk hadir pada konklusi kesatuan tema dalam sesebuah imej itu sekata atau tidak.
Hal seumpama ini benar untuk puisi – objek, latar dan juga imej yang dihasilkan perlu punya kesatuan untuk difahami khalayak pembaca, sekali gus membentuk suatu imej nyata yang melekap dalam memori.
Begitu juga sifatnya cerpen yang baik. Plot, tema, interaksi sesama watak, latar cerita dan gerak naratif ialah unsur yang menjadikan sesebuah cerpen itu berupaya memberi gambaran keseimbangan yang nyata.
Namun, kesatuan imej ataupun tema dalam sesebuah cerpen itu dibentuk oleh pelbagai aspek. Logik fiksyen harus kukuh, latar harus menyakinkan, watak-watak harus digarap dengan baik untuk membentuk kesatuan sebuah cerpen yang boleh ditanggapi kuat serba-serbi.
Kebanyakan waktunya, sebuah cerpen itu agak kuat jika dibaca secara menyeluruh dan hanya kelihatan pincangnya jika diteliti elemen-elemen mikro yang membentuk gagasan ceritanya.
Wajar diakui, “Menyusuli Amai” adalah sebuah cerpen alam sekitar yang agak berkesan garapan emosi dan juga penyampaiannya. Ia punya perjalanan naratif yang cantik, tidak terburu-buru dan kemas diadun.
Tidak sukar untuk menyoroti imbang-balik emosi dua ekor watak burung kenyalang, Amai dan Inei dalam kembara perjuangan hidup mereka dalam kemelut pertembungan dengan masyarakat manusia.
Justeru, untuk cerpen sebaik ini, sewajarnya direnung kembali apakah terdapat sudut-sudut pincang yang boleh diperbaiki?
Pada mulanya, saya menanggapi dua ekor kenyalang ini diberi sifat manusiawi yang lazim terlihat dalam karya-karya satira. The Animal Farm misalnya, menampakkan jelas sifat manusiawi dalam setiap watak haiwan yang pelbagai di dalam naskhah itu.
Hal itu kerana pengarang bermaksud mahu menyindir ataupun mengkritik dengan menggunakan haiwan-haiwan ini selaku tembok fiktif. Berbeza pula dengan Inei dan Amai ini.
Kedua-duanya memang sebenar-benarnya burung kenyalang. Ia tidak mewakili mana-mana manusia dalam dunia sebenar, makanya peletakan pengetahuan manusia pada kedua-dua watak ini merupakan kepincangan cerpen yang utama.
“Yang lain jangan diusik, biar itu untuk makanan penduduk di sini. Mereka juga akan jualkan engkalak. Mereka tahu harga engkalak kini sudah meningkat di pasaran.” Ingat Amai kepada Inei.
Memandangkan Amai dan juga Inei itu sememangnya benar-benar burung kenyalang, adalah aneh untuk memperkatakan burung itu tahu perubahan harga engkalak di pasaran.
Amai dan Inei bukanlah kenyalang jadian, yang paginya kenyalang, malamnya manusia sekali gus membolehkannya mengambil tahu perkembangan semasa dunia manusia.
Justeru, pengarang harus berwaspada menempel kefahaman manusiawi pada kedua-dua watak haiwan ini.
“Kesetiaan jelas terserlah pada Amai. Lelaki spesis kami memang setia kepada pasangan mereka. Rasa tanggungjawab dan kasih sayang memang menjadi prinsip hidup mereka. Suami tidak akan menduakan isteri untuk mencari isteri baharu .Kasih berpanjangan selagi isteri masih hidup. Isteri pun sama. Tetap sayang, setia dan taat kepada suami.”
Hal ini ada kebenarannya. Namun kita harus merenung konteks kesetiaan burung kenyalang pada pasangannya itu berbeza berbanding konteks kesetiaan manusia terhadap pasangannya.
Jelas tampak kekeliruan pengarang dalam memisahkan karakter manusiawi daripada karakter haiwan. Penggunaan perkataan ‘lelaki’,’suami’ dan ‘isteri’ ke atas burung kenyalang, menyerlahkan kecelaruan pengarang.
Konsep suami isteri tidak terpakai untuk haiwan yang berpasangan. Mereka tidak terikat dengan akad nikah mahupun sebarang ritual rekaan manusia yang menjurus pada ikatan suami isteri itu tadi. Justeru, ayat itu boleh digarap kembali seperti berikut:
“Kesetiaan jelas terserlah pada Amai. Jantan spesis kami memang setia kepada pasangan mereka. Rasa tanggungjawab dan kasih sayang memang menjadi fitrah hidup mereka. Jantan tidak akan menduakan pasangan betinanya untuk mencari pasangan baharu .Kasih berpanjangan selagi pasangan betinanya masih hidup. Yang betina pun sama. Tetap sayang dan setia terhadap pasangan jantannya.”
Selaku haiwan yang tidak berakal, tiada wajarnya meletakkan konsep prinsip hidup kerana haiwan itu lazimnya diciptakan sedemikian rupa tanpa akal. Ia diciptakan untuk setia, bukan memilih untuk setia.
Ia tidak memilih mempunyai prinsip A, B atau C. Ia dijadikan untuk menurut sistem biologi, lahiriah dan kehendak yang diciptakan Allah SWT untuknya.
Pasti, terdapat keperluan untuk merenung pandangan sebegini. Tidakkah fiksyen itu harus bebas daripada kekangan sebegini rupa?
Barangkali, kita boleh mempersoalkan keperluan mengekalkan sifat kehaiwanan pada haiwan dan juga sifat kemanusiaan pada manusia dalam sebuah fiksyen.
Logik fiksyen harus longgar supaya kebebasan bercerita boleh membawa naratifnya ke spektrum yang lebih luas.
Namun, harus diingatkan, peraturan dan ‘kekangan’ yang dibina untuk menggarap sebuah fiksyen itu perlu – supaya ia terbentuk elok selaku sebuah cerita yang meyakinkan pembaca. Ia bukan peraturan untuk mengekang kreativiti tetapi memastikan kreativiti penceritaan terlihat jelas dalam bentuk yang dikehendaki, yakni cerpen.
Garapan naratif secara keseluruhannya menampilkan sebuah niat penceritaan yang jelas dan luhur, yakni mengangkat suara alam melalui perspektif seekor burung kenyalang sebagai subjek naratif.
Pilihan sudut pandang bukan manusia ini merupakan kekuatan awal yang signifikan, kerana ia membuka ruang alegori tentang pemusnahan alam, kesetiaan, keluarga dan konflik antara pembangunan ekonomi dengan kelestarian ekologi.
Pengarang jelas mempunyai kepekaan terhadap isu pemuliharaan hidupan liar serta akar budaya tempatan, khususnya budaya Dayak yang menjadikan burung kenyalang sebagai simbol kosmologi dan identiti.
Namun, meskipun cerpen ini kaya dengan niat, empati dan latar alam yang indah, penceritaannya masih memerlukan pengemasan yang ketara agar plotnya lebih tersusun, ketegangan dramatiknya lebih berkesan dan watak-wataknya lebih meyakinkan secara sastera.
Dari segi penceritaan, kelemahan utama cerpen ini terletak pada kecenderungannya untuk bersifat terlalu deskriptif dan deklaratif tanpa imbangan dramatik yang mencukupi.
Banyak perenggan berfungsi sebagai laporan atau keterangan langsung, bukannya adegan yang berkembang melalui aksi, konflik dan pilihan watak.
Misalnya, pengarang kerap menjelaskan secara terus nilai moral burung kenyalang—tentang kesetiaan, ketamakan yang ditolak dan tanggungjawab terhadap alam—tanpa membenarkan pembaca menyimpulkan nilai tersebut melalui tindakan dan akibat. Prinsip “show, don’t tell” masih belum dimanfaatkan sepenuhnya. Akibatnya, cerpen ini cenderung menjadi naratif didaktik, seakan-akan esei alam sekitar yang disalut dengan kisah, bukan sebuah cerpen yang hidup dengan konflik dan ketegangan dalaman.
Struktur plot cerpen ini pula bersifat longgar dan episodik. Penceritaan bermula dengan baik melalui gambaran harmoni kehidupan Amai dan Inei di hutan, namun selepas itu naratif bergerak secara mendatar tanpa peningkatan konflik yang berperingkat.
Peralihan daripada kebahagiaan awal kepada konflik kehilangan Amai berlaku terlalu mendadak, manakala tempoh pencarian Inei dipanjangkan dengan pelbagai sisipan deskriptif yang tidak semuanya menyumbang secara langsung kepada kemajuan plot.
Episod perkampungan, tarian Gawai, penerangan tentang undang-undang hidupan liar dan renungan tentang pembalakan dimasukkan hampir serentak, menyebabkan fokus naratif menjadi terpecah.
Untuk memperbaiki hal ini, pengarang perlu memperjelas struktur dramatik cerpen dengan membina plot yang lebih berlapis: permulaan (keseimbangan), gangguan (kehilangan Amai), peningkatan konflik (pencarian yang berisiko), klimaks (penemuan Amai dalam sangkar) dan peleraian (pembebasan dan kepulangan).
Setiap segmen wajar disusun agar saling mendorong, bukannya berdiri sebagai fragmen bebas.
Watak Amai dan Inei pula, meskipun secara konseptual menarik, masih belum berkembang sebagai watak sastera yang kompleks.
Kompleksiti manusiawi seperti mahu diterapkan dengan dialog, emosi dan cara berfikir yang begitu mirip manusia tidak diadun kemas, meski pengarang seolah-olahnya mahu memacu watak-watak burung kenyalang itu ke arah manusiawi sebegitu.
Mereka tetaplah lebih berfungsi sebagai simbol—kesetiaan, kasih sayang, alam yang terancam—daripada individu yang memiliki suara dalaman yang berbeza dan konflik psikologi tersendiri. Inei, misalnya, sering digambarkan sebagai isteri yang setia dan ibu yang penyayang, tetapi perasaannya jarang diteroka secara mendalam selain kebimbangan dan kerinduan yang berulang.
Pengarang boleh memperkaya watak Inei dengan memperlihatkan dilema yang lebih tajam: ketakutan meninggalkan anak-anak demi mencari suami, konflik antara naluri keibuan dan kesetiaan pasangan, atau rasa marah terhadap manusia yang memusnahkan habitatnya.
Konflik dalaman ini, jika ditonjolkan melalui monolog dalaman yang lebih terfokus dan spesifik, akan menjadikan watak Inei lebih hidup dan meyakinkan.
Namun, semestinya, pengungkapan konflik dalaman ini memanjangkan penceritaan yang jelas sekali terbatas ruangnya selaku sebuah cerpen.
Watak Amai pula muncul agak lewat sebagai subjek konflik sebenar. Selaku watak penting, kelewatan watak Amai selaku subjek konflik agak membantutkan pembacaan.
Sebelum kejadian pembalakan, Amai digambarkan hampir ideal—setia, bertanggungjawab, penyayang—tanpa sebarang kelemahan. Hal ini adalah suatu perkara menarik apabila pengarang mengubah situasi itu dengan tragedi yang menimpanya.
Namun, apabila dia (ia?) cedera dan diselamatkan oleh Alai, potensi dramatik watak ini sebenarnya sangat besar, namun tidak dimanfaatkan sepenuhnya.
Pengarang boleh menambah dimensi watak Amai dengan menonjolkan rasa putus asa, ketakutan akan tidak dapat kembali kepada keluarga, atau rasa bersalah kerana meninggalkan Inei terlalu lama.
Emosi ini boleh ditampilkan melalui reaksi fizikal, kicauan yang terputus-putus, atau imbasan ingatan terhadap sarang dan anak-anaknya, bukannya sekadar pernyataan langsung bahawa dia risaukan keluarganya.
Watak manusia, khususnya Alai, berfungsi sebagai jambatan antara dunia manusia dengan alam, namun pembinaannya masih agak stereotaip.
Alai digambarkan sebagai pemuda baik, pelajar zoologi, penyelamat haiwan—semua sifat positif tanpa sebarang konflik dalaman yang signifikan.
Untuk menjadikan watak ini lebih realistik, pengarang boleh menambah dilema moral yang lebih kuat, seperti ketakutan terhadap implikasi undang-undang, tekanan sosial daripada komuniti, atau konflik antara pengetahuan akademik dan realiti lapangan.
Dengan cara ini, Alai tidak sekadar menjadi “penyelamat sempurna”, tetapi manusia biasa yang membuat pilihan sukar, sejajar dengan tema besar cerpen tentang ta
Dari sudut gaya bahasa, cerpen ini memiliki kekuatan visual yang jelas. Gambaran alam, hutan, sungai dan pergerakan burung disampaikan dengan kosa kata yang puitis dan sensori sifatnya.
Namun, pengulangan frasa, struktur ayat yang hampir seragam, serta penggunaan kata sifat yang berlebihan melemahkan impak bahasa. Banyak ayat bermula dengan pola yang sama dan menyampaikan maklumat yang serupa, menyebabkan irama penceritaan menjadi mendatar.
Pengarang boleh memperbaiki hal ini dengan mempelbagaikan struktur ayat, memadatkan perenggan yang terlalu panjang, dan memilih imej yang lebih selektif.
Bahasa yang baik dalam cerpen bukanlah bahasa yang sarat, tetapi bahasa yang tepat dan berfungsi.
Selain itu, sisipan wacana undang-undang dan penerangan panjang tentang hukuman di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar, walaupun penting dari segi mesej, terasa terlalu dokumentari dalam konteks cerpen.
Maklumat ini lebih berkesan jika disampaikan secara implisit melalui tindakan dan dialog, contohnya melalui kegusaran Alai, perbualannya dengan pihak berkuasa, atau ketakutan Amai terhadap sangkar. Dengan cara ini, mesej tetap sampai tanpa memecahkan ilusi fiksyen.
Akhir cerpen, yang menyatukan semula Amai dan Inei serta kepulangan mereka ke sarang, secara tematik memuaskan, namun dramatiknya boleh dipertingkatkan.
Peleraian berlaku agak cepat selepas konflik memuncak, menyebabkan emosi pembaca tidak sempat benar-benar mendap.
Pengarang boleh melambatkan sedikit detik pembebasan, menambahkan ketegangan—misalnya kebimbangan sama ada Amai benar-benar boleh terbang semula—agar kepulangan itu terasa sebagai kemenangan yang diperoleh dengan harga yang mahal, bukan sekadar kebetulan yang baik.
Pelambatan ini boleh mencetuskan getus debar dalam hati pembaca kerana kita tahu, di sarang kenyalang itu ada anak-anak yang menanti dan mendepani bahaya sendirinya dengan lewatnya kesembuhan Amai itu sendiri.
Secara keseluruhan, “Menyusuli Amai” ialah cerpen yang memiliki jiwa, kepekaan ekologi dan potensi alegori yang kuat. Kelemahannya bukan terletak pada idea atau niat, tetapi pada pelaksanaan naratif yang masih terlalu bergantung pada penceritaan langsung, struktur yang longgar, dan watak yang lebih simbolik daripada dramatik.
Dengan pengemasan plot yang lebih terancang, pendalaman konflik dalaman watak, pengurangan elemen ekspositori, serta pemanfaatan sepenuhnya teknik dramatik cerpen, karya ini berpotensi menjadi sebuah cerpen alam sekitar yang berkesan, menyentuh emosi dan meninggalkan kesan yang berpanjangan kepada pembaca.
Oleh Lokman Hakim