Oleh Abang Median Abang Said
PERTEMBUNGAN nilai dan budaya selalunya dikaitkan antara dua subjek yang bertentangan – selalunya antara sudut moden dan tradisi – yang menimbulkan konflik pilihan antara watak yang menggerakkan binaan plot dalam sesebuah karya. Namun menerusi cerpen “Kain Songket Suri” karya RatnaDewi Asmara, pertembungan pilihan itu melibatkan elemen tradisi, iaitu antara menenun songket dan kelangsungan sebagai penari tradisional. Pertembungan itulah yang menjadi tema dan konflik yang cuba ditenun oleh pengarang dalam karyanya. Persoalannya, adakah tenunan yang dilakukan oleh pengarang itu dilakukan dengan penuh teliti dan berseni untuk mengangkat nilai estetika dalam karya berkenaan? Keistimewaan dan keindahan kain tenunan Melayu terletak pada corak tenunan yang menggambarkan kehebatan penenun dan pereka. Setiap corak diinspirasikan daripada alam semula jadi yang diolah dan disusun untuk mencantikkan satu-satu tenunan sekali gus menyerlahkan sisi nilai estetikanya dengan menitikberatkan ciri kehalusan, ukiran, keseimbangan, keharmonian, keindahan dan ketenangan yang menjadi asas kesenian masyarakat Melayu. Semua elemen tersebut mempunyai keselarian dengan keistimewaan dan keindahan dalam karya yang menitikberatkan tema, persoalan, binaan plot, teknik plot, latar, nilai serta pengarang yang cuba ditulis oleh pengarang. Antara si penenun dan pengarang mempunyai kesinoniman yang tersendiri.
Watak Suri dalam cerpen ini mengalami kesukaran membuat pilihan sama ada untuk mengikuti minat ibunya dengan menjadi guru tarian kerana ibunya dahulu juga merupakan seorang penari yang berbangsa Kedayan Brunei. Pengarang menggunakan teknik imbas kembali untuk menyingkap saat perkenalan dan perhubungan cinta antara ibu Suri – Dayangku Sari dengan Awangku Azman. Perkahwinan tersebut tidak mendapat restu daripada nenek Suri, iaitu Nurmala. Dia tidak menyukai menantunya yang merupakan seorang penari. Pengarang cuba menyisipkan unsur saspens dengan ayat berikut: Kesilapan masa lalu meragui keputusannya untuk menerima Dayangku. Pembaca tertanya-tanya, apakah kesilapan masa lalu yang mempengaruhi keputusan dan tindak-tanduk Nurmala yang menolak kehadiran ibu Suri. Minat Suri yang dipupuk untuk menjadi penari oleh ibunya telah menebalkan lagi perasaan tidak puas hati pada Nurmala. Dia tidak mengizinkan satu-satu cucunya untuk menjadi seorang penari. Nurmala mahu Suri mengikut jejaknya menjadi seorang pengusaha kain songket dan keringkam. Semuanya hadir daripada usahanya berpuluh-puluh tahun yang lalu dengan menenun setiap motif halus pada kain yang diperbuat dari benang emas.
Sama ada disedari oleh pengarang atau tidak, pengarang cuba menunjukkan pertembungan budaya antara masyarakat Kedayan Brunei dan masyarakat Melayu Sarawak. Masyarakat Melayu Sarawak berbangga dengan seni sulaman keringkam pada selendang dan selayah yang menjadi antara warisan penting dalam busana tradisi untuk terus dipelihara supaya keunikannya dapat dikekalkan. Besarnya peranan keringkam bukan sekadar pelengkap busana semata-mata, malah dilihat sebagai simbolik penting dalam adat istiadat Melayu Sarawak yang menandakan ketinggian status seseorang wanita atau gadis. Seiring peredaran waktu, selendang keringkam turut dimiliki golongan biasa dan dilihat sebagai busana wajib dalam setiap keluarga Melayu Sarawak sehinggakan ada yang menjadikan selendang ini sebagai harta pusaka untuk diwariskan daripada satu generasi ke generasi seterusnya seperti yang cuba dilakukan oleh Nurmala terhadap cucunya, Suri. Cabaran bagi setiap ‘khazanah’ yang perlu dipertahankan pastinya berkait dengan penenun atau penyulam keringkam itu sendiri yang diancam kepupusan apabila golongan muda hari ini tidak sudi mewarisi kemahiran generasi terdahulu kerana memerlukan ketelitian. Perkara ini turut dikongsikan oleh watak Sari dalam cerpen ini:
“Ibu mahu kamu jadi seorang penari bukan menjadi pengusaha penenun songket. Ibu tak mahu kamu susah payah mempelajari songket yang agak rumit itu,” Dayangku cuba mempengaruhi minda Suri.
Percanggahan pendapat antara Dayangku Sari dan Nurmala membuatkan hubungan mereka sebagai menantu dan ibu mentua terasa asing. Pertembungan antara budaya dan dua kemahuan yang berbeza cuba memisahkan hubungan cinta dan keakraban dalam sebuah keluarga.
Dalam cerpen ini, keruwetan konflik yang dialami oleh Suri semakin menanjak apabila dia berasa tersepit. Dalam usianya yang mencecah 20 tahun, dia keliru dengan keputusan yang diambilnya. Seboleh-bolehnya, dia tidak mahu membantah setiap perintah ibunya. Dia tidak mahu melukai hati Ibunya. Pengarang menggunakan teknik imbas kembali apabila Suri teringat dengan ceramah dari ustazah pada zaman persekolahannya dahulu :
“Jangan pernah menyakiti atau melukai hati seorang ibu, yang telah susah payah melahirkan kita. Jangan membantah setiap perintahnya, jika ia tidak bertentangan dengan hukum agama.”
Cuma perkara ini boleh dipersoalkan oleh pembaca. Bukankah keinginan ibunya untuk Suri menjadi penari yang tentunya akan mendedahkan aurat Suri sebagai wanita Muslim adalah merupakan sesuatu yang bertentangan dengan agama? Ada lompang terhadap kelogikan yang dibina oleh pengarang dalam aspek pembinaan plot.
Pada pertengahan cerpen, pengarang cuba merungkaikan persoalan yang mungkin menjadi selirat yang menjerut pemikiran dan persepsi pembaca. Penentangan Nurmala untuk menghalang cucunya, Suri menjadi penari adalah disebabkan sejarah dalam keluarganya tatkala kakak kepada ayah Suri (juga merupakan seorang penari) pernah dirasuk oleh ‘jin penari’ hingga menyebabkan kematiannya. Dia mengamal ilmu ghaib iaitu dengan meminta perlindungan daripada dua alam dan melakukan pemujaan sebagai menghormati setiap perlindungan yang diberikan. Nenek Suri tidak membenarkan arwah kakak ayah Suri mengamalkan ilmu tersebut kerana perbuatan itu hanya memakan diri. Namun demi meneruskan hasratnya untuk menjadi seorang penari, arwah kakak ayah Suri sanggup menyembah dan memuja makhluk halus demi kelihatan cantik sewaktu membuat persembahan. Teguran nenek Suri – Nurmala – begitu jelas diungkapkan oleh pengarang yang menjadi leitmotif pada penghasilan karya ini :
“Bonda, tak izinkan kamu guna ilmu itu. Kamu tahu itu boleh membahayakan diri kamu suatu hari nanti. Dan boleh memakan diri kamu sendiri. Cukup! Jangan buat perkara yang mensyirikkan Allah!” Nenek Suri bersuara tegas untuk melarang arwah kakaknya mengambil ilmu hitam demi untuk kepuasan hati sendiri.
Perbuatan syirik yang dilakukan oleh watak tersebut telah memakan diri apabila dia terlupa ‘memberi makan’ atau membuat pemujaan sambil menari seperti yang sering dilakukannya sehingga dia dirasuki oleh makhluk halus. Nurmala seperti hilang kewarasan apabila mengetahui masalah tersebut. Dia telah memanggil seorang ustaz untuk mengubati penyakit misteri itu. Namun malangnya, ustaz tersebut tewas. Ustaz itu tidak dapat menyelamatkan arwah kakak ayah Suri.
Dalam penulisan karya terutama sekali di Malaysia, penerapan nilai atau citra yang positif sangat dituntut kepada pengarang. Namun dalam cerpen ini, pengarang memberikan kemenangan tersebut kepada elemen negatif. Lagipun, pengarang seolah-olah memberikan gambaran bahawa kematian itu disebabkan oleh makhluk halus itu. Di mana kekuasaan dan kudrat Allah? Dalam Laporan Hadiah Sastera Perdana Malaysia, elemen negatif yang terdapat dalam karya (biarpun itulah realiti yang cuba diangkat oleh pengarang) boleh menyebabkan sesebuah karya itu ditolak daripada menerima anugerah. Tentunya perkara ini berbeza dengan anugerah penulisan di negara barat seperti Man Booker Prize, The Pulitzer Prize dan sebagainya. Pengarang perlu berhati-hati menangani binaan plot yang sedemikian rupa pada masa akan datang.
Masalah yang dialami oleh anaknya suatu ketika dahulu menyebabkan Nurmala cuba menghalang cucunya, Suri untuk menjadi penari. Dia tidak mahu Suri mengulangi kesilapan yang sama. Dia masih berusaha untuk memujuk Suri meneruskan usahanya dalam seni tenunan songket. Namun, Suri masih teguh dengan pendiriannya yang lebih meminati bidang tarian. Pengarang menggunakan teknik dialog untuk melontarkan pandangan Suri :
“Sejujurnya, saya tidak minat untuk belajar dan teruskan perjuangan membuat songket, nenek. Kerja ini sangat rumit. Saya tidak minat kerja yang halus sebegini! Saya minat menari! Bakat yang saya ada lebih ke arah menari!” Suri menghela nafas yang berat di kerongkong tekaknya. Helaan nafas yang sangat berat itu sepertinya sudah dihidu oleh nenek Suri. Wajahnya bertukar muram. Seakan kecewa mendengar luahan kata-kata Suri.
Pengarang cuba meningkatkan ketegangan dalam cerpen ini apabila Ayu – seorang pekerja Nurmala telah melaporkan masalah syarikat mereka yang kekurangan pekerja. Masalah ini menyebabkan tahap kesihatan Nurmala yang turut mempunyai masalah jantung dan darah tinggi kian terjejas. Suri yang bimbang dengan tahap kesihatan neneknya akhirnya nekad untuk mengubah keputusannya dengan menerima amanah untuk meneruskan perusahaan songket neneknya. Pengarang tidak menggambarkan dengan jelas sama ada kegembiraan yang dialami oleh Nurmala itulah yang menyebabkan kematiannya. Adakah dia diserang sakit jantung dengan keputusan Suri? Cuma ibu Suri terkilan dengan pemergian ibu mentuanya kerana konflik antara mereka berlarutan sehingga ke akhir hayatnya. Bagi pengarang, ibu Suri perlu memberi keizinan kepada Suri untuk mewarisi kemahiran penenunan songket sebelum Nurmala meninggal dunia.
Tema dan persoalan yang dipilih oleh pengarang telah mengangkat tentang pertembungan budaya yang cuba merenggangkan kasih sayang dalam sebuah keluarga. Sebagai penulis muda, pengarang berani mengangkat tentang tema serius yang berat dengan elemen budaya. Cuma pengolahan pengarang masih di peringkat permukaan. Pengarang perlu lebih berani masuk lebih dalam hingga ke akar budaya untuk turut memberikan nilai tambah kepada pembaca. Pengarang boleh memasukkan tentang elemen mistik dalam tarian masyarakat Kedayan Brunei untuk lebih mewajarkan lagi binaan plot yang digarapnya. Nyatakan jenis tarian yang diajar oleh Sari kepada anaknya. Adakah tarian Alai Bubu ? Tarian Busak Bakui ? Tarian Main Lukah atau tarian-tarian lain? Perincian yang akan dilakukan oleh pengarang akan meningkatkan lagi nilai ilmu dalam karya berkenaan sekali gus akan turut memberikan kewajaran dan kelogikan pada jalinan plot cerpen berkenaan.
Antara perkara yang perlu diambil perhatian oleh pengarang untuk meningkatkan kualiti diri sebagai penulis ialah pemantapan dari aspek pemilihan sudut pandangan. Menurut Holman, sudut pandangan ialah istilah yang digunakan dalam analisis dan kritikan cereka untuk menerangkan cara, bagaimana pembaca dihidangkan dengan bahan cerita, atau jika ditinjau dari sudut yang lain, bagaimana pengarang memilih cara yang terbaik untuk mengemukakan ceritanya. Asas sesebuah cereka ialah aspek pengisahannya (Forster, 1970 ), maka masalah yang berkaitan dengan pengisahan menjadi masalah yang universal apabila karya itu dibicarakan secara intrinsik. Pengarang dalam cerpen ini menggunakan sudut pandangan Serba Tahu Lidah Pengarang (Editorial Omniscience). Menurut Friedman, pengarang yang menggunakan teknik ini cenderung melakukan summary narrative yakni pengisahan pengarang secara ringkasan yang sebenarnya meliputi beberapa peristiwa dalam jangka masa yang panjang di pelbagai tempat. Dalam cerpen ini, pengarang mengisahkan perjalanan cinta antara ayah dan ibu Suri yang membawa kepada perkahwinan mereka sehingga kelahiran Suri termasuk penentangan Nurmala dengan hubungan tersebut. Semuanya diceritakan secara ringkas. Teknik ini memberikan kebebasan kepada pengarang bercerita namun dilakukan secara tidak mendalam. Suara pengisah lebih menguasai peristiwa. Pengarang tidak menunjukkan kepada pembaca kehadiran Sari dan hubungannya dengan Nurmala secara langsung. Biarpun konflik yang dialami oleh Suri adalah disebabkan perbezaan antara Nurmala dan Sari tetapi gambaran yang dilakukan oleh pengarang hanya di atas permukaan. Tiada pertengkaran antara watak berkenaan.
Sudut pandangan Serba Tahu Lidah Pengarang menurut Friedman, cenderung ke arah pemberitaan (telling / summary narrative) dan bukannya ke arah babakan atau adegan. Sudut pandangan ini tidak terbatas dan amat sukar untuk dikawal. Cerita dalam cerpen ini boleh dilihat dari sebarang sudut, melewati waktu dan tempat. Pemilihan sudut pandangan ini menyebabkan elemen dramatik dan kesan emosi dalam diri watak tidak dapat dirasai dengan mendalam oleh pembaca. Cerpen ini tentu akan memberikan kesan yang lebih baik jikalau pengarang memilih sudut pandangan orang pertama untuk dirasai kesan emosi pada watak Suri.
Selain itu, watak kakak kepada ayah Suri yang tidak diberikan sebarang nama atau gelaran panggilan dalam cerpen ini menyebabkan sedikit gangguan pada penceritaan pengarang. Tentu lebih mudah jikalau diberikan satu nama yang akan melancarkan pemahaman dan pembacaan.
Sebagai penulis baharu, pengarang mempunyai keupayaan bahasa sebagai pencerita yang baik. Pengarang lancar bercerita tentang permasalahan yang dialami oleh Suri dan neneknya Nurmala, juga kehendak Sari yang mahukan anaknya, Suri mengikut jejaknya. Namun sebagai karya sastera, pengarang juga perlu memasukkan gaya bahasa yang akan meningkatkan kesan estetika pada karya berkenaan dengan pemilihan diksi yang menarik atau menggunakan gaya bahasa sastera seperti personifikasi, metafora, simile, hiperbola dan lain-lain. Pengarang perlu ‘menenun’ karyanya dengan teliti atau memilih ‘benang bahasa’ yang terbaik. Kualiti kain songket atau mutu karya turut ditentukan oleh perkara berkenaan.
Terdapat beberapa kesalahan tatabahasa yang perlu diambil perhatian oleh pengarang dan memerlukan sedikit pembetulan. Sebagai seorang penulis, pengarang perlu menjadikan karyanya sebagai panduan bukan sahaja kepada aspek ceritanya yang mengandungi nilai, pengajaran atau falsafah tetapi juga dari aspek penggunaan bahasa yang menjadi panduan atau model kepada pembaca. Oleh itu, penelitian dengan melakukan pengeditan untuk bacaan kali pertama dan kedua perlu dilakukan. Berikut adalah beberapa kesalahan bahasa dalam cerpen berkenaan dan pembetulan yang dicadangkan :
Ibu dan Ayah Suri – ibu dan ayah Suri
… Ayah Suri sanggup tinggalkan Ibunya sendiri demi untuk berkahwin dengan Dayangku – … ayah Suri sanggup meninggalkan ibunya sendiri untuk berkahwin dengan Dayangku.
tersiksa – terseksa
sebelum mempelajar teknik proses yang lain – sebelum mempelajari teknik proses yang lain
… mencemburui, Memamahkan usianya – …mencemburui, memamahkan usianya
Canggahan pendapat antara… – Percanggahan pendapat antara…
berbudi bahasa memiliki akhlak yang baik – berbudi bahasa dan memiliki akhlak yang baik
Oleh kerana – Oleh sebab
keluar telinga kanan, terus ke telinga kiri – masuk telinga kanan, terus keluar ke telinga kiri.
melarang arwah kakaknya mengambil ilmu hitam demi untuk kepuasan hati sendiri – melarang arwah kakaknya mengambil ilmu hitam demi kepuasan hati sendiri ( ‘demi’ dan ‘untuk’ membawa fungsi yang sama )
Saya minat menari! Bakat yang saya ada lebih ke arah menari! – Saya minat menari. Bakat yang saya ada lebih ke arah menari.” ( penggunaan tanda seruan pada ayat yang tidak mempunyai kata seru.)
Apa yang membuat sesebuah cerpen itu dikatakan sebuah cerpen yang baik? Plotnya? Gambaran perwatakannya? Latarnya? Atau pembawaan cerpen itu secara keseluruhan? Atau kesan tertentu sebagaimana yang dinyatakan oleh Stephen King: “Cerita pendek seperti sebuah ciuman di tempat gelap dari seseorang yang tidak anda kenali.”
Mungkin ciuman itu daripada seseorang yang anda tunggu-tunggu sepanjang hayat yakni sebuah ciuman yang memberi anda ketakjuban tak terduga. Atau ciuman mengejutkan dari orang yang baru anda temui dan tidak anda kenal sama sekali. Apa yang pasti, maksud Stephen King itu adalah tentang kejutan atau kesan luar biasa daripada karya yang dihasilkan. Cerpen yang dihasilkan hendaklah memaparkan sesuatu yang tidak klise sehingga tidak memberikan sebarang impak kepada pembaca. Semoga pengarang akan terus cuba menenun kain songket terbaik dengan corak dan motif yang memukau. Dalam penulisan cerpen, pastinya itu merujuk kepada tema (motif atau corak) yang ditenun dengan teknik yang baik (teknik plot) dengan pemilihan benang bahasa yang berkualiti.