
HIDUP manusia tidak pernah sunyi daripada ujian, keresahan dan tekaanan. Ada kalanya jiwa terasa gelisah tanpa sebab yang jelas dan ada masanya beban kehidupan membuatkan seseorang seolah-olah hilang arah.
Dalam keadaan begini, Islam memberikan jalan yang sangat indah untuk menenangkan hati, iaitu doa dan tawakal. Kedua-duanya bukan sekadar amalan ibadah, tetapi juga terapi rohani yang mampu mengubat kegelisahan jiwa.
Sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah ar-Ra’d ayat 28: “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengigati Allah SWT. Ketahuilah, dengan mengingati Allah SWT itu hati menjadi tenteram.”
Hakikatnya di dalam ajaran Islam, walau apa pun badai dan tekanan yang melanda, pasti ada jalan penyelesaian terhadap situasi tersebut agar dapat melangkah ke hadapan meneruskan perjalanan kehidupan.
Allah SWT meneguhkan hati dan jiwa orang yang beriman dengan suatu jaminan melalui firman-Nya di dalam al-Quran yang bermaksud: “Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai dengan kemudahan. (sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai dengan kemudahan.” (surah al-insyirah ayat 5-6)
Di dalam ayat lain Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (daripada segala perkara yang menyusahkannya).” (surah at-Talaq ayat 2)
SENJATA MUKMIN DAN PENAWAR JIWA
Doa ialah tanda hubungan langsung seorang hamba dengan Tuhannya. Ia adalah pengakuan bahawa kita lemah dan hanya Allah SWT yang Maha Berkuasa memberi pertolongan. Dalam kehidupan moden yang serba sibuk dan penuh tekanan, doa menjadi “ruang tenang” yang menghubungkan kita dengan sumber kekuatan haikiki.
Rasulullah SAW bersabda: “Doa itu adalah senjata orang beriman, tiang agama dan cahaya langit serta bumi.” (hadis riwayat al-Hakim) Setiap kali manusia meluahkan doa, sama ada dengan suara yang lantang atau sekadar bisikan hati, ia sebenarnya sedang menyalurkan keresahan kepada Allah SWT.
Proses ini melahirkan rasa lega kerana jiwa yang terbeban sudah menemukan tempat untuk bergantung.
Doa juga tidak terhad pada waktu tertentu. Ia boleh dipanjatkan ketika gembira, sedih, berada dalam kesusahan atau kesenangan.
Akan tetapi, doa yang lahir daripada hati yang ikhlas, penuh keyakinan dan rendah diri pasti akan lebih dekat untuk dimakbulkan Allah SWT.
Allah SWT menegaskan di dalam al-Quran: “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka jawablah bahawa sesungguhnya Aku dekat. Aku mengabulkan pemohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-Ku.” (surah al-Baqarah ayat 186)
Ayat ini jelas memberikan motivasi besar kepada orang beriman. Setiap doa yang dipanjatkan tidak pernah sia-sia, sama ada Allah SWT segera makbulkan, ditangguhkan kerana lebih baik, atau digantikan dengan sesuatu yang lebih bermanfaat.
Doa mendidik jiwa agar tidak putus asa. Ia menanam harapan bahawa walau seberat mana pun masalah, masih ada Allah SWT yang Maha Mendengar. Inilah merupakan rahsia doa yang dapat menenangkan hati, kerana kita tahu bahawa segala keresahan sudah diserahkan kepada pemilik seluruh alam.
Keadilan Saidina Ali Ra dalam pemerintahan

SAIDINA Ali merupakan seorang khalifah yang adil dalam pemerintahannya. Di bawah pemerintahannya, semua orang mendapat hak-hak mereka.
Beliau tidak melebihkan golongan yang kuat dan berpengaruh. Selain itu, beliau juga tidak mengabaikan golongan yang lemah.
Suatu ketika, Ja’dah bin Hubairah bertemu dengan Saidina Ali ra dan berkata, “Wahai Amirul Mukminin, jika datang kepadamu dua orang, salah satunya sangat mencintaimu sementara yang lain sangat memusuhimu, apakah engkau akan berpihak pada yang pertama dalam memutuskan sesuatu perkara?” Mendengar pertanyaan tersebut, lantas Saidina Ali menepuk dada Ja’dah sambil berkata, “Kalau aku menghukum semata-mata kerana diriku, maka aku akan berbuat seperti itu, namun aku menghukum semata-mata kerana Allah, maka aku sama sekali tidak akan melakukan seperti itu”.
Dalam satu peristiwa yang lain pula, telah datang dua orang perempuan kepada Saidina Ali.
Seorang daripada mereka adalah wanita Arab, manakala seorang lagi adalah wanita asing. Maka Saidina Ali telah memberikan mereka masing-masing sejumlah makanan dan wang sebanyak 40 dirham.
Wanita asing itu lantas mengambil bahagiannya dan terus beredar dari situ. Sementara wanita Arab tersebut berasa tidak puas hati lantas berkata, “Wahai Amirul Mukminin, engkau memberikan aku jumlah yang sama dengan orang itu, padahal aku seorang wanita Arab dan dia wanita asing”. Mendengar kata-kata wanita Arab itu, Saidina Ali berkata, “Aku melihat Kitabullah, tidak aku mendapati di dalamnya ada kelebihan keturunan Isra’il ke atas keturunan Ismail.
Antara kisah keadilan Saidina Ali yang masyhur ialah peristiwa kehilangan baju besi beliau.
Pada suatu hari di zaman kekhalifahan Saidina Ali, beliau pergi ke pasar, tiba-tiba beliau bertemu dengan seorang Yahudi yang menjual baju besi.
Saidina Ali dapat mengecam dengan jelas bahawa baju besi tersebut adalah baju besi miliknya yang telah hilang dicuri.
Sehubungan dengan itu, beliau pun berkata kepada Yahudi tersebut, “Baju besi ini adalah milikku. Namun begitu, Yahudi tersebut telah menafikannya. Oleh itu, Saidina Ali mengajak Yahudi tersebut kemuka pengadilan di mana hakim di Madinah pada ketika itu ialah Qadi Syuraikh. Lantas kedua-dua mereka pergi berjumpa dengan Syuraikh bagi mendapatkan pengadilan. Apabila di hadapan hakim, Saidina Ali pun berkata “Ini adalah baju besi aku yang hilang sejak sekian lama”. Kemudian, Qadi Syuraih pun bertanya pula pada orang Yahudi itu, “Apa – pendapatmu wahai orang Yahudi?”
Orang Yahudi itu menjawab, “Bukanlah niatku untuk menuduh Amirul Mukminin sebagai pendusta, tetapi baju besi ini sememangnya milik aku”. Lalu Qadi Syuraikh meminta Saidina Ali mengemukakan bukti bahawa baju besi itu miliknya. Tetapi Saidina Ali gagal menunjukkan sebarang bukti. Maka Qadi Syuraikh pun berkata, “Aku tidak melihat sebarang alasan yang munasabah untuk mengambil baju besi itu dari tangannya”.
Yahudi tersebut begitu kagum dengan keadilan yang ditunjukkan oleh Qadi Syuraikh dan Khalifah Ali.
Walaupun Qadi Syuraikh dilantik menjadi hakim oleh Saidina Ali, namun beliau tidak takut untuk membuat keputusan yang tidak berpihak kepada khalifah.
Sementara itu, Saidina Ali pula akur dengan keputusan tersebut dan tidak langsung menggunakan kedudukannya untuk mempengaruhi hakim.
Dengan itu, Yahudi tersebut pun masuk Islam kerana merasa sangat kagum dengan keadilan yang ditunjukkan oleh Islam.
Oleh Hanzalah Azman