Oleh: Dilah Tuah
DALAM dunia penulisan puisi, terdapat dua unsur penting yang menjadi asas binaannya, iaitu unsur batiniah dan fizikal. Dalam kalangan penyair pemula, kebanyakannya lebih memberi fokus kepada pembangunan fizikal atau bentuk puisi, namun lupa tentang keperluan memasukkan unsur-unsur batiniah yang terdiri daripada tema, rasa, nada dan amanat. Justeru tidak hairanlah, ramai penyair berlumba-lumba membina diksi puisi yang indah, namun terlupa membangkitkan sebuah kata-kata yang mampu menggugah jiwa pembaca untuk berfikir dan mentafsir. Hal ini dikatakan sedemikian kerana kewujudan puisi adalah untuk mengisi ruang fikir yang fakir dan menanjak aras pemikiran khalayak tentang tema dan amanat yang ingin disampaikan oleh penyair.
Apabila memperkatakan tentang unsur batiniah dalam puisi, ia sering kali dikaitkan dengan perasaan. Manakala perasaan penyair dalam puisi, merupakan cerminan daripada kepekaan dan kehalusan jiwanya terhadap dunia sekeliling. Melalui bait-bait puisi, penyair menzahirkan pelbagai emosi, dari kebahagiaan, kerinduan, kesedihan, hingga kesakitan yang mendalam. Oleh itu, setiap kata dalam puisi perlu dipilih dengan teliti agar tidak hanya mampu membuka hijab makna, tetapi juga berupaya mengocak jiwa dan perasaan pembaca serta membawa mereka menyelami ke dalam jiwa penyair. Puisi yang sarat dengan keindahan dan keunikan, membolehkan penyair berbicara dalam bahasa hati yang kadangkalanya sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata biasa.
Di sudut yang lain, penyair adalah seorang ahli dalam memilih kata-kata yang tepat, tajam, serta pandangannya yang penuh hikmah. Puisi yang diciptakan tidak hanya terikat dengan keindahan estetika yang tersirat dalam gaya yang kelihatan sederhana, tetapi juga menyimpan lapisan-lapisan makna yang mendalam. Dalam penciptaan puisi, penyair perlu menonjolkan keseimbangan antara refleksi tentang kehidupan dan kekuatan pemikiran yang terungkap melalui penggunaan bahasa yang memikat, padat, serta mengandungi gaya yang khas dan unik.
Keindahan perasaan dalam puisi bukan hanya terletak pada makna yang tersurat, tetapi juga pada makna yang tersirat. Melalui penggunaan simbol, metafora dan personifikasi, penyair mencipta dunia yang memperlihatkan setiap unsur alam dan kehidupan mempunyai suara dan cerita tersendiri. Personifikasi angin, bulan, dan bintang, sebagai contoh, bukan sekadar elemen alam tetapi rakan bicara yang mendengar keluh kesah dan kegembiraan penyair. Simbol seperti pisau atau lukisan pula membawa makna yang lebih mendalam, mengundang pembaca untuk merenung dan mentafsir sendiri mesej yang ingin disampaikan. Inilah kekuatan puisi, yang maknanya sering kali melampaui hal yang tersurat di permukaan.
Bagi penyair, proses menulis puisi adalah sejenis pencarian untuk menyelami kebenaran diri dan mengungkapkan keindahan atau kesakitan yang tersembunyi. Dalam mengekspresikan diri, penyair perlu berani bereksperimen dengan gaya bahasa dan teknik penyampaian untuk menghasilkan karya-karya yang matang dan memukau. Dengan mengasah kemahiran dalam merangka kata-kata yang bermakna, penyair dapat menjadikan puisi sebagai sebuah cerminan yang jujur dalam melukiskan kehidupan dan perasaan mereka sendiri lewat kata-kata.
Berpandukan perbincangan di atas, maka ulasan terhadap ketiga-tiga puisi ini akan menggali keindahan serta kedalaman perasaan yang terpancar daripada tiga penyair yang berbeza. Antara karya yang akan dikupas ialah “Pisau” oleh Hafiz Mustapha, “Aku” oleh Ann A.M, dan “Tatkala Sekeping Lukisan” oleh Muhammad Aniq bin Sapini. Melalui analisis ini, kita akan menghargai penggunaan simbol, gaya bahasa dan struktur setiap puisi dalam menghidupkan dan menggugah perasaan pembaca. Ulasan ini bukan sekadar memahami ekspresi penyair, tetapi juga menilai kesan estetika dan keunikan puisi masing-masing dalam menyampaikan cerita dan pengalaman manusia yang pelbagai lewat puisi.
Puisi pertama, “Pisau”, merupakan karya Hafiz Mustapha yang menyelami kedalaman perasaan seorang individu yang dikhianati oleh seseorang yang dipercayainya empat tahun yang lalu. Pengkhianatan ini meninggalkan luka yang mendalam kepada penyair. Walaupun kemaafan telah diberikan, namun ia tetap masih meninggalkan parut yang jelas. Dari aspek makna, puisi ini menggambarkan bahawa walaupun seseorang mungkin mampu memaafkan, namun melupakan adalah sesuatu yang lebih sukar, terutama apabila luka emosional tersebut masih berbekas. Dalam konteks ini, ‘pisau’ dijadikan simbol untuk menggambarkan pengkhianatan yang begitu tajam dan menyakitkan.
Terdapat kekuatan pada puisi ini, iaitu pada penggunaan unsur simbolik yang sangat kuat, iaitu ‘pisau’ digunakan sebagai metafora untuk menggambarkan pengkhianatan dan kesakitan. Penggunaan diksi yang tajam dan berkesan, seperti ‘tikam’, ‘berbekas’ dan ‘parut’, menjadikan pembaca merasai kepedihan yang dialami oleh penyair. Contoh frasa seperti “Pisau, yang kau tikam di belakangku” dan “sukar sekali untuk melupakan” memperkukuh tema pengkhianatan dan parut emosional pada puisi ini. Hal ini secara tidak langsung menjadikan puisi ini sangat berkesan dalam menyampaikan makna dan perasaan penyair. Bingkisan penuh puisi ini adalah seperti berikut:
Pisau,
Yang kau tikam di belakangku,
Empat tahun yang lalu,
Masih berbekas.
Ya mungkin aku sudah memaafkan,
Namun sukar sekali untuk melupakan,
Kerana parutnya masih jelas.
Selain itu, diksi yang digunakan dalam puisi ini sangat tepat dan berkesan untuk menggambarkan kepedihan dan parut emosi. Dengan gaya bahasa yang sederhana dan rangkap yang ringkas, puisi ini tetap mampu mengapungkan makna dan pemikiran penyair. Dari segi bentuk, puisi ini ringkas, dengan baris-baris pendek yang memberi penekanan kepada setiap emosi yang disampaikan menjadikan pembaca lebih mudah menghayati setiap kata-kata yang diluahkan. Contoh baris pendek seperti “Ya mungkin aku sudah memaafkan” menunjukkan kesederhanaan namun berimpak dalam puisi ini.
Di sisi yang lain, terdapat kelemahan pada puisi ini, iaitu cara penyampaian yang agak langsung dan kurang menggunakan gaya bahasa yang lebih kompleks. Hal ini dikatakan sedemikian kerana penggunaan gaya bahasa yang sesuai akan memberikan dimensi tambahan kepada puisi ini, dan seterusnya menjadikannya lebih indah dan bermakna. Contohnya, penyair boleh menggunakan pelbagai kiasan lain selain “pisau” untuk memperkayakan lagi gambaran tentang pengkhianatan.
Seterusnya puisi “Aku” karya Ann A.M pula menggambarkan rasa kesepian dan kerinduan yang mendalam apabila ditinggalkan. Penyair mengadu kepada elemen-elemen alam seperti senja, bulan, angin, dan bintang tentang kesepian yang dirasainya, namun tiada jawapan yang diterima. Akhirnya, penyair hanya mampu mengadu kepada Tuhan, menandakan rasa putus asa dan mencari ketenangan Ilahi. Makna puisi ini jelas menggambarkan tentang perjalanan emosional seseorang yang mencari makna dan pengertian dalam kesepian.
Diksi yang digunakan dalam puisi ini baik dan berupaya menggambarkan perasaan kesepian yang dialami oleh penyair. Contohnya frasa seperti “diselimuti kesepian” dan “hembusan nafasku” menunjukkan kedalaman emosi yang ingin disampaikan kepada khalayak pembaca. Selain itu, gaya bahasa yang digunakan dalam puisi ini penuh dengan unsur personifikasi, menjadikan puisi ini hidup dan beremosi. Dari segi bentuk, puisi ini teratur dengan setiap rangkap mengandungi pertanyaan kepada unsur alam yang diakhiri dengan pencarian ketenangan kepada Tuhan. Hal ini secara tidak langsung menjadikan struktur puisi ini menarik, jelas dan konsisten.
Dari aspek kekuatan puisi, ia terletak pada penggunaan unsur personifikasi yang menghidupkan unsur-unsur alam sehingga menjadikan puisi ini kaya dengan keindahan. Gaya bahasa yang digunakan juga puitis dan penuh dengan perasaan, menjadikan pembaca dapat merasai kesepian yang diluahkan oleh penyair. Contoh rangkap yang baik adalah seperti di bawah:
Aku mengadu pada senja
Mengapa meninggalkanku?
Aku keseorangan diselimuti kesepian.
Personifikasi dalam frasa “mengadu pada senja” dan “mengadu pada bulan” memperkaya nilai estetika pada puisi ini. Namun begitu, terdapat kelemahan pada puisi ini, iaitu pengulangan struktur pertanyaan yang sama dalam setiap rangkap, yang mungkin menyebabkan pembaca merasa sedikit monoton dan klise. Penggunaan variasi dalam struktur ayat, pastinya dapat memberikan ritma yang lebih dinamik dan menarik. Misalnya, variasi dalam cara penyair mengajukan pertanyaan dapat memberikan dimensi baru pada puisi ini.
Puisi terakhir berjudul “Tatkala Sekeping Lukisan” merupakan karya Muhammad Aniq bin Sapini. Puisi ini menggambarkan proses penciptaan seni yang penuh dengan usaha, kesabaran dan ketekunan. Penyair menggambarkan setiap tahap dalam penciptaan lukisan, dari melakar, mewarna hingga melukis semula. Proses ini menekankan tentang pentingnya usaha dan ketekunan dalam mencapai hasil yang sempurna. Makna puisi ini jelas, iaitu menunjukkan bahawa dalam setiap usaha kreatif, terdapat proses yang panjang dan kadangkala menyakitkan sebelum mencapai tahap kesempurnaan.
Diksi yang digunakan dalam puisi ini baik dan sesuai untuk menggambarkan proses kreatif. Contohnya frasa seperti “melorek ruang yang ada” dan “hingga hasilnya indah terpapar” menunjukkan ketelitian dan ketekunan dalam proses kreatif. Gaya bahasa yang digunakan pula penuh dengan metafora, menjadikan puisi ini puitis dan bermakna. Bentuk puisi ini teratur, dengan setiap rangkap menggambarkan tahap-tahap dalam penciptaan lukisan. Hal ini secara tidak langsung memberikan struktur yang jelas dan konsisten pada puisi ini.
Dari aspek kekuatan, didapati puisi ini menggunakan unsur metafora ‘lukisan’ untuk menggambarkan proses kreatif dan usaha dalam kehidupan. Setiap tahap dalam penciptaan lukisan digambarkan dengan sangat teliti, menjadikan khalayak pembaca dapat memahami dan merasai setiap usaha yang diperlukan untuk mencapai tahap kesempurnaan. Diksi yang digunakan juga tepat dan berkesan. Contoh rangkap yang menarik adalah:
Di kala melakar
kita berkali mencuba mencari kesempurnaan
dilakar dipadam hingga koyak kertasnya
hingga mendapat kekuatan secebis gambaran.
Walaupun begitu, strukturnya yang agak panjang dan berulang, yang mungkin menyebabkan pembaca kehilangan tumpuan. Penggunaan variasi dalam gaya penyampaian adalah perlu untuk memberikan puisi ini lebih dinamik, menarik dan berkesan. Misalnya, penggunaan pelbagai unsur metafora lain, pastinya dapat menggambarkan proses kreatif yang lebih baik untuk puisi ini.
Kesimpulannya, tiga buah puisi yang telah dikupas masing-masing menampilkan keunikan dalam penggunaan unsur simbol, personifikasi dan metafora untuk menyampaikan perasaan penyair. Meskipun terdapat kelemahan dalam aspek diksi dan struktur tertentu, puisi-puisi ini tetap menunjukkan potensi yang besar dalam menggugah emosi pembaca. Bagi penyair pemula, teruskan usaha dalam mengasah kemahiran untuk mempertajamkan kata-kata yang indah dan bermakna. Hal ini dikatakan sedemikian kerana puisi adalah tentang kekayaan kata-kata yang perlu digali dan disaring untuk menggambarkan seribu makna.
Teruskan berkarya!