Oleh: Abang Median Abang Said
ANTHONY ROBBINS – seorang pakar motivasi barat dalam bukunya Unlimited Power menegaskan bahawa kejayaan seseorang itu bermula dengan usaha awal atau langkah permulaan yang akan menggerakkan kejayaan. Cerpen “Hargai Dirimu” karya pertama Alice Mohd yang tersiar dalam ruangan Wadah Bahasa dan Sastera pada 22 Februari yang lalu (seperti yang dimaklumkan dalam media sosialnya) ialah langkah permulaan yang akan menjadi titik tolak kepada kejayaan penulis pada masa akan datang jikalau usaha itu diteruskan dengan tekad dan kesedaran. Bakat penulis perlu digilap dengan pembacaan meluas seperti yang dikatakan oleh AS Laksana, “Membaca karya daripada penulis tersohor seperti memberikan pendidikan dari aspek pengolahan, teknik dan bahasanya.“
Yah, perkara itulah yang perlu dilakukan oleh penulis untuk terus menajamkan mata pena untuk menghasilkan karya yang lebih menggugah rasa dan minda pada masa akan datang!
Konsep trikotomi jiwa yang telah diperkenalkan oleh Plato meliputi kecerdasan (kekuatan akal), kemahuan (kekuatan rasa) dan juga nafsu yang turut mencakupi kepada ego dan keinginan. Konsep ini amat berkaitan dengan tema dan persoalan yang dibawa oleh penulis menerusi cerpen “Hargai Dirimu”yang memaparkan konflik kejiwaan dan tekanan mental melalui watak Sabrina. Pada bahagian permulaan cerpen, penulis sengaja berteka-teki dengan pembaca tentang konflik yang dialami oleh watak berkenaan. Perasaan ingin tahu pembaca melonjak dengan pelbagai persoalan yang berkelintaran dalam fikiran. Dengan penggunaan bahasa yang lancar dan teknik dialog yang mampu diaplikasikan dengan baik, penulis berjaya memancing minat pembaca untuk mendalami keruwetan dan kecelaruan jiwa Sabrina sehingga turut membawa sahabatnya, Tihah dalam lingkaran permasalahan tersebut. Sabrina boleh menangis teresak-esak di khalayak ramai. Sabrina boleh juga menghempas telefon bimbitnya ke lantai secara tiba-tiba. Semua gambaran ini menunjukkan kecelaruan emosi yang boleh dikaitkan dengan kecerdasan atau kekuatan akal yang perlu ada pada setiap insan untuk mendepani masalah. Persoalan emosi yang tidak dikendalikan dengan baik boleh membawa permasalahan itu menjadi lebih serius sehingga melakukan perkara-perkara yang di luar kawalan dan pertimbangan. Sebab itulah,Tihah berasa bimbang dengan ketidaktentuan emosi yang dialami oleh Sabrina sehingga dia sering menasihati sahabatnya supaya berjumpa dengan pakar psikiatri.
Menerusi susunan trikotomi jiwa manusia, kecerdasan dianggap berada pada tahap tertinggi dalam diri manusia yang melibatkan operasi mental, yakni berfikir dengan teliti sebelum membuat sesuatu keputusan. Oleh yang demikian, kecerdasan dikatakan akan melahirkan sifat-sifat hikmah atau kebaikan yang khas untuk membimbing manusia ke arah mengenali hakikat dirinya dan hakikat kejadian alam. Tihah mempunyai kecerdasan sebagai seorang sahabat yang melihat kemungkinan-kemungkinan negatif yang bakal dilakukan oleh sahabatnya. Dia cuba menyelami masalah Sabrina, cuba memberikan nasihat dan cadangan agar masalah tersebut mampu diringankan. Dialog-dialog yang diolah oleh penulis, biarpun merupakan dialog-dialog percakapan seharian yang ada kalanya nampak lewah tetapi tetap berjaya menampakkan keakraban hubungan dua orang sahabat tersebut yang turut diselitkan dengan elemen kecindan. Dialog-dialog yang mempunyai unsur gurauan menunjukkan kecerdasan Tihah untuk mengawal emosi Sabrina – sekurang-kurangnya melupakan seketika permasalahan yang mencengkam – walaupun hubungan persahabatan mereka berdua tidaklah terlalu panjang kerana masalah yang dihadapi oleh Sabrina berlaku sebelum hubungan persahabatan itu terjalin.
Sebagai seorang cerpenis, Prof. Dr. Kuntowijoyo mahukan pendahuluan cerpen yang mampu menarik tali rasa sehingga membeliti minat pembaca. Namun baginya, penulis tidak boleh terlalu menggantung rasa ingin tahu itu sehingga berjela-jela – meleret hingga mengikat rasa bosan pembaca. Perkara itulah yang perlu dielakkan oleh penulis cerpen “Hargai Dirimu”apabila penulis hanya merungkaikan persoalan yang mengheret Sabrina dalam tekanan perasaan setelah membaca separuh daripada cerpen berkenaan (penghujung muka surat yang keempat daripada sembilan halaman). Penyebab kepada gelodak kejiwaan Sabrina sebaiknya diungkapkan lebih awal supaya penulis mempunyai lebih banyak ruang untuk mengukuhkan kewajaran plot kerana keterikatan dan kelogikan plot yang digarap oleh penulis sedikit longgar sehingga memerlukan sedikit penambahbaikan dan pemurnian.
Dengan menggunakan teknik dialog, penulis merungkaikan permasalahan emosi Sabrina yang disebabkan oleh kematian tunangnya. Sabrina dan tunangnya ditimpa kemalangan jalan raya setelah berlaku salah faham antara mereka sebelum itu sehingga Sabrina meminta pertunangan antara mereka diputuskan. Semua ini diceritakan oleh Sabrina kepada Tihah.
Mengikut susunan trikotomi jiwa manusia yang diperkenalkan oleh Plato, tahap ketiga adalah merujuk kepada nafsu, ego dan kehendak. Tahap ini sangat berkaitan dengan tindakan dan krisis yang berlaku antara Sabrina dan tunangnya sehingga mengakibatkan kemalangan yang meragut nyawa. Tunang Sabrina (tidak disebut namanya dalam cerpen berkenaan) berasa cemburu kerana Sabrina keluar makan dengan kawan sepejabatnya – Harun. Sabrina tidak sempat memberitahu nama Norin yang turut keluar makan bersama-sama pada waktu itu. Perasaan cemburu yang menebal pada jiwa tunangnya telah menyebabkan Sabrina berasa malu dan marah. Rasa ego yang terselit di jiwanya menyebabkan tunang Sabrina tidak mahu mengalah sehingga tetap merajuk biarpun menyedari bahawa Sabrina juga membawa Norin sewaktu makan tengah hari itu. Sikap tidak mahu beralah itulah yang menyebabkan pertengkaran itu berlanjutan sehingga Sabrina meminta untuk memutuskan pertunangan. Pertengkaran di dalam kereta itu telah menyebabkan tunang Sabrina kehilangan fokus kerana amarahnya. Dia memandu kereta itu dengan laju sehingga terbabas di tepi jalan dan melanggar tiang elektrik. Kematian tunangannya itu menyebabkan Sabrina terus-terusan dikejar perasaan bersalah.
Nafsu yang berada pada tahap ketiga trikotomi jiwa manusia sering dikaitkan dengan hati dan perut. Ketiga-tiga kekuatan ini sentiasa berperang dalam jiwa manusia seperti peperangan antara watak-watak dalam cerpen ini. Seandainya nafsu yang menguasai jiwa dan pemikiran manusia maka darjat manusia akan turun sehingga ke tahap yang paling rendah – boleh menghampiri tahap binatang kerana manusia dan binatang dibezakan oleh pemikiran. Jikalau kemahuan yang menang, manusia cenderung hidup bercakaran dan bermusuhan sesama sendiri seperti yang ditunjukkan oleh watak Sabrina dan tunangannya, termasuk watak ibu kepada tunangnya itu. Namun, jikalau kecerdasan yang menguasai keadaan, maka akan wujud sebuah masyarakat yang harmoni seperti harapan yang ditunjukkan melalui watak Tihah.
Setelah enam tahun pemergian tunangnya, Sabrina kembali diterjah oleh rasa bersalah apabila terserempak semula dengan ibu arwah tunangnya yang masih lagi menyalahkan Sabrina. Dia masih lagi menuduh bahawa Sabrinalah yang ‘membunuh’ anak kesayangannya itu. Semua perkara itu terus mengocak ketenangan Sabrina. Dia berasa sangat tertekan dengan segala masalah tersebut.
Sebagai penulis baharu, penulis dianggap berjaya menjalinkan plot cerpen dengan baik. Penceritaan penulis lancar sehingga pembaca dapat merasai gelodak rasa dan konflik kejiwaan yang dilalui oleh watak-watak dalam cerpen berkenaan. Cuma konflik kejiwaan itu diolah pada tahap permukaan – masih belum cukup mendalam. Penulis masih berada pada tahap menyatakan konflik dan gelodak rasa itu secara langsung. Perhatikan contoh ini :
- Sabrina sangat terluka dengan pemergian tunangannya. Dia berasa sangat bersalah.
- Kelibat arwah tunangnya sentiasa melilau di pandangannya. Matanya terasa panas. Air mata mengalir ditancap rasa bersalah yang pedih.
Pastinya pengolahan (a) nampak begitu mendatar berbanding pengolahan (b). Maknanya, penulis perlu memasukkan elemen emosi yang bersebati dengan raut wajah, perlakuan dan tutur kata yang diucapkan oleh watak. Semua itu memerlukan keseimbangan – dirincikan antara gambaran fizikal, emosi dan nada suara yang diucapkan. Penggunaan teknik dialog untuk merungkaikan konflik termasuk pada bahagian klimaks ternyata membantu penulis memberikan kejelasan kepada pembaca namun kurang dari aspek kesan emosi. Penulis perlu mahir menggunakan teknik deskriptif untuk memberikan gambaran yang lebih mendalam; lebih-lebih lagi tentang perwatakan Sabrina yang mengalami masalah kejiwaan sehingga perlu dirujuk untuk menerima khidmat psikiatri.
Efix Mulyadi, sewaktu memberikan ulasan tentang prestasi cerpen dalam Kompas 2013, menegur penulis-penulis cerpen yang cuba mengambil jalan pintas untuk menyelesaikan konflik dalam cerpen mereka. Konflik yang dibina dan dipilih oleh penulis perlu diselesaikan dengan teliti, logik, menarik dan berhemah. Apa yang menjadikan pengakhiran sesebuah cerpen itu menarik? Azizi Haji Abdullah suka dengan elemen kejutan dan mengakhiri karyanya dengan melodrama. Beliau suka mematikan watak-watak dalam karyanya. Manakala penulis-penulis skrip filem Korea, Telugu atau filem barat dewasa ini suka menjungkar-balikkan situasi (plot twist) sehingga meninggalkan kesan emosi dan sensasi kepada khalayaknya. Perkara inilah yang perlu diteliti oleh penulis cerpen “Hargai Dirimu”.
Emak tunang Sabrina masih lagi membenci dan meletakkan setiap kesalahan atas kematian anaknya di bahu Sabrina. Situasi itu jugalah yang telah memberikan tekanan jiwa yang begitu berat kepada Sabrina. Penulis ternyata mengambil jalan pintas melalui nasihat yang disampaikan oleh Tihah supaya Sabrina kembali merapatkan diri dengan ajaran agama. Dia juga mahu supaya Sabrina membuat janji temu dengan pakar psikiatri. Pujukan-pujukan itulah yang menyebabkan Sabrina berlembut hati untuk tidak mengecewakan perasaan sahabatnya. Ternyata penulis telah berjaya menjalinkan plot cerpennya dengan baik melalui konsep sebab dan akibat.
Namun berlaku beberapa kelompangan yang perlu ditampung oleh penulis untuk mengemaskan lagi jalinan plot cerpen berkenaan. Penerimaan Sabrina atas nasihat Tihah berlaku dengan begitu lancar dan pantas tanpa penentangan sehingga gagal memberikan impak yang lebih berkesan kepada pembaca. Selain itu, pada pengakhiran cerpen ini, Sabrina disarankan untuk kembali mendekatkan diri kepada agama sedangkan penulis tidak memberikan gambaran yang jelas bahawa Sabrina sering mengingkari perintah agama. Penulis perlu mengaitkan, bagaimana pegangan pada agama itu menyebabkan Sabrina berasa begitu tertekan. Pembaca hanya mengetahui perkara tersebut dengan membina andaian sendiri tanpa dikukuhkan oleh penyusunan plot yang diolah oleh penulis. Mungkin penulis boleh memasukkan tentang usaha Sabrina yang ingin membunuh diri untuk menyelesaikan masalahnya. Di sana barulah akan menunjukkan keselarian dengan pengakhiran yang ditulis untuk menjadikan binaan plot yang digarap mempunyai kelogikan yang tinggi.
Antara kelebihan penulis dalam menghasilkan cerpen ini ialah pengolahan bahasanya yang lancar. Penulis mampu menjadi pencerita yang baik dengan menggunakan teknik dialog dan deskriptif. Pembaca akan dapat mengikuti rentetan peristiwa daripada perkara lampau dan situasi semasa. Cuma ada beberapa kesilapan kecil yang perlu diambil perhatian oleh penulis pada masa akan datang. Kesilapan bahasa yang kecil ini kadangkala akan menjejaskan kualiti cerpen berkenaan. Di bawah ini diperturunkan kesilapan bahasa tersebut dan pembetulan yang dicadangkan :
KESALAHAN DALAM CERPEN | PEMBETULAN |
“Aku peninglah!! Sampai bila aku nak hadap semua ni?,” luah Sabrina. | “Ah, aku peninglah! Sampai bila aku nak hadap semua ni?” Luah Sabrina. |
“Aku ni pun boleh jadi geng tekanan perasaan macam kau…” | “Aku ni pun boleh jadi geng tekanan perasaan macam kau…” |
Tetapi, kerana aku, dia kembali kepadaNYA. | Tetapi, kerana aku, dia kembali kepada-Nya. |
Aku tak naklah nak teringat kembali memori pedih tu. | Aku tak nak teringat kembali memori pedih tu. |
Ya ALLAH | Ya Allah |
Dah nama masuk enam tahun dah. | Dah nak masuk enam tahun. |
Pada petang tadi, Tihah dan Sabrina sudah berjanji untuk makan malam bersama. | Pada petang itu, Tihah dan Sabrina sudah berjanji untuk makan malam bersama. |
Terdapat beberapa kesalahan lain yang tidak dimasukkan dalam rajah di atas kerana kesalahan itu merujuk kepada kesalahan hukum tatabahasa yang sama. Sebagai penulis, tanggungjawab yang perlu dimainkan ialah dengan menjadi paradigma kepada pembaca untuk memperoleh sesuatu yang betul. Kesilapan ejaan dan beberapa kesalahan bahasa lain akan memberikan gambaran yang salah kepada pembaca untuk menjadikan karya sastera sebagai medium pendidikan.
Sebagai penulis baharu, Alice Mohd. telah berjaya mendalami permasalahan jiwa manusia yang diolah melalui gambaran watak-watak yang dibina dalam cerpen berkenaan. Berdasarkan kepada peringkat kesedaran jiwa manusia yang diperkatakan oleh Freud, iaitu kesedaran (conscious), pra-sedar (preconscious), tidak sedar (unconscious) dan kesedaran sejati atau biasa (subconscious), penulis memberikan gambaran bahawa manusia (watak) tahu apa yang dilakukannya dalam kehidupan sehari-hari, dapat memahami suasana di persekitarannya dan kenal akan dirinya sendiri. Semua itu perlu menjadi pegangan penulis (yang tahu potensinya sebagai penulis) untuk menyelesaikan konflik dalam cerpen berkenaan. Watak Sabrina juga tahu tentang kudratnya yang mampu mengatasi setiap cabaran yang diberikan oleh Ilahi di atas muka bumi. Perkara ini telah dinyatakan melalui firman Allah SWT melalui Surah al-Baqarah, ayat 286 yang bermaksud:
“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya. Dia mendapat (pahala) daripada (kebaikan) yang dilakukannya dan dia mendapat (seksaan) daripada (kejahatan) yang dilakukannya.”
Penulis telah menjadikan ayat berkenaan sebagai asas dalam pembinaan plot dalam cerpennya. Cuma pengolahan pengarang masih di peringkat permukaan yang memerlukan kepekaan kreatif untuk lebih mendalami konflik dengan lebih tuntas. Tentu ramai penulis di Malaysia yang menulis tentang kemiskinan tetapi gambaran penulis berkenaan tidak mengakar sehingga tidak mampu mencengkam jiwa. Situasi ini tentu berbeza tatkala membaca kemiskinan dan penderitaan keluarga Lahuma di Kampung Banggul Derdap seperti yang digambarkan oleh Shahnon Ahmad dalam novelnya Ranjau Sepanjang Jalan. Tentu tidak adil untuk membandingkan cerpen ini dengan karya besar buah tangan Sasterawan Negara itu. Namun perbandingan itu dibuat supaya penulis tahu tentang karya contoh yang boleh dijadikan panduan untuk perincian perwatakan, gambaran latar dan pengolahan plot dalam penghasilan karya akan datang.
Teguran lain yang boleh diambil maklum oleh pengarang ialah tentang pemberian tajuk cerpen berkenaan yang agak klise. Ada penulis yang suka menggunakan tajuk yang panjang. Ada pula penulis yang suka menggunakan tajuk yang pendek. Tidak ada ketetapan antara dua perkara tersebut. Yang penting, tajuk yang dipilih memberikan impak dan tarikan kepada pembaca.
Secara keseluruhannya, penulis melepasi ujian pertama dengan sangat baik untuk menempatkan karyanya dalam media cetak. Penulis mempunyai bakat dan akan menghasilkan karya yang menjanjikan jikalau terus cuba mencari jati diri sebagai penulis. Pemilihan tema yang tepat sangat memainkan peranan untuk mengangkat karya penulis pada tahap yang lebih baik. Kalau boleh, jangan menulis sesuatu yang klise – memaparkan tema yang telah biasa ditulis oleh penulis terdahulu. Penulis perlu berani menghasilkan sesuatu yang baharu.
Locke menyifatkan idea yang tumbuh ialah hasil daripada produk pengalaman. Katanya, jiwa manusia ibarat papan batu dan kertas putih. Bilakah papan ini dihiasi dengan segala bentuk khayalan? Dari mana datangnya bahan – taakulan dan pengetahuan? Jawapannya dapat diungkap dengan satu perkataan – ya, pengalaman! Di situ akan dijumpai pengetahuan dan dari situ juga penulis akan mengenali diri.
Semoga penulis memahami trikotomi diri untuk menjadi penulis yang berjaya.