Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WBS
  • Menelusuri Refleksi Kehidupan dalam Puisi
  • WBS

Menelusuri Refleksi Kehidupan dalam Puisi

Utusan Sarawak 2 days ago

PUISI merupakan refleksi pemikiran yang berasaskan kehidupan sebagai sumber utama pengkaryaan.

Penyataan ini seiring dengan pandangan H. B. Jassin (1983) dalam Pengarang Indonesia dan Dunianya: Kumpulan Karangan yang menegaskan bahawa puisi ialah pengucapan perasaan yang mengandungi fikiran dan tanggapan.

Justeru tidak hairanlah, pada peringkat awal penulisan, kebanyakan penyair cenderung menjadikan pengalaman hidup peribadi sebagai teras puisi mereka.

Hal ini demikian kerana, kehidupan peribadi merupakan subjek yang paling hampir dengan diri dan paling mudah digarap secara kreatif.

Tema-tema seperti perjalanan hidup, pencarian jati diri, kekuatan peribadi, percintaan serta pelbagai pengalaman yang dilalui oleh penyair, menjadi modal penting pengkaryaannya.

Dalam dunia puisi, menulis tentang diri dan kehidupan bukanlah sesuatu yang asing. Sejak dahulu, penyair menjadikan pengalaman peribadi sebagai sumber ilham untuk berbicara dengan khalayak.

Wadsworth misalnya, pada tahun 1838 menulis “A Psalm of Life”, iaitu sebuah puisi yang meniupkan semangat juang, menolak sikap pasif dan mengajak manusia hidup dengan penuh makna serta meninggalkan jejak yang bermanfaat.

Demikian juga A. Samad Said melalui “Tetamu Senja”, yang mengingatkan kita tentang kefanaan hidup, tanggungjawab terhadap Tuhan dan sesama insan serta hakikat bahawa kita hanyalah tetamu sementara di dunia ini.

Dalam kehidupan seharian, kita juga dituntut untuk merenung diri, memperbaiki hubungan dengan Tuhan, menjaga hubungan sesama manusia dan menghargai alam sekitar.

Puisi yang lahir daripada pengalaman peribadi bukan sekadar luahan rasa, tetapi juga wahana penginsafan dan pencarian makna hidup.

Melalui medium ini, penyair mengajak pembaca menilai erti kewujudan, menghargai pengalaman dan membina kesedaran rohani serta kemanusiaan.

Dengan demikian, puisi tentang diri tidak hanya menjadi catatan peribadi, tetapi turut berfungsi sebagai perjalanan batin yang dapat dikongsi bersama masyarakat dan mencerminkan nilai sejagat.

Bertitik tolak daripada kupasan di atas, ulasan puisi kali ini akan meneliti aspek refleksi kehidupan yang terkandung dalam tiga buah puisi yang disiarkan dalam ruangan ini pada minggu lalu.

Selain membicarakan refleksi kehidupan, ulasan turut menyentuh aspek tema, bentuk, bahasa serta kekuatan dan kelemahan setiap puisi.

Beberapa cadangan penambahbaikan juga dikemukakan sebagai panduan kepada penyair agar dapat menghasilkan karya yang lebih berwibawa pada masa hadapan.

Puisi pertama berjudul “Usahaku” karya Januarius Glenn, merakam suara seorang anak muda yang menuntut ilmu demi membahagiakan kedua-dua orang tuanya.

Seawal bait pembukaan, iaitu pada frasa “Di bangku sekolah aku bercita-cita/ hendak membanggakan ibu dan ayah”, penyair sudah menegaskan bahawa kejayaan bukan sekadar milik peribadi, tetapi tanda bakti yang ingin dipersembahkan kepada keluarga.

Tema sebegini sememangnya dekat dengan khalayak, kerana ia menyentuh hasrat sejagat setiap anak untuk membalas jasa kedua-dua orang tua mereka.

Dari segi bahasa, puisi ini menggunakan diksi yang sederhana dan mudah difahami. Baris seperti “Membaca, menulis serta mengira/ aku berusaha demi ilmu di dada” menonjolkan gaya yang polos tanpa hiasan metafora yang berlapis.

Walaupun gaya ini jujur dan jelas, ada bahagian tertentu seperti pada rangkap kedua dan keempat yang terasa prosaik dan panjang, lalu mengurangkan kepadatan puitis.

Berikut merupakan cadangan bagi versi yang lebih padat dan ekonomis.

Versi asal (rangkap kedua):

Sewaktu di sekolah

penuh cabaran dan ajakan yang membawa aku ke arah kelalaian

Namun tetap kuingat pesan ibu dan ayah

mencapai kemenangan harus dilewati keperihan.

Cadangan versi padat dan ekonomis:

Sewaktu di sekolah

cabaran dan ajakan menggoda

namun pesan ibu dan ayah

mengajar, kemenangan lahir dari perih derita.

Versi asal (rangkap keempat):

Namun, semua yang telah ku nikmati hari ini

bukanlah berarti aku telah berjaya sepenuhnya

Masih terlalu panjang jalan kehidupan yang perlu kutempuhi

demi pengalaman yang mendewasakan nanti.

Versi padat dan ekonomis:

Namun nikmat hari ini

bukan tanda sudah berjaya

jalan hidup masih panjang

menanti pengalaman

yang mendewasakan jiwa.

Perlu diingatkan bahawa dalam penulisan puisi, penyair tidak wajar bersusah payah menjelaskan maksud secara panjang lebar.

Hal ini demikian kerana, puisi yang baik akan membuka ruang tafsiran yang lebih luas kepada khalayak pembaca.

Selain itu, makna yang diangkat dalam puisi ini cukup mendalam. Bait ‘Panjang tutur nasihat orang tua/ Telah ku semat di dalam dada/ Agar aku mampu berjaya’ menggambarkan betapa kejayaan seorang anak tidak dapat dipisahkan daripada pengorbanan dan doa ibu bapa.

Malah, pengakuan ‘Masih terlalu panjang jalan kehidupan yang perlu kutempuhi’ memperlihatkan jiwa optimis yang matang, tetapi tetap sedar bahawa perjalanan hidup itu masih jauh dan berliku.

Kekuatan puisi ini terletak pada keikhlasan dan ketulusannya yang mudah menyentuh hati pembaca.

Namun, kelemahannya ialah ketiadaan lambang puitis yang boleh memperkaya kesan estetik.

Sekiranya penyair menggunakan imej simbolik seperti lautan sebagai lambang perjalanan hidup atau pelita sebagai cahaya ilmu, puisi ini pasti lebih berlapis makna.

Begitu juga aspek pengejaan kata ganti nama ‘ku’ yang perlu diberi perhatian oleh penyair. Walaupun begitu, “Usahaku” tetap hadir sebagai puisi reflektif yang ikhlas dan dekat dengan jiwa, menjadikan ilmu sebagai tanda kasih seorang anak kepada ibu bapanya.

Puisi kedua berjudul “Kamar Sejuta Kenangan” merupakan hasil nukilan Petrus Anak Jangin.

Membaca puisi ini seolah-olah membuka ruang renungan emosi tentang rindu dan dendam yang tertinggal setelah kehilangan insan yang sangat dekat di hati.

Seawal bait pembukaan, “Antara kau dan aku / Ada rindu yang menggebu”, penyair sudah mengisyaratkan kewujudan jarak emosional yang tercipta selepas perpisahan.

Rindu yang membara ini diterjemahkan melalui pertanyaan puitis, “Pada siapa aku mengadu? / Pada ranjang yang rindu? / Yang rindu akan lelucon hari-hari lalu?” yang menggambarkan kesunyian mendalam apabila ruang kamar hanya menjadi saksi bisu kepada kenangan silam. Pun begitu, rangkap tersebut masih dapat dipadatkan lagi seperti contoh di bawah:

Antara kau dan aku

ada rindu berombak di dada

pada siapa harus kuadu

pada ranjang yang dingin

tersimpan gema tawa semalam.

Dari sudut bahasa, penyair didapati memanfaatkan pengulangan pertanyaan retorik untuk mengintensifkan rasa kesepian.

Frasa “Pada siapa aku mengadu?” yang berulang menegaskan tentang keterasingan jiwa persona yang kehilangan tempat bersandar.

Selain itu, diksi yang dipilih dalam puisi ini sederhana tetapi sarat emosi. Misalnya pada frasa “ranjang yang rindu” dan “pintu yang dung”’, yang mengangkat benda mati sebagai metafora beban kehilangan.

Unsur pengulangan ini menimbulkan ritma yang dramatik, seolah-olah pembaca turut diheret masuk ke ruang kamar yang dingin dan penuh resah.

Dari segi makna, puisi ini menautkan dua emosi besar, iaitu rindu dan dendam yang saling bertentangan tetapi sama-sama menekan jiwa.

Pada rangkap kedua, “Antara kau dan aku / Ada dendam yang membatu”, penyair memperlihatkan luka yang membeku.

Hal ini jelas memperlihatkan bahawa ketiadaan tidak hanya menimbulkan rindu, tetapi juga amarah yang tidak terurai.

Pertentangan emosi ini mencapai kemuncak pada rangkap ketiga seperti di bawah:

Kini kamar ini hanya membisu

Tiada canda tawa yang bertamu

Mengundang aku dalam celaru

Terhimpit antara dendam dan rindumu.

Di sini jelas menunjukkan bahawa persona terperangkap antara hasrat untuk mengenang dan keinginan untuk melupakan.

Kekuatan puisi ini terletak pada kemampuannya menghidupkan kamar sebagai simbol kenangan, rindu dan dendam.

Walaupun bahasanya ringkas, ia penuh dengan intensiti perasaan yang dekat dengan pengalaman universal manusia.

Namun, kelemahan kecil puisi ini ialah kecenderungan pengulangan pertanyaan dengan pola yang hampir sama, yang boleh menimbulkan kesan monoton.

Jika penyair menambah variasi imej puitis, misalnya dengan simbol alam seperti hujan atau bayang-bayang, kesan puisinya akan lebih mendalam.

Walau begitu, “Kamar Sejuta Kenangan” tetap hadir sebagai karya reflektif yang indah, merakam pertarungan batin antara cinta dengan kecewa, antara ingatan dengan kehilangan.

Puisi terakhir berjudul “Harga Sebuah Kehidupan” karya Lyiana binti Lidi memaparkan sebuah kisah tragis tentang kerakusan, kehilangan dan kesedaran yang datang terlalu lewat.

Seawal rangkap pertama, penyair sudah membina suasana muram dengan imej alam yang penuh simbolik, “Angin menderu di lembah sunyi, / Membawa nestapa ke ufuk bumi. / Esten merintih di tanah gersang, / Menanti tuah yang tiada datang”.

Angin, lembah sunyi dan tanah gersang menjadi metafora kepada kehidupan Esten yang tandus, melukiskan penderitaan serta kerinduan terhadap kebahagiaan yang belum ditemui.

Bahasa puisi ini kaya dengan perlambangan alam yang menjadi cermin kepada pergolakan batin watak.

Mentari dilukiskan sebagai kuasa yang membakar harapan, manakala Lyra digambarkan sebagai “bidadari / Bak rembulan di lautan biru” yang membawa sinar baharu.

Kehadiran Lyra memberikan rahmat dan kebahagiaan sehingga Esten melupakan deritanya, “Dibajainya hidup dengan anugerah, / Hingga Esten lupa derita lama”.

Namun, rahmat itu musnah kerana kerakusan yang berakar dalam diri Esten. Hal ini digambarkan penyair melalui imej api, “Namun, tamak bertahta di hati, / Membakar nurani tanpa henti; / Seperti belukar dijilat api, / Hangus segala nilai insani”.

Di sini, penyair menggunakan simbol alam untuk menegaskan keruntuhan moral akibat tamak haloba.

Makna yang terbit daripada puisi ini jelas menyentuh soal cinta, nafsu, dan kesedaran insani.

Esten digambarkan sebagai manusia yang mengkhianati kasih dan menjadikan cinta sebagai alat kepentingan, sebagaimana terlihat dalam bait ‘Cinta dijadikan umpan keinginan, / Kasih diperah hingga kering lesu’.

Pengkhianatan ini mengundang luka yang mendalam pada Lyra, ‘Lyra terisak, hatinya robek / Namun Esten terus terleka.

Akhirnya, Esten menerima hukuman yang tidak dapat dielak seperti dalam rangkap di bawah:

Kini langit malam bisu tanpa sinar,

Hanya sepi mengukir nestapa.

Barulah Esten mengerti hakikat,

Bahawa hidup berhutang takdir,

Tiada yang datang tanpa bayarannya’.

Kesedaran ini datang ketika segalanya sudah musnah, menjadikan puisinya sebuah renungan tragis.

Kekuatan karya ini terletak pada keindahan simbol alam yang tidak hanya berfungsi sebagai latar, tetapi sebagai lambang konflik dalaman manusia.

Unsur angin, api, sungai dan langit menjadi bahasa puitis yang melapisi makna. Struktur puisi juga teratur, bergerak daripada penderitaan, kemudian hadirnya rahmat, diikuti kejatuhan akibat kerakusan dan akhirnya penyesalan yang terlambat.

Walaupun begitu, bahagian penutupnya agak bersifat didaktik sehingga mengurangkan ruang tafsiran pembaca.

Selain itu, terdapat juga kesalahan ejaan dalam puisi ini, iaitu pada kata “bertahta” (bertakhta) dan “terisak” (teresak).

Kendatipun secara keseluruhan, “Harga Sebuah Kehidupan” tetap hadir sebagai puisi yang menyentuh nurani, memperingatkan bahawa setiap anugerah hidup menuntut tanggungjawab, dan bahawa cinta yang dipermainkan akan menuntut bayaran yang tidak tertebus.

Kesimpulannya, ketiga-tiga puisi yang dikupas, iaitu “Usahaku” karya Januarius Glenn, “Kamar Sejuta Kenangan” karya Petrus Anak Jangin dan “Harga Sebuah Kehidupan” karya Lyiana binti Lidi memperlihatkan kehidupan sebagai sumber ilham utama pengkaryaan.

Dari segi bahasa, setiap puisi mempunyai gaya dan kekuatan tersendiri. Walaupun terdapat beberapa kelemahan seperti kecenderungan bentuk prosaik, pengulangan yang monoton dan kesilapan ejaan, namun kelemahan ini dapat diperbaiki pada masa hadapan.

Hal ini demikian kerana kematangan dan kesempurnaan sesebuah puisi, banyak bergantung pada pengalaman serta keikhlasan penyair dalam menerima teguran, khususnya pada peringkat awal pengkaryaan. Teruskan berkarya!

Oleh Dilah Tuah

Continue Reading

Previous: Antivirus Integriti untuk D

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.