Oleh: Dilah Tuah
PERASAAN dan suara batin ialah elemen penting dalam sesebuah sajak yang dapat memberikan dimensi emosi dan keaslian kepada sesebuah karya. Setiap penyair menukangi sajak mereka dengan mencurahkan perasaan peribadi yang mendalam, baik dari pengalaman hidup, renungan yang tajam, mahupun penghayatan terhadap peristiwa di sekeliling mereka.
Suara batin ini kebiasaannya tidak dapat dilihat secara langsung, namun terungkap melalui bahasa simbolik, metafora, dan gaya bahasa yang digunakan. Perasaan yang dicurahkan ke dalam sajak meliputi pelbagai spektrum emosi iaitu dari kebahagiaan, kesedihan, harapan, kerinduan, hingga kekecewaan. Kesemua spektrum emosi ini mencerminkan suara hati penyair serta bagaimana mereka memandang dunia. Kesan perasaan dalam sajak pula timbul daripada sifat pemilihan serta penyusunan diksi, ungkapan dan ayat dalam baris-barisnya.
Dalam dunia puisi, perasaan yang mendalam sering dijelmakan melalui pemilihan diksi yang tepat, imejan yang kuat, dan simbol yang kaya dengan makna tersirat. Setiap suara batin penyair bukan sahaja menggambarkan emosi semata-mata, tetapi juga menggambarkan persoalan-persoalan falsafah atau renungan mengenai kehidupan, kemanusiaan, dan alam.
Hal ini dikatakan sedemikian kerana setiap sajak mempunyai mesej yang tersendiri, namun disampaikan melalui kerangka emosi yang unik. Dalam hal ini, penyair sebenarnya mahu mengajak pembaca untuk memahami perasaan penyair melalui konteks yang halus dan mendalam. Suara batin yang disampaikan di dalam sajak, memberi peluang kepada pembaca untuk menyelami dunia penyair dan menghubungkan perasaan mereka dengan pengalaman peribadi yang universal.
Lebih penting lagi, suara batin dalam sajak ialah jendela kepada konflik dalaman penyair yang tidak dapat ditonjolkan secara zahir. Melalui irama, metafora dan struktur yang tersusun, sajak membolehkan penyair mengekspresikan perasaan yang sukar diungkapkan melalui cara biasa. Hal inilah yang menjadikan sajak sebagai medium seni yang unik. Kemampuan sajak untuk menangkap dan menyampaikan lapisan emosi yang kompleks dalam kata yang terbatas, mampu menawarkan kepada pembaca ruang untuk merenung dan berempati dengan perasaan dan suara batin yang disuarakan.
Bertitik tolak daripada penjelasan di atas, maka ulasan kali ini akan meneliti tiga buah sajak yang mengetengahkan perasaan dan suara batin penyair. Sajak-sajak yang akan dikupas ialah “Sehelai Daun Semalam” oleh Farah Athirah, “Merdeka” oleh Mcsentius, dan “Rindu Pulang” oleh Nurul Ain Nasuha Iskandar. Ulasan ini akan menumpukan pada aspek makna, diksi, simbol, gaya bahasa, kekuatan, kelemahan serta cadangan penambahbaikan bagi setiap sajak.
Sajak pertama, “Sehelai Daun Semalam” mengajak khalayak pembaca merenungi konsep kefanaan hidup melalui imej sehelai daun yang kering dan gugur. Sajak ini membangkitkan rasa keinsafan tentang perjalanan hidup yang tidak kekal. Penyair menggunakan metafora daun sebagai lambang kehidupan yang berputar dari kematangan kepada ketuaan, hingga akhirnya, kemusnahan dan kepudaran. Suara batin penyair yang tercermin melalui setiap baris sajak ini bagaikan renungan dalam kesunyian, yang melihat dirinya sebagai sebahagian daripada alam yang besar. Dalam renungan itu juga, penyair menyedari betapa singkatnya waktu yang dilalui di dunia ini.
Dalam baris pertama, /Aku hanya sehelai daun/ sudah cukup untuk mengungkapkan kepasrahan penyair terhadap takdir. Kata ‘hanya’ memberi isyarat bahawa penyair melihat dirinya sebagai entiti kecil yang rapuh, seolah-olah tiada kuasa untuk menolak hukum alam yang telah ditetapkan.
Diksi yang digunakan di sini sangat sederhana namun penuh makna, seolah-olah menggambarkan kerapuhan hidup itu sendiri. Setiap perkataan dipilih dengan cermat untuk memberi kesan bahawa hidup manusia adalah seperti sehelai daun yang pada mulanya hijau dan memikat, tetapi tidak lama kemudian, akan berubah menjadi layu dan gugur di atas tanah. Pun begitu, tema kefanaan hidup, atau kitaran hidup dan mati, boleh dianggap sebagai sesuatu yang agak klise kerana ia telah banyak kali diterokai oleh penyair dan pengarang sebelum ini.
Selain itu, simbolisme daun dalam sajak ini sangat jelas. Daun yang subur menjadi lambang kehidupan yang bahagia. Hal ini dapat diperhatikan pada frasa /hujan membajaku/ dan /mentari memayungiku/. Simbol ini menggambarkan fasa-fasa kehidupan yang dijalani manusia, dari kelahiran hingga kematangan. Namun, proses layu dan gugur menunjukkan bahawa segala yang bermula akan berakhir. Penyair tidak hanya memerhatikan fenomena alam ini, tetapi dia turut merasainya dalam dirinya sendiri. Kehidupan yang pada mulanya indah akhirnya akan berlalu dengan cepat, meninggalkan kesan yang mungkin hanya seketika dalam ingatan orang lain. Berikut merupakan petikan enam baris terakhir sajak ini:
Waktu berganjak sedetik dan kemudian,
Usiaku berenang dalam qada’ dan qadar Ilahi,
Tualah sudah seraut wajah yang kau kasih,
Perang warna bukan pula warna yang kau gemar,
Layuku gugur menjadi alas di kaki,
Di atas tanah yang kau pijak hari ini.
Gaya bahasa yang digunakan dalam sajak ini penuh dengan unsur melankolik. Penggunaan unsur personifikasi seperti /mentari memayungiku/ memberikan imejan yang hidup, seolah-olah alam juga menjadi saksi kepada perjalanan hidup penyair. Namun, kekuatan sajak ini bukan sahaja terletak pada simbolisme yang digunakan, tetapi juga pada keupayaan penyair untuk menzahirkan suara batinnya melalui baris-baris yang penuh dengan kesedaran terhadap ketidakabadian.
Kelemahan sajak ini mungkin terletak pada tema yang agak biasa (klise) ditemui dalam karya-karya lain, iaitu kitaran hidup dan mati. Penyair boleh memperkayakan sajak ini dengan elemen-elemen yang lebih personal atau unik yang menjadikannya berbeza daripada sajak-sajak serupa. Selain itu, pemangkasan kata juga harus dilakukan dalam sajak ini agar diksi yang dipilih dapat memberikan makna yang lebih luas dalam ruangan puisi yang terbatas. Hal ini penting kerana kepadatan kata dan keseimbangan perasaan dalam sesebuah sajak mampu memberikan impak emosi yang lebih mendalam kepada khalayak pembaca.
Sajak kedua berjudul “Merdeka” oleh Mcsentius, membawa kita kepada tema yang berbeza sama sekali. Ia adalah sebuah perayaan terhadap kebebasan, tetapi pada masa yang sama, ia juga merupakan sebuah renungan mendalam tentang pengorbanan yang telah dilakukan untuk mencapai kemerdekaan. Sajak ini dipenuhi dengan semangat patriotisme yang tinggi, yang mana suara batin penyair bergetar dengan rasa bangga terhadap tanah air yang telah bebas dari belenggu penjajahan.
Dalam sajak ini, suara batin penyair bukan sahaja meluahkan perasaan terhadap kemerdekaan yang diperoleh, tetapi juga memberi isyarat bahawa kemerdekaan adalah permulaan kepada satu perjalanan panjang yang belum berakhir. Baris /kemerdekaan adalah awal sebuah perjalanan/ menggambarkan bahawa kebebasan bukanlah sesuatu yang boleh dianggap selesai setelah dicapai. Sebaliknya, ia memerlukan usaha yang berterusan untuk memastikan bahawa kebebasan itu dapat dikekalkan dan disuburkan. Simbol seperti /darah juang/ dan /api semangat/ mencerminkan pengorbanan yang telah dilakukan oleh generasi terdahulu, manakala /mentari/ melambangkan harapan dan masa depan yang cerah untuk generasi seterusnya. Ungkapan perasaan ini dapat dilihat dalam rangkap terakhir sajak ini:
kemerdekaan adalah awal sebuah perjalanan
menuju kejayaan, kemakmuran
dengan tekad yang kuat
dengan hati yang berani
kita wujudkan impian
kita banggakan negara.
Diksi yang digunakan dalam sajak ini tegas dan penuh semangat. Frasa seperti /berkorban jiwa raga/, /darah juang/ dan /ombak cita/ memberi gambaran bahawa kebebasan tidak datang dengan mudah, tetapi melalui pengorbanan yang besar. Penyair menggunakan metafora yang kuat untuk menggambarkan semangat juang yang berkobar-kobar, seolah-olah kemerdekaan itu adalah sesuatu yang diperjuangkan dengan penuh kesungguhan dan kekuatan jiwa. Hal ini dapat diperhatikan pada petikan rangkap kedua sajak ini:
Kemerdekaan adalah
darah juang yang mengalir
Api semangat yang membara
Ombak cita yang bergelora
Dalam setiap denyut jiwa
Mendirikan tamadun, menguatkan bangsa
Namun, di sebalik kekuatan simbolisme dan metafora ini, terdapat kelemahan dalam penggunaan simbol-simbol yang mungkin dianggap klise dalam sajak-sajak bertemakan patriotisme. Simbol seperti ‘darah’ dan ‘mentari’ telah digunakan dengan kerap dalam karya-karya lain, menyebabkan ia mungkin kehilangan impak asalnya. Penyair boleh menambah elemen-elemen yang lebih segar dan unik untuk memberikan sajak ini perspektif yang lebih mendalam dan personal.
Sajak terakhir, iaitu “Rindu Pulang” oleh Nurul Ain Nasuha Iskandar, membawa kita ke dalam dunia kerinduan dan nostalgia. Sajak ini mengungkapkan perasaan rindu yang mendalam untuk pulang ke tempat yang penuh dengan kenangan dan kedamaian. Suara batin penyair dalam sajak ini sangat jelas, iaitu keletihan hidup dan keinginan untuk kembali ke pangkuan tempat asal menjadi fokus utama.
Sajak “Rindu Pulang” memberikan gambaran tentang betapa kuatnya keinginan penyair untuk melarikan diri daripada kepenatan dunia dan mencari ketenangan di rumah, tempat yang memberikannya rasa perlindungan dan keselamatan. Diksi yang digunakan dalam sajak ini penuh dengan kelembutan dan melankolik. Frasa seperti /penat membalut jiwa/, /mindaku lesu/, dan /pelukan kasih kediaman/ menggambarkan keletihan fizikal dan mental yang dirasai oleh penyair dalam menuntut ilmu. Sementara /angin menyanyikan melodi riang/ memberikan imejan tentang ketenangan yang diperoleh apabila kembali ke tempat asal iaitu rumah. Hal ini dapat diperhatikan pada rangkap ketiga sajak ini:
Pulang ke rumah, dalam tenang berselindung
setiap deru angin menyanyikan melodi riang
pelukan kasih kediaman
menyembuhkan segala jerih
rindu pulang
membawa aku terbang ke langit nostalgia.
Simbolisme dalam sajak ini sangat baik. Rumah menjadi simbol kedamaian dan tempat pulang yang memberikan ketenangan jiwa. Dalam dunia yang serba pantas ini, rumah menjadi tempat di mana seseorang boleh mencari semula diri dan beristirahat daripada segala cabaran yang dihadapi di luar.
Gaya bahasa yang digunakan oleh penyair penuh dengan metafora yang lembut dan imejan yang mendalam, membawa pembaca menyelami perasaan rindu yang dirasai oleh penyair. Pun begitu pada baris kedua dalam rangkap ketiga, kesalahan ejaan bagi kata ‘menyanyikan’ yang ditulis sebagai ‘menyangikan’ memberi kesan yang kurang baik kepada sesebuah sajak. Hal ini dikatakan sedemikian kerana sajak yang baik harus bersih daripada kesalahan ejaan.
Dari aspek kekuatan pula, ia terletak pada keupayaan sajak ini menggambarkan perasaan rindu dengan begitu mendalam dan menyentuh hati. Namun, sajak ini masih dapat diperkaya dengan naratif yang lebih kompleks untuk memberikan gambaran yang lebih mendalam tentang sebab di sebalik perasaan rindu itu. Penyair boleh memasukkan elemen-elemen yang lebih visual atau pengalaman hidup yang lebih terperinci untuk memperkayakan sajak ini.
Secara keseluruhan, ketiga-tiga sajak ini memberikan kita gambaran yang jelas tentang pelbagai aspek perasaan dan suara batin penyair. Sajak pertama “Sehelai Daun Semalam” membangkitkan keinsafan tentang ketidakabadian hidup, sajak kedua pula iaitu “Merdeka” merangkul semangat patriotisme yang tinggi, manakala sajak terakhir “Rindu Pulang” membawa kita menyelami kerinduan yang mendalam untuk pulang ke tempat asal.
Sebagai penyair pemula, masih terdapat banyak aspek penulisan sajak yang perlu dipelajari dan dikuasai oleh penyair-penyair ini, khususnya dari aspek pemilihan diksi yang ekonomis. Hal ini penting kerana penggunaan kata yang ekonomis akan membolehkan setiap bait sajak memberikan impak yang lebih kuat dan indah. Teruskan berkarya!