Oleh: Dilah Tuah
DALAM dunia puisi, kata-kata yang disusun pada baris puisi harus logik dan benar. Hal ini ternyata tidak harus diremehkan, kerana puisi ialah penyataan dan ungkapan perasaan penyair yang disalurkan lewat bait-bait kata. Justeru, puisi yang murni dan berseni seharusnya tidak tercemar oleh kata-kata yang lari jauh daripada dunia realiti. Hakikat ini dikenali sebagai kohesi logikal dalam puisi. Adakah kohesi logikal hanya wujud dalam puisi-puisi moden? Sebenarnya, konsep kohesi logikal telah lama wujud dalam dunia puisi tradisional, khususnya pantun dan syair. Dalam binaan pantun misalnya, pembayang yang diciptakan perlu mempunyai pertautan. Perkara ini telah ditegaskan oleh Mohd Taib Osman (1975) dalam Warisan Puisi Melayu dengan mengatakan bahawa pembayang perlu mempunyai hubungan makna dengan maksud.
Dalam dunia bahasa, kohesi dikenali sebagai pertautan tatabahasa dan leksikal dalam teks atau ayat yang berperanan menyatukan teks dan memberikan makna. Walaupun bahasa puisi boleh lari jauh daripada bahasa kamus, ini tidak bermakna penyair boleh menyimpang daripada makna yang sebenar. Hal ini demikian kerana, kohesi menjadi satu bahagian penting dalam binaan diksi puisi iaitu pemilihan atau penggunaan kata yang tepat untuk mengungkap idea dan perasaan. Bagaimana dengan logikal dalam puisi? Ramai yang beranggapan bahawa puisi mempunyai aturan logikal yang tersendiri dan ini terbukti dengan pemakaian unsur-unsur metafora yang tidak mencerminkan makna literal. Benar, hal ini tidak dinafikan kerana penyimpangan ini dilakukan dalam upaya penyair untuk memperkukuhkan imaginasi estetika dengan menggunakan objek dalam puisi hanya sebagai simbol.
Melalui simbol-simbol yang wujud dalam puisi, khalayak dapat mengamati, meneliti dan mentafsir gagasan, pemikiran dan falsafah yang ingin disampaikan oleh penyair. Justeru, hal ini jelas membuktikan bahawa puisi memiliki sistem logikal yang tersendiri dan ia terbina melalui pertautan bentuk fizik dan struktur batiniah. Oleh sebab itu, dalam penulisan puisi, imaginasi yang terlalu meluap serta tidak berpijak di bumi nyata, akan menyebabkan sesebuah puisi gagal untuk difahami dan diterima. Hal ini berlaku kerana puisi tanpa logikal akan membina struktur metaforikal yang tiada ukuran dalam penilaian. Sekiranya ini berlaku, bagaimana sesebuah puisi itu dapat dinilai baik daripada puisi-puisi yang lain. Justeru, walaupun puisi dizahirkan secara imaginasi bahasa, namun binaannya tidak dapat lari daripada realiti dunia sebenar. Hal ini dikatakan sedemikian kerana penciptaan puisi bermula daripada sebuah renungan yang ikhlas, tentang pelbagai persoalan yang melingkari kehidupan manusiawi.
Bertitik tolak daripada kupasan di atas, ulasan puisi kali ini akan menjadikan aspek kohesi logikal sebagai asas perbincangan. Sebanyak tiga buah puisi yang tersiar di ruangan ini pada minggu lepas akan dibincangkan. Antaranya puisi “Si Perempuan” karya Farah Diyana,
“Rindu Lagi” karya Mohamed Azmeer Maula Hamdan dan “Sarat” karya Mahrinawati Jalil. Selain menelusuri aspek kohesi logikal, ulasan ini turut menyentuh kekuatan dan kelemahan yang terdapat dalam karya bagi tujuan penambahbaikan.
Puisi pertama berjudul “Si Perempuan” karya Farah Diyana tampil dalam lima rangkap yang pendek. Puisi ini tentang wanita dan sifat kewanitaan. Bagi khalayak pembaca, gambaran makna telah diberikan oleh penyair melalui judul puisi ini. Dari aspek kohesi logikal, puisi ini didapati bertautan daripada judulnya sehingga ke baris yang terakhir. Subjek wanita yang diangkat dalam puisi ini jelas dipaparkan melalui sifat-sifat kewanitaan seperti manis, gagah, dan kekuatan wanita. Walaupun begitu terdapat beberapa diksi yang tidak logik dalam mengangkat citra wanita. Misalnya pada rangkap kedua, iaitu “Malah gagah si perempuan/ juga bukan layak untuk tipuan indera”. Hal ini dikatakan sedemikian kerana meletakkan wanita sebagai mangsa tipuan indera (rupa atau bentuk) seolah-oleh menyanggah kegagahan yang dinyatakan pada baris pertama rangkap tersebut. Dalam penulisan puisi, bentuk sebegini menunjukkan wujudnya diksi yang bertingkah dan hal ini sudah tentu akan menjejaskan makna puisi tersebut. Bingkisan penuh puisi ini seperti di bawah:
Si Perempuan
Manis si perempuan
usah ditafsir dengan setiap aksara.
Malah gagah si perempuan
juga bukan layak untuk tipuan indera.
Jiwa si perempuan pula
punya upaya melemahkan roh
dalam realiti dan ilusi.
Walau si perempuan itu
tidak pernah tahu tentang keperempuannya.
Pada rangkap ketiga, penyair didapati tidak berpijak di bumi yang nyata dalam melukiskan kekuatan jiwa seorang perempuan. Hal ini dapat diperhatikan pada rangkap tersebut, iaitu “Jiwa si perempuan pula/ punya upaya melemahkan roh/ dalam realiti dan ilusi”. Tidak dinafikan, tangan yang mengayun buaian dapat menggoncang dunia, namun untuk “melemahkan roh dalam realiti dan ilusi” merupakan sesuatu yang tidak logik. Perkataan “roh” pada baris tersebut mungkin lebih sesuai digantikan dengan kata “jiwa”, iaitu roh yang ada di dalam tubuh manusia. Selain itu, pada rangkap yang pertama, baris “manis si perempuan/ usah ditafsir dengan setiap aksara” juga tidak memperlihatkan ketenunan dalam binaan diksi. Hal ini kerana, kecantikan seseorang bersifat subjektif dan ia sememangnya tidak dapat digambarkan dengan aksara atau tulisan.
Setelah penyair melukiskan segala kemanisan, kegagahan, dan kekuatan jiwa si perempuan, entah mengapa penyair mengakhiri puisi ini dengan rangkap yang polos. Perhatikan pada rangkap keempat yang tidak memperkukuh gagasan yang telah dibina tentang kehebatan perempuan. Malah baris “Walau si perempuan itu/ tidak pernah tahu tentang keperempuanannya” mengelirukan pembaca tentang identiti ‘si perempuan’ yang menjadi objek utama dalam puisi ini. Secara keseluruhan, masih banyak aspek yang perlu diperbaiki oleh penyair, antaranya memberikan judul yang menarik, memastikan ejaan tepat (“keperempuannya” perlu eja sebagai “keperempuanannya”), mengelak daripada menggunakan imej yang bercampur dan melakukan pemadatan kata untuk mendapatkan kesatuan diksi yang mampu menyampaikan maksud yang diinginkan oleh penyair.
Puisi yang kedua berjudul “Rindu Lagi” karya Mohamed Azmeer Maula Hamdan hadir dalam tiga rangkap yang menarik. Membaca puisi ini akan menemukan khalayak pembaca dengan apa yang dikatakan sebagai kohesi logikal yang memancarkan kesepaduan diksi yang bermakna. Puisi ini tentang rindu yang bertandang kembali mengisi belahan jiwa penyair, setelah ia “terkubur dalam dan karam di tengah samudera”. Menariknya, dalam kerinduan yang memuncak, penyair tidak membiarkan gelora rindu menguasai diksi sehingga pembaca tercari-cari di mana asal mula dan puncak yang memanggil rindu itu kembali. Hal ini dapat diperhatikan pada rangkap pertama, iaitu “Terkadang seseorang lebih memilih/ untuk tersenyum,/ hanya kerana tak ingin menjelaskan/ kenapa ia bersedih …”. Walaupun bentuk pengucapan ini berkelintaran dalam ruang peribadi penyair, namun khalayak juga dapat menikmati keindahan kata yang terkandung dalam rangkap tersebut. Berikut merupakan bingkisan penuh puisi ini:
Rindu Lagi
Terkadang seseorang lebih memilih
untuk tersenyum,
hanya kerana tak ingin menjelaskan
kenapa ia bersedih …
Tidakkah rindu masih kau anggap ada,
meski kau kubur dalam-dalam atau kau
karamkan di tengah samudera …
Tentangmu,
adalah senja yang selalu penuh
keindahan, dan tentangku
hanyalah malam yang larut dalam
keheningan …
Seterusnya, rangkap kedua puisi ini didapati mempunyai kesinambungan daripada rangkap pertama. Dalam kesedihan, pasti ada rindu yang tidak terucap dengan kata, sehingga menyebabkan penyair hanya memilihi untuk tersenyum. Hal ini kerana, persoalan hati dan perasaan bukan suatu yang mudah untuk dilupakan. Hakikat ini diakui oleh penyair melalui bait-bait rangkap puisi ini, iaitu “Tidakkah rindu masih kau anggap ada,/ meski kau kubur dalam-dalam atau kau/ karamkan di tengah samudera …”. Dari sudut kohesi logikal, gambaran ini sememangnya sesuatu yang wajar dan benar.
Biarpun rindu telah bertukar sejarah dalam kehidupan, namun bukan mudah bagi seseorang untuk melupakan tentang “senja yang selalu penuh keindahan”. Perkara ini jelas digambarkan oleh penyair dalam rangkap ketiga, iaitu “Tentangmu,/ adalah senja yang selalu penuh/ keindahan, dan tentangku/ hanyalah malam yang larut dalam/ keheningan …”. Berpandukan rangkap ketiga puisi ini, jelas kenangan-kenangan ini membawa angin rindu pada setiap senja yang penuh keindahan. Namun penyair menyedari bahawa dirinya “hanyalah malam yang larut dalam keheningan”, iaitu seseorang yang tidak diingati. Dari aspek binaan diksi, penyair didapati cermat dalam memilih diksi yang sepadan sehingga berupaya menimbulkan kesan estetika kepada khalayak pembaca. Kendatipun begitu, terdapat beberapa kata yang kurang sesuai digunakan oleh penyair dalam binaan puisi ini kerana ia memberi kesan lewah. Misalnya pada rangkap ketiga baris kedua, iaitu “adalah senja yang selalu penuh”. Dalam baris ni, kata “selalu” wajar digugurkan kerana perkataan tersebut boleh menyebabkan puisi ini prosaik dan polos. Baris tersebut lebih sesuai sekiranya ditulis begini “adalah senja yang penuh keindahan”.
Puisi terakhir berjudul “Sarat”, karya Mahrinawati Jalil yang hadir dalam dua rangkap yang kejap. Dari aspek kohesi logikal, penyair didapati berjaya menenun rangkap kata yang bertautan, kemas dan paling penting ia merupakan hasil pemerhatian yang nyata. Membaca puisi ini akan menemukan khalayak kepada konsep pemadatan kata. Dalam hal ini jelas, “Sarat” yang menjadi tunjang utama puisi ini tidak sarat dengan muatan kata. Perhatikan pada rangkap yang pertama, wujudnya pemadatan kata dalam rangkap tersebut seperti ini “Detik ini/ Rasa dan fikir/ Lemas dalam makna/ Lenyap kata/ Sirna jiwa/ Kabur, lebur, hancur dalam lumpur”. Menariknya, pada baris yang keenam, wujud pengulangan bunyi konsonan ‘r’ yang berperanan dalam menimbulkan kesan keindahan bunyi. Dalam gaya bahasa, bentuk sebegini dikenali sebagai aliterasi, iaitu pengulangan bunyi konsonan yang sama dalam baris-baris puisi. Bingkisan penuh puisi tersebut adalah seperti berikut:
Sarat
Detik ini
Rasa dan fikir
Lemas dalam makna
Lenyap kata
Sirna jiwa
Kabur, lebur, hancur dalam lumpur
Menyusur pantai harapan
Biar sinar kembali benderang
Biar kata kembali bertandang
Menggalas sarat sebuah hasrat
Kasih yang Esa tiada terbebat
Pada rangkap kedua, bentuk puisi ini agak klise dengan penggunaan unsur metafora yang sudah banyak digunakan oleh penyair lain. Misalnya “pantai harapan”, “sinar kembali benderang” dan “kata kembali bertandang”. Walaupun ia bukan suatu kesalahan, namun puisi yang baik menuntut pembaharuan dan kesegaran dalam pengucapan. Penyair yang ingin berkalung lama di bingkai zaman, perlu mencipta wilayah kepenyairannya yang tersendiri dengan menciptakan gaya dan bentuk pengucapan puisi yang versatil dan segar. Walaupun begitu, pencubaan ini sudah cukup baik bagi penyair pemula yang mungkin masih belum berani untuk berkelahi dengan kata. Namun apa yang jelas, rangkap ini berjaya memperlihatkan kesatuan kata yang baik.
Daripada tiga buah puisi yang telah diulas secara tuntas di atas, jelas memperlihatkan kepentingan kohesi logikal dalam penghasilan sesebuah puisi. Walaupun bahasa puisi boleh lari jauh daripada bahasa kamus, namun bentuk pengucapan puisi memerlukan kesepaduan diksi dan ketepatan makna. Dalam hal ini, aspek kohesi logikal memainkan peranan penting dalam mengawal perasaan penyair daripada membuak sehingga mengatasi penulisan dan menjadi aneh. Selain itu, masih terdapat kecenderungan penyair mencampuradukkan imej sehingga menjejaskan gambaran mental asosiasi idea yang timbul dalam puisi. Hal ini menyebabkan puisi yang terhasil gagal untuk ditanggapi maknanya oleh pembaca.
Secara keseluruhan dapat dirumuskan bahawa terdapat peningkatan yang ketara pada puisi-puisi yang tersiar di ruangan ini pada minggu lepas. Ternyata penyair telah berjaya memanfaatkan ruangan ini untuk meningkatkan mutu pengkaryaan. Walaupun puisi-puisi yang tersiar di ruangan ini masih berkelintaran dalam ruang peribadi penyair, namun keupayaan penyair menyusun kata menjadi diksi yang kejap dan bermakna wajar dipuji. Semoga ulasan ini dapat menjadi rujukan dan panduan kepada para penyair untuk menghasilkan puisi-puisi yang lebih baik pada masa akan datang.
Teruskan berkarya!