Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WBS
  • Menelusuri Dilema Kemanusiaan dalam Cerpen “Janji yang Terpesong”
  • WBS

Menelusuri Dilema Kemanusiaan dalam Cerpen “Janji yang Terpesong”

Utusan Sarawak 5 hours ago

CERPEN “Janji yang Terpesong” karya Muhamad Nur Khairul menampilkan sebuah kisah yang sarat dengan konflik kemanusiaan yang berpunca daripada tekanan hidup, kesetiaan persahabatan serta kesan buruk keputusan yang tersasar daripada nilai moral dan undang-undang.

Cerita ini disampaikan melalui sudut pandangan orang pertama, iaitu watak “aku” yang dikenali sebagai Combie. Teknik penceritaan ini memberi peluang kepada pembaca untuk mengikuti perkembangan cerita secara dekat melalui pengalaman dan perasaan watak tersebut.

Dengan menggunakan sudut pandangan ini, penulis dapat menimbulkan suasana penceritaan yang lebih intim dan emosional kerana pembaca seolah-olah menyaksikan sendiri peristiwa yang berlaku melalui perspektif watak utama.

Cerita bermula dengan suasana malam di sebuah jeti sungai apabila Combie bersama sahabatnya, Mel, menunggu kehadiran seorang lelaki bernama Acong. Sejak awal cerita, penulis telah menimbulkan unsur saspens melalui gambaran keadaan yang sunyi serta kegelisahan watak-watak yang sedang menunggu.

Situasi ini menimbulkan persoalan kepada pembaca tentang apakah tujuan sebenar mereka berada di situ pada waktu malam.

Apabila Acong akhirnya tiba dan mereka mula memunggah kotak-kotak dari bot ke dalam kereta, pembaca mula merasakan bahawa kegiatan tersebut bukanlah sesuatu yang biasa.

Unsur misteri ini seterusnya membawa kepada pendedahan bahawa kegiatan tersebut sebenarnya berkaitan dengan pengedaran dadah.

Konflik utama cerita muncul apabila Mel sanggup terlibat dalam kegiatan tersebut demi mendapatkan wang bagi membiayai pembedahan ibunya yang menghidap penyakit jantung. Dalam keadaan yang terdesak, Mel memilih jalan pintas yang salah demi menyelamatkan ibunya.

Namun tindakan itu akhirnya membawa kepada tragedi apabila dia dan sahabatnya ditangkap oleh pihak berkuasa serta dijatuhi hukuman mati.

Pengakhiran yang tragis ini memberi kesan emosi yang kuat kepada pembaca serta menegaskan mesej bahawa tindakan yang salah tetap akan membawa akibat buruk walaupun dilakukan dengan niat yang baik.

Secara keseluruhannya, cerpen ini mempunyai potensi yang baik dari segi idea dan mesej. Penulis cuba mengetengahkan konflik moral yang sering berlaku dalam kehidupan masyarakat apabila seseorang terpaksa membuat keputusan sukar dalam keadaan terdesak.

Walau bagaimanapun, cerpen ini juga memperlihatkan beberapa kelemahan dari segi teknik penceritaan, pembinaan watak serta penggunaan bahasa yang boleh diperbaiki bagi meningkatkan mutu karya pada masa akan datang.

Tema cerpen ini memaparkan tentang akibat buruk disebabkan tindakan yang menyimpang daripada nilai moral disebabkan tekanan hidup. Mel digambarkan sebagai seorang anak yang sangat menyayangi ibunya dan sanggup melakukan apa sahaja demi menyelamatkannya daripada penyakit yang dihidapi.

Namun kasih sayang tersebut akhirnya membawa kepada keputusan yang salah apabila dia memilih untuk terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah.

Menurut Hashim Awang, tema merupakan inti pemikiran yang menjadi tunjang kepada keseluruhan cerita. Tema berfungsi untuk mengikat semua peristiwa dalam karya supaya bergerak menuju satu makna yang jelas dan terarah.

Dalam cerpen ini, tema tersebut disampaikan melalui konflik batin yang dihadapi oleh Mel serta kesedaran yang mula timbul dalam diri Combie apabila dia mengesyaki bahawa mereka mungkin telah terlibat dalam kegiatan yang menyalahi undang-undang.

Selain tema utama tersebut, cerpen ini turut memaparkan beberapa persoalan penting yang berkait rapat dengan kehidupan manusia. Antaranya ialah persoalan pengorbanan seorang anak terhadap ibu, kesetiaan dalam persahabatan, bahaya kegiatan jenayah serta penyesalan akibat keputusan yang salah.

Persoalan pengorbanan seorang anak jelas terlihat melalui kesanggupan Mel melakukan pekerjaan yang berisiko demi mendapatkan wang untuk rawatan ibunya. Keadaan ini menggambarkan konflik moral yang sering berlaku dalam kehidupan apabila seseorang terpaksa memilih antara tanggungjawab keluarga dan nilai moral.

Persoalan kesetiaan dalam persahabatan pula digambarkan melalui watak Combie yang sanggup membantu Mel tanpa banyak soal kerana percaya kepada sahabatnya sejak kecil.

Kesetiaan ini akhirnya menyebabkan dia turut terlibat dalam kesalahan yang sama walaupun pada awalnya dia tidak mengetahui perkara sebenar. Hal ini menunjukkan bahawa kepercayaan yang terlalu besar tanpa pertimbangan yang rasional juga boleh membawa kepada akibat yang buruk.

Walaupun tema cerpen ini jelas dan menarik, penulis boleh memperkukuhkan lagi penyampaiannya dengan menonjolkan konflik batin watak secara lebih mendalam.

Penulis boleh menambah monolog dalaman Mel yang menggambarkan dilema yang dihadapinya sebelum membuat keputusan untuk terlibat dalam kegiatan jenayah. Dengan cara ini, pembaca akan lebih memahami tekanan emosi yang dialami oleh watak tersebut.

Selain itu, penulis juga boleh menunjukkan keadaan ekonomi keluarga Mel yang mempengaruhi keputusannya. Gambaran yang lebih terperinci tentang kesusahan hidup keluarga Mel akan menjadikan konflik cerita lebih meyakinkan dan menyentuh perasaan pembaca.

Plot cerpen ini bergerak secara kronologi dan mudah diikuti oleh pembaca. Cerita bermula dengan pengenalan situasi di jeti. Bahagian ini berjaya mencetuskan unsur saspens kerana pembaca masih tidak mengetahui tujuan sebenar watak-watak tersebut berada di situ.

Perkembangan cerita seterusnya membawa pembaca ke hospital apabila keadaan ibu Mel yang sakit jantung diperkenalkan. Bahagian ini memberikan latar belakang kepada tindakan Mel yang akhirnya terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah.

Kemuncak cerita berlaku apabila Mel mengaku bahawa dia sebenarnya seorang pengedar dadah dan telah melibatkan sahabatnya dalam kegiatan tersebut. Pengakuan ini menimbulkan konflik emosi yang kuat antara kedua-dua sahabat itu.

Namun sebelum konflik tersebut berkembang lebih jauh, cerita segera beralih kepada peristiwa kematian ibu Mel serta penangkapan oleh pihak polis.

Menurut Edgar Allan Poe, sebuah cerpen yang baik harus mempunyai unity of effect, iaitu setiap unsur dalam cerita harus membawa kepada satu kesan emosi yang kuat kepada pembaca.

Dalam cerpen ini, kesan tersebut ialah rasa penyesalan dan kesedaran tentang bahaya tindakan yang melanggar undang-undang.

Walaupun struktur plot cerpen ini jelas, terdapat beberapa bahagian yang boleh diperbaiki. Antaranya ialah peralihan antara peristiwa yang agak mendadak. Peristiwa kematian ibu Mel dan penangkapan oleh polis berlaku terlalu cepat sehingga pembaca tidak sempat merasai kesan emosinya.

Penulis boleh memperbaiki bahagian ini dengan menambah beberapa adegan tambahan seperti reaksi Mel ketika menerima berita kematian ibunya atau suasana ketika polis menyerbu rumah mereka. Dengan cara ini, pembaca akan lebih merasai kesan dramatik peristiwa tersebut.

Selain itu, penulis juga boleh menambah unsur saspens yang lebih kuat pada bahagian awal cerita dengan memberikan sedikit petunjuk tentang kegiatan sebenar Acong tanpa mendedahkannya secara terus.

Cerpen ini menampilkan beberapa watak utama, iaitu Mel, Combie dan Acong. Mel merupakan watak yang paling dominan kerana konflik utama cerita berpunca daripada tindakannya.

Watak Combie pula berfungsi sebagai pencerita dan pemerhati kepada peristiwa yang berlaku. Melalui sudut pandang watak ini, pembaca dapat mengikuti perkembangan konflik secara beransur-ansur. Watak Acong pula berperanan sebagai penghubung kepada kegiatan jenayah yang berlaku dalam cerita.

Menurut teori watak oleh E.M. Forster, watak yang kuat dalam karya sastera ialah watak yang mempunyai kedalaman psikologi serta mampu berkembang sepanjang cerita.

Oleh itu, watak Mel boleh diperkuatkan lagi dengan memperlihatkan konflik emosi yang lebih mendalam. Penulis boleh menggambarkan perubahan perasaan Mel daripada rasa terdesak kepada rasa bersalah dan akhirnya penyesalan.

Watak Acong pula boleh diperjelas dengan memberikan sedikit latar belakang tentang dirinya. Dengan cara ini, pembaca akan lebih memahami bagaimana Mel boleh terlibat dalam kegiatan tersebut.

Cerpen ini menggunakan beberapa latar tempat seperti jeti sungai, hospital, rumah kampung dan mahkamah. Latar-latar ini sesuai dengan konteks cerita dan membantu pembaca memahami situasi yang berlaku.

Namun deskripsi latar masih boleh diperkaya dengan perincian yang lebih jelas. Penulis boleh menambah gambaran tentang suasana di jeti seperti bunyi air sungai, hembusan angin malam atau cahaya lampu yang malap. Perincian ini akan menjadikan suasana cerita lebih hidup.

Menurut Umar Junus, latar dalam karya sastera bukan sekadar tempat berlakunya peristiwa tetapi juga berfungsi untuk membentuk suasana dan makna cerita.

Selain kelemahan dari segi pengolahan plot dan pembinaan watak, cerpen “Janji yang Terpesong” juga memperlihatkan beberapa kesilapan teknikal dalam penulisan seperti kesalahan struktur ayat, penggunaan bahasa yang kurang kemas serta beberapa kekeliruan dalam penyampaian maklumat.

Kesilapan seperti ini lazim berlaku dalam karya penulis baharu dan boleh diperbaiki melalui proses penyuntingan yang lebih teliti. Sebagai contoh, penggunaan ayat yang terlalu panjang sehingga menimbulkan kekeliruan kepada pembaca.

Misalnya terdapat ayat yang berbunyi:

“Aku hanya mengiyakan sahaja kata kata Mel kerana dia adalah sahabatku sejak aku dari kecil dan sejak kematian ibu dan ayahku keluarga Mel tempat aku menumpang kasih dan tinggal bersama mereka di pondok usang mereka.”

Ayat ini mengandungi terlalu banyak maklumat dalam satu struktur ayat sehingga menjadikannya agak berat untuk dibaca. Bagi meningkatkan kejelasan makna, ayat tersebut boleh dipecahkan kepada beberapa ayat yang lebih ringkas. Sebagai contoh:

“Aku hanya mengiyakan kata-kata Mel. Dia sahabatku sejak kecil. Selepas kematian ibu dan ayahku, keluarganya telah memberi tempat untuk aku menumpang kasih dan tinggal bersama mereka di pondok usang itu.”

Dengan memecahkan ayat kepada beberapa bahagian yang lebih pendek, penyampaian cerita menjadi lebih jelas dan mudah difahami. Selain itu, terdapat juga beberapa kesalahan dari segi pengulangan maklumat yang tidak perlu. Contohnya pada bahagian berikut:

“Pembedahan pintasan injap jantung kerana kondisi ibu Mel sekarang ini sangat lemah dan jika tidak dibuat pembedahan dengan kadar segera boleh menyebabkan maut.”

Maklumat yang sama sebenarnya telah disebut sebelumnya. Dalam penulisan cerpen, pengulangan yang tidak perlu boleh mengganggu aliran cerita. Oleh itu, ayat tersebut boleh dipadatkan seperti berikut:

“Doktor menjelaskan bahawa keadaan ibu Mel sangat lemah dan pembedahan pintasan jantung perlu dilakukan segera bagi menyelamatkan nyawanya.”

Pemadatan ayat seperti ini membantu menjadikan naratif lebih fokus dan tidak berulang.

Satu lagi aspek yang boleh diperbaiki ialah penggunaan dialog yang kadangkala terlalu panjang tanpa disertai perincian emosi atau tindakan watak. Contohnya ketika Mel mengaku bahawa dia seorang pengedar dadah.

Dialog tersebut sebenarnya merupakan titik penting dalam cerita. Namun bahagian ini boleh diperkuatkan dengan menambah sedikit gambaran emosi watak. Sebagai contoh, petikan berikut:

“Combie, sejujurnya aku nak minta maaf sangat-sangat kepadamu. Sebenarnya aku seorang pengedar dadah dan kejadian tempoh hari adalah perancanganku.”

Bahagian ini boleh diperluas dengan sedikit deskripsi emosi bagi meningkatkan kesan dramatik cerita, misalnya:

“Combie, aku nak minta maaf sangat-sangat kepada kau.” Suara Mel bergetar dan matanya tidak berani memandang wajahku. “Sebenarnya aku… aku seorang pengedar dadah. Semua yang berlaku tempoh hari adalah perancanganku.”

Dengan menambah sedikit gambaran emosi seperti suara bergetar atau reaksi tubuh watak, pembaca dapat merasai tekanan emosi yang sedang dialami oleh watak tersebut.

Selain itu, terdapat juga beberapa bahagian yang boleh diperbaiki dari segi kesinambungan peristiwa.

Contohnya, peralihan daripada peristiwa kematian ibu Mel kepada adegan penangkapan oleh polis berlaku terlalu pantas. Pembaca tidak diberikan ruang untuk merasai kesedihan atau reaksi watak terhadap peristiwa tersebut.

Penulis boleh menambah satu atau dua perenggan yang menggambarkan keadaan rumah selepas kematian Makcik Kiah, misalnya suasana sunyi di rumah atau perasaan kosong yang dirasai oleh Mel.

Gambaran seperti ini bukan sahaja memperlahankan tempo cerita secara seimbang, tetapi juga memberikan kesan emosi yang lebih mendalam kepada pembaca.

Selain itu, penulis juga boleh memperkaya bahasa naratif dengan penggunaan unsur gaya bahasa. Sebagai contoh, pada bahagian akhir cerpen terdapat ayat:

“Terasa duniaku gelap segelapnya kerana pengakhiran hidupku akan berakhir di tali gantung.”

Ayat ini sebenarnya sudah menyampaikan perasaan putus asa watak namun kesan emosinya boleh diperkuatkan dengan sedikit penggayaan bahasa. Contohnya:

“Saat itu terasa seolah-olah seluruh dunia menjadi gelap. Masa depan yang pernah aku bayangkan kini berakhir di hujung tali gantung.”

Penggunaan gaya bahasa yang sedikit lebih puitis seperti ini akan memberikan kesan yang lebih mendalam kepada pembaca tanpa mengubah makna asal cerita.

Secara keseluruhannya, kesilapan yang terdapat dalam cerpen ini lebih bersifat teknikal dan boleh diperbaiki melalui proses penyuntingan yang teliti. Penulis disarankan untuk membaca semula manuskrip secara perlahan sebelum menghantarnya untuk penerbitan. Selain itu, mendapatkan pandangan rakan penulis atau editor juga boleh membantu mengenal pasti kesilapan yang mungkin terlepas pandang.

Cerpen ini mengandungi nilai moral yang jelas seperti kasih sayang terhadap keluarga, kesetiaan dalam persahabatan dan kepentingan membuat keputusan yang bijak. Kisah Mel menunjukkan bahawa niat yang baik tidak semestinya membawa kepada hasil yang baik jika cara yang digunakan adalah salah.

Dalam hal ini, pandangan Sasterawan Negara Shahnon Ahmad sangat relevan apabila beliau menyatakan bahawa karya sastera harus mampu memberi kesedaran kepada masyarakat tentang nilai kehidupan.

Secara keseluruhannya, cerpen “Janji yang Terpesong” merupakan sebuah karya yang mempunyai idea yang menarik serta mesej moral yang jelas. Penulis berjaya mengetengahkan konflik kemanusiaan yang dekat dengan realiti kehidupan masyarakat.

Walaupun terdapat beberapa kelemahan dari segi pengolahan plot, pembinaan watak dan penggunaan bahasa, karya ini tetap menunjukkan potensi yang baik sebagai sebuah cerpen yang menyentuh perasaan.

Dengan memperbaiki kelemahan yang telah dikenal pasti serta terus memperhalus teknik penulisan, penulis berpotensi menghasilkan karya yang lebih matang pada masa hadapan. Cerpen ini boleh dianggap sebagai langkah awal yang baik dalam perjalanan penulis dalam dunia penulisan kreatif.

Abang Median Abang Said

Continue Reading

Previous: Nyala Kecil di Sudut Nyali

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.