KONSEP yang sering diaplikasikan dalam penghasilan karya ialah “Writing what you know” atau menulis apa yang kita tahu. Menurut L. Henry dalam The Fiction Dictionary (1995), konsep tersebut adalah konsep terbaik untuk seseorang penulis memperkatakan tentang subjek atau perkara yang yang ingin diketengahkan – sesuatu yang akrab dalam pemikiran dan jiwanya. Menurut Shahnon Ahmad, penulisan yang terlontar melalui jiwa akan memberikan kesan emosi yang akan memberikan impak kepada pembaca sebagaimana cerpen dan novel yang dihasilkannya. Bacalah novel Ranjau Sepanjang Jalan untuk merasai kesan emosi tersebut. Watak-watak dalam novel berkenaan menuntun jiwa pembaca untuk merasai kegetiran dan keperitan hidup yang bukan kepalang tanggung. Pendekatan yang sama juga digunakan oleh Azizi Haji Abdullah menerusi novelnya Seorang Tua di Kaki Gunung. Dua penulis dari negeri yang sama ini berjaya menguasai jiwa pembaca dengan memberikan nilai didaktisme. Semua ini selari dengan pandangan Jerome Stern (1991) dalam Making Shapely Fiction yang menyarankan kaedah terbaik untuk menyampaikan idea ialah “Jangan menulis apa yang kita tidak tahu”.
Cerpen “Cymbidium Yang Hampir Layu” yang tersiar dalam ruangan ini pada minggu lepas ialah karya Stefanie Kaso yang bermain dengan idea pengajaran dan pembelajaran, memberi dan menerima nasihat yang menunjukkan kesan didaktisme yang begitu kuat dalam cerpen berkenaan. Menerusi cerpen ini, pengarang seolah-olah membenarkan pandangan David Madden (2006) dalam A Primier of the Novel: For Readers and Writers yang menegaskan, menulis perkara yang kita tahu “boleh menjadi dunia yang tercipta daripada sebuah imaginasi” dan imaginasi pengarang dalam cerpen ini tentunya timbul daripada pembacaan melalui isu yang hangat dalam media massa, iaitu masalah kewangan yang menghambat keluarga yang ingin menyekolahkan anak-anak mereka. Isu yuran dan perbelanjaan lain sewaktu sekolah mula beroperasi menjadi sesuatu yang sinonim dalam kalangan masyarakat miskin di negara kita. Subjek inilah yang menjadi perhatian pengarang untuk diketengahkan dalam cerpen ini.
Cerpen ini bermula dengan perbualan antara Leman dan Ojai tentang cadangan Ojai untuk mencuri duit di kedai Juki. Semua ini disebabkan tuntutan persekolahan anak-anak Leman dan juga masalah kemiskinan yang menghimpit keluarga berkenaan dengan gaji Leman – sekitar RM1200 sebulan – yang digambarkan tidak mencukupi untuk menampung semua keperluan tersebut. ‘Yuran, barang-barang sekolah, sewa, bil-bil, makan, minyak motor.’ – sentiasa berlegar-legar dalam fikiran Leman yang turut menjadi leitmotif hingga binaan plot ini digalur sedemikian rupa. Paradoksnya, Juki jugalah merupakan watak yang selalu membantu Leman dengan meminjamkan duit kepadanya. Cuma kali ini, Leman berasa malu untuk terus-terusan meminjam wang daripada Juki tanpa dapat melunaskan hutang-hutang berkenaan. Tentu tidak ada kerasionalan daripada tindakan yang dilakukan oleh Leman. Perbuatan mencuri itu pasti akan menimbulkan lebih rasa malu jikalau diketahui oleh Juki. Leman bahkan akan lebih malu jikalau tertangkap. Lagipun, tindakannya dengan memecah masuk ke kedai Juki bersama-sama Ojai boleh menjejaskan masa depan anak-anaknya jikalau dilaporkan kepada pihak polis. Kesalahan itu boleh menyebabkan Leman dipenjara. Kecelaruan daripada perbuatan Leman ini turut menjejaskan perjalanan plot yang dibina oleh pengarang. Pengarang menjadikan perasaan ‘malu’ untuk Leman tidak meminjam duit daripada Juki sehingga mengambil keputusan untuk mencuri sedangkan tindakan yang dipilih itu lebih memalukan. Bagaimana Leman boleh melakukan perbuatan mencuri untuk menyekolahkan anaknya? Anaknya Amir memerlukan wang sebanyak RM80 untuk membayar yuran. Akip pula memerlukan wang sebanyak RM120. Anak bongsunya Amira pula memerlukan perbelanjaan sebanyak RM60. Maknanya, tindakan mencuri yang ingin dilakukan oleh Leman itu adalah untuk menampung perbelanjaan yang berjumlah RM260. Tidakkah Leman terfikir tentang keberkatan duit tersebut jikalau dikaitkan dengan kesucian ilmu yang ingin diperoleh oleh anak-anaknya melalui pendidikan?
Namun itulah ragam kehidupan tatkala tekanan hidup akan menjadikan seseorang itu tidak berfikir dengan waras hingga melakukan perbuatan yang tidak wajar. Walau bagaimanapun, binaan plot cerpen ini tetap longgar kerana tekanan hidup yang dipilih oleh pengarang tidak cukup kuat untuk memberikan desakan hingga Leman mengambil keputusan yang begitu nekad. Pembaca akan berkonflik untuk mencari keseimbangan nilai daripada pilihan jawapan yang dilakukan oleh Leman. Dalam cerpen ini, digambarkan juga tentang sikap abangnya Manap yang tidak mahu berkompromi untuk meminjamkan duit kepada Leman sehingga turut menjadi pencetus kepada tindakan yang tidak rasional. Isteri Manap sentiasa pesimis dan tidak mahu suaminya memberikan bantuan kepada Leman.
Hasutan Ojai akhirnya berjaya untuk membawa Leman memecah masuk ke kedai Juki. Mereka menggeledah kedai tersebut dengan kepakaran Ojai yang merupakan bekas banduan atas kesalahan yang tidak dinyatakan dalam cerpen berkenaan. Sewaktu mereka mencuri kedai Juki, pelbagai peralatan yang dibawa oleh Ojai daripada sekecil-kecil dawai sehingga sebesar-besar tukul dan pengumpil. Sewaktu berada di hadapan kaunter itu jugalah Leman terkenangkan kebaikan Juki kepadanya tatkala Amira menginginkan coklat berbentuk beruang yang dibalut kertas berwarna emas. Leman yang tidak mempunyai cukup duit hanya mampu berjanji kepada Amira untuk membelinya pada hujung bulan.Tetapi yang mengotakan janjinya pada hari yang sama ialah Juki. Secara sembunyi, Juki telah meletakkan coklat beruang itu di dalam plastik. Sampai di rumah, Amira melompat-lompat girang melihat coklat itu.
Sewaktu berada di satu sudut rak menjual susu anak-anak, Leman terkenang sewaktu dia terperangkap dalam kecelaruan untuk membuat pilihan – membeli susu dan beras. Waktu itu, wangnya hanya cukup untuk membeli salah satu. Tidak dibeli susu – Amira yang baru berusia lapan bulan waktu itu akan lapar. Tidak dibeli beras – dia, Amir dan Akip pula akan lapar.’ Namun akhirnya, Leman berjaya membawa pulang susu dan beras. Beras adalah pemberian Juki. Kebetulan, hari itu dia bersedekah katanya. Leman yakin Juki berbohong. Dia sengaja memberinya secara percuma. Pada waktu itulah Leman insaf akan kesalahannya – dia mengajak Ojai beredar. Apabila Ojai berkeras untuk meneruskan niat jahat mereka, Leman mengugut untuk menjerit. Ojai yang berasa marah telah menyepak rak yang berhampiran sebelum mendengus dan beredar meninggalkan Leman. Leman pula yang dicuit oleh rasa bersalah telah menyusun dan mengembalikan semua barang yang berselerak ke rak semula.
Menurut A.S. Laksana, sesebuah cerpen yang baik turut bergantung pada pengakhirannya. Ada pengarang memberikan impak pada pengakhiran cerpennya dengan meninggalkan ruang persoalan untuk difikirkan dan diselesaikan sendiri oleh pembaca. Ada pengarang yang suka memberikan kejutan pada pengakhiran cerpen dengan membuat plot twist. Tidak kurang pula, pengarang yang suka mematikan watak untuk meninggalkan kesan emosi seperti yang sering dilakukan oleh Azizi Haji Abdullah. Namun, pengarang cerpen ini memilih pengakhiran yang memberikan nilai didaktisme kepada pembaca dengan memberikan kemenangan kepada watak Leman dan Juki.
Leman digambarkan oleh pengarang dengan sentiasa mengelakkan diri daripada Juki disebabkan rasa bersalah dan perasaan malunya. Dia juga telah menunda pembayaran yuran dan pembelian barangan sekolah anaknya. Akhirnya, Juki telah menghantar surat kepada Leman melalui anaknya Akip. Di dalam surat itu diselitkan wang berjumlah RM500. Juki mengetahui kesalahan Leman yang memecah masuk ke kedainya melalui CCTV. Biarpun pada mulanya Juki berasa marah namun apabila dia menghayati niat Leman, dia telah memaafkan kesalahan tersebut.
Pengarang cuba memasukkan falsafah pada pengakhiran cerpennya melalui kata-kata Juki di dalam surat yang ditujukan pada Leman: Biar tiada pilihan Man, tetapi jangan hilang kepercayaan, jangan goyah. Tuhan tidak pernah meninggalkan ayah-ayah yang mencuba sehabis baik untuk anaknya.
Cuma falsafah Cymbidium atau orkid perahu yang cuba dimasukkan oleh pengarang dalam cerpen berkenaan terasa tidak kena atau tidak sampai kepada pembaca. Apakah kaitan orkid yang ditanam oleh isteri Leman dengan kesilapannya? Adakah orkid itu ada kaitan dengan duit? Adakah orkid itu melambangkan kepercayaan? Pembaca pasti akan tertanya-tanya mengapa Cymbidium itu dipilih menjadi tajuk cerpen berkenaan. Apakah falsafah yang ingin disampaikan. Jikalau pun ada falsafah yang hendak disampaikan, semuanya kabur. Perkara ini perlu diambil perhatian oleh pengarang dalam penulisan cerpennya yang akan datang.
Unsur didaktisme amat ketara dalam cerpen “Cymbidium yang Hampir Layu”. Pembaca didedahkan tentang nilai untuk mengajar mereka. Karya ini tetap meninggalkan kesan apabila mesej yang hendak disampaikan begitu jelas. Menurut M.H. Abrams, keseronokan daripada penceritaan yang menarik akan membantu berlakunya didaktisme. Pengarang cerpen ini telah menjadikan perjalanan plot cerpen sebagai alat pengajaran dan pembinaan moral, keagamaan dan etika. Juki yang terasa dikhianati kerana kebaikannya kepada Leman sebelum ini tidak mampu menghalang Leman daripada memecah masuk ke kedainya. Namun, kesucian hati Juki yang tetap memaafkan Leman malahan tetap meminjamkan duit sebanyak RM500 menunjukkan tahap keperibadiannya yang tinggi. Dalam penghasilan karya sastera, mutu karya itu bukan hanya terletak pada strukturnya, tetapi juga pada mesej atau pesanan nilai yang ingin disampaikan. Perkara ini dapat dinilai bersandarkan karya-karya Nusantara klasik terkenal kerana mengandungi pengajaran moral dan etika yang bernilai agung.
Bayangkan jikalau Juki mengatakan, “Tiada maaf bagimu.” Tentu perkara ini akan memberikan kesan yang berbeza pada karya berkenaan termasuk pada perilaku Juki biarpun sememangnya Leman merupakan individu yang melakukan kesalahan. Lagipun tidak ada manusia yang tidak melakukan kekhilafan. Dengan memaafkan perbuatan Leman, pembaca berasa tenang dengan penerimaan positif yang dilakukan oleh watak berkenaan. Dalam Islam, Allah SWT akan menurunkan ketenangan kepada kita bahkan memuliakan golongan yang memaafkan orang lain.
Allah SWT telah berfirman dalam Surah al-A’raf, ayat 199: “Jadilah pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf serta jangan mempedulikan orang-orang yang jahil.”
Pengarang cerpen “Cymbidium Yang Hampir Layu” banyak menggunakan cara penulisan dalam bentuk menasihati sama ada dengan menggunakan watak yang khusus diciptanya mahupun melalui jalinan plot daripada kesempitan hidup yang dialami oleh Leman yang diberikan beberapa pilihan sama ada menyelesaikan perkara tersebut secara positif atau memilih jalan yang serong.
Walau bagaimanapun, pengarang cerpen ini tidak berkhutbah sewaktu menyampaikan nilai seperti karya-karya lama. Didaktisme yang disampaikan adalah melalui pergolakan jiwa yang dialami oleh Leman. Pengarang sengaja menggambarkan tentang pertentangan jiwa yang dialami oleh Leman sama ada untuk mengkhianati Juki yang sentiasa menolongnya atau meneruskan niatkan bersama-sama Ojai. Dilema yang dialami oleh Leman menunjukkan didaktisme dalam kehidupan tatkala seseorang individu berdepan dengan beberapa pilihan. Sepatutnya watak Leman membuat pertimbangan yang wajar untuk tidak melakukan kesalahan tersebut. Leman mempunyai cara lain seperti menangguhkan pembayaran yuran anaknya.
Secara keseluruhannya, pengarang berjaya menunjukkan kredibiliti dan bakat yang menjanjikan dalam dunia penulisan. Etgar Karet meletakkan kebijakan seseorang penulis pada pengolahan plotnya. Pengarang mempunyai kebolehan menggerakkan plot cerpennya dengan lancar. Maknanya, pengarang menepati salah satu ciri yang digariskan oleh penulis ternama itu. Cuma tema dan persoalan kemiskinan yang cuba ditonjolkan oleh pengarang – biarpun bersifat universal yakni tentang isu kemasyarakatan yang sememangnya berlaku di negara kita – persoalan yang dikemukakan masih tetap menampakkan stereotaipnya. Penulis-penulis di Bumi Kenyalang perlu menunjukkan keberanian untuk meneroka tema dan persoalan yang berbeza untuk keluar daripada takar kebiasaan. Jikalau tidak, penulis-penulis baharu akan mengulangi perkara yang sama dalam berkarya dan hanya menjadi bayang-bayang kepada penulis terdahulu.
Biarpun pada permulaan ulasan saya telah menyatakan tentang kebolehan pengarang dalam menyusun pengakhiran cerpennya yang memberikan kesan emosi kepada pembaca – sama ada tentang kebaikan hati Juki atau tentang kesedaran Leman – namun pembaca seolah-olah dapat mengagak pengakhiran berkenaan. Pembaca dapat mengagak bahawa Juki akan memberikan bantuan kepada Leman. Mungkin pengarang boleh memikirkan pengakhiran yang berbeza dan sukar untuk ditebak.
Antara elemen lain yang boleh dilakukan oleh pengarang dalam meningkatkan kualiti cerpennya ialah dengan memasukkan unsur-unsur falsafah atau mengaitkan metafora kehidupan dengan aspek alam dan sebagainya. Usaha ini ada dilakukan oleh pengarang dengan mengaitkannya dengan Cymbidium, cuma falsafah itu tidak sampai kepada pembaca. Perkara inilah yang perlu ditambah baik oleh pengarang.
Namun pujian perlu diberikan kepada pengarang yang menulis cerpennya dengan pengolahan bahasa yang lancar dan memberikan gambaran perwatakan dengan berkesan. Elemen emosi watak dapat ditonjolkan oleh pengarang dengan baik sehingga pembaca merasai kegusaran seorang ayah yang risau tentang persekolahan anaknya. Kasih sayang seorang ayah ditonjolkan dengan susunan plot yang baik. Cuma pengarang perlu memperhalusi aspek sebab dan akibat. Umpamanya yuran persekolahan boleh dibayar secara ansuran sehingga tindakan Leman yang mencuri untuk tujuan tersebut menjadi kurang relevan. Mungkin plot itu boleh ditukar dengan Leman yang ingin mencuri susu untuk anaknya yang masih kecil lebih-lebih lagi dengan kematian isterinya setelah melahirkan anak tersebut. Tentu penyusunan plot ini menjadikan cerpen tersebut lebih logik dan memberikan impak emosi yang lebih mendalam.
Apabila menggunakan teknik imbas kembali, pengarang mengolahnya dengan begitu ringkas – ‘satu minggu lepas’ – sehingga kurang menimbulkan kesan estetika dalam pengolahan cerpen berkenaan. Mungkin pengarang boleh mengolahnya sebegini: Fikiran Leman terlontar pada peristiwa minggu lepas yang membuai rasa.
Secara keseluruhannya, cerpen “Cymbidium Yang Hampir Layu” tetap meninggalkan kesan emosi kepada pembaca kerana persoalan tentang kemiskinan dan permasalahan ibu bapa yang ingin mendaftarkan anak-anak mereka ke sekolah merupakan isu yang tidak selesai-selesai. Saya yakin, bakat yang dimiliki oleh pengarang tidak akan layu dan tumbuh cantik seperti warna Cymbidium yang menyerlah. Yang pasti, bakat tersebut perlu disiram dan dibaja.