Oleh: Dilah Tuah
PUISI sering dianggap sebagai bentuk kesusasteraan yang tinggi kerana kemampuannya menyampaikan emosi, pemikiran serta pengalaman yang kompleks dalam ruangan yang singkat dan terbatas. Selain itu, bahasa puisi yang diolah secara artistik dan ekspresif, memberikan kelebihan kepada penyair untuk mengekspresikan sentimen dan idea dengan cara yang sangat mendalam. Sesebuah puisi yang baik tidak hanya menyajikan keindahan kata, namun harus berupaya membina sebuah kerangka makna yang bebas daripada imejan yang bercampur.
Dalam puisi, imejan berkait rapat dengan latar yang menjadi kerangka dalam penghasilan puisi. Kesepaduan diksi yang tepat dan imejan yang jelas, dapat merangsang minda dan membekaskan kesan katarsis kepada khalayak. Puisi yang cemerlang bukan sekadar rangkaian kata-kata, tetapi suatu karya seni yang mampu membangkitkan pengalaman deria pembaca dengan mendalam. Justeru, puisi yang baik perlu berupaya membangkitkan pengalaman deria, bagi membolehkan pembaca membayangkan dan mengalami adegan atau konsep yang digambarkan oleh penyair.
Mengapa imejan penting dalam penulisan puisi? Sama penting dengan pemilihan diksi, imejan menjadi asas penting dalam proses mencipta keindahan yang bermakna. Melalui imejan yang dipilih, penyair secara tidak langsung membantu khalayak untuk melihat, mendengar, merasai, dan berfikir tentang pelbagai hal yang dibayangkan dan dipersembahkan kepada khalayak. Sehubungan itu, imejan tidak hanya menciptakan keindahan dalam puisi, tetapi juga memperkayakan makna dan menyuburkan interpretasi serta membuka pintu kepada pengalaman baharu pembaca.
Dalam sastera, terdapat sekurang-kurangnya enam jenis imejan yang sering kali ditemui dalam puisi. Antaranya imejan visual yang berupaya menciptakan gambaran visual. Imejan auditori yang berupaya membangkitkan suara atau bunyi. Imejan sentuhan yang dapat merasakan sesuatu objek. Imejan olfaktori yang dapat menciptakan pengalaman deria bau. Imejan gustatori yang berperanan dalam menyampaikan pengalaman rasa; dan imejan kinestetik yang berperanan untuk menggambarkan gerakan atau perbezaan fizik. Imejan yang baik perlu seragam dan dapat dikelompokkan. Manakala imejan yang bercampur iaitu yang mempunyai imej yang tidak berkaitan akan mengganggu landskap puisi.
Berpandukan perbincangan di atas, maka ulasan kali ini akan memfokuskan kepada aspek imejan yang terdapat dalam puisi-puisi yang tersiar di ruangan ini pada minggu lepas. Tiga puisi yang dibincangkan ialah “Berhentilah” karya Adhwa Mahyuddin,”Abstrak” karya Shafida Rosllan dan “Apakah Sekarang Senja?” karya Ramli Hassan.Tidak hanya membataskan aspek imejan atau citra, ulasan ini akan membincangkan aspek-aspek lain dalam puisi bagi tujuan penambahbaikan.
Puisi pertama berjudul “Berhentilah” merupakan hasil nukilan Adhwa Mahyuddin. Puisi yang bernada seruan ini mengajak khalayak merenung semula nilai-nilai tradisi yang kian terpinggir dalam kehidupan moden manusiawi. Menggunakan bahasa selapis yang mudah diterjah maknanya, menjadikan puisi ini mudah ditafsir dengan sekali pembacaan. Tiada penggunaan kata konotatif yang memerlukan khalayak menaakul untuk membongkar maksud dan hasrat tersirat penyair. Dalam puisi ini, penyair menekankan betapa pentingnya pemeliharaan tradisi seperti permainan congkak, pemakaian tanjak, petikan sape dan seni tarian yang kian hilang dimamah kemajuan. Seruan penyair dapat diperhatikan pada rangkap kedua seperti di bawah.
Berhentilah.
Kita sudah sering memakai
topi hipster yang lusuh.
Sedangkan tanjak jahitan bonda
terbiar berlubang,
dimakan gegat.
Dari aspek imejan, puisi ini dicirikan oleh imej-imej tradisional seperti pada frasa ‘papan congkak buatan ayahda’ (ejaan yang tepat ialah “ayahanda”) pada rangkap pertama; ‘Sedangkan tanjak jahitan bonda/ terbiar berlubang’ pada rangkap kedua; ‘Hingga terbiar/ Sape’ kiriman nenda/ terputus talinya, digigit tikus’ pada rangkap ketiga dan ‘hingga tak reti/ lenggok canggung ajaran bangsa’ pada rangkap keempat. Imejan-imejan ini memberikan rasa nostalgia dan mengingatkan pembaca kepada elemen-elemen tradisional yang kebanyakannya kini semakin terpinggir. Misalnya imejan ‘papan congkak yang mengumpul debu di bawah katil sendiri’ dan ‘tanjak jahitan bonda yang terbiar berlubang’ menggambarkan keadaan terlupa dan terabai. Imej-imej ini memberi warna kepada puisi serta menyampaikan perasaan kehilangan dan kerinduan penyair terhadap warisan budaya.
Dalam penulisan puisi, imejan yang dipilih oleh penyair sebaik-baiknya bertautan antara satu dengan yang lain. Misalnya dalam rangkap ketiga, imej ‘sape’ dilihat tidak bertautan dengan imej ‘congkak’, ‘tanjak’ dan ‘tari’ yang sinonim dengan masyarakat Melayu. Hal ini dikatakan sedemikian kerana permainan sape lebih dominan dalam kalangan masyarakat orang ulu di Sarawak. Percampuran imejan ini mungkin tidak disedari oleh penyair, namun perbezaan yang sedikit itu berupaya mengubah landskap makna dalam sesebuah puisi. Imejan yang bercampur ini dapat dilihat dalam rangkap ketiga di bawah.
Berhentilah.
Kita sudah nian
mendengar petik gitar elektrik
yang membingit cuping telinga.
Hingga terbiar
Sape’ kiriman nenda
terputus talinya, digigit tikus.
Dari aspek pemilihan kata, penggunaan frasa “berhentilah” yang diulang-ulang sebanyak tujuh kali memberikan kesan kuat serta menonjolkan seruan untuk berhenti dan merenung kembali tentang sesuatu yang kian hilang. Dalam konteks makna yang luas, penyair sebenarnya mahu mengajak khalayak berhenti mengagungkan budaya barat dan kembali ke jati diri yang sejati. Selain itu, penggunaan kata-kata seperti “lupa” “sering” “terbiar” dan “terputus talinya” menyampaikan perasaan kehilangan dan pengabaian terhadap warisan budaya tempatan. Walaupun puisi ini menyenangkan, namun terdapat beberapa aspek yang boleh ditambah baik bagi melahirkan puisi yang kejap, kuat dan mantap.
Seterusnya puisi kedua yang berjudul “Abstrak” merupakan hasil nukilan Shafida Rosllan yang hadir dalam dua rangkap. Berpandukan judul puisi ini, jelas penyair mahu mewujudkan suatu gagasan yang bersifat filosofis yang tidak dapat diukur. Tema utama puisi ini berkait rapat dengan pencarian makna, peluang, dan arah hidup di tengah-tengah khayalan dan angan-angan yang mungkin tidak jelas. Puisi ini menyiratkan perjuangan individu untuk menemukan haluan dan tujuan hidup, tetapi pada akhirnya, ketidakpastian dan kelompangan yang mengintai.
Dari aspek imejan, penyair didapati sedaya upaya membangunkan sebuah gambaran tentang perjalanan atau pencarian dalam kehidupan. Frasa seperti “khayalan yang asyik,” “angan yang kabur,” dan “mengejar atau meniti rentak” memberikan gambaran tentang perjalanan yang penuh dengan cabaran dan ketidakpastian. Selain itu, penyair turut menampilkan imejan ketidakpastian dalam puisi ini melalui frasa “Tiada pasti...”. Manakala kata-kata seperti “kelompangan” “digerogoti masa” dan “pecah empangan mata” menyiratkan akhir yang tidak diinginkan atau kegagalan dalam pencarian tersebut. Secara keseluruhan, imejan dalam puisi ini menciptakan suatu gambaran tentang perjalanan yang penuh dengan ketidakpastian dan risiko.
Selain itu, diksi puisi ini memainkan peranan penting dalam menyampaikan makna dan maksud tersirat penyair. Salah satu kelemahannya ialah diksi puisi ini dilihat terlalu abstraksi. Walaupun bahasa yang bersifat abstrak memberikan peluang untuk interpretasi yang meluas, namun dalam beberapa keadaan penggunaan kata yang bersifat simbolis atau abstrak secara berlebihan boleh mengundang kepada kekaburan makna kepada khalayak. Misalnya pilihan kata yang sangat abstrak seperti “khayalan yang asyik” dan “angan yang kabur” akan menimbulkan kesulitan bagi khalayak untuk membayangkan atau merasakan dengan jelas apa yang ingin disampaikan oleh penyair. Harus disedari bahawa sebuah puisi baik harus dapat diperkukuh dengan penggunaan gambaran-gambar yang konkrit.
Puisi terakhir berjudul “Apakah Sekarang Senja?” karya Ramli Hassan hadir dalam lima rangkap yang tidak sekata. Dengan sekali pembacaan, khalayak pasti dapat menerka makna yang ingin disampaikan oleh penyair. Puisi ini tentang kehadiran kekasih dan perenungan penyair terhadap keindahan senja. Dalam rangkap kedua puisi ini, penyair membentangkan suasana senja sebagai latar puisi dengan sang kekasih menanti di kaki langit. Terdapat dua elemen yang wujud dalam puisi ini iaitu kekasih dan keindahan alam yang bergabung melalui elemen cinta. Paparan senja ‘merah jingga’ hingga ke ‘kebiruan langit’ menyiratkan perubahan suasana dan mungkin juga perubahan perasaan.
Dari sudut makna, membaca judul puisi ini akan membawa khalayak untuk mencari wajah senja melalui pertanyaan yang dikemukakan oleh penyair. Namun begitu, pertanyaan penyair tidak terlalu sukar untuk dijawab kerana sudah diberikan jawapan pada baris pertama, iaitu ‘Pada hujung senja’. Bentuk sebegini tidak sesuai bagi sesebuah puisi yang seharusnya mempunyai makna yang luas dalam himpunan kata-kata yang terbatas. Dari aspek imejan, wujud imejan bercampur iaitu antara landskap senja yang digambarkan oleh penyair dengan frasa ‘Dalam kebiruan langit di sana’. Perhatikan rangkap di bawah yang jelas memperlihatkan imejan bercampur antara landskap senja dengan langgit yang membiru.
Kekasih…
Apakah sekarang senja?
Dalam kebiruan langit di sana..
Walaupun dari satu sudut penyair bebas menggunakan kata-kata, namun imejan yang tepat dengan suasana senja tidak seharusnya dicampur aduk dengan suasana langit yang membiru. Diharap kelemahan ini dapat diperbaiki pada masa akan datang agar puisi yang dihasilkan dapat membentangkan sebuah landskap yang indah dan bermakna kepada khalayak.
Dari aspek bentuk, puisi ini menunjukkan ciri-ciri yang agak polos dan tidak ditulis dengan bahasa yang ekonomis, terutama pada rangkap kedua yang prosaik sifatnya. Hal ini penting untuk diketahui oleh penyair kerana puisi tidak seharusnya ditulis dengan kata-kata yang tidak terkawal sehingga bentuknya menjurus kepada prosa. Puisi perlu singkat, padat dan kuat dari sudut makna. Justeru, penyaringan kata perlu dilakukan agar puisi yang dihasilkan terbina daripada susunan kata-kata yang terbaik. Selain itu, penyair juga didapati banyak menggunakan ungkapan yang terlalu metafora atau abstrak. Hal ini menyebabkan khalayak mungkin mengalami kesulitan untuk mentafsirkan makna yang ingin disampaikan. Selain itu, penggunaan kata “nafsu” cenderung mencetuskan pelbagai interpretasi dan mungkin tidak sepenuhnya sesuai dengan rasa romantis yang ingin disampaikan oleh penyair dalam puisi ini.
Secara keseluruhan, dapat dirumuskan bahawa ketiga-tiga puisi yang tersiar di ruangan ini pada minggu lepas masing-masing mempunyai kekuatan dan kelemahan yang dapat diperbaiki pada masa akan datang. Dalam melakar landskap puisi, imejan yang tepat dan sesuai amat dituntut. Hal ini penting kerana puisi bukan sekadar kata-kata khayalan yang sarat dengan keindahan, namun mesti mendukung falsafah, gagasan dan pemikiran yang mampu menanjak intelektual khalayak. Semoga ulasan ini dapat membantu penyair yang berbakat ini membina wilayah kepenyairan yang tersendiri di Bumi Kenyalang. Teruskan berkarya!