Oleh Abang Median Abang Said
PERSOALAN tentang hasad dengki dengan menyebarkan fitnah serta persepsi negatif sudah menjadi gejala yang mengakar dalam pemikiran dan perilaku masyarakat. Demi sebuah kuasa, apa-apa sahaja sanggup dilakukan asalkan tercapai segala hasrat yang akan menjadi wahana untuk dipegang tampuk kepimpinan. Dalam situasi politik kebangsaan sehinggalah politik pemilihan jawatan kuasa kampung, perkara yang sama berlaku dalam masyarakat kita. Persoalan itulah yang cuba diketengahkan oleh Aileen Clare dalam cerpennya “Aku Si Kerdil” yang tersiar dalam ruangan Wadah Bahasa dan Sastera pada 10 Ogos yang lalu.
Hendry Guntur Tarigan menjelaskan bahawa seseorang pengarang selalunya menulis tentang gelojak jiwa sama ada yang diketahuinya melalui pembacaan atau yang berlaku di sekelilingnya. Cerpen sebagai cerita pendek harus mengandungi interpretasi pengarang tentang kehidupan sama ada secara langsung atau pun tidak langsung, harus menimbulkan satu efek dalam fikiran pembaca, juga mengandungi perincian-perincian dan insiden-insiden yang dipilih dengan sengaja hingga mampu menimbulkan pertanyaan-pertanyaan di dalam fikiran pembaca.
Berdasarkan cerpen “Aku Si Kerdil”, pengarang telah cuba menimbulkan efek dalam fikiran pembaca dengan merincikan permasalahan tentang pemilihan ketua kampung setelah ketua kampung yang lama meletakkan jawatan kerana telah berpindah ke kampung lain. Konflik itu mula digerakkan oleh prasangka dan kecemburuan yang timbul dalam jiwa Tok Dirman yang terlalu obses dengan jawatan ketua kampung. Dia memikirkan bahawa dialah yang paling layak dengan jawatan tersebut sehingga dia cuba meremehkan dan merendah-rendahkan Salman yang seolah-olah mendapat tempat di hati penduduk kampung. Pengarang sengaja menyisipkan insiden-insiden yang dipilihnya untuk menggerakkan plot cerpen ini.
Menurut Hasyim Awang, cerpen yang menarik juga perlu menyentuh isu atau berita semasa (news value), iaitu aktual dan faktual serta dikarang dengan informasi dan mesej yang jelas, menggunakan bahasa yang indah, mentaati kaedah bahasa serta mempunyai judul yang meyakinkan. Pengarang cuba mengaitkan karyanya dengan isu semasa biarpun daripada perspektif yang lebih kecil, iaitu melalui pemilihan ketua kampung tetapi membawa konotasi kepada simbolik yang lebih besar. Ternyata kepekaan pengarang telah membawa kejayaan awal pada penulisan cerpen ini.
Pengarang memulakan cerpennya dengan teknik dialog. Biar apa pun teknik yang dipilih oleh pengarang, teknik tersebut hendaklah mampu merangsang daya pembacaan dan perasaan ingin tahu pembaca untuk mengetahui konflik yang ingin ditonjolkan oleh pengarang. Melalui cerpen “Aku Si Kerdil”, pengarang berjaya menimbulkan elemen-elemen tersebut melalui dialog yang diolahnya:
“Aku tidak kisah, selagi jasad aku masih bernyawa di atas tanah ini, selagi itu aku tidak akan biarkan si Salman memegang jawatan sebagai ketua kampung di kampung ini.” Suara Tok Dirman bergema di warung Pak Koden .
Dialog pada pendahuluan cerpen ini mempunyai kesan dramatik yang menonjolkan konflik dan turut memasukkan emosi watak Tok Dirman yang marah dan cemburu dengan perhatian penduduk kampung terhadap Salman. Apabila Tok Dirman memperlekehkan perwatakan Salman yang kerdil, pembaca pasti akan cuba mengaitkannya dengan tajuk yang dipilih oleh pengarang. Mengapa kekerdilan itu yang menjadi persoalan utama? Adakah kekerdilan fizikal atau kekerdilan dari aspek taraf sosial yang ingin diketengahkan oleh pengarang? Pengarang berjaya menyimpulkan semua elemen ini dengan baik pada permulaan cerpennya.
Dalam cerpen “Aku Si Kerdil” ini pengarang telah mengaplikasikan penggunaan sudut pandang orang ketiga serba tahu. Penggunaan sudut pandang ini memungkinkan pengarang dengan leluasa berpindah dari sudut pandang salah seorang watak ke sudut pandang watak lain. Menggunakan teknik ini, pengarang telah memberikan informasi kepada para pembaca tentang persepsi watak Tok Dirman yang meragui keikhlasan Salman untuk menyokongnya sebagai ketua kampung. Pengarang juga dapat beralih kepada watak Mak Jihan sewaktu dia melahirkan Salman dengan selamat biarpun dalam keadaan serba kekurangan apabila Salman disahkan menghidap Achondroplasia. Masalah ini menyebabkan protein tidak berfungsi secara normal dan tulang tumbuh lebih pendek serta memiliki bentuk abnormal terutamanya di bahagian tangan dan kaki. Menggunakan sudut pandangan ini telah membolehkan pengarang mengetahui dan melihat semua perkara.
Walau bagaimanapun, penggunaan sudut pandang serba tahu ini memiliki kekurangan tersendiri. Sewaktu pengarang menggambarkan watak-watak dalam cerita dari ‘atas’, pengarang menampilkan perwatakan tersebut pada pembaca dalam jarak yang cukup jauh dan pada akhirnya, akan lebih tampak seperti menceritakan apa yang terjadi, bukan menunjukkan apa yang terjadi. Selain itu, penggunaan sudut pandang ini juga menyulitkan pembaca untuk terikat lebih dalam dengan karakter-karakter yang ada sehingga narasi cerita menjadi kaku atau bahkan membosankan. Cerpen ini pasti akan lebih mengesankan jikalau pengarang menggunakan sudut pandang orang pertama seperti yang digambarkan dalam tajuk cerpen ini – “Aku Si Kerdil”– supaya pengarang lebih dapat menggambarkan aspek kejiwaan Salman apabila dia mengalami Achondroplasia sehingga pernah dibuli suatu ketika dahulu dan bagaimana dia memperoleh kepercayaan penduduk kampung dengan usahanya selama ini. Pengarang juga tentu dapat menggambarkan perasaan Salman apabila menerima tuduhan Tok Dirman hingga pembaca akan terbawa-bawa dengan perasaan Salman yang akan disampaikan.
Sudut pandang orang ketiga serba tahu yang dipilih oleh pengarang menyebabkan cerpen ini hanya disampaikan pada bahagian permukaan – tidak sampai ke aspek kejiwaan watak. Aspek perwatakan dalam cerpen ini boleh ditingkatkan berdasarkan fokus pengarang sama ada kepada watak Salman atau Tok Dirman. Jikalau pengarang ingin meletakkan Tok Dirman sebagai watak utama, watak tersebut perlu dirincikan dari aspek kejiwaannya yakni daripada perancangan jahatnya untuk mengenakan Salman kerana dia terlalu teruja untuk menjadi ketua kampung – gambaran yang lebih rinci akan menyebabkan pembaca lebih menjiwai binaan plot yang digarap oleh pengarang. Walau bagaimanapun, sudut pandang yang dipilih oleh pengarang tidak menunjukkan kegagalan kerana cerpen ini masih tetap berdiri sebagai sebuah cerpen yang baik cuma perlu dilakukan penambahbaikan untuk menggugah perasaan pembaca.
Siti Hajar Abdul Aziz (2013) mendefinisikan plot sebagai penceritaan peristiwa berdasarkan hukum sebab dan akibat. Plot mengemukakan perkara yang terjadi dan sebab perkara itu terjadi. Setiap perkara berhubungan berdasarkan faktor-faktor sebab dan akibat. Terdapat juga segelintir individu yang mentafsirkan plot sebagai rentetan peristiwa yang bersebab, yakni dijalin dengan melibatkan konflik dan diakhiri dengan peleraian. Berdasarkan cerpen “Aku Si Kerdil”, plot cerpen ini disusun dengan baik oleh pengarang bermula dengan ketidakpuasan rasa yang dialami oleh Tok Dirman yang diluahkannya di warung milik Pak Koden. Tok Dirman cemburu dengan Salman terutama tentang kepercayaan penduduk kampung terhadapnya. Tok Dirman khuatir, kepercayaan tersebut akan menjejaskan peluangnya sebagai ketua kampung. Antara aspek sebab dan akibat yang tidak diperjelas oleh pengarang dalam cerpen ini adalah tentang bagaimana Salman mendapat kepercayaan tersebut daripada penduduk kampung. Perlakuan baik Salman serta sikapnya yang suka menolong tidak menjelaskan tentang penerimaan penduduk kampung sehingga boleh melantiknya sebagai ketua kampung. Tentu ramai lagi yang baik serta suka menolong penduduk kampung. Perkara ini sepatutnya dirincikan oleh pengarang untuk memberikan kelogikan kepada pembaca, lebih-lebih lagi dengan kekurangan Salman yang mengalami masalah Achondroplasia. Masalah itu menunjukkan kekurangan Salman yang mempunyai masalah pada pertumbuhan tulang. Rata-rata ketinggian penderita achondroplasia dewasa adalah 131 cm dengan kepala yang lebih besar dan dahi yang menonjol. Kelainan tersebut perlu dijelaskan oleh pengarang dan bagaimana semua itu tidak menjejaskan kepercayaan penduduk kampung terhadap kemampuannya sebagai ketua kampung, lebih-lebih lagi dengan usianya yang baharu mencecah 35 tahun serta belum berumahtangga. Ketua kampung selalunya dipilih dalam kalangan penduduk kampung yang telah berusia (mengikut kebiasaan). Manakala di sesetengah negeri seperti Selangor, ketua kampung yang dipilih hendaklah telah berumah tangga (beristeri) di dalam kampung itu dan telah bermastautin dalam kampung sekurang-kurangnya 2 tahun. Jadi, kewajaran Salman yang menjadi pilihan penduduk kampung perlu diberikan jawapan oleh pengarang agar lebih logik dalam menggerakkan binaan plot cerpen berkenaan.
Binaan plot cerpen ini terus digerakkan oleh pengarang tatkala Tok Dirman telah berjumpa dengan Salman untuk bertanya pandangannya tentang jawatan Ketua Kampung yang bakal dikosongkan. Sokongan Salman kepada Tok Dirman telah melonggarkan ketegangan perasaan dan prasangka Tok Dirman terhadapnya. Setelah Ketua Kampung Batu Lintar meletakkan jawatan secara rasminya, Ahli Jawatankuasa di Kampung Batu Lintar mengadakan mesyuarat. Pemilihan ketua kampung menjadi isi utama dalam mesyuarat itu yang meletakkan nama Tok Dirman dan Salman antara yang tercalon.
Konflik perebutan jawatan yang akan menyemarakkan perasaan iri hati, dengki dan fitnah sentiasa menjadi topik yang tidak pernah selesai dalam kehidupan realiti masyarakat. Pengarang mengaplikasikan masalah itu tatkala Tok Dirman merancang untuk memburuk-burukkan nama baik Salman. Disebabkan perebutan jawatan itu berlaku di kampung dan jawatan yang menjadi rebutan juga ialah jawatan ketua kampung, maka pengarang telah mengambil isu yang sesuai dengan latar tempat dan latar masyarakat dalam cerpen itu dengan menjadikan isu kehilangan binatang ternakan sebagai titik klimaks. Penduduk kampung telah datang ke rumah Salman untuk menuntut kambing dan lembu yang dikatakan telah disembunyikan di ladang sawit Salman. Tok Dirman yang begitu yakin dengan kejayaan perancangannya, lantas terperangkap dengan helahnya sendiri. Tidak ada lembu dan kambing yang dijumpai di ladang sawit Salman malahan ternakan tersebut dijumpai di dalam kandang kambing milik Tok Dirman. Penduduk kampung memarahi Tok Dirman atas perancangan jahatnya sehingga ada yang menghinanya dengan teruk. Malahan Tok Dirman digambarkan telah kehilangan suara untuk mempertahankan dirinya.
Pengarang telah menjadikan watak anak Tok Dirman sebagai individu yang menggagalkan usaha jahat ayahnya. Setelah Mustafa mendengar rancangan jahat ayahnya, dia menelefon beberapa orang rakannya untuk mereka bertemu di warung Pak Koden. Mereka pergi ke ladang sawit Salman secara senyap-senyap dan membawa haiwan-haiwan itu ke kandang kambing ayahnya. Bagi Mustafa, keegoan dan keangkuhan ayahnya adalah satu tindakan yang salah. Dia tidak kisah dicemuh oleh penduduk kampung asalkan kejadian itu akan memberi kesedaran kepada ayahnya.
Ada beberapa penambahbaikan yang boleh diubah pada bahagian klimaks dan peleraian cerpen ini. Tindakan Mustafa yang memalukan ayahnya dengan memindahkan ternakan orang kampung dari ladang sawit Salman ke kandang kambing ayahnya memerlukan kewajaran yang lebih jelas. Adakah Mustafa telah menegur keangkuhan dan keegoan ayahnya sebelum ini sebelum tidakan drastik itu dilakukan? Tentunya tindakannya itu akan memberikan implikasi yang negatif kepada semua ahli keluarganya. Jikalau benar Mustafa tidak mahu Salman difitnah, dia boleh melepaskan haiwan ternakan itu begitu sahaja tanpa mengenakan ayahnya. Cuma pengarang tentunya mempunyai motif yang tersendiri dalam membina plot cerpen berkenaan. Sememangnya difahami bahawa pengarang ingin menunjukkan bahawa perilaku negatif seseorang ayah tidak akan turut memalitkan sikap yang sama kepada ahli keluarganya. Setiap orang pastinya mempunyai persepsi dan pendirian yang berbeza biarpun melibatkan ahli keluarga.
Cerpen ini diakhiri dengan penyesalan Tok Dirman terhadap tindakannya sehingga bercadang ingin berpindah keluar dari kampung tersebut. Dia juga berasa malu dan menangis teresak-esak sewaktu meminta maaf kepada Salman atas kesalahannya. Salman juga telah menggalas tugas sebagai ketua kampung melalui amanah yang diberikan kepadanya.
Pastinya pembaca akan tertanya-tanya, sebegitu mudahkah Tok Dirman untuk berpindah ke kampung lain? Adakah dia juga mempunyai kediaman di kampung lain kerana perpindahan memerlukan persediaan yang bukan sedikit? Mungkin peleraian cerpen ini boleh dimurnikan dengan kesediaan Salman untuk memaafkan Tok Dirman dan kesanggupannya menyerahkan tugasan ketua kampung itu kepada Tok Dirman. Namun itu hanyalah merupakan cadangan. Peleraian yang telah diolah oleh pengarang juga baik, cuma penyesalan Tok Dirman boleh ditonjolkan oleh pengarang dengan kesediaannya memberikan kerjasama dengan Salman untuk memajukan kampung.
Mesej yang ingin disampaikan oleh pengarang adalah tentang pemanipulasian persepsi dalam kalangan masyarakat melalui fitnah akan menjejaskan keharmonian. Semua perkara ini menjadi barah yang perlu dicegah sebaik yang mungkin. Mesej inilah yang memberikan efek yang sangat berkesan kepada pembaca yang diselarikan dengan isu semasa terutama melihat kepada pergolakan politik tanah air.
Setiap manusia digerakkan oleh jantung yang mengepam darah untuk dialirkan ke seluruh tubuh. Manakala dalam sesebuah hasil karya, bahasa yang indah dengan mentaati kaedah bahasa menjadi nafas yang menghidupkan karya berkenaan. Cerpen “Aku Si Kerdil” digerakkan dengan pengolahan bahasa yang lancar oleh pengarang. Dialog yang dilontar oleh watak dalam cerpen berkenaan juga berfungsi dengan baik dan tidak ada aspek lewah yang sering digunakan oleh penulis-penulis baharu untuk memanjangkan cerpen. Pujian dan kredit boleh diberikan kepada pengarang dalam aspek ini. Cuma bahasa pengarang sangat polos sehingga sedikit mengabaikan aspek estetika yang perlu ada dalam sesebuah karya sastera. Contoh:
- Dia berasa amat malu.
- Seperti semalu, dia ingin menguncupkan diri.
Dua ayat tersebut biarpun mempunyai pengertian yang sama, tetapi berbeza daripada aspek estetikanya. Perkara tersebut perlu dikuasai oleh pengarang dengan pembacaan karya yang baik daripada penulis mapan. Semua itu perlu dilakukan dengan kesedaran dan usaha yang bersungguh-sungguh.
Selain itu terdapat beberapa kesilapan bahasa yang perlu diambil perhatian oleh pengarang untuk meningkatkan kualiti karya pada masa akan datang. Berikut ada beberapa kesilapan dan pembetulan yang perlu dibuat:
- “Sepatutnya aku yang dihormati bukan engkau!” Desis hati Tok Dirman.
Monolog perlu menggunakan (‘ ’) dan bukannya (“ ”) yang merujuk kepada dialog. Ada beberapa kesilapan yang serupa dikesan dalam cerpen “Aku Si Kerdil” ini.
- Kesilapan ejaan:
- ejekkan – ejekan
- idak – tidak
- Kesalahan ayat :
- “Mak, pagi tadi Salman dengar perbualan orang kampung Salman dengar ketua kampung kita akan letak jawatan minggu hadapan.”
Sepatutnya: “Mak, pagi tadi Salman dengar perbualan orang kampung. Salman dengar ketua kampung kita akan letak jawatan minggu hadapan.”
Ada beberapa lagi kesalahan ayat yang dikesan dalam cerpen berkenaan yang boleh menjejaskan fokus pembacaan dan kualitinya.
Secara keseluruhannya, pengarang – Aileen Clare – telah berjaya menyusun konflik cerpen ini dengan baik hingga membentuk binaan plot yang menarik dengan mesej yang bertepatan dengan isu semasa. Pengarang juga berjaya menggerakkan cerpennya dengan bahasa dan teknik plot seperti dialog yang bersesuaian. Kesilapan-kesilapan kecil yang dilakukan jikalau dibaiki dengan latihan menulis yang berterusan, pastinya akan menempatkan pengarang pada kedudukan yang baik pada masa akan datang.
Ternyata, “Aku Si Kerdil” tidak menampakkan kekerdilan bakat pengarang malah secara paradoks menunjukkan bakat besar yang perlu terus dibangunkan.