Oleh: Abang Median Abang Said
TERDAPAT banyak karya sastera terutamanya novel yang memaparkan tentang elemen persahabatan, namun tetap menggugah minat pembaca kerana nilai ini begitu dekat untuk sesiapa sahaja yang bergelar manusia. Novel Kite Runner karya Khaled Hosseini bercerita tentang persahabatan Amir dan Hassan yang begitu akrab, namun tidak terlepas daripada perasaan salah sangka sehingga saling menjauh. Untuk menyatakan perasaan bersalahnya, Amir telah mengangkat anak Hassan. Ternyata, novel ini memartabatkan nilai persahabatan yang begitu menyentuh perasaan pembaca sehingga telah diterjemahkan ke banyak bahasa. Andrea Hirata – seorang penulis Indonesia juga begitu sinonim dengan novelnya yang memaparkan tentang persahabatan menerusi tetralogi Laskar Pelangi yang terbahagi kepada empat buah novel, iaitu Laskar Pelangi, Sang Pemimpi, Edensor dan Maryamah Karpov.
Cerpen “Bahu untuk Berkongsi Duka” karya Mohd Firdaus Dahlan yang tersiar dalam ruangan Wadah Bahasa dan Sastera pada 27 Disember lalu memaparkan nilai persahabatan yang disisipkan dengan insiden-insiden yang dipilih dengan sengaja oleh pengarang. Persahabatan antara Razi, Hasrul dan Syamsul cuba diolah oleh pengarang melalui konflik yang dialami oleh watak-watak berkenaan.
Aristotle menggunakan perkataan cinta (love) untuk mendefinisikan persahabatan. Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa persahabatan ini diibaratkan sebagai another self, iaitu ‘diri yang satu lagi’ kerana mereka saling terpengaruh antara satu sama lain. Seseorang individu itu juga mungkin suka bersahabat dengan orang lain kerana dia baik atau kerana dia bermanfaat atau menyenangkan.
Menurut pandangan al-Ghazali pula, beliau mempunyai persamaan dengan Aristotle mengenai konsep persahabatan, iaitu tentang sayang atau cinta. Selain itu, terdapat juga persamaan lain, iaitu persahabatan terjalin berasaskan budi yakni kebaikan antara kedua invidu yang bersahabat. Namun, terdapat sedikit perbezaan antara keduanya apabila Aristotle mengibaratkan persahabatan sebagai another self dan al-Ghazali menyatakan bahawa persahabatan berada pada kedudukan keluarga.
Perkara inilah yang cuba diolah oleh pengarang tatkala ibu Razi sengaja menghubungi Hasrul dan Syamsul untuk mengubati kedukaan yang dialami oleh anaknya yang telah kematian adiknya, iaitu Najwa, setelah motosikal yang ditunggangnya dilanggar oleh pemandu Hilux yang dengan sesuka hati keluar dari simpang. Peristiwa yang baru berlaku sepuluh hari yang lalu amat meruntun jiwa Razi. Dia turut berasa amat bersalah kerana membiarkan Najwa membeli barangan pada hari jadinya untuk memberi ruang kepada dia dan ibunya membuat kejutan. Sebaliknya, mereka pula yang dikejutkan dengan panggilan telefon yang mengkhabarkan berita buruk tentang Najwa meninggal dunia di tempat kejadian.
Perubahan sikap Razi yang bertukar menjadi seorang yang pendiam dan sentiasa mengurung diri di dalam bilik telah mendorong ibunya untuk meminta bantuan Hasrul dan Syamsul menceriakan kembali hidup Razi. Razi sesungguhnya berasa tertekan dan sedih dengan pemergian adik kesayangannya itu. Pandangan ibu Razi bahawa Hasrul dan Syamsul dianggap seperti adik-beradik kepada Razi adalah selari dengan takrifan al-Ghazali tentang erti persahabatan. Sebagai seorang kawan yang sudah kenal lama, Hasrul tahu bahawa satu-satunya cara untuk meleraikan tali ikatan kesedihan Razi adalah dengan mengajaknya melakukan aktiviti berenang dan mandi di sungai yang sudah sekian lama menjadi kegemarannya.
Hendry Guntur Tarigan (Prinsip-prinsip Dasar Sastera, 1984: Penerbit Angkasa Bandung) mengutip pandangan B. Mathew yang mengatakan bahawa cerita pendek perlu ada sesuatu yang hendak diceritakan. Hendri Guntur sendiri mengulas cerpen sebagai cerita pendek yang harus mengandungi interpretasi pengarang tentang kehidupan sama ada secara langsung atau pun tidak langsung serta harus menimbulkan satu efek dalam fikiran pembaca. Manakala Hashim Awang dalam Glosari Mini Kesusasteraan (Fajar Bakti, 1987) menyebut bahawa bentuk cereka yang pendek membawa satu persoalan bagi menghasilkan satu kesan tertentu yang indah. Cereka itu akan memusatkan diri pada satu watak dalam suatu situasi di suatu tempat dan ketika.
Menurut Budi Darma dalam buku Solilokui, sesebuah cerpen yang menarik perlu digerakkan oleh jalinan plot yang teratur dan berkesan untuk mendukung tema karya berkenaan. Plot cerpen “Bahu untuk Berkongsi Duka” bergerak dalam satu garis yang sangat mudah, iaitu tentang kedukaan watak Razi yang memerlukan pengertian daripada keluarga dan sahabatnya. Dalam mendepani kehidupan, setiap orang pastinya akan menghadapi pelbagai masalah. Razi juga mendengar masalah-masalah yang dialami oleh watak Hasrul dan Syamsul. Setiap permasalahan tersebut perlu diselesaikan dengan bijaksana melalui beberapa pendekatan oleh watak berkenaan.
Pengarang banyak menggerakkan plot cerpen menggunakan teknik dialog antara tiga orang sahabat berkenaan. Umpamanya permasalahan tentang pengangguran yang menghambat para graduan turut disisipkan dalam cerpen berkenaan. Masalah pengangguran merupakan isu global yang banyak berlaku terutama di negara Dunia Ketiga. Persaingan untuk memperoleh pekerjaan digambarkan begitu getir yang mempunyai kaitan dengan masalah sosial dan masalah ekonomi. Hasrul mengatasi masalah tersebut dengan melibatkan diri sebagai perantara untuk menyerahkan makanan melalui perkhidmatan Grab. Pengarang cuba memberikan nilai kepada pembaca supaya generasi muda terus berusaha dan tidak memilih pekerjaan. Rezeki akan dapat diperoleh dengan usaha dan doa.
Masalah untuk mendapat pekerjaan turut menghambat watak Hasrul yang sudah lima bulan diberhentikan kerja di syarikat tempatnya bekerja dahulu. Alasan yang sering dikemukakan oleh pihak yang berkenaan ialah masalah ekonomi dan juga kesukaran untuk membayar gaji pekerja. Pemberhentian kerja itu pula bukan disebabkan masalah disiplin. Perkara itulah yang memberikan tekanan minda kepada Hasrul, lebih-lebih lagi ahli keluarganya sering bertanya tentang masalah berkenaan. Duit simpanan yang kian susut turut menambahkan lagi bebanan perasaan tersebut.
Dalam menghasilkan sesebuah karya, pengarang tentunya mempunyai sasaran tentang siapakah khalayak pembaca karya berkenaan. Berdasarkan tema tentang persahabatan dan persoalan tentang kekeluargaan yang mendominasi binaan plot cerpen berkenaan, pastinya pengarang meletakkan golongan remaja sebagai khalayak sasarannya. Golongan remaja pula tidak terlepas daripada kemelut rasa cinta yang sentiasa tumbuh dalam jiwa yang bergelodak dan kadangkalanya memberontak. Kemelut kejiwaan itulah yang menyebabkan golongan remaja sering silap membuat pertimbangan.
Watak Hasrul umpamanya telah mengalami kekecewaan dalam percintaannya dengan Aina. Kritikan sosial yang ingin dilontarkan oleh pengarang ialah trend masa kini yang sering mengongsikan kebahagiaan dan kegembiraan di laman sosial biarpun semua itu persis sebuah lakonan atau tempelan semata-mata. Realiti yang berlaku, tidak seperti yang digambarkan. Keserasian jiwa bukannya terletak pada komen pengguna laman sosial, tetapi pada ikhlasnya sebuah perhubungan. Namun sebagai karya remaja, pengarang menyelitkan nilai ketabahan yang perlu dimiliki oleh setiap remaja yang perlu mendepani kesedihan itu dengan perasaan sabar. Kesedihan yang berpanjangan akan memakan jiwa, persis anai-anai yang merapuhkan kayu. Pengarang turut cuba menyelitkan falsafah dalam percintaan untuk dijadikan iktibar kepada pembaca seperti dalam beberapa ayat yang disusunnya dalam cerpen berkenaan:
Sifat setia itu dah tertanam dalam hati yang hanya dapat dikawal oleh diri sendiri. Kadang-kadang, manusia tak pernah puas dengan apa yang mereka miliki sampai sanggup melukakan hati sesiapa sahaja demi keinginan diri sendiri.
Maknanya, pengarang sangat mementingkan nilai dan pengajaran dalam karyanya yang sememangnya menjadi inti pati utama dalam penulisan cerpen remaja. Lagipun, watak Razi, Hasrul dan Syamsul yang sememangnya merupakan golongan remaja cuba mengetengahkan langgam corak pemikiran remaja yang berjiwa positif.
Dalam menghasilkan sebuah karya yang menarik, pengarang perlu mengolah tajuk yang boleh menarik perhatian pembaca. Tajuk yang dipilih hendaklah mampu menggugah perasaan dan perhatian hingga merangsang kehendak khalayak untuk menekuni sesebuah karya itu dengan lebih lanjut. Tajuk karya yang klise atau biasa-biasa sifatnya pasti kurang membantu karya berkenaan. Pengarang memilih tajuk “Bahu untuk Berkongsi Duka” bagi menggambarkan nilai persahabatan tatkala watak-watak remaja dalam cerpen berkenaan telah berkongsi masalah dan kesedihan masing-masing terutama melalui watak Razi yang telah kehilangan adiknya tatkala dia meninggal dunia sewaktu usianya baru menjejak angka 19 tahun. Walaupun tajuk “Bahu untuk Berkongsi Duka” kedengaran agak klise, namun begitu sesuai untuk menggambarkan pergolakan jiwa dan persoalan yang ingin dilontarkan dalam cerpen berkenaan. Namun, pengarang boleh juga memikirkan tajuk yang lebih segar untuk menjadikan karyanya lebih meyakinkan. Pengarang boleh mencipta tajuk dengan menggunakan teknik aliterasi dan asonansi untuk memberikan keindahan bunyi atau pun menggunakan metafora seperti “Bahu Persahabatan” agar menimbulkan kesegaran pada tajuk cerpen yang dihasilkan.
Sesebuah cerpen yang menarik hendaklah dimulakan dengan perenggan yang merangsang minat pembaca untuk terus melekat dengan karya berkenaan. Maknanya, ayat pertama cerpen berkenaan perlu merangsang naluri ingin tahu pembaca tentang gambaran watak atau binaan plot yang ingin disusun oleh pengarang. Ramai pengarang memasukkan elemen ketegangan pada permulaan cerpen dan elemen tersebutlah yang perlu dileraikan penyelesaiannya. Ada juga pengarang yang memulakan cerpen dengan menampilkan sentuhan emosi pada watak utama untuk menarik perhatian pembaca.
Cerpen “Bahu untuk Berkongsi Duka” dimulakan dengan gaya yang biasa dan sederhana, iaitu melalui bunyi hon yang menandakan kehadiran sahabat Razi. Teknik itu juga nampak begitu stereotaip. Pengarang cuba menyembunyikan masalah Razi dan sebab rakan-rakannya hadir untuk membawa Razi untuk keluar rumah. Konflik dalam cerpen ini tidak digambarkan dengan jelas pada bahagian permulaan cerpen, seolah-olah hanya menggambarkan pertalian persahabatan antara tiga watak berkenaan. Pada pertengahan cerpen, barulah didedahkan tentang kesedihan Razi sehingga ibunya khuatir dengan kemurungannya dan meminta bantuan daripada dua orang sahabat anaknya itu. Pengarang boleh menulis perenggan pendahuluan dengan lebih baik dengan menggambarkan kemurungan pada wajah Razi biarpun dikunjungi oleh dua orang sahabatnya. Pasti pembaca akan tertanya-tanya, mengapa wajah Razi begitu murung? Mengapa ada kedut kesedihan pada kelopak matanya? Apakah kesedihan yang menimpa watak Razi? Pengarang boleh mengaitkan kesedihan Razi dengan suasana alam yang redup, kicauan burung atau apa-apa elemen lain untuk menunjukkan kepekaan dan sensitiviti pengarang yang mengaitkan sesuatu dengan alam sekitar. Gambaran wajah ibu Razi juga boleh dijadikan sandaran untuk menimbulkan lebih banyak ruang persoalan dalam minda pembaca jika diolah dengan lebih menarik.
Antara kelebihan ketara yang dapat dikesan pada cerpen ini ialah pengolahan dialog yang diungkapkan oleh watak-watak dalam cerpen ini telah dapat menggambarkan emosi dan pemikiran watak-watak cerpen berkenaan. Eve Bunting, (1928) seorang penulis dari Ireland pernah menegaskan: Bagaimana caramu menulis dialog penting dan penuh erti yang akan memperdalam karektor, melancarkan alur cerita, memperluas tema dan terasa nyata. Biarlah karektor-karektor dalam cerita itu berbicara.
Cerpen “Bahu untuk Berkongsi Duka” menepati pandangan Eve Bunting tatkala tema, binaan plot dan gambaran perwatakan – semuanya ditonjolkan secara jelas melalui teknik dialog yang digunakan oleh pengarang. Pengolahan dialog antara watak dalam cerpen ini menggambarkan keakraban persahabatan antara watak-watak berkenaan.
Untuk menjadi penulis yang baik, seseorang penulis memerlukan pengolahan gaya bahasa yang menarik. Ada penulis telah menampakkan langgam penceritaan yang jelas menunjukkan identiti penulisannya. Bacalah karya Shahnon Ahmad – akan jelas langgam penceritaan dan gaya bahasanya yang tersendiri seperti melalui novelnya Tunggul-tunggul Gerigis. A. Samad Said juga mempunyai identiti penulisannya yang tersendiri dengan mempunyai kekuatan pada perincian deskripsi watak dan latar. Namun tidak semestinya, karya yang baik itu menggunakan bahasa yang bombastik seperti cerpen Zaen Kasturi pada akhir 80-an dan awal 90-an. Menurut Robert Cormier – seorang penulis Amerika, kadangkala kata-kata yang paling sederhana adalah sesuatu yang terindah dan paling efektif. Lantas, gaya bahasa mudah yang digunakan oleh pengarang dalam cerpen ini bersesuaian dengan khalayak sasaran dan watak penuturnya yang merujuk kepada golongan remaja.
Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kesilapan tatabahasa yang dikesan dalam cerpen berkenaan yang boleh menjejaskan kelancaran pembacaan dan menjejaskan kualiti cerpen berkenaan secara keseluruhan. Kesilapan tatabahasa ini perlu diambil perhatian oleh pengarang pada masa akan datang untuk tujuan penambahbaikan. Berikut adalah kesilapan-kesilapan tatabahasa dalam cerpen berkenaan:
- Penggunaan tanda seruan. Tanda seruan hanya digunakan apabila adanya kata seru. Tetapi pengarang meletakkan tanda seru pada penghujung ayat biarpun kata-kata seru tidak digunakan dalam ayat berkenaan. Contoh : Belum apa-apa dah bergegar satu badan!
- Kesilapan ejaan. Terdapat beberapa kesilapan ejaan yang menunjukkan bahawa pengarang tidak membaca semula cerpen berkenaan sebelum menghantar karya tersebut kepada pihak editor. Beberapa kesilapan ejaan itu telah dikesan untuk perkataan ‘ketetujaan’, ‘kawanya’ dan ‘displin’.
- Penggunaan diksi bahasa Inggeris perlu ditaip menyondong.
- Selain itu, terdapat juga penggunaan kata ‘korang’ yang merupakan singkatan kepada perkataan ‘kau orang’. Tentunya ‘kau’ itu sudah merujuk kepada orang dan penggunaan ‘korang’ telah meluaskan lagi penggunaan bahasa yang sudah diketahui kesalahannya dari aspek tatabahasa. Sebagai seorang penulis yang mempunyai tanggangjawab sosial, sebaik-baiknya dielakkan penggunakan perkataan yang tidak menyumbang kepada penggunaan bahasa yang betul, biarpun itulah gambaran sebenar dalam langgam dialog yang diucapkan.
Cerpen “Bahu untuk Berkongsi Duka” telah menampakkan bakat dan kebolehan Mohd Firdaus Dahlan sebagai penulis yang perlu digilap kepengarangannya. Minat penulisan itu boleh dipupuk. Begitu juga dengan bakat.
Bagaimana memupuk bakat dan kualiti dalam penulisan? Tidak ada jalan singkat. Tidak ada jalan yang mudah. Semuanya memerlukan usaha yakni dengan membaca karya penulis-penulis mapan. Seorang penulis Amerika, William Zinsser (1922) pernah menegaskan: Jangan pernah ragu meniru penulis lain – setiap seniman yang tengah mengasah ketrampilannya memerlukan model. Pada akhirnya, seseorang penulis itu akan menemukan gayanya sendiri dan menanggalkan kulit penulis yang ditirunya.
Cuma perlu ditegaskan, peniruan yang dimaksudkan oleh William Zinsser itu merujuk kepada teknik penulisan dan bukannya memplagiat atau menciplak karya orang lain. Semoga Mohd Firdaus Dahlan terus bersemangat dan mencabar diri untuk menghasilkan karya-karya yang berbeza pada masa akan datang.