Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Mendukung titah Agong dan tatakelola
  • KOLUMNIS

Mendukung titah Agong dan tatakelola

Utusan Sarawak 4 weeks ago

TITAH Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim semasa merasmikan pembukaan Parlimen baru-baru ini tidak boleh dianggap sebagai ucapan adat-istiadat semata-mata.

Titah tersebut memancarkan hasrat rakyat yang  selama ini menjerit dalam diam, muak, penat dan hampir putus asa dengan gejala rasuah yang sudah membarah terlalu lama.

Dengan nada tegas, Baginda menyeru supaya rasuah diperangi tanpa pilih kasih, tanpa sebarang perlindungan kepada pesalah, dan tanpa kompromi terhadap integriti sistem.

Inilah amaran dan seruan yang sepatutnya menggoncang dasar pentadbiran negara. Bukan kerana ia datang dari istana, tetapi kerana realitinya sudah terlalu nyata akibatnya sistem keadilan terkesan, sektor awam tercemar, dan kepercayaan rakyat makin tipis.

DENGAN nada tegas, Baginda menyeru supaya rasuah diperangi tanpa pilih kasih, tanpa sebarang perlindungan kepada pesalah, dan tanpa kompromi terhadap integriti sistem.

Maka, persoalan ini  dan gesaan Agong perlu diterjemah kepada tindakan konkrit dan berani oleh pihak berkuasa negara.

Retorik tidak lagi mencukupi

Malaysia tidak kekurangan dasar. Tidak kurang juga agensi atau jabatan yang ditubuhkan untuk melawan rasuah. Yang barangkali kurang  dan sering gagal ialah keberanian politik dan integriti berterusan dalam pelaksanaan.

Untuk terlalu lama, rasuah telah dipandang sebagai membarah namun ada pihak yang bukan melihatnya jenayah besar terhadap negara.

Titah Baginda membuka lembaran baharu, iaitu satu tuntutan untuk perubahan sistemik, bukan lagi pendekatan reaktif yang hanya bangun apabila ada skandal.

Perkara ini menuntut semua pihak melawan bukan hanya simptom, tetapi sumber penyakit termasuk sistem perolehan yang kabur, pengaruh politik dalam institusi penguatkuasaan, dan budaya senyap dalam kalangan pentadbiran.

Perubahan ini bukan kerja semalaman. Tetapi ia mesti dimulakan dengan langkah yang benar, dan lebih penting, dengan niat tulus.

DIPN: Harapan baharu atau kitar semula?

Dalam nada yang sama, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) yang merupakan satu langkah untuk membina semula kepercayaan terhadap sektor yang sudah lama dibayangi isu perolehan tidak telus, pembaziran dan ketirisan.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) menyempurnakan Majlis Peluncuran Dasar Industri Pertahanan Negara di MITEC baru-baru ini bersama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (dua kiri). Foto BERNAMA

DIPN menjanjikan tadbir urus baharu yang lebih telus, pemantauan ketat serta pembinaan keupayaan tempatan yang berintegriti. Ini merupakan langkah strategik, lebih-lebih lagi selepas beberapa pendedahan melibatkan pembelian peralatan tentera yang dikaitkan dengan konflik kepentingan dan kelemahan proses tender.

Namun dasar tidak bermakna apa-apa tanpa pelaksanaan yang tegas. DIPN mesti lebih daripada sekadar pelan kertas. Ia perlu dikawal selia oleh mekanisme bebas, audit berkala, dan laporan awam yang mampu memastikan akauntabiliti dari peringkat tertinggi kementerian hingga ke vendor kecil.

Sekiranya tidak, DIPN hanya akan menjadi satu lagi dasar yang ‘cantik di atas kertas, lumpuh di lapangan’.

JKDM dan barisan hadapan

Satu lagi pembaharuan penting yang diperkenalkan ialah rombakan sistem kerja Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di KLIA.

SATU lagi pembaharuan penting yang diperkenalkan ialah rombakan sistem kerja Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di KLIA.

Pusingan kerja menyeluruh dan penguatkuasaan perlindungan pemberi maklumat merupakan pendekatan praktikal yang sangat relevan di barisan hadapan , iaitu tempat rasuah paling mudah berlaku, dan paling sukar dibuktikan.

Dalam banyak kes, ‘keselesaan’ pegawai di satu lokasi untuk tempoh terlalu lama telah melahirkan rangkaian tidak rasmi yang memudahkan aktiviti rasuah berlangsung.

Maka pusingan kerja yang konsisten mampu mengganggu pembentukan ‘kartel kecil’ ini.

Namun, perlu diingat: memberi perlindungan kepada pemberi maklumat bukan sekadar meluluskan dasar. Ia perlu disusuli jaminan undang-undang, prosedur sulit, dan saluran aduan yang boleh dipercayai.

Jika pelapor masih diugut atau dipinggirkan selepas melapor, maka kepercayaan terhadap sistem akan lenyap.

Mahkamah Khas Rasuah

Penubuhan Mahkamah Tinggi Khas Rasuah serta 14 Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di seluruh negara menunjukkan kesungguhan institusi kehakiman dalam mempercepatkan proses keadilan.

Sasaran menyelesaikan kes dalam tempoh setahun adalah sangat wajar.

Namun keberkesanan mahkamah ini bukan diukur dari bilangan kes yang diselesaikan, tetapi dari segi kualiti keputusannya seperti persoalan, adakah siasatan cukup menyeluruh, adakah pendakwaan terpilih, dan adakah hakim cukup berpengalaman dalam kes berprofil tinggi.

Lebih penting, sistem ini perlu memastikan bahawa keadilan bukan hanya dilihat ditegakkan, tetapi benar-benar dirasai oleh rakyat. Tanpa ketelusan dan profesionalisme, mahkamah khas hanya akan menjadi pentas perundangan yang tidak dipercayai.

Rasuah mewabak

Berdasarkan laporan-laporan, pendakwaaan, sabitan di mahkamah maka harus diakui bahawa rasuah dalam masyarakat bukan sahaja berstruktur malah ia sudah menjadi budaya.

Daripada pemberian ‘duit kopi’ hingga pengaruh dalam tender kerajaan, rasuah seolah-olah telah menjadi sesuatu yang ‘biasa’ dan ‘dijangka’ apabila pendedahan dalam mahkamah menunjukkan gejala tersebut adalah serius.

Dalam hal ini, rombakan institusi sahaja tidak mencukupi. Malaysia memerlukan revolusi nilai, iaitu bermula di sekolah, di universiti, dalam media, dalam syarikat dan terutama sekali dalam kehidupan keluarga, kelompok masyarakat dan ekologi sekeliling.

Pendidikan integriti mesti diterapkan secara kreatif dalam kurikulum dengan pendekatan yang realistik dan praktikal. Program kesedaran bukan hanya sekadar seminar atau poster , ia perlu berbentuk pengalaman, pendedahan, dan penanaman sifat malu melakukan penipuan.

Lebih jauh lagi, sifat amanah, takut kepada Tuhan, dan menolak budaya materialistik perlu ditanam sebagai asas pembinaan negara.

Apalah gunanya sistem penguatkuasaan canggih, jika ada pihak masyarakat niaga dan penerima masih menganggap rasuah itu sebagai jalan pintas untuk berjaya.

Pengisytiharan aset

Cadangan agar semua menteri, Ahli Parlimen, ADUN dan penjawat awam kanan – termasuk ahli keluarga terdekat – mengisytiharkan aset secara menyeluruh, adalah langkah minimum yang patut diwajibkan.

Tanpa ketelusan, mustahil integriti dapat dipertahankan. Namun, pengisytiharan ini mesti disertai dengan prosedur audit terperinci oleh badan bebas seperti Jabatan Audit Negara, akses terhad tapi bermakna kepada awam, penalti tegas bagi ketidakpatuhan, semakan berkala agar tiada penipuan sistematik berlaku.

Sekiranya, dilaksanakan dengan betul, ini boleh menjadi salah satu mekanisme pencegahan rasuah paling berkesan dalam sejarah Malaysia moden.

Rumusan

Titah Yang di-Pertuan Agong di parlimen telah memberikan kita hala tuju moral dan memerlukan reformasi institusi yang lebih jelas. Titah ini perlu sambut, didukung dan dilaksanakan secara tegas.

Segala dasar seperti DIPN, reformasi JKDM, Mahkamah Khas, pengisytiharan aset hanyalah sekadar alat. Yang menentukan keberkesanannya ialah aspek manusia yang melaksanakannya.

Membanteras rasuah bukan tugas kerajaan semata-mata. Ia adalah tanggungjawab nasional dan menuntut komitmen bersama rakyat, penjawat awam, pemimpin politik, media, masyarakat sivil yang harus bergerak seiring.

Dalam perjuangan membasmi rasuah, tidak ada jalan pintas. Banyak cabaran serta dugaan dan berani memilih jalan berliku memeranginya untuk masa depan yang bersih.

Maka perlu ada keberanian bersama antara rakyat, pemerintah dan semua mekanisme yang ada dalam masyarakat. Tanpa kerjasama menyeluruh, maka ia akan menjadi sia-sia.

  • Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau  ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) dan kini ialah Felo Kanan Akademi Kenegaraan Malaysia.
Tags: Dr Awang Azman

Continue Reading

Previous: Tun Abdul Razak dalam sejarah Sarawak
Next: OMO 1958 vs PDA 1974

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.